SYAAKUR - Pejuang Dua Dunia
LAPAN
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 September 2017
Sebuah cinta yang wujud di tengah-tengah kehancuran dunia. Sebuah kasih sayang yang hadir di dalam kebencian. Ini bukan kisah biasa. Tidak juga yang sungguh luar biasa. Kisah ini seperti menu baru yang mengharap bertemu peminat. Cubalah secubit, mungkin kisah ini kena dengan selera kau.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
89

Bacaan






Bilik 701, Kolej United Labuan…

Nur Halisa gagal memberikan tumpuan kepada syarahan yang sedang berlangsung di depan. Dia sering kali hanyut dibawa arus fikirannya sendiri. Ingatannya tetap saja menayangkan segala penipuan dan perlakuan keji Muno kepadanya. Hinggakan Syaakur dan dirinya menjadi mangsa.

Di satu pihak yang lain, Suria dan Santi tumpang gembira buat dirinya. Dua kawannya itu juga telah memaafkan dia kerana merahsiakan pertunangannya sebelum ini. Mereka tidak bosan memuji perubahan pada Muno yang kononnya kini semakin bersikap baik.

Lebih meyakinkan mereka bila salah seorang pensyarah mereka berkongsi akan perubahan sikap Muno ketika kelas. Muno kini tidak pernah berenggang dengan mereka. Nur Halisa pasti tengah hari nanti pemuda itu akan datang mencari mereka.

Dalam diam, sebenarnya Zana sudah mengesan ada sesuatu yang tidak kena dengan semua cerita yang dia dengar dari Muno itu. Malah dia dapat membaca penderitaan yang sedang dialami Nur Halisa. Semalaman dia sukar tidur memikirkan segala persoalan yang bermain di fikiran. Antara yang paling memerlukan jawapan ialah adakah benar kata-kata Muno itu?

Kerana sudah tidak mampu membendung kekeliruan yang berlaku, Zana nekad menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit Nur Halisa. Dia kemudian menanti dengan penuh debar. Selang beberapa saat kemudian lamunan Nur Halisa tersentak. Dia kemudian perlahan-lahan mengeluarkan telefon dari beg tangan. Dia seterusnya curi-curi membaca pesanan yang dihantar kepadanya itu.

Seketika kemudian, Nur Halisa kelihatan terkejut dan menoleh ke arah Zana. Mujur perbuatannya itu tidak disedari oleh Suria dan Santi atau lebih teruk lagi pensyarahnya sendiri.

Boleh kita jumpa berdua je tengah hari nanti? Pandai la ko buat alasan kat minah dua orang tu. Ada perkara penting aku nak bincang dengan ko’ – Zana

Ok. Ko tunggu aku kat bus stop.’ – Nur Halisa.

........

Masjid Jamek An-Nur Labuan…

Ketika waktu Zohor sudah agak lama berlalu, Darmo mengisi masa lapangnya dengan membaca kitab suci Al-Quran di tingkat atas masjid. Dia sendirian di situ. Bertemankan kesepian yang tidak terasa saat dia menuturkan ayat-ayat pada kitab suci itu.

“Assalamualaikum wahai sahabatku Darmo.” Bacaan Darmo perlahan terhenti sebaik mendengar salam itu.

Dia kemudian mendongak dan menoleh sedikit ke kanan. Di situ kelihatan seorang lelaki sedikit lebih tua darinya, berdiri menatapnya. Keadaan lelaki itu sedikit tidak terurus. Dari raut wajahnya jelas dia kurang tidur dan rehat.

“Waalaikumsalam wahai sahabatku Mahmud. Mengapa kamu berkeadaan begini?” Darmo bertanya dengan wajah yang berkerut.

Mahmud duduk bersila di depannya. Riak wajahnya memberitahu betapa hatinya sedang dirundum resah yang sudah berpanjangan. Matanya tampak sayu dan tidak bermaya. Darmo tidak pernah melihat keadaan Mahmud lebih teruk dari sekarang.

“Farhan.” Mahmud kelihatan terseksa saat menyebut nama itu.

“Kenapa dengan Farhan?” tingkah Darmo tidak sedap hati.

“Aku ke rumahnya semalam. Tapi dia takde. Jadi aku pergi ke masjid. Dalam perjalanan ke sana, aku…Aku jumpa basikal dan baju dia di atas jalan. Mulanya aku fikir dia meninggal dunia, tapi rupanya dia…dibunuh oleh empat makhluk dari…Alam Gelap!” Mahmud kini ketakutan sendiri.

“Ya Allah…Nampaknya mereka sudah ada di sini.” Darmo membalas. Menarik perhatian Mahmud untuk bertanya.

“Apa maksud kau?” soal Mahmud dengan riak curiga. Hatinya yang sudah berteman dengan rasa takut kini dihampiri dengan rasa kurang enak.

“Tidak apa-apa. Mengapa kamu berkeadaan begini?” Darmo tahu sahabatnya itu belum bersedia untuk tahu tentang masalah besar yang bakal mereka hadapi.

“Aku…Aku dah dua hari tak tidur.” Suara Mahmud kedengaran mendatar.

“Ya Allah…Kenapa sampai begitu sekali?” Darmo mengeluh halus sendiri.

“Aku tak nak jadi macam Farhan. Aku dah agak Drazal keparat tu mesti akan melanggar perjanjian damai tu! Tapi Guru Wali jujur sangat! Sekarang sekali lagi kita semua jadi mangsa!” Nada suara Mahmud kini semakin hampir kepada membentak.

“Jaga pertuturanmu wahai Mahmud! Jangan diikutkan rasa hati kamu. Ianya perbuatan yang membinasakan. Kita bukan mangsa kepada sesiapa. Ini semua kehendak Allah. Tiada manusia mampu meramal masa depan kecuali dengan izin Allah. Tiada salahnya bersikap jujur walau dengan musuh sekalipun wahai Mahmud. Guru Wali seorang pemerintah yang adil dan bijaksana. Mana mungkin dia boleh ditipu oleh Drazal begitu saja.” Darmo meningkah dengan nada tegas.

Mahmud mahu meningkah, tapi akalnya masih waras. Dalam diam dia menerima kata-kata kawannya itu. Dia sedar ketelanjuran yang telah dia lakukan. Namun perasaan takut di hatinya masih belum punya tanda untuk pergi jauh.

“Mahmud. Mati itu pasti. Sejujurnya saya sendiri takut. Tapi saya lebih takut dengan Allah. Mati bisa berlaku pada bila-bila masa saja. Saya tidak mahu mati dalam keadaan saya lebih takutkan musuh dari takut kepada Allah yang menciptakan kita. Itu akan menjadikan kematian saya sia-sia.” Darmo cuba menenangkan keadaan Mahmud yang masih jelas dibelit rasa ketakutan.

Darmo faham mengapa Mahmud berubah sedemikian. Dulu Mahmud adalah seorang tentera yang berani. Dia tidak pernah gentar walau jumlah musuh lebih ramai. Darmo masih ingat bagaimana Mahmud tidak mahu berundur di saat mereka hampir dikepung oleh musuh ketika misi menangkap lanun di sempadan Lembah Lambai.

Keberanian Mahmud tidak goyah ketika mereka berperang di bumi. Kawannya itu bertarung bermati-matian. Hingga ada kalanya Darmo sendiri tidak mampu bersaing keberanian dengannya. Tapi semua itu berubah saat mereka semua menerima berita yang mereka tidak akan pulang ke Lembah Lambai lagi.

Mahmud berusia dua puluh tiga ketika dihantar ke bumi. Hanya tinggal sebulan saja lagi untuk dia melangsungkan majlis pernikahan. Berjuang demi agama, Mahmud menangguhkan majlis tersebut sehingga dia pulang. Ketika mereka mengecapi kemenangan, Mahmud adalah antara tentera yang paling gembira. Dia begitu terujauntuk pulang dan melangsungkan perkahwinan. Akan tetapi semua harapannya berkecai.

“Mahmud yang saya kenal adalah seorang tentera yang berani. Tidak pernah gentar walau berdepan dengan musuh yang jauh lebih ramai. Jangan biarkan hatimu menewaskan akalmu wahai sahabat. Manusia yang hidup dengan akal yang tewas kepada hati, ibarat perigi yang kontang. Berbaik sangkalah kepada Allah, nescaya kamu akan diberikan kebaikan dalam hidup kamu.” Darmo melukis senyuman ikhlas di bibirnya.

Mahmud diam. Sekali lagi akalnya dalam diam menerima nasihat Darmo itu. Menggugat egonya dan melemahkan kemahuan hatinya. Perlahan-lahan sinar hidayah terpancar ke arahnya. Hanya menunggu masa untuk menembusi dinding hatinya.

Perlahan-lahan, air jernih menitis di pipi tua Mahmud. Hatinya sebak lagi. Ingatannya kembali mengenang perkara yang tidak kesampaian dalam hidupnya.

“Aku hanya nak balik dan bernikah dengan Sakinah. Aku berjuang bermati-matian agar aku boleh pulang dan menunaikan janjiku untuk menjadi suaminya.” Mahmud menangis sendiri.

“Ya Allah…Mahmud, kita berperang di sini kerana Allah dan Islam. Bukan kerana sesiapa. Mujur Allah tidak mencabut nyawamu di saat perang itu. Bertaubatlah Mahmud. Mungkin ini balasan Allah atas kesilapanmu. Saya tidak layak untuk menilai kamu, tapi saya mohon agar kamu memohon keampunan atas segalanya. Kamu berperang dalam keadaan tidak ikhlas wahai sahabat. Namun begitu Allah masih begitu sayang kepadamu. Dia melindungi kamu dari maut agar kamu masih boleh terus hidup dan bertaubat. Jangan biarkan peluang yang diberikan kepada kamuini, jadi sia-sia wahai sahabat.” Kali ini kata-kata Darmo mengejut Mahmud dari lena yang panjang.

Akalnya mendapat satu semangat baru bagi menewaskan nafsu dan kemahuan hatinya. Sinar hidayah yang memancar, kini menyinari hatinya yang dikurung kegelapan agak panjang. Air matanya jatuh menitis lagi. Namun kali ini kerana keinsafan yang bertahta dihati. Dia merasa sungguh malu dengan Allah S.W.T. kerana selama ini dia berpura dalam perjuangannya. Niatnya tidak ikhlas dan telus.

“Ya Allah…Ampunkan aku…” Mahmud menangis semahunya.

Darmo hanya mampu melihat simpati. Namun dalam diam dia bersyukur kerana sahabatnya itu sudah kembali ke jalan yang benar.

** * * *

Sekitar Luar Kawasan Kolej United…

Dengan penuh debar, Zana menanti Nur Halisa di sebuah pondok menunggu bas dan teksi tidak jauh dari kawasan kolej. Sepanjang menanti fikirannya sempat memikirkan bagaimana caranya dia hendak memulakan bicara dengan Nur Halisa nanti. Apakah soalan yang paling elok bunyinya untuk bertanyakan perkara sebenar.

Akalnya hampir lelah. Kerana sudah terlalu lama memikirkan hal tersebut. Namun semua itu tidak dia pedulikan kerana sebuah jawapan yang pasti akan membayar lelah yang terasa. Zana melihat jam tangannya, sudah lima minit berlalu. Dia mengeluh halus. Resah di hati kian memberontak.

Jangan cakap dia tak lepas nak tipu budak dua orang tu. Zana mengeluh lagi.

Penantian yang penuh resah itu berakhir selang dua minit kemudian. Mengundang senyuman lega di wajah Zana bila melihat kereta Nur Halisa parkir di depan pondok. Lebih melegakan kawannya itu tiba seorang diri.

“Masuk cepat!” kata Nur Halisa. Tanpa banyak bicara, Zana membuka pintu kereta dan melangkah masuk ke dalam.

Nur Halisa tidak menunggu lama untuk memecut pergi dari situ. Dari geraknya yang sedikit bergegas, buat Zana faham yang mereka berkongsi kerisauan yang sama. Mereka risau kalau dua rakan karib mereka tahu akan perjumpaan sulit mereka itu.

Di awal perjalanan, tiada dialog yang terjadi di antara mereka. Hanya alunan lagu di radio menjadi pengisi ruang bunyi dalam kereta. Sesekali deruman enjin datang mencelah seketika. Zana memaksa benaknya bekerja dengan lebih keras untuk membina ayat pertama yang paling sesuai untuk memulakan bicara.

Sedang di satu pihak, Nur Halisa lebih senang menanti kawannya itu memulakan bicara antara mereka. Dia sendiri jadi tidak sabar menanti apa yang hendak diperkatakan oleh Zana hingga nekad mengadakan perjumpaan sulit dengannya.

Dengan perjalanan tidak berarah yang sudah agak panjang, Zana akhirnya memaksa diri untuk bersuara. Namun kata-kata yang keluar sekadar ingin berbasa-basi.

“Kita nak lepak mana ni?” tanya Zana tanpa mahu menoleh ke arah Nur Halisa.

Nur Halisa tidak segera menjawab. Berfikir seketika. Mencari di mana tempat yang sesuai. Dia mengingat kembali semua tempat yang pernah dia pergi sebelum ini. Hingga akhirnya dia punya keputusan yang agak kurang pasti.

“Kalau kita lepak UK amacam? Boleh?” Nur Halisa bertanya kembali.

“Ok gak. Aku dari kau je,” balas Zana sambil tersenyum sumbing. Ketika itu dia masih belum mampu mengawal rasa kekoknya. Dia jadi begitu kerana masih belum mampu untuk mencatu ayat sesuai bagi dia memulakan bicara tentang masalah Nur Halisa dan Muno.

Sekali lagi perjalanan mereka berlangsung tanpa bicara. Masing-masing lebih senang mendiamkan diri. Kalau pun mereka berkata-kata, hanya dalam hati. Tertanya sendiri apa yang harus diperkatakan seterusnya.

** * * *

Ujana Kewangan Labuan…

Nur Halisa dan Zana berjalan seiringan. Langkah mereka menuju ke sebuah restoran yang dicadangkan oleh Nur Halisa sebaik kereta diparkir tadi. Seperti sebelumnya Zana menerima saja cadangan itu tanpa berfikir panjang.

Kesepian kata masih wujud di antara mereka. Masing-masing menanti dalam diam. Di satu pihak, Nur Halisa tidak tahu bagaimana hendak bertanyakan apa tujuan Zana mengatur pertemuan itu. Manakala di satu pihak yang lain, Zana masih gagal membina ayat yang sesuai untuk mula bertanyakan tentang hal Nur Halisa dan Muno.

Langkah demi langkah dihayun, sehinggalah mereka tiba di sebuah restoran yang menghidang makanan barat. Di situ mereka melabuhkan punggung. Merehatkan kaki yang agak letih. Mereka memesan makanan dan minuman mengikut selera masing-masing. Seorang pelayan perempuan mengambil pesanan itu dan berlalu pergi.

So?” Nur Halisa akhirnya memulakan bicara. Dia tidak boleh mencari waktu yang lebih sesuai dari ketika itu.

“Huh?” Zana mengangkat keningnya. Buat-buat tidak faham.

So kenapa kau tetiba nak jumpa aku macam ni?” tanya Nur Halisa. Dia sempat mengukir senyum di bibirnya seketika.

Zana memerlukan sedikit masa untuk memberikan jawapan. Kerana akalnya masih belum mampu untuk menghasilkan ayat yang sesuai.

“Er…Kalau aku tanya kau sesuatu, boleh tak kau janji akan jawab dengan jujur?” Zana akhirnya bersuara.

Nur Halisa pula kali ini terdiam. Wajahnya berkerut mendengar permintaan Zana itu.Sedang dia sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang mungkin akan menggugat keselamatan rahsianya.

“Ok…Aku janji.” Nur Halisa memasang janji.

“Betul ke semua yang Muno cakap kat kami tu? Betul ke korang dah tunang?” Soalan Zana itu seperti kejutan letrik di hati Nur Halisa. Ternyata sangkanya benar. Zana dapat menghidu penipuan yang sedang berlaku.

Nur Halisa jadi gelabah. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Hendak menipu, tiada dalih yang dia rasakan bernas dan meyakinkan. Dia berperang dengan perasaannya sendiri ketika itu. Hingga tanpa sedarnya, riak pada wajahnya jelas memberitahu jawapan yang dia cuba sembunyikan.

Be honest to me Nur Halisa. Aku janji takkan bagitau sesiapa. Aku just nak tahu perkara sebenar je. Sebab aku nampak kau cuba untuk berlagak gembira di depan kami. Mulanya aku tak nampak. Tapi masa di library, baru aku sedar derita yang cuba kau sembunyikan. Sekarang ni aku just nak dengar dari mulut kau sendiri kalau aku salah sangka.” Zana bersuara lagi.

“Sebenarnya…Kau tak salah sangka.” Suara Nur Halisa timbul tenggelam. Namun masih boleh didengar dengan baik oleh Zana.

What!? Tapi kenapa kau mengiakan penipuan Muno?” Wajah Zana berkerut seribu.

“Sebab…” Nur Halisa masih ragu-ragu untuk memberitahu semuanya kepada Zana.

“Sebab apa Halisa?” Zana sedikit mendesak.

“Sebab Syaakur.” Nur Halisa tertunduk melihat lantai.

“Sebab Syaakur!? Sorry aku tak berapa nak faham,” tingkah Zana.

“Munougut nak letak dadah dalam beg Syaakur dan tuduh Syaakur mengedar dadah. Dia jugak dah sediakan peguam untuk dakwa Syaakur sampai ke tali gantung,” beritahu Nur Halisa dengan nada suara yang sedikit sedih.

Zana kali ini mengerti semuanya. Tapi dalam diam dia tertanya sendiri. Kenapa kawannya itu sanggup berkorban demi Syaakur. Pada ketika itu dia membuat satu rumusan sendiri.

Sah kawan aku ni dah jatuh cinta dengan budak Syaakur tu. Berkata hatinya.

Perbualan mereka tergendala ketika dua orang pelayan datang menghidang makanan dan minuman yang dipesan. Bau masakan yang masih segar pantas menerjah deria Nur Halisa dan Zana. Menjemput selera makan masing-masing walau mereka masih punya masalah penting untuk dibincangkan.

“Aku rasa kau tak boleh terus ikut cakap Muno. Kau kena bagitau hal sebenar kat Syaakur. Mana tahu dia boleh tolong kau.” Zana memberi cadangan selepas menelan suapan pertamanya.

Nur Halisa tidak menjawab apa. Cuba untuk menjamu selera. Namun selera makannya sedikit terganggu saat memikirkan tentang masalahnya dengan Muno itu. Hampir buntu fikiran dibuatnya.

“Takkan kau nak biarkan Muno memperlakukan kau sesuka hati dia? Esok lusa kita tak tahu apa yang dia nak buat kat kau. Takkan kau nak ikut je?” Zana menambah. Kali ini nada suaranya kedengaran begitu bersungguh.

Nur Halisa masih berdiam diri. Tidak tahu hendak berkata apa. Kepalanya terasa berat. Benaknya keletihan. Di sebalik semua itu, kata-kata Zana tadi mengalir deras ke kolam akalnya. Hingga akhirnya dia bersetuju untuk menerima cadangan kawannya itu.

“Betul cakap kau. Aku tak sepatutnya biarkan Muno gunakan aku.” Zana berhenti menyuap sebaik mendengar suara sebak Nur Halisa.

Zana menatap wajah Nur Halisa. Kolam mata gadis itu sudah dipenuhi air mata yang menunggu masa untuk jatuh mengalir. Zana memegang tangan kawannya itu. Cuba untuk menenangkan perasaan Nur Halisa.

“Bawa bersabar Halisa. Ini semua dugaan Allah. Percaya la, Allah takkan uji kita kalau kita tak mampu nak harungi ujian tu. Tapi satu nasihat aku, jangan biarkan ujian ni buat kau jadi jauh dengan Allah. Jadikan ujian ni sebagai waktu untuk kau berusaha lebih mendekatkan diri kepadaNya. Ujian tu datang dari Allah dan hanya Dia saja yang boleh membantu kita settle ujian tu dengan penuh beriman. Manusia kalau hidup tanpa iman, rugi.” Berkata Zana dengan nada memujuk.

“Terima kasih Zana.” Nur Halisa menyeka air matanya yang sudah separuh jalan menitis dipipi. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | SATU | DUA | TIGA | EMPAT | LIMA | ENAM | TUJUH | LAPAN | 9 | 10 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku