Snow Black
Snow Black
Genre: Fantasi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 20 September 2017
Hitam adalah warna yang tidak akan berubah walau berjumpa dengan warna apa sekalipun, sebaliknya warna yang berjumpa dengan warna hitam akan turut berubah hitam seperti dirinya. Ibu tiri Snow Black iaitu Ratu Elvira ingin membunuh Snow Black kerana cemburu dengan kecantikan yang dimilikinya.
Penilaian Purata:
456

Bacaan






Hitam adalah warna yang tidak akan berubah walau berjumpa dengan warna apa sekalipun, sebaliknya warna yang berjumpa dengan warna hitam akan turut berubah hitam seperti dirinya.

Di dalam tangan wanita tua itu terletak sebiji epal merah. Epal merah itu kelihatan begitu sedap, menggoda sesiapa sahaja yang melihatnya untuk memakan buah itu. Sesiapa sahaja pasti akan terliur melihat betapa merah dan segarnya buah epal itu. Warnanya yang merah pekat dan permukaannya yang berkilat itu menggamit sesiapa sahaja untuk makan epal itu.

Puteri Snow Black berkira-kira perlukah baginya untuk menerima pelawaan wanita tua itu untuk memakan epal di tangannya. Wanita tua itu dijumpainya semasa dia sedang mencari bekalan makanannya di dalam hutan. Dia ternampak wanita itu sedang terbaring keletihan di dalam hutan dalam keadaan haus dan lapar. Wanita itu sesat di dalam hutan barangkali.

Dia berfikir sejenak, memang sekarang ini bekalan makanan di rumahnya berkurangan dan dia amat memerlukan makanan. Pemberian sebiji epal oleh wanita itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal baginya. Namun begitu, pada masa itu perutnya tidak berasa lapar kerana dia baru sahaja menjamah makan tengaharinya bersama wanita itu. Dia tidak memerlukan epal itu. Dia terfikir, bukankah wanita itu sendiri kelaparan semasa dia mula-mula berjumpa. Bagaimanakah dia boleh ada sebiji epal pula pada waktu ini? Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena dengan epal ini?

"Makanlah epal ini wahai Tuan Puteri Snow Black. Ini bukan epal sebarangan, ini epal ajaib. Epal ini jika dimakan akan membuatkan orang yang memakannya kenyang selama setahun. Bukan itu sahaja, buah epal ini juga akan membuatkan orang yang memakannya menjadi kaya-raya. Buah inilah yang selama ini menyelamatkan nenek daripada mati kebuluran. Jika tidak kerana buah ini, sudah tentu nenek telah tiada di dunia ini," ujar wanita tua itu apabila melihat Snow Black ragu-ragu untuk memakan epal itu.

Terbeliak mata Snow Black apabila mendengarkan betapa ajaibnya buah itu. Dia sendiri hidup dalam kesempitan bersama tujuh orang-orang kerdil yang tinggal bersamanya. Jika memakan epal itu akan membuatnya kaya-raya, tidak perlu orang-orang kerdil itu bersusah-payah lagi mencari rezeki. Mereka boleh hidup bersenang-lenang.

************************

Ratu Elvira mengatur langkah pantas menuju ke kamar tidurnya. Dalam kamar tidur peribadinya, dia menempatkan sebuah cermin yang ketinggiannya memenuhi dinding kamar itu. Dia membuka langsir yang menutupi cermin itu.

Dia merenung cermin itu seraya berkata, "Wahai Cermin Kebenaran, tunjukkan kepada beta siapa yang paling benar di dalam negeri ini."

Cermin itu mengeluarkan suara garau yang mengatakan Tuan Puteri Snow Black kepada Ratu Elvira. Ratu Elvira berasa amat murka mendengar jawapan daripada Cermin Kebenaran lalu meminta Cermin Kebenaran menunjukkan wajah sebenar Snow Black. Cermin itu pun menunjukkan Snow Black sedang mengagihkan makanan kepada orang-orang kerdil. Orang-orang kerdil itu kelihatan begitu kurus dan kurang berzat. Dia juga berasa amat murka dengan tindakan Snow Black itu. Dia terus menumbuk cermin itu dengan sepenuh tenaganya. Cermin itu tidak pecah sebaliknya tangan Ratu Elvira yang berdarah akibat menumbuknya terlalu kuat.

"Benarkah apa yang nika katakan ini, wahai Cermin Kebenaran?" soal Ratu Elvira dengan nada murka.

"Cermin Kebenaran hanya akan menyatakan kebenaran. Cermin Kebenaran tidak akan pernah berdusta," balas cermin itu.

"Celaka punya Snow Black! Nanti kau!" Ratu Elvira keluar daripada kamar itu dengan tergesa-gesa sambil menahan marah.

Dia mengatur langkahnya dengan pantas menuju ke kamar bawah tanah. Kilat sabung menyabung di luar istananya mengiringi perasaan murka Ratu Elvira yang sedang meluap-luap. Kedua-dua tangannya digenggam erat menahan kemarahan. Darah pekat mengalir dari genggaman tangannya yang luka dan menitik ke atas lantai.

Langkah diatur Ratu Elvira dengan penuh hati-hati menuruni tangga berpusing untuk ke kamar rahsianya. Dia khuatir jika dia tergelincir kerana kakinya mengenakan kasut tumit tinggi pada waktu itu. Tok! Tok! Tok! Bunyi kasut tumit tinggi yang dipakainya dapat didengar dengan jelas ketika dia menuruni anak tangga yang curam itu. Kamar bawah tanah itu gelap tanpa sebarang cahaya. Ratu Elvira menyalakan sebatang lilin untuk menerangi seluruh kamar itu.

Dia menyelak buku sihirnya dengan pantas. Pelbagai gambar rajah pelik dan tulisan celtic kuno dapat dilihat di dalam buku sihir itu. Dia tercari-cari sesuatu formula yang digunakannya pada suatu masa dahulu untuk menghancurkan musuh-musuhnya. Selakannya terhenti pada suatu helaian muka surat. Helaian itu menunjukkan formula untuk menghasilkan racun yang amat mujarab. Racun itu juga jika disembunyikan dengan teliti, ia tidak akan dapat dikesan dengan apa cara sekalipun. Apa yang penting buatkan racun itu nampak seperti tidak berbahaya.

Ratu Elvira mencampurkan pelbagai jenis ramuan ke dalam sebuah periuk besar yang kemudian digodaknya untuk memastikan ramuannya sebati. Setelah puas menggaul ramuan tersebut, Ratu Elvira mengeluarkan sesuatu daripada poket baju yang dipakainya. Dia mengeluarkan sebiji epal lalu memasukkan racun itu ke dalam epal menggunakan sejenis alat. Dia melihat epal itu dengan senyuman puas. Epal itu kelihatan begitu manis dan lazat, pasti akan menggoda sesiapa sahaja yang melihatnya.

"Ya, inilah dia senjata yang akan aku gunakan untuk hancurkan Snow Black," getus Ratu Elvira disusuli dengan ketawa yang menyeramkan.

*********************

Ratu Elvira bersemayam di singgahsananya dengan megah. Dia bersandar sambil berangan-angan untuk menjadi ratu yang paling benar di negaranya. "Heinrich!" Ratu Elvira menitahkan orang kanannya yang setia untuk datang menghadapnya.

"Ampun tuanku. Ada apa gerangannya tuanku ingin berjumpa patik?" Heirich memulakan bicaranya.

"Beta ingin tahu apakah gerangannya musuh-musuh yang beta kirimkan epal beracun tempoh hari," perintah Ratu Elvira kepada orang kanannya.

"Oh, tuanku tidak perlu khuatir. Racun yang tuanku kirimkan itu amat mujarab. Musuh-musuh tuanku semua menemui pengakhirannya dalam masa yang begitu singkat." Heinrich terdiam sejenak, meminta kepastian adakah Ratu Elvira masih berminat untuk mendengar penjelasannya.

"Teruskan," ujar Ratu Elvira ringkas.

Heinrich pula menyambung, "Tuanku tahukan racun ini tidak akan membunuh orang yang terkenanya sebaliknya akan menyumpah orang itu menjadi zombi. Menurut pemerhatian patik, musuh-musuh tuanku semuanya disumpah menjadi zombi serta-merta. Malah, tanpa diduga racun itu turut memberi kesan sampingan yang lain."

"Apakah kesan sampingan itu, wahai Heinrich? Beta kurang mengerti," celah Ratu Elvira memohon penjelasan.

"Ampun tuanku. Perihal Puteri Citronella setelah menjadi zombi, suaminya cuma melayani gundik-gundiknya sahaja sementara Puteri Citronella hanya dibiarkannya tidak dilayan ibarat barang perhiasan di istananya sendiri."

"Bagus!" Ratu Elvira berasa kagum dengan kemujaraban racunnya.

"Puteri Aurora pula diceraikan suaminya lalu baginda mengahwini perempuan lain."

"Bagus sekali!"

"Puteri Dyana pula diceraikan suaminya dan baginda menjadi pembenci wanita sejak saat itu."

Ratu Elvira ketawa kegirangan mendengarkannya.

"Puteri Bella pula dilayan dengan teruk oleh suaminya. Suaminya cuma menganggap wanita sepertinya hanya layak duduk di dapur sahaja."

Sekali lagi Ratu Elvira ketawa kegirangan.

"Puteri Rampiona pula suaminya mengahwini wanita lain dan dia hanya dilayan ibarat barang perhiasan sahaja."

"Menarik sungguh. Beta tidak menyangka bahawa racun yang beta formulasikan begitu mujarab sehingga memberikan kesan sampingan yang tidak dijangkakan. Beta berasa begitu terhibur hari ini," ujar Ratu Elvira lagi. Ratu Elvira bersandar dengan perasaan puas di singgahsana miliknya.

Dia mengeluarkan epal yang disimpan di dalam bajunya dan membelek epal itu.

"Jika begitu sekali kesannya kepada musuh-musuh beta, sudah tentu Snow Black akan hancur dalam sekelip mata. Bukankah begitu wahai Heinrich?" titah Ratu Elvira sambil memandang Heinrich dengan renungan tajam.

"Ya, tuanku," Heinrich mengiakannya dalam keadaan terketar-ketar. Dia amat takut untuk membantah ratu yang kejam itu.

Ratu Elvira bertitah lagi, "Selepas Snow Black itu kalah di tangan beta, beta Ratu Elvira akan menjadi ratu paling benar di negara ini," Kata-katanya itu disusuli dengan ketawa terbahak-bahak.

Tiba-tiba Ratu Elvira teringat sesuatu. "Oh ya, Heinrich. Bagaimana dengan persiapan?" Ratu Elvira bertanya lagi kepada Heinrich.

"Usah khuatir tuanku. Semuanya berjalan dengan lancar. Orang-orang kerdil itu semua telah dirasuah dengan emas dan permata selain daripada tanah yang luas. Mereka menerima tawaran tuanku itu dengan berbesar hati kerana mereka sendiri kesempitan wang tuanku." Heinrich mengakhiri bicaranya.

"Bagaimana pula dengan haiwan-haiwan yang selalu menjadi penolong Snow Black?" titah Ratu Elvira lagi.

"Tuanku tidak perlu khuatir. Haiwan-haiwan itu semua sudah berjanji dengan tuanku bahawa mereka tidak akan menolong Puteri Snow Black jika mereka mahu hutan tempat tinggal mereka selamat," sambung Heinrich lagi.

"Bolehkah perjanjian mereka dipercayai Heinrich?" Ratu Elvira kurang yakin dengan cara Heinrich.

"Boleh, tuanku. Jika haiwan-haiwan itu memungkiri janjinya, patik akan bakar hutan tempat tinggal haiwan-haiwan itu," cadang Heinrich.

"Bagus! Kalau boleh kayu-kayan di hutan itu janganlah dibakar. Kita tebang pokok-pokok itu sehingga habis untuk mendapatkan hasilnya. Lumayan itu!" Ratu Elvira pula mengusulkan cadangan yang lebih bernas.

"Baiklah tuanku." Heinrich akur dengan titah ratunya itu. Dia meminta dirinya.

Ratu Elvira mundar-mandir di hadapan singgahsananya seraya bertitah di dalam hati, "Beta tidak sangka. Rancangan beta akan membuahkan hasil yang lumayan. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air."

*********************

Snow Black masih lagi berkira-kira untuk mengambil buah epal itu. Dia melihat wanita tua itu dengan teliti. Dia teringat akan pesan bondanya bahawa jangan sesekali mempercayai orang yang tidak dikenali walaupun air mukanya menunjukkan kebaikannya. Kita tidak boleh menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja, boleh jadi apa yang ditonjolkan dan dirinya sebenar yang disorokkan amat bertentangan sekali.

Dia sudah nekad. Dia mengambil keputusan untuk menolak pemberian wanita tua itu dengan baik. Dia tidak mahu wanita tua itu berasa kecil hati dengan dirinya.

"Nenek, maafkan beta. Beta sudah kenyang. Beta tidak boleh terima pemberian nenek. Nenek makanlah epal itu," tolak Snow Black dengan lembut.

Tiba-tiba wajah wanita tua yang polos itu bertukar bengis serta-merta. Dia kelihatan amat marah apabila Snow Black menolak pemberian darinya. Dia pun memaksa buah epal itu untuk masuk ke dalam mulut Snow Black. Snow Black cuba mempertahankan dirinya. Dia menolak wanita tua itu. Wanita tua itu terjatuh ke belakang. Epal yang berada di tangannya tergolek di lantai. Tidak semena-mena wanita tua itu berubah menjadi seorang wanita yang cantik jelita. Penampilannya nampak mewah sekali menunjukkan dia bukan orang sebarangan. Wanita itu mesti terdiri daripada golongan bangsawan.

Snow Black amat mengenali wanita itu. Ya, dialah Ratu Elvira. Orang yang hampir membunuhnya dengan cuba mengeluarkan jantungnya. Snow Black amat terkejut melihat identiti sebenar wanita itu.

"Beta sudah agak! Sejak daripada tadi lagi beta mengesyaki kamu, Ratu Elvira!" jerkah Snow Black kepada Ratu Elvira. Dia dengan pantas mengambil epal yang berhampiran dengannya dan cuba menyumbatnya ke dalam mulut Ratu Elvira pula. Ratu Elvira cuba mengelak daripada memakan epal itu.

"Sabar dulu, Snow Black. Dengar dulu penjelasan bonda." Ratu Elvira cuba berunding pula dengan Snow Black.

Snow Black tidak jadi untuk menyerang Ratu Elvira kerana ingin mendengar penjelasan daripada ibu tirinya itu.

Ratu Elvira yang membahasakan dirinya sebagai bonda meneruskan titahnya, "Bonda bukan apa, bonda cuma ingin berbaik semula dengan anakanda, puteriku sayang. Sebenarnya bonda rindu ingin berjumpa dengan anakanda. Epal yang bonda berikan kepada anakanda ini akan membuatkan anakanda lebih cantik, sihat dan pintar daripada sekarang. Makanlah sayang." Lagak Ratu Elvira waktu itu seperti duta sedang mengiklankan produk. Lenggok suara Elvira penuh kelembutan.

Snow Black melihat epal yang ada di tangannya seraya bertitah, "Boleh sahaja beta makan epal itu jika beta mahu berbaik semula dengan Ratu Elvira. Atau mana tahu beta boleh gunakan epal itu untuk menghancurkan Ratu Elvira jika beta makan epal ini. Atau epal ini tidak mempunyai racun pun, beta sahaja yang fikir bukan-bukan."

Lama Snow Black termenung melihat epal itu. Ratu Elvira melihat Snow Black dengan penuh mengharap. Akhirnya selepas beberapa minit, Snow Black membuka mulutnya untuk menjamah buah itu. Ratu Elvira melihat Snow Black dengan senyuman sinis. Dia merasakan rancangannya telah berjaya. Tiba-tiba sahaja Snow Black menjauhkan buah epal itu dari bibirnya dan menyumbatnya ke mulut Ratu Elvira yang sedang ternganga luas itu. Rupa-rupanya Snow Black hanya berpura-pura memakan buah itu, tetapi matanya ralit memerhatikan reaksi Ratu Elvira. Dia melihat senyuman sinis Ratu Elvira dan dia menunggu mulutnya terbuka untuk dia menjalankan rancangannya. Ratu Elvira tidak sempat mengelak tindakan pantas Snow Black itu. Dalam masa beberapa minit sahaja Ratu Elvira bertukar menjadi zombi.

"Telan sendiri racun yang kau buat!" marah Snow Black lagi kepada Ratu Elvira yang telah bertukar menjadi zombi. Snow Black meninggalkan rumah itu dengan zombi Elvira di dalamnya. Dia berjalan dengan penuh gaya ke istana Ratu Elvira yang pada asalnya adalah kediamannya suatu masa dahulu.

Dengan langkah penuh bersahaja dia masuk ke dalam istana itu dan bersemayam di singgahsana Ratu Elvira yang kini menjadi miliknya. Heinrich tercengang melihat kelibat Snow Black di situ. Tanpa membuang masa, Snow Black menitahkan orang-orang istana yang masih setia kepadanya untuk menangkap konco-konco Ratu Elvira. Dia melihat ke arah konco-konco Ratu Elvira seraya bertitah, "Pengkhianat tidak akan dimaafkan!"

Tidak lama kemudian, datang pula orang-orang kerdil dan haiwan-haiwan yang pernah menjadi rakannya dahulu semasa dia berlindung di hutan. Mereka semua meminta ampun kerana hampir-hampir mengkhianati Snow Black. Snow Black memaafkan mereka dan memberikan orang-orang kerdil itu pekerjaan dengan gaji yang cukup untuk menyara kehidupan mereka. Sementara itu pula, hutan tempat tinggal haiwan-haiwan itu dipelihara daripada diceroboh.

Snow Black bersemayam di singgahsananya seraya bertitah kepada dirinya, "Kerana Tuan Putera tidak akan selalu ada untuk menyelamatkanmu."

-Tamat-



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku