Liquorice
Bab 16
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 September 2017
Liquorice menyaksikan seorang demi seorang ahli keluarganya mati akibat penyakit misteri mendorong gadis itu untuk mencari punca di sebaliknya. Pencariannya menemukan gadis itu kaitan keluarganya dengan tradisi lama sekaligus membawa dia terjun ke dunia Dark Arts.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
66

Bacaan






MANDRAKE

Ketika perjalanan pulang dari sekolah, Lazulee mengambil kesempatan untuk menanyakan Liquorice mengenai perjumpaannya dengan Ren sewaktu rehat. Kalau ikutkan, sebenarnya dia bukannya bertugas pun pada hari itu, tetapi dia sengaja memberi alasan sebegitu agar dapat memberi peluang kepada Liquorice bersendirian bersama Ren.

“Lico, macam mana dengan date?” soal Lazulee sambil tersenyum nakal. Daripada riak wajahnya terpancar rasa ingin tahu dalam dirinya akan perkembangan hubungan Ren dan Liquorice.

“Takda apa. Kami borak-borak je tadi,” balas Liquorice acuh tidak acuh.

“Eh, takkan takda apa-apa. Lico ni malu-malu pula,” usik Lazulee masih lagi teruja.

Liquorice yang malas melayan celoteh sahabat baiknya itu terus mempercepatkan langkahnya, meninggalkan Lazulee dalam dunianya sendiri.

“Eh, Lico! Tunggu!” Lazulee yang menyedari dirinya ditinggalkan terus mengejar sahabatnya.

Liquorice menghentikan langkahnya secara tiba-tiba. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya menyebabkan dia terhenti. Di tepi semak belukar yang berada di tepi jalan, terdapat seorang gadis berambut pendek berwarna hijau sedang mencangkung. Dia memakai uniform sekolah yang sama seperti Liquorice dan Lazulee. Telinganya dihalakan ke arah semak belukar. Dia kelihatan seperti sedang mendengar sesuatu dari dalam semak.

“Kenapa, Lico?” soal Lazulee setelah berada di sisi Liquorice. Kemudian matanya dilirikkan ke arah yang sama dipandang Liquorice.

“Eh, Nyanza Mandevill?” Lazulee yang sememangnya mulut becok itu tidak dapat menahan mulutnya daripada menyebutkan nama gadis itu.

Liquorice menoleh sebentar ke arah Lazulee dan bertanya, “Tu nama dia ke?”

“Ha’ah. Awak tak kenal ke Lico? Dia ni famous tau! Macam awak. Kenapa? Awak berminat ke nak berkenalan dengan dia?”

Liquorice tidak menjawab soalan Lazulee. Sebaliknya dia terus berjalan menghampiri gadis bernama Nyanza itu.

“Apa yang awak buat tu?” soal Liquorice ingin tahu akan apa yang didengar Nyanza.

Seraya itu, Nyanza terus menoleh ke arah Liquorice menampakkan iris matanya yang berwarna merah.

“Shhh!” Nyanza meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai isyarat senyap.

Telinganya masih lagi difokuskan ke arah semak. Matanya menjeling tajam. Gadis berambut hijau itu kelihatan amat berwaspada. Liquorice terus mencangkung di sisi Nyanza tanpa disuruh. Lazulee pula hanya memerhati dari tempat asal dia berdiri tadi.

“Kejap ya. Saya nak tunjukkan awak sesuatu yang special. Awak tunggu sini tau,” ujar Nyanza secara tiba-tiba.

Nyanza mula merangkak masuk ke dalam semak.

“Awak, nanti masa saya bagi isyarat nanti, tutup telinga tau! Encik Mandrake ni akan mengeluarkan bunyi jeritan yang sangat nyaring masa akarnya sedang ditarik. Dan menurut lagenda, orang boleh mati serta-merta jika terdengar bunyi jeritannya yang sangat nyaring,” pesan Nyanza sebelum dia mula merangkak masuk ke dalam semak.

Nyanza terus merangkak senyap-senyap ke dalam semak. Lagaknya seperti seorang askar sedang menjalankan misi. Liquorice pula hanya setia menanti. Setelah merangkak selama beberapa minit ke dalam semak, Nyanza berhenti di suatu tempat. Dia sudah jumpa apa yang dicarinya.

“Ha, dapat pun jumpa awak, Encik Mandrake!” teriak Nyanza penuh keterujaan.

Liquorice yang berada tidak jauh dari situ dapat mendengar teriakan Nyanza.

Nyanza terus berdiri lalu cuba mencabut sejenis tumbuhan yang dijumpainya di dalam semak tersebut. Sebelah telinganya ditutup dengan satu lagi tangannya.

“Saya nak cabut ni. Sedia tutup telinga! Satu! Dua! Tiga!”

Liquorice terus menutup telinganya dengan sekuat hati tanpa banyak soal. Lazulee pula hanya terpinga-pinga. Dia tidak faham kenapa dia harus menutup telinganya.

“Oooooooo!” Bunyi yang nyaring kedengaran semasa Nyanza cuba mencabut tumbuhan itu.

Walaupun Liquorice telah menutup telinganya, tetapi dia dapat mendengar dengan jelas bunyi itu. Akan tetapi, Lazulee tidak dapat mendengar apa-apa. Setelah beberapa ketika, bunyi nyaring itu pun terhenti.

“Dapat pun cabut kau Encik Mandrake!” ucap Nyanza dengan sebelah tangannya memegang tumbuhan itu. Dia terus berjalan ke arah tempat Liquorice berada.

“Tada! Perkenalkan! Ini Encik Mandrake,” kata Nyanza sambil menunjukkan tumbuhan yang baru dicabutnya tadi kepada Liquorice. Tumbuhan itu berhayun ke kiri dan kanan semasa Nyanza membawanya kepada Liquorice.

Liquorice melihat tumbuhan itu dengan perasaan kagum. Dia kemudian berdiri untuk memerhatikan tumbuhan itu dengan lebih dekat.

Rupa tumbuhan itu sangat aneh. Liquorice tidak pernah lihat tumbuhan serupa itu sebelum ini. Rupa tumbuhan itu seakan-akan rupa manusia. Bahagian atasnya tumbuh daun. Ada dua unjuran di bahagian tengah tumbuhan itu pada kiri dan kanan membentuk seperti tangan. Akar tumbuhan itu pula terbahagi dua yang membentuk seperti kaki. Pada tumbuhan tersebut terdapat tiga lubang yang menyerupai dua biji mata dan mulut.

Ada bunyi ‘O’ masih keluar dari lubang berbentuk seperti mulut pada tumbuhan tersebut. Bunyinya sama seperti tadi cuma lebih perlahan.

“Perkenalkan, saya Liquorice Amarillis.” Liquorice mula memperkenalkan dirinya.

“Oh, saya Nyanza Mandevill. Awak boleh panggil saya Nyanza je. Nah, ini Mandrake, sebagai hadiah persahabatan kita.” Gadis berambut hijau itu menyerahkan tumbuhan Mandrake itu kepada Liquorice.

“Takpa ke? Awak dah susah-susah dapatkannya?” Liquorice cuba menolak pemberian Nyanza dengan lembut.

“Takpa. Saya boleh dapatkan yang lain. Walaupun tumbuhan ni sangat rare.”

Lazulee yang berdiri tercegat sejak dari tadi terus berjalan menghampiri Liquorice dan Nyanza.

“Ah, ada lagi sorang rupanya. Takpalah awak berdua kongsi hadiah ni, boleh? Nah, ini Mandrake yang saya baru tangkap tadi.” Nyanza turut menunjukkan Mandrake yang baru dicabutnya tadi kepada Lazulee.

Akar Mandrake yang berbentuk seperti kaki berserta kedua-dua unjuran berbentuk tangan meliuk lentok membelit tangan Nyanza yang memegangnya. Sekali tengok, Mandrake itu seperti hidup sahaja. Mereka yang tidak biasa melihatnya pasti akan gugur jantungnya dek terkejut dengan rupa tumbuhan yang luar biasa itu.

Lazulee berasa amat terkejut sehingga mahu gugur jantung dibuatnya. Bunyi ‘O’ yang tidak henti-henti keluar dari lubang berbentuk mulut pada Mandrake tersebut menambahkan lagi keseraman yang menjalar di segenap tubuh Lazulee. Wajah Lazulee yang putih kemerahan menjadi pucat serta-merta tatkala melihat Mandrake tersebut.

“Bi, bi, bi, bi… binatang apa pula ni? Ken… apa saya tak pernah tengok pun?” soal Lazulee sebelum jatuh pengsan.

Tubuh Lazulee rebah ke atas tanah.

Melihatkan keadaan Lazulee yang sudah jatuh pengsan, Liquorice dan Nyanza berpandangan sesama sendiri lalu bertanya serentak, “Apa kita nak buat ni?”

“Oh, takpa! Biar saya tolong bawa. Awak tahu tak mana alamat rumah dia?” Nyanza secara sukarela menghulurkan pertolongannya.

“Tahu.” Liquorice mengangguk pantas.

“Nah, awak tolong bawakan Encik Mandrake ni. Biar saya dukung kawan awak ni ke rumah dia. Awak tunjukkan jalannya.” Mandrake yang dipegangnya dihulurkan kepada Liquorice.

Liquorice terus mengambil Mandrake itu tanpa banyak soal. Nyanza pula mendukung tubuh Lazulee yang tidak sedarkan diri itu. Nasibnya baik kerana Lazulee lebih rendah sedikit daripadanya. Akan tetapi, Liquorice tetap lebih pendek jika dibandingkan dengan Lazulee.

Sepanjang perjalanan ke rumah Keluarga Amethist, semua orang memerhatikan mereka bertiga dengan pelbagai reaksi. Ada yang terkejut. Ada yang berbisik sesama mereka. Malah, ada juga yang hampir pengsan. Manakan tidak, mereka berasa pelik melihat Mandrake yang bagi mereka sangat janggal lagi menyeramkan.

Liquorice memegang Mandrake itu pada dedaunan yang tumbuh di atasnya. Sepanjang perjalanan, Mandrake itu berhayun ke kiri dan kanan seolah-olah tumbuhan itu hidup. Struktur yang seperti tangan meliuk-liuk membentuk pelbagai bentuk. Sesekali kedua-dua unjuran tersebut menjalin sesama sendiri menampakkan postur berpeluk tubuh. Akarnya yang terjuntai ke bawah pula turut berhayun ke hadapan dan ke belakang seperti kaki sedang berjalan. Nasib baiklah, mulutnya sudah berhenti mengeluarkan bunyi ‘O’.

****************

Lazulee tersedar dari pengsan. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di tempat yang sangat asing. Dia bingkas bangun lalu memerhatikan persekitaran di sekelilingnya. Semuanya kelihatan berwarna-warni. Cantik sungguh. Langitnya berwarna merah jambu. Tanahnya pula berwarna-warni dan bercorak. Lazulee dapat rasakan tanah yang dipijaknya begitu lembut ibarat sedang berpijak di atas tilam yang empuk.

Pokok-pokok yang tumbuh di situ pula kelihatan comel sekali. Dedaunannya berwarna-warni dan berkilat. Buah-buahannya pula kelihatan seperti gula-gula dan coklat. Mahu sahaja Lazulee mengambil salah satu daripadanya untuk dimakan. Bentuknya pula pelbagai. Ada yang berbentuk hati, bentuk seperti tapak sulaiman, bentuk seperti emoji tersenyum dan pelbagai lagi bentuk yang comel.

Lazulee terus berjalan seorang diri di dunia pelik itu. Dia seperti tidak ingat langsung akan apa-apa sejak dia berada di dunia itu. Dia kelihatan begitu bergembira menikmati pemandangan yang mengasyikkan di sekelilingnya.

Sedang Lazulee berjalan, Lazulee ternampak sebatang pokok yang kelihatan berbeza sekali berbanding pokok-pokok yang lain. Tidak seperti pokok lain yang berwarna-warni, pokok itu kelihatan seperti pokok biasa dengan dedaunan berwarna hijau. Pada batangnya pula terdapat struktur seperti muka. Ada mata, hidung dan mulut. Matanya sedang terpejam rapat. Pokok itu seolah-olah sedang tidur.

Entah apa yang merasuknya, Lazulee terus merapati pokok itu. Wajah pokok itu yang kelihatan seperti sedang tidur ditatap Lazulee lama-lama. Batang pokok yang kasar itu diusap permukaannya. Sebaik sahaja dia menyentuh dahan pokok tersebut yang dipenuhi daun, Lazulee tiba-tiba terasa gatal untuk memetiknya.

Ptik!

Sehelai daunnya dipetik. Sejurus sahaja daunnya dipetik, mata yang terpejam rapat tadi terus terbuka secara drastik. Wajah yang tenang tadi terus berubah bengis dan menakutkan. Alangkah terkejutnya Lazulee tatkala menyedari keadaan itu.

Apalagi, Lazulee terus berpusing lalu berlari sekuat hati. Seluruh kudratnya dikerahkan untuk melarikan diri daripada pokok yang menyeramkan itu. Tanah di sekeliling pokok itu merekah perlahan-lahan lalu mengeluarkan dua akar yang besar dari dalam tanah. Dua akar yang menjulur keluar itu perlahan-lahan bergerak dan mengangkat pokok itu. Dua akar itu membentuk kaki untuk bergerak. Pokok itu mula berjalan mengejar Lazulee yang masih lagi berlari.

“Oooooo!” Bunyi itu keluar dari mulut pokok menyeramkan tersebut.

Entah bagaimana, pokok itu membesar saiznya berkali ganda. Salah satu dahan pokok itu yang membentuk tangan cuba menangkap Lazulee.

Lazulee terus berlari untuk menyelamatkan dirinya. Akan tetapi, Lazulee tidak berdaya. Semakin lama lariannya semakin perlahan. Dadanya pula terasa sesak tiba-tiba. Kaki dan tangannya mula terasa lenguh. Jarak di antaranya dengan pokok menyeramkan itu menjadi semakin dekat. Akhirnya, kudrat Lazulee mengalah jua. Dia sudah tidak larat berlari. Pokok itu berjaya menangkap tubuh kecil Lazulee.

Sekarang Lazulee terperangkap dalam tangan pokok itu. Wajah bengis pokok itu menjamu pandangan matanya. Mulut pokok itu menganga sebesar-besarnya lalu menampakkan sebaris giginya yang runcing. Tubuh Lazulee cuba dimasukkan ke dalam mulutnya untuk menelan gadis itu. Lazulee cuba melepaskan dirinya tetapi kudrat tubuhnya tidak mampu. Dalam genggaman tangan pokok itu, Lazulee hanya mampu memejamkan matanya.

“Aaaaaah!” Lazulee menjerit sekuat hati.

Lazulee terjaga. Sedar-sedar sahaja dia berada di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Dalam keadaan terpinga-pinga, dia memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dia masih tercungap-cungap mencari nafas tatkala dia bangun. Peluh merinik di dahinya seolah-olah dia baru lepas berlari marathon.

“Lazu? Okey tak?” soal Dr. Sapphira, ibu kepada Lazulee yang mula menghampiri anak perempuannya.

Setelah beberapa ketika mendiamkan diri sambil memerhatikan persekitaran rumahnya, Lazulee mula memberi respons, “Saya, saya, macam mana saya boleh ada kat sini?”

“Tadi kawan kamu kata kamu pengsan masa dalam perjalanan pulang. Diorang yang tolong bawa kamu balik,” terang Dr. Sapphira berhati-hati.

Dr. Sapphira berkerja sebagai seorang doktor di sebuah hospital. Hari ini dia bercuti kerana hari sebelumnya Dr. Sapphira sudah berkerja lebih 24 jam.

“Ah! Tadi, tadi kan mama, ada pokok tu pelik sangat! Rupanya macam orang. Lepastu tangan dan kaki dia siap gerak-gerak belit tangan orang lagi. Eiii, seram!” terang Lazulee dalam keadaan menggigil ketakutan.

Dr. Sapphira yang mendengar penjelasan Lazulee terus ketawa geli hati. Lazulee pula sudah mengembungkan pipinya merenung wajah Dr.Sapphira. Bengang kerana ceritanya itu tidak diambil serius ibunya.

“Lazu, Lazu! Kamu mimpi je tu. Dah, tak payah nak fikir sangatlah, okey?” pujuk Dr. Sapphira lembut sambil mengusap kepala anak perempuannya.

Lazulee menarik nafas lega. Lega kerana semuanya hanyalah mainan tidur. Lazulee pun terfikir, bagaimanalah dia boleh mimpi sebegitu.

******************

Liquorice dan Nyanza berhenti di sebuah lorong yang agak sunyi. Di situ, Nyanza membuka beg galasnya lalu mengeluarkan Mandrake yang disimpan di dalamnya. Nyanza ingin menyerahkan Mandrake itu kepada Liquorice seperti yang dijanjikan.

Sebelum mereka sampai ke rumah Keluarga Amethist tadi, Liquorice meminta Nyanza menyorokkan tumbuhan itu. Dia khuatir ahli keluarga Lazulee akan berasa terkejut sekiranya mereka ternampak Mandrake. Dengan selamba sahaja Nyanza menyumbatkan Mandrake itu ke dalam begnya.

“Mandevill, awak simpan jelah Mandrake tu. Takpalah saya taknak. Susah payah awak dapatkannya,” kata Liquorice menolak pemberian Nyanza.

“Eh, takpa-takpa, saya boleh cari lain. Saya memang nak bagi awak pun.” Nyanza berkeras mahu memberi Mandrake itu kepada Liquorice.

“Takpalah. Awak ambil je. Kalau saya bawa balik nanti kakak saya marah. Lagipun, saya tak pandai bab-bab tanam pokok ni. Nanti pokok tu mati, membazir je,” balas Liquorice menjelaskan sebabnya.

“Oh, kalau macam tu takpalah. Tapi saya tetap nak bagi hadiah kat awak. Nanti saya bagi benda lain yang awak suka,” balas Nyanza semula lalu menguntum senyum.

Mandrake itu disimpan semula dalam beg galasnya. Liquorice sendiripun hairan bagaimana Mandrake sebesar itu boleh muat dalam begnya.

“Oh, ya! Sebelum terlupa. Kalau awak nak cari saya, saya ada kat bilik Kelab Petani Muda sekolah waktu rehat,” tambah Nyanza lagi.

“Bilik kelab?”

“Yep. Saya Presiden Kelab Petani Muda sekolah kita. Kat bilik tu saya ada banyak tanam pokok.” Nyanza menceritakan dengan lebih lanjut.

“Oh…,” balas Liquorice memahami penjelasan Nyanza.

Liquorice sudah mula berminat untuk menyelidik gadis bernama Nyanza ini. Dia sudah tertarik dengan gadis berambut hijau di hadapannya ini. Ada banyak perkara yang ingin ditanyakan kepada Nyanza, terutama sekali mengenai bunyi yang didengarnya tadi dari dalam semak.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku