SYAAKUR - Pejuang Dua Dunia
11
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 September 2017
Sebuah cinta yang wujud di tengah-tengah kehancuran dunia. Sebuah kasih sayang yang hadir di dalam kebencian. Ini bukan kisah biasa. Tidak juga yang sungguh luar biasa. Kisah ini seperti menu baru yang mengharap bertemu peminat. Cubalah secubit, mungkin kisah ini kena dengan selera kau.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
138

Bacaan






Perdana Cineplex…

Sebaik filem tamat, berpusu-pusu manusia bergerak keluar dari situ. Muno, Nur Halisa dan tiga yang lain turut berjalan keluar. Senyuman puas tergambar jelas di wajah Muno. Sedang Nur Halisa yang berjalan di sebelahnya gagah menahan derita di hati.

So kita nak pergi mana lepas ni?” tanya Suria kepada semua kawannya termasuklah Muno.

“Aku ikut korang je.” Santi mencelah selamba.

“Aku nak balik la. Nak study.” Nur Halisa kemudian memberi jawapan.

“Awalnya sayang? Kita baru je keluar. Ok macam ni. Apa kata, kita pergi makan dulu lepas tu I janji akan hantar you balik study. Ok?” Muno berkata kepada Nur Halisa sambil memegang tangan gadis itu di depan semua. Perlahan-lahan Nur Halisa menarik tangannya. Zana menahan hati melihat semua itu.

Nur Halisa akhirnya mengangguk. Dari pandangan mata Muno yang menatap tepat matanya, dia faham pemuda itu seakan memberi amaran. Muno tidak mahu mendengar jawapan tidak, keluar dari mulutnya. Satu keluhan yang amat halus terhembus dari hidung Nur Halisa. Terlalu halus untuk di kesan oleh sesiapa pun di situ.

Dengan senang hati, Muno berjalan bersama empat gadis itu ke keretanya. Sekali lagi senyuman puas terpampang pada wajahnya. Zana yang melihat senyuman itu semakin sakit hati. Namun sekuatnya dia cuba untuk bertahan demi Nur Halisa yang risaukan keselamatan Syaakur.

** * * *

Kampung Sungai Labu, Labuan…

Dengan cermat Amarun memarkirkan keretanya di laman sebuah rumah kayu. Pintu rumah tertutup rapat. Darmo berjalan menghampiri pintu tersebut dan mengetuk seraya memberi salam. Kali pertama, salamnya tidak dibalas. Dia cuba lagi. Namun tetap sama. Tiada jawapan yang kedengaran dari dalam rumah.

“Mungkin dia tak ada di rumah.” Mahmud membuat kesimpulan.

Namun Darmo sepertinya tidak mahu berganjak dari situ. Dia mula merasa kurang enak. Ini kerana basikal Sudin ada di luar rumah. Buat dia yakin sahabatnya itu ada di dalam rumah.

“Tapi basikalnya ada di situ,” beritahu Darmo kepada Mahmud. Buntang mata kawannya itu saat melihat ke arah basikal yang dimaksudkan.

Hatinya pantas merasa tidak kena. Sedang fikirannya terbayangkan sesuatu yang menakutkan. Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya berhembus tidak teratur. Dia kemudian melihat wajah Darmo. Ternyata mereka berkongsi rasa yang sama walau Darmo tidak secuak dirinya.

“Kenapa pak cik?” soal Syaakur kepada dua lelaki tua itu. Dari raut wajah mereka, dia dapat mengesan sesuatu yang tidak kena. Amarun sekadar memerhati tanpa kata.

“Kita pecahkan pintu ni!” Mahmud meningkah.

“Nanti!” Darmo menghalang gerak Mahmud ingin memecahkan daun pintu.

Tidak lama kemudian, perlahan-lahan pintu terkuak. Memperlihatkan kelibat Sudin yang hanya memakai singlet dan kain sarung. Lelaki berusia dalam lingkungan pertengahan 50-an itu memerhati Darmo dan yang lain dengan riak sedikit terkejut.

“Assalamualaikum.” Darmo memberi salam. Sudin menjawab salam itu sambil menggaru perutnya yang sedikit boroi.

“Kau tak apa-apa ke Sudin?” Mahmud lantas bertanya. Nada suaranya sedikit cemas.

“Aku baik-baik saja. Kenapa kau tanya Mahmud?” Dahi Sudin berkerut seribu ketika menutur kata.

Mahmud terdiam. Tidak lama kemudian dia tersenyum sambil melepaskan nafas lega. Ternyata sahabatnya itu baik-baik saja.

“Kamu lagi buat apa di dalam Sudin? Banyak kali saya memberi salam tapi tidak dijawab.” Darmo sudah mampu tersenyum. Dia pasti semua sangka buruk yang bermain di fikirannya sebelum ini tidak benar.

Sudin tersenyum sumbing. Sepertinya dia sedikit berat hati hendak memberitahu. Buat Mahmud kembali curiga. Sangka buruk kembali menyapa fikirannya.

“Aku…aku berak tadi. Nak jawab salam kau macam tak berapa nak sopan pulak kan.” Sudin sudahnya memberitahu perkara sebenar. Buat semua mengeluh lalu tersenyum hampir serentak.

“Ada-ada saja kamu ini Sudin!” Darmo ketawa kecil.

 

Sudin kemudian menjemput mereka semua masuk ke dalam. Di ruang tamu, mereka semua berhimpun dan memulakan perbincangan yang bakal menjadi lebih serius.

“Ada apa datang rumah aku ramai-ramai ni Darmo? Macam hari raya pulak rasanya.” Sudin berseloroh ringan. Senyuman terbit pada wajahnya walau tidak lama.

Darmo tidak mahu membuang lebih banyak waktu. Dia lalu memperkenalkan Syaakur danAmarun kepada Sudin. Kawannya itu terkejut mendengar tentang dua pemuda itu. Sungguh dia tidak menyangka yang dua pemuda yang dia sangkakan biasa-biasa saja, sebenarnya punya kisah yang begitu unik.

“Jadi…Syaakur ni, pernah hidup di Dunia Kedua dan sekarang tak dibenarkan balik macam kita?” Darmo mengangguk.

“Dan…Amarun ni pulak, ada kemungkinan pemilik pedang dari langit?” Sekali lagi Darmo mengiakan kata Sudin itu.

Sudin bersandar pada kerusinya. Cuba untuk menerima semua itu. Sedang Darmo bakal memberitahu dia satu lagi berita yang bakal mengejutkan dirinya. Darmo hanya menunggu masa untuk bersuara. Membiarkan dahulu kawannya itu berfikir sejenak.

“Sebenarnya…bukan itu saja. Kami ke sini membawa berita yang kurang baik.” Darmo akhirnya berkata.

Sudin menatap wajah kawannya itu dengan riak tenang. Sedang di satu pihak Darmo cuba mencari ayat yang paling sesuai untuk memberitahu perkara sebenar tanpa memberikan kejutan yang sangat hebat buat Sudin.

“Sebenarnya…Wali Ali ada datang ke sini dan berjumpa dengan Syaakur. Dia membawa berita yang tidak bagus. Er…tentang Drazal.” Darmo berhenti di situ. Mengatur kembali ayatnya.

“Dia nak serang bumi lagi?” Sudin dengan nada tenang meningkah. Mengejutkan semua orang.

“Aku dah agak dah. Dia takkan tahan nak ikut perjanjian damai tu.” Sudin menyambung lagi.

“Jadi kau sudah tahu.” Darmo kini mengerti selepas mengingat kembali akan kelebihan yang ada pada kawannya itu.

“Dengan izin Allah wahai sahabat.” Sudin tersenyum lagi. Sedikit mengelirukan Syaakur yang sedari tadi tidak berkata apa. Dalam fikiran dia tertanya, bagaimana Sudin boleh begitu tenang menerima berita itu.

Mesti dia dah tak kisah tentang manusia di sini lagi. Hati Syaakur memasang sangka buruk terhadap Sudin. Rasa itu hadir dengan tiba-tiba. Tidak dia undang, tidak juga dia jangkakan.

“Jadi apa yang perlu kita lakukan wahai Darmo?” Sudin bertanya pula. Namun riak Darmo masih kelihatan seperti sebelumnya. Mempamerkan rasa berat untuk membicarakan sesuatu kepada Sudin.

“Ada satu lagi perkhabaran tidak bagus yang kamu perlu tahu Sudin.” Kali ini ketenangan pada wajah Sudin terhakis.

“Apa dia?” Ringkas dia menyoal.

“Samit dan Farhan sudah tewas di tangan empat tentera Drazal yang dihantar ke sini. Mereka kini sedang memburu kita semua.” Darmo memberitahu.

Sudin tergamam. Jantung berdebar. Nafasnya berhembus sedikit laju. Dia tidak menjangkakan itu berlaku. Dengan hati yang sedih dia mengucapkan Innalillahiwainnailaihirojiun.

“Apa rancangan kau sekarang ni Darmo?” Sudin mengulang soalannya. Akalnya gagal menjana sebarang idea yang bernas. Kesedihan di hatinya masih menguasai akal itu.

“Aku bercadang ingin mengumpulkan semua rakan kita yang lain. Selepas itu kita semua bincangkan apa yang hendak kita lakukan.” Darmo memberitahu rancangan yang dia ada setakat ini.

“Kenapa tak minta bantuan dari Lembah Lambai saja?” tanya Amarun kepada Darmo.

“Tuanku masih mahu menjaga perjanjian damai di antara semua alam. Drazal dan Khanzaz sengaja melakukan semua ini agar Lembah Lambai dan Alam Bunian masuk campur dan perang di antara semua alam terjadi lagi,” jelas Darmo.

Dalam hati, Amarun kagum dengan kesungguhan Darmo dan rakannya yang lain. Mereka sanggup mati diburu demi tidak membenarkan perang terjadi di Dunia Kedua. Tidak ramai manusia di bumi yang sanggup melakukan itu semua.

Sudin lebih mahu mengenali Amarun dan Syaakur selepas itu. Dia masih punya banyak soalan buat kedua pemuda yang masih agak misteri buat dirinya. Sedang Darmo dan Mahmud hanya menjadi pendengar setia perbualan antara mereka.

“Jadi kamu diambil oleh Wali Ali sebagai anak jagaan selepas kedua orang tua kamu meninggal ya? Sungguh tak sangka, kamu boleh berulang-alik selepas perang tu tamat. Licik juga Wali Ali menyeludup kamu pergi ke sana dengan kapal.” Sudin berkata selepas mendengar Syaakur menceritakan serba sedikit tentang dirinya.

“Saya ke Dunia Kedua bukan dengan kapal.” Syaakur memberikan ayat balas yang mengejut semua orang kecuali Amarun.

“Habis kamu naik apa?” Sudin bertanya kembali.

“Wali Ali suruh saya tutup mata dan baca surah Ayatul Kursi. Habis je saya baca surah tu, saya dah sampai di sana.” Berkerut wajah semua orang tua yang ada di situ.

“Ya Allah…Kita tidak pernah tahu tentang itu.” Darmo mencelah. Sedang Mahmud pantas menutup matanya dan membaca surah yang dimaksudkan oleh Syaakur tadi. Tetapi usahanya gagal. Buat dia bingung sendiri.

“Tak dapat pun?” Mahmud memberitahu.

“Memang tak dapat. Lepas saya tak disuruh balik ke sana, puas jugak saya cuba. Tapi sia-sia.” Syaakur membalas.

Mahmud mengeluh sendiri. Rasa terujanya tadi bertukar kecewa.

“Yang kamu pulak tak pernah ke Dunia Kedua tapi ada kuasa sama macam Syaakur. Takkan tak ada salah seorang daripada Wali Tujuh datang mengajar atau ambil kamu sebagai anak jagaan?” Sudin menyoal Amarun pula.

“Mulanya saya tahu berlari laju dan mengangkat benda yang sangat berat je. Tapi satu hari tu saya berjumpa dengan seorang lelaki yang kebetulan terlihat saya sedang cuba mengangkat batu yang dua kali ganda besarnya dari badan saya. Masa tu umur saya baru sebelas tahun…” Amarun kemudian bercerita tentang bagaimana dia berjumpa dan berguru dengan seorang lelaki yang punya kelebihan seperti dirinya. Sehinggalah pada suatu hari, lelaki itu tidak kembali menemuinya. Amarun menanti akan kehadiran lelaki tersebut sehingga ke hari itu.

“Boleh saya tahu siapa nama lelaki yang menjadi guru kamu itu?” Sudin bertanya.

“Nama dia Jamal.” Pendek Amarun memberikan jawapan. Sedang Sudin, Darmo dan Mahmud tergamam mendengarnya.

“Dia ada parut di pipi kirinya?” Mahmud menyoal.

Amarun kelihatan terkejut. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Ya Allah…Jamal itu adalah salah seorang dari empat pahlawan terbilang Lembah Lambai. Dialah ketua kami semasa perang dua dunia. Ternyata dia telah menjumpai kamu.” Sudin memberitahu Amarun.

“Yeke? Di mana dia sekarang? Boleh saya jumpa dia hari ni jugak?” Amarun bertanya dengan nada cukup teruja. Sudah bertahun lamanya dia menanti untuk bertemu semula dengan gurunya yang bernama Jamal itu.

Darmo, Sudin dan Mahmud bertukar pandang. Rasa serba salah jelas tergambar pada wajah mereka semua. Buat Amarun mengerut wajah. Sedangkan hatinya sudah mulai tidak enak rasa.

“Kenapa pak cik? Di mana guru saya pak cik?” Amarun bertanya.

“Dia sudah tiada Amarun. Meninggal dunia tahun lepas.” Darmo dengan berat hati terpaksa memberitahu perkara sebenar kepada anak muda itu.

Amarun tersandar pada kerusinya mendengar jawapan dari Darmo itu. Kesedihan terpancar terang pada wajahnya. Kolam matanya sudah mula bergenang air jernih. Tinggal menunggu saat untuk jatuh menitis.

Semua jadi senyap selepas itu. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Cuba untuk tidak melihat Amarun yang kini menitiskan air mata di depan mereka semua. Tiada lagi rasa malu. Ego lelakinya sudah terbenam. Selepas hampir tujuh tahun dia menanti, hanya untuk mendengar yang insan tersebut sudah pergi buat selamanya.

** * * *

Kampung Sungai Pagar, Labuan…

Muno membawa Nur Halisa dan tiga kawannya ke satu medan selera berdekatan dengan Universiti Malaysia Sabah cawangan Labuan. Suria dan Santi kelihatan gembira ke situ. Sedang Nur Halisa dan Zana kekal menahan sakit di hati masing-masing.

So apa tunggu lagi? Order la apa yang korang semua suka!” Muno bersuara gembira. Cuba menghidupkan suasana. Hanya Suria dan Santi saja yang turut bergembira.

“Sayang you nak makan apa?” tanya Muno dengan lembut kepada Nur Halisa.

“ABC.” Nur Halisa menjawab pendek. Walau ada senyuman di bibirnya, namun nada suaranya kedengaran tidak gembira. Lebih kepada menyampah. Mujur Suria dan Santi sudah pergi bersama Zana.

“Oo…you nak Abang Boleh Cium ek? Sekarang pun I boleh bagi.” Muno berlawak kurang sopan.

“Tolong jangan nak melebih! Aku bukan anak patung!” Nur Halisa menekan suaranya. Tidak mahu tiga kawannya yang berada tidak jauh dari situ dengar.

“Jangan la sombong sangat…Pegang tangan boleh, takkan nak lebih sikit tak boleh kut? Kang ada yang merasa tali gantung kang. Kau jugak yang rasa bersalah tiap kali ke kubur dia.” Muno mengugut Nur Halisa lagi.

“Aku bukan perempuan murah la!” Nur Halisa nyaris membentak. Mujur dia masih mampu menekan suaranya.

“Memang la. Tapi sekarang aku dah tahu macam mana nak dapat diskaun lebih.” Muno ketawa kecil sendiri.

Nur Halisa kalah lagi. Dia termati kata. Semua kerana hati yang terasa begitu sakit. Hingga akalnya tumpul dikikis oleh hati yang kesakitan. Muno ketawa kecil lagi. Dia tahu kemenangan tetap akan menjadi miliknya. Lambat atau cepat, Nur Halisa pasti akan menjadi mangsa nafsunya. 

Tidak lama kemudian Suria, Santi dan Zana kembali ke meja mereka. Melabuhkan punggung di kerusi masing-masing. Zana memandang ke arah Nur Halisa yang cuba berlagak gembira di depannya. Dia tahu pasti tadi ada pergaduhan kecil antara kawannya itu dengan Muno. Kerana dari jauh dia mencuri pandang ulah mereka.

“Kau selalu ke makan kat sini Muno?” tanya Suria sambil melihat suasana tepi pantai yang begitu indah. Walau cuaca sudah mulai panas kerana menjelang tengah hari.

“Takde la selalu sangat. Tapi biasanya kalau kami nak bermesra di luar pengetahuan korang, di sini la tempatnya.” Muno ketawa bersama Suria dan Santi.

“Sekarang kami dah tahu korang tunang, terpaksa la bawa kami ke sini kan?” Santi bersuara lalu ketawa lagi.

 “Agak la.” Muno ketawa lagi bersama Suria dan Santi. Nur Halisa sekadar tersenyum. Sedang Zana tidak boleh berlakon dengan baik. Wajahnya tampak masam mencuka.

“Zana. Kau ok ke? Dari tadi macam bad mood je?” tanya Muno dengan baik.

Zana jadi berdebar mendengar soalan itu. Dia kemudian melihat semua wajah yang ada di meja itu. Sedang akalnya mencari ayat untuk menjawab soalan Muno.

“Ala…Biasa la Muno. Sakit period.” Santi mencelah sambil tersenyum.

see…” Muno tersenyum sinis. Buat jantung Zana berdegup lebih kencang.

Nur Halisa dalam diam turut merasa debar. Takut Muno boleh menghidu rahsianya dengan Zana. Tapi perlahan-lahan, debaran itu reda bila melihat riak Muno yang kembali gembira seperti sebelumnya.

So bila korang rancang nak kahwin?” Mengejut Suria bertanyakan soalan itu kepada Muno dan Nur Halisa.

Nur Halisa tidak tahu harus bagaimana hendak menjawab soalan itu. Tapi tidak Muno. Dengan penuh yakin dan bersahaja dia memberitahu.

“Kalau takde halangan, mungkin cuti semester ni. Jadi merasa lagi jugak kami study sem akhir sebagai suami isteri,” ujar Muno kepada Suria.

Bestnya…” Suria membalas.

“Korang doakan la semuanya berjalan dengan lancar.” Muno menambah lagi.

“Mesti la. Kau kan bakal jadi suami kawan baik kami.” Santi meningkah gembira.

Nur Halisa hanya mampu mengukir senyuman yang berjaya meyakinkan Suria dan Santi, dia sedang malu dalam gembira.

“Malu la tu?” Suria ketawa bersama Santi dan Muno.

Tiada apa yang boleh dikatakan oleh Nur Halisa selain dari terus berlakon seperti apa yang disangka oleh dua rakannya itu. Muno pula tetap tersenyum puas.

Mereka berhenti berbicara seketika ketika sedang menjamu selera. Suria dan Santi menikmati pemandangan laut yang luas seraya makan dan minum. Zana turut membuang pandangan ke laut, namun fikirannya tiada di situ. Nur Halisa tidak tahu apa yang harus difikirkan lagi. Dia tidak sabar hendak pulang ke rumah. Manakala Muno pula sibuk berbalas SMS di telefon bimbitnya.

“Jom la balik. I nak study. Banyak lagi topik yang tak cover.” Nur Halisa memberitahu Muno di depan kawan-kawannya.

“Ok sayang…” Muno menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar. Dia kemudian membayar semua makanan dan minum. Suria dan Santi mengucapkan terima kasih kepadanya. Zana pula tidak berkata apa.

So…Jom kita semua pulang. Sebab cik Nur Halisa kita ni nak study.” Muno memberitahu ketika mereka berjalan menuju ke tempat letak kereta yang disediakan di luar kawasan medan selera.

“Sem ni cik, sem depan dah jadi puan dah.” Santi membalas. Buat Zana merasa jengkel mendengarnya. Begitu juga dengan Nur Halisa sendiri. Sejujurnya dia semakin menyampah dengan semua kata-kata yang keluar dari mulut Santi atau Suria.

Sedang semua orang berjalan ke kawasan meletak kereta, tiba-tiba tiga orang lelaki bertopeng meluru ke arah mereka. Dua daripada mereka membawa parang dan seorang lagi kayu pemukul baseball.

Tanpa sempat berbuat apa-apa, Muno dipukul dengan kayu baseball dari belakang. Dia jatuh tertiarap. Sedang seorang lelaki menekup sapu tangan yang dicurah dengan kloroform ke mulut dan hidung Nur Halisa. Dalam beberapa saat, gadis itu pengsan lalu dibawa pergi oleh tiga lelaki bertopeng itu.

“Halisaaa! Tolong! Kawan saya kena culik!!” Zana menjerit sekuat hati. Menarik perhatian beberapa orang ramai ke situ.

Muno cuba bangun, tapi tidak berdaya. Hentakan di belakangnya tadi nyaris buat dia jatuh pengsan. Dengan penuh bersusah-payah, dia berdiri. Terus bertanya di mana Nur Halisa. Dia kemudian menjerit sakit hati kerana gagal melindungi gadis tersebut. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | SATU | DUA | TIGA | EMPAT | LIMA | ENAM | TUJUH | LAPAN | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku