Dia Lelaki Teragung
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 September 2017
Ikuti kisah Zahra Mawaddah yang menjadi isteri kepada Adam Faris setelah beberapa jam mengenali lelaki itu.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
370

Bacaan






BAB3

         Mereka tiba di Kondominium Nusa Mewah Villa di Taman Bukit Pandan, Cheras kira-kira jam 12.15 pagi.  Setelah memarkirkan kereta di tingkat G, Adam membawa Zahra naik ke rumahnya di tingkat 8. Kawasan tempat letak kereta kini sudah sepi daripada sebarang bunyi deruman kereta mahupun motosikal.

Zahra hanya mengekori setiap langkah Adam. Adam membawa beg Zahra yang berisi pakaiannya. Sesungguhnya Datuk Iskandar memang tekad untuk membuang Zahra dari keluarganya.. Hati Zahra sedih tatkala melihat air mata mamanya tumpah kerana dia. Zahra memejam matanya rapat. Cuba melupakan semua kisah yang berlaku sebentar tadi. Zahra cuba menguatkan dirinya walaupun sebenarnya dia sudah penat. Dia hampir mengalah untuk menghadapi semua ini. Tapi kekuatan yang dipinjamkan Adam buat dia bertahan untuk terus melangkah.

Setelah beberapa minit berada di dalam lif, akhirnya mereka sampai di depan pintu rumah Adam. Sunyi dan sepi sekelilingnya. Mungkin penghuni-penghuni lain sudah lena diulit mimpi. Sekarang pun jam sudah menganjak ke pukul 12.30 pagi.

Adam membuka pintu rumahnya yang berkunci itu. Usai memberi salam Adam melangkah masuk dan membuka lampu di dalam rumahnya. Zahra masih tegak berdiri di depan muka pintu. Hatinya gelisah untuk masuk ke dalam rumah Adam. Apakah dia harus tinggal bersama Adam malam ini?

Tidak,aku tak sanggup. Kalau betul pun dia ingin menjadi suami Zahra Mawaddah, ini bukan caranya untuk menghalalkan apa yang tetap haram.

“Kenapa masih tercegat di situ? Marilah masuk.” Jemput Adam lembut.

Lambat Zahra mengatur langkah masuk ke dalam rumah itu. Matanya melilau memandang sekeliling rumah ini. Dinding berwarna Baltic disusun dengan lukisan-lukisan permandangan dan abstark yang pasti dilukis oleh pemiliknya Adam Faris. Lukisannya sangat cantik dengan kehalusan seni tangan yang dilakarkan oleh Adam. Memang Adam seorang pelukis yang hebat. Puji Zahra dalam hatinya.

“Mari saya tunjukkan bilik awak. Awak duduk dalam bilik saya ya.” Tawar Adam sambil menolak luggage milik Zahra ke dalam biliknya.

“Hah?”Jerit Zahra sedikit terperanjat.

Ahh!Tak mungkin..Tolak hati Zahra.

“Eh. Awak jangan salah faham. Saya tak akan tinggal di rumah ini bersama awak selagi awak tak sah menjadi isteri saya. Saya ke sini hanya untuk menghantar awak.Lepas memastikan awak selamat di sini saya akan pergi.” Terang Adam merungkaikan kegusaran di hati Zahra.

Zahra termalu sendiri. Dalam fikirannya penuh dengan rasa sangsi yang bukan-bukan.Mungkinkah kerana mereka masih terlalu baru dalam pertemuan ini? Ya, itulah sebabnya. Zahra tahu Adam cuba meyakinkan Zahra yang dia bukan seperti lelaki-lelaki lain. Tapi di zaman sekarang sukar untuk Zahra mempercayai sesiapa. Terutamanya yang baru dia kenali. Pengalaman juga mengajar Zahra untuk lebih berhati-hati kini.

“Habis awak nak tinggal kat mana malam ni?” Zahra serba salah. Hanya kerana dia, Adam terpaksa tidur di tempat lain. Ketahuilah, sesungguhnya dia tidak menginginkan semua perkara ini berlaku. Oh Tuhan, ampunkan hambaMu ini.

“Pasal saya awak jangan risau. Saya lelaki. Kat mana-mana pun saya boleh tidur. Dalam kereta pun boleh. Yang penting awak selamat.”

“Terima kasih Adam.” Tiba-tiba mata Zahra bergenang saat memandang wajah Adam.

Ya Allah, mengapa hati ini berdebar saat mata itu memandang ke arahku? Ada suatu rasa yang berdetak di jantungku. Apakah aku sudah mulai jatuh cinta pada gadis ini? Kalau dia milikku, satukanlah kami dengan ikatan yang suci. Amin.

Adam berpaling. Mematikan semua angannya. Gadis itu belum sah menjadi miliknya. Dia tidak boleh berada di sini terlalu lama.

“Kalau awak nak sembahyang, sejadah ada dalam almari tu. Nanti saya keluarkan untuk tunjukkan arah kiblatnya. Awak ada telekung?”

Zahra menganguk. Zahra menguap beberapa kali. Matanya sudah pedih menahan rasa penat dan mengantuk.

“Awak pun dah mengantuk tu. Saya minta diri dulu.” Adam keluar dari bilik Zahra setelah membentangkan sejadah untuk kegunaan Zahra nanti.

Zahra mengekori Adam dari belakang.

“Oh ya. Kalau awak lapar dalam kabinet kat dapur tu ada stok maggi. Sorryla, itu je yang ada buat sementara waktu ini. Lagipun saya memang tak masak kat rumah. Maklumlah pelukis jalanan macam saya, mana tempat yang saya singgah kat situlah saya makan.” Terang Adam panjang lebar.

 “Kalau awak nak masak, esok kita cari barang dapur. Pagi esok saya ambil awak, kita sarapan dulu. Lepas tu kita cari barang-barang keperluan dapur.”

“Okey?”

Zahra mengangguk bersetuju.

“Kalau macam tu saya minta diri dulu ya. Awak rehat dulu. Saya tak bawa kunci pendua rumah ini. Semua ada kat sini.” Adam menunjukkan gugusan kunci yang tersangkut pada dinding.

“Jadi awak janganlah risau ya.” Gurau Adam. Ada sedikit senyuman tercalit di tepi bibirnya.

“Adam.”Panggil Zahra. Memandang Adam sayu.

Adam diam. Menanti apa yang ingin diucapkan Zahra.

“Maafkan saya. Saya dah banyak menyusahkan awak.” Ucap Zahra tunduk memandang lantai. Dia malu dengan dirinya sendiri.

“Awak tak pernah menyusahkan saya. Apa yang terjadi ini awak anggap sebagai cabaran dalam kehidupan. Saya janji saya akan sentiasa bersama awak.” Janji Adam yakin.

Adam meninggalkan Zahra sendirian. Biarlah malam ini Zahra mencari jawapan pada persoalan di dalam hati. Apakah hatinya akan terbuka untuk menerima Adam atau sebaliknya. Apa jua jawapan yang akan Zahra berikan Adam akan menerimanya dengan hati yang terbuka walaupun di dalam hatinya sudah bercambah sedikit rasa kasih pada wanita itu.

*************

         Kedinginan satu pertiga malam itu Zahra penuhi dengan menunaikan solat sunat tahajud dan istiqarah. Setelah melelapkan mata selama tiga jam, Zahra bangun membersihkan diri dan menunaikan kewajipan untuk mencari ketenangan dan sebuah jawapan. Lama Zahra bersujud memohon petunjuk dari Yang Maha Esa.

Ya Allah, sesungguhnya hambaMu ini rapuh dalam setiap langkahku. Maafkanlah hambaMu ini tatkala aku lalai dalam mengerjakan suruhanMu. Ya Allah, aku mencari sebuah jawapan yang akan menentukan hala tuju hidupku. Seadainya dia tercipta utukku kau bukakanlah hati ini untuk menerima dia seadanya. Meski dia punya beribu kelemahan.

Jadikanlah aku wanita terbahagia di sisi dia, imamku. Relakanlah jiwa ini untuk dia bertahta di dalam hatiku.

Sementara itu di dalam sebuah masjid berdekatan Taman Bukit Pandan, Adam khusyuk berdoa memohon pada Illahi tentang perasaan yang hadir di dalam hatinya.

Ya Allah, jika dia memang tercipta untukku kau dekatkanlah dia dengan hambaMu ini. Jadikanlah dia permaisuri yang akan bersemayam di dalam hatiku. Kau bukakanlah hati dia untuk menerima aku yang serba kekurangan ini. Akanku bimbingi dia menuju ke syurgaMu Ya Allah.

Amin..Amin Ya Rabbal Alamin.

Adam mengusap wajahnya setelah mengaminkan doa yang dibaca sebentar tadi. Jauh disudut hati Adam dia masih mengharap Zahra akan menerima dia sebagai imam dalam hidup wanita itu.

Sementara menunggu azan subuh berkumandang Zahra menyandarkan tubuhnya pada katil disebelah tempat dia bersolat. Katil bersaiz king itu indah beralaskan cadar patchwork berwarna kehijauan dengan corak kotak berbunga kecil. Hanya tinggal sepuluh minit sahaja lagi azan subuh akan berkumandang. Zahra cuba menahan matanya daripada terlelap namun..

“Hei.Kau memang tak tahu malukan perempuan? Rayyan dah buang kau tapi kau masih mencari dia. Perempuan jenis apa kau ni?” Sarah menengking Zahra kuat di hadapan Rayyan dan keluarganya.

Zahra diam. Ingin sahaja wajah yang halus mulus tu ditampar kuat. Namun dia masih waras. Dia tidak boleh bertindak melulu.

“Siapa yang tidak tahu malu? Aku atau kau? Kau yang rampas Rayyan dari aku. Kau yang menabur fitnah pada aku sehingga Rayyan dan keluarganya termakan hasutan kau.” Balas Zahra geram. Tepat dia merenung anak mata Sarah.

Hati Sarah mula membuak-buak dengan api kemarahan. Berani Zahra melawan kata-katanya kembali. Pada fikirannya Zahra tidak akan berani melawan setiap kata-katanya.

“Kau memang nak kena perempuan murah!!” Sarah mengangkat tangannya untuk menampar pipi Zahra namun tindakannya dihalang seseorang.

“Jangan kau berani sentuh dia. Kalau tidak nahas jadinya.” Ugut lelaki itu.

Sarah terperanjat. Siapa lelaki yang berani mempertahankan diri Zahra ini. Rasanya dia bukanlah orang yang ada bersama Zahra sewaktu di hotel hari itu.

“Siapa kau?” Soal Sarah tidak berpuas hati.

“Aku Adam. Suami Zahra Mawaddah.”

Zahra terjaga. Sayup-sayup di telinga Zahra mendengar alunan suara bilal di masjid melaungkan azan subuh.

“Ya Allah. Aku bermimpi rupanya. Atau apakah ini petunjuk?” Zahra mengusap lembut wajahnya seraya bangun untuk menunaikan solat subuh.

Zahra membaca niat di dalam hati lalu menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba. Diakhir solatnya Zahra mendoakan agar segalanya berjalan dengan lancar. 

 Semoga dia adalah yang terbaik untukku.

 

 

 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku