SYAAKUR - Pejuang Dua Dunia
17
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 September 2017
Sebuah cinta yang wujud di tengah-tengah kehancuran dunia. Sebuah kasih sayang yang hadir di dalam kebencian. Ini bukan kisah biasa. Tidak juga yang sungguh luar biasa. Kisah ini seperti menu baru yang mengharap bertemu peminat. Cubalah secubit, mungkin kisah ini kena dengan selera kau.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
31

Bacaan






Kolej United…

Dengan tekad di hati, Nur Halisa melangkah masuk ke dalam lobby bangunan kuliah. Cerita tentang dia diculik kini mulai tersebar seluruh kolej. Sudah ada pasang mata yang memerhati dan berbisik tentang dia.

Perpustakaan kolej menjadi destinasinya pagi itu. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Sepanjang perjalanan, dia memastikan tiada kelibat Muno berdekatan. Buat langkahnya dihayun agak laju.

 “Library tak bukak lagi.” Jainab memberitahu Nur Halisa.

“Ala please la kak, saya ada buku rujukan yang penting sangat nak direbut dengan student lain. Please kak…” Nur Halisa merayu.  

Jainab dan Nur Halisa sebenarnya agak rapat. Semua kerana Nur Halisa memperkenalkan Jainab dengan alat solek yang cantik dan sedang hangat di pasaran. Di samping cara-cara menggunakan alat solek tersebut dengan betul.

“Buku apa yang kamu nak tu. Biar akak carikan.” Jainab membalas.

Nur Halisa nyaris mati akal. Ternyata alasannya itu kini hampir memakan dirinya sendiri.

“Tapi kak saya tak sure apa title buku tu. Kena tengok cover baru ingat.” Secara rambang Nur Halisa membuat alasan baru.

“Kamu ni biar betul. Takkan la tajuk buku tu kamu tak ingat langsung?” Jainab memandangnya curiga.  

Lecturer baru bagitau semalam nak kena pakai buku tu untuk siapkan assignment. So tak berapa nak ingat lagi title buku tu,” tingkah Nur Halisa tidak mahu menyerah.

Jainab kelihatan berfikir seketika. Berkira-kira sama ada hendak membenarkan Nur Halisa masuk atau sebaliknya. Tapi keputusan yang bakal dia buat terpengaruh dengan jasa baik gadis itu mengajarkan dia cara bergaya. Dari alat solek hinggalah pakaian, semua Nur Halisa yang cadangkan.

“Dah. Kamu masuk cepat sebelum ada yang nampak.” Akhirnya Jainab melafazkan jawapan yang diharapkan Nur Halisa.

Dengan langkah tergesa, Nur Halisa melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Hatinya merasa gembira bercampur gemuruh. Masih belum pasti akan susunan ayat yang hendak dituturkan di depan Syaakur nanti.

Langkah terasa semakin berat saat semakin hampir dengan tingkat di mana Syaakur sedang sibuk menyusun buku. Dari arah belakang, dia melihat pemuda itu melakukan kerja.

Dengan langkah yang teragak-agak, dia berjalan mendekati Syaakur. Seperti selalunya, pemuda itu tidak menyedari akan perbuatannya itu.

“Assalamualaikum…” Dengan nada lembut, NurHalisa memberikan salam di belakang Syaakur. Pemuda itu pantas menoleh ke belakang.

“Awak dah keluar?” tanya Syaakur selepas menjawab salam Nur Halisa.

Gadis itu sekadar mengangguk. Sedang benaknya bekerja keras untuk membina ayat yang hendak dikatakan seterusnya.

Di pihak yang lain, Syaakur sendiri kehabisan ayat. Kedatangan Nur Halisa di situ sungguh di luar jangkaan. Dia fikir gadis itu masih ditahan di hospital.

Suasana jadi sepi seketika. Masing-masing masih belum pasti apa yang hendak dituturkan.Hinggalah akhirnya Syaakur memberanikan diri untuk memulakan semula bicara antara mereka.

“Awak dah sihat ke? Kenapa tak rehat dulu di rumah?” soal Syaakur.

“Saya takde apa la. Semalam lagi dah ok dah.” Nur Halisa menjawab seadanya.

“Er…Awalnya awak datang? Bukan student tak boleh masuk lagi ke?” Syaakur tidak mahu perbualan mereka terputus lagi. Dia semakin berani untuk melafazkan kata.

“Saya pun ada kuasa magic macam awak jugak.” Perlahan-lahan, Nur Halisa menjadi dirinya di depan Syaakur. Tersenyum saat berseloroh nakal.

“Boleh tahan.” Syaakur turut tersenyum.

“Syaakur…” Keadaan jadi serius kembali saat Nur Halisa menutur kata yang kali ini.

“Sebenarnya saya datang ni nak bagitau awak sesuatu,” sambung Nur Halisa. Wajah tampak ragu-ragu. Tapi tekad di hatinya tidak luntur.

“Pasal apa?” Syaakur meningkah.

Nur Halisa mengambil sedikit masa untuk membalas. Dia sempat menarik nafas dalam sebelum akhirnya memberitahu Syaakur tujuan sebenarnya dia ada di situ.

“Saya nak bagitau awak pasal saya dan Muno.” Syaakur terdiam mendengar apa yang baru saja keluar dari mulut Nur Halisa itu.

“Selepas awak selamatkan saya hari tu, Muno rancang sesuatu yang gile. Dia tipu semua kawan saya, cakap yang saya ni tunang dia. Tapi sebenarnya kami takde apa-apa hubungan,” beritahu Nur Halisa.

Sekali lagi Syaakur diam. Mendengar dan menanti kata seterusnya.

“Takpe la kalau awak tak percaya dengan saya. Maaf mengganggu masa kerja awak.” Nur Halisa dengan riak malu berpusing dan mula mengorak langkah pergi.

“Tung…Tunggu!” Syaakur menahan.

Nur Halisa menoleh, masih dengan riak malu. Syaakur pula mula merasa bersalah kerana memberi reaksi yang tidak diharapkan oleh gadis itu. Entah mengapa kata hati mahu percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nur Halisa kepadanya.

“Kenapa dia tipu?” tanya Syaakur.

Nur Halisa tidak terus menjawab. Akalnya masih berkira-kira sama ada hendak meneruskan niatnya atau tidak. Tapi sudahnya dia sedar, perbuatannya sebelum ini tidak boleh ditarik balik.

“Dia tipu sebab saya tak nak terima cinta dia,” beritahu Nur Halisa. Nada suaranya kedengaran agak bersungguh.

Syaakur senyap seketika. Cuba menerima sepenuh hatinya. Dia tidak mahu separuh lagi hatinya berkata tidak kepada apa yang diberitahu oleh Nur Halisa itu.

“Kenapa awak biarkan dia?” Walau agak berat hati, namun Syaakur tetap mahu bertanya soalan itu.

Nur Halisa tertunduk lalu mengeluh sendiri. Dia memerlukan beberapa saat untuk kembali menutur kata.

“Sebab…Dia ugut saya.” Suaranya kedengaran sedikit sebak di hujung kata.

Berkerut muka Syaakur mendengarnya. Dia masih belum jelas. Masih ada persoalan yang bakal keluar dari mulutnya.

“Ugut? Dia ugut awak apa?” Di luar sedarnya, suara Syaakur kedengaran marah. Tapi bukan kepada Nur Halisa. Sebaliknya pemuda yang bernama Muno.

Nur Halisa mengangkat muka. Memandang tepat mata Syaakur. Buat pemuda itu sedikit segan. Namun tidak pula Syaakur mengalihkan pandangannya. Seperti ada satu kuasa memaku anak matanya dari bergerak ke arah lain.

“Dia ugut akan buat awak masuk penjara dan dihukum gantung sampai mati. Syaakur, ayah dia seorang yang kaya dan berpengaruh. Dia boleh lakukan semua tu!” Nur Halisa bersungguh memberitahu.

Seperti terkena panahan halilintar, Syaakur tergamam. Dia kini mengerti. Namun disebalik pengertian itu, timbul satu persoalan. Mengapa Nur Halisa sanggup berkorban diri untuk dia? Jawapannya sudah jelas, akan tetapi Syaakur terlalu naif untuk menyedarinya.

Tiada kata yang keluar dari mereka selepas itu. Nur Halisa tertunduk sepi. Sedang Syaakur masih dibelit rasa kejut. Walau kini mereka berdiri di depan satu sama lain. Namun pandangan mereka tidak lagi bertaut. Malah fikiran mereka sudah terbang entah ke mana.

Tiba-tiba telefon bimbit Nur Halisa berdering. Memecah kesepian di antara mereka. Dengan kadar segera, Nur Halisa mengeluarkan telefon itu dari beg tangannya. Dia tidak mahu deringan nyaring kedengaran hingga ke tingkat bawah.

Tanpa melihat nombor si pemanggil, dia menekan butang ‘angkat’. Satu penyesalan hadir sebaik mendengar suara pemanggil.

Hello sayang…You kat mana ni? Kita orang dari tadi tunggu kat kantin. Nampak kereta you je.” Muno bertanya di talian.

“Ak…Aku ada hal. Tak payah tunggu aku.” Dengan nada sedikit kasar Nur Halisa menjawab.

“Jangan la kasar dengan I sayang…Rasanya I tak perlu nak ingatkan you apa akibatnya kalau you kasar dengan I.” Untuk ke sekian kalinya, Muno mengugut Nur Halisa lagi. Pantas saja gadis itu memandang Syaakur yang sedang memerhatikan dia.

Nur Halisa tidak tahu apa lagi yang hendak dibicarakan. Lidahnya kelu selepas mendengar ugutan Muno itu.

Now you tell me sayang…Where the hell are you? Or else...” Muno bersuara lagi.

Spontan Nur Halisa mematikan talian. Dia malah mematikan telefon bimbitnya. Kemudian dia duduk di salah satu kerusi berdekatan. Wajahnya kelihatan sungguh resah. Air mata bergenang di kolam matanya. Menanti masa untuk jatuh menitis.

“Dia ke tadi tu?” Syaakur bertanya dengan nada lembut.

Nur Halisa sekadar mengangguk perlahan. Tertunduk menatap lantai. Perlahan-lahan air matanya mengalir di pipi. Buat wajah Syaakur bertukar serius.

Aku bunuh jugak budak tu kang! Syaakur mula dipengaruhi amarah.

Sabar Syaakur. Jangan biarkan api kemarahan membakar imanmu. Satu suara cuba menasihatinya.

“Saya…Saya tak tahu apa nak buat.” Sebak suara Nur Halisa berkata-kata.

“Awak tak perlu risau tentang saya lagi.” Syaakur membalas. Wajahnya jelas menahan kemarahan yang menunggu masa untuk meledak.

“Tak boleh! Awak tak tau apa dia boleh buat pada awak!” tingkah Nur Halisa.

Syaakur mengeluh sendiri.

“Saya tahu jaga diri. Apa yang penting sekarang ni, awak jangan biarkan lagi dia tindas dan melakukan sesuka hati dia pada awak,” ujar Syaakur.

Nur Halisa menggeleng kepala sambil terus menitiskan air mata. Sedang Syaakur mengeluh lagi.

“Takkan awak nak biarkan dia lakukan sesuka hati dia pada awak?” Wajah Syaakur semakin serius. Rasa amarahnya kepada Muno bertambah lagi.

“Saya tak nak dia aniaya awak.” Dalam tangisan Nur Halisa membalas.

“Awak tak perlu korbankan diri awak untuk saya. Tau la saya jaga diri,” berkata Syaakur kepada Nur Halisa.

Sekali lagi Nur Halisa menggeleng kepala.

“Habis awak nak biarkan dia pegang awak walau hakikatnya perbuatan dia tu haram?” Tanpa sengaja Syaakur berkata-kata dengan nada suara yang agak kasar.

Nur Halisa tidak membalas apa. Terus menitiskan air mata.

“Nur Halisa…Dengar sini, awak tak boleh biarkan dia saja. Awak tak perlu lakukan semua ni!” Syaakur masih tidak mahu mengalah. Sedang dia gagal membaca isi hati gadis yang sedang tertunduk menangis di depannya itu.

“Kenapa saya tak boleh selamatkan awak? Sedangkan dah dua kali awak selamatkan saya? Hina sangat ke saya ni sampai tak layak nak balas jasa baik awak pada saya? Takpe la kalau awak tak sudi, tapi saya takkan biarkan dia aniaya awak! Saya tak perlukan izin awak untuk itu!” Nur Halisa pantas bangun dari kerusinya dan bergegas meninggalkan Syaakur.

Syaakur tergamam di tempatnya. Terkejut mendengar kata-kata yang dia terima dari Nur Halisa sebentar tadi. Fikirannya masih tidak dapat merumuskan maksud tersirat di sebalik perbuatan Nur Halisa mengorban diri demi dia.

Dengan langkah yang dihayun pantas, Nur Halisa meninggalkan kawasan perpustakaan tanpa mempedulikan Jainab yang hairan memerhatikan dia. Air matanya diseka dengan lengan baju beberapa kali hingga dirasakan sudah hilang dari pandangan orang lain.

Sedih dan kecewa bergaul rapat di ruang hatinya pada ketika itu. Sungguh dia tidak menyangka Syaakur seperti tidak menghargai pengorbanan yang dia lakukan selama ini.

“Hendak ke mana tu?” Mengejut satu suara menegurnya ketika dia sedang berjalan di satu sudut kolej yang sunyi dan agak tersorok.

Langkah Nur Halisa termati saat melihat dua orang lelaki berpakaian serba hitam memerhatikan dirinya tajam.

“Jangan takut. Kami tidak makan orang.” Eizzman tersenyum sinis. Matanya tajam melihat ke arah Nur Halisa.

“Maaf aku tak kenal korang.” Nur Halisa membalas dengan nada tegas. Namun dari raut wajahnya jelas dia sedang cuba menyembunyikan rasa takut yang hadir di hatinya.

“Tapi kami kenal kau. Kita pernah jumpa sebelum ni. Tapi kau tidak sedarkan diri masa tu,” balas Eizzman.

Nur Halisa bingung sendiri. Dia cuba memanggil ingatannya, namun tiada satu pun yang melibatkan dua lelaki yang berdiri menghalang jalannya kini.

“Serius aku tak kenal korang.” Masih dengan nada tegas Nur Halisa berkata-kata.

“Eizzman! Jangan buang masa lagi. Teruskan!” Eizzar mencelah, tegas.

Eizzman bergerak mendekati Nur Halisa. Selangkah demi selangkah membawa dirinya semakin hampir dengan gadis itu. Manakala Nur Halisa pula mulai berundur. Cuba menjarakkan dirinya dari pemuda yang dia tidak kenali itu.

“Nur Halisa!” Tidak lama kemudian, kedengaran suara Syaakur dari arah belakang Nur Halisa.

Saat Nur Halisa berpusing menoleh ke arah Syaakur, semuanya bergerak dengan perlahan sekali. Nur Halisa sempat melihat Syaakur berlari ke arahnya. Larian Syaakur kelihatan pantas sedang dirinya bergerak dengan perlahan sekali.

Di satu arah yang lain, Eizzman turut berlari pantas ke arah Nur Halisa. Sedang Eizzar melontar tiga bilah pisau kecil yang tajam ke arah Syaakur. Memaksa pemuda itu mengelak serangan tersebut. Membuka peluang kepada Eizzman untuk menarik Nur Halisa.

Sebaik Nur Halisa sudah berada di tangan Eizzman, Eizzar pantas menggunakan keistimewaannya menghilangkan diri bersama Eizzman. Tubuh mereka pantas menjadi asap hitam yang kemudiannya pecah sebelum hilang begitu saja. Nur Halisa turut menghilang bersama mereka.

Syaakur tergamam. Dunia terasa seakan berhenti berputar. Jantungnya berdegup kencang. Nur Halisa kini diculik oleh makhluk Alam Gelap! Sungguh dia tidak pernah menyangka yang gadis itu akan terlibat dalam permasalahannya. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | SATU | DUA | TIGA | EMPAT | LIMA | ENAM | TUJUH | LAPAN | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | Bab 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku