Lambaian Bulan (Novel)
Bab 2
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 September 2017
Bermula daripada sebuah cerpen, Lambaian Bulan (LB) yang mendapat feedback yang memberangsangkan, saya mengubahnya menjadi sebuah novel yang berbeza jalan cerita namun menggunakan tajuk yang sama. Bergenre Epik Horror. Sebuah kisah diilhamkan dari secebis rahsia LB.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
397

Bacaan






Bab 2

ANDARA meletak fail ditempat asal sebelum bersandar lesu di kerusinya. Ruang mesyuarat yang sepi dipandang sekilas sebelum memejamkan mata. Lengan diletak di atas dahi, menutupi separuh wajahnya. Keluhan berdetasan. Andara benar-benar kepenatan lantaran tugasnya yang bertimbun-timbun.

Pendengaran Andara mengesan rentak tapak kaki seseorang, kemudian daun pintu ditolak. Andara membuka mata semula untuk melihat gerangan yang masuk ke bilik mesyuarat.

“Dara uruskan satu kes tergempar baru-baru ni, ya?” soal Tijah.

“Tahu aje mak cik ya.”

“Mestilah. Ramai yang mengikuti kes tu.”

“Hmm, letihnya.”

“Yalah, dah tanggungjawab tapi nyawa tu satu aje. Pergilah balik rumah sana. Buat apa melepak kat sini lagi? Nanti jatuh sakit, tak ada orang yang boleh uruskan kes ni nanti. Kamu aje yang sesuai kendalikan kes ni,” kata wanita tua itu.

“Sesuai?”

“Kes ni memang untuk kamu. Dara kan anggota polis yang cekap,” katanya sambil berjalan keluar dari ruang bilik mesyuarat.

Mak Cik Tijah melepasi pintu dan jalan menonong sehingga hilang kelibatnya. Andara tersenyum tipis. Aneh-aneh sikap Mak cik Tijah yang dikenali sejak zaman remaja. Mereka tinggal di satu kawasan perumahan yang sama. Berjodoh mereka bekerja di satu tempat pula.

Andara meletakkan semula tangan di atas dahi dan memejamkan mata. Sekali lagi dia terdengar hentakkan tapak kaki menghala ke ruang mesyuarat dan pintu kaca itu ditolak.

“Kejap lagilah saya balik. Mak cik Tijah pulanglah ke rumah dulu. Saya nak tenangkan fikiran sebelum pulang,” ujar Andara tanpa membuka mata.

“Dara, lekas pulang. Tidak elok untuk seorang gadis pulang lewat malam.”

“Saya dah biasalah balik lewat mak cik. Peliklah mak cik ni. Bertahun-tahun saya balik lewat. Tiba-tiba pulak...”

Andara membuka mata. Kata-katanya terhenti.

“Mak cik? Mak Cik Tijah?”

Andara bangkit dari tempat duduk. Tiada sesiapa dihadapannya. Andara berpusing 360 darjah. Memang tiada sesiapa di bilik mesyuarat itu selain dirinya. Andara terkebil-kebil. Sememangnya suara Mak cik Tijah yang didengarinya.

Fail-fail yang berada di hadapan Andara diambil. Dia memutuskan untuk pulang. Ikutkan shif Andara sudah lama habis. Dia saja yang gemar berada di tempat kerja seharian. Tiada masalah yang hendak difikirkan selain kerja. Hidupnya bebas sebagai orang bujang. Andara melangkah keluar dari bilik mesyuarat dan ke meja kerjanya. Usai mengambil barang-barangnya, Andara menuju ke tempat meletakkan kenderaan.

Andara menyanyi perlahan dan kadangkala menggumam. Melepasi saja langkahnya dari tangga batu, dia terus berjalan, melalui tepian batas-batas pokok renek. Kenderaannya dipakir agak jauh. Dia sengaja berbuat begitu supaya keretanya berteduh di bawah pokok besar dan rendang, satu-satunya yang dibiarkan hidup di kawasan balai.

Tangan kanan sudah diseluk ke dalam poket seluar. Kunci kereta dalam genggaman apabila Andara hampir mendekati pintu kereta.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam,” jawab Andara seraya menoleh ke belakang.

Terkebil-kebil Andara sendirian kerana tiada sesiapa di sisinya. Dia berpusing setempat untuk memastikan benar-benar tiada sesiapa.

“Perasaan aku,” getusnya.

Andara lolos masuk ke dalam perut kereta. Bersegera Andara beredar tanpa menyedari akan kewujudan pemerhati.

LEMBAR al-Quran ditutup, lalu Andara bangkit dan menyimpannya di dalam laci meja. Telekung dilepaskan dari badan dan disidai dikepala kerusi. Pelupuk matanya dipisat-pisat seiring menguap. Kornea matanya bergerak-gerak, melirik ke dinding. Jarum jam pendek sudah menghala ke angka 2.00 pagi.

Sepasang kakinya melangkah perlahan menuju ke katil dan memetik suis lampu. Kamar digelapkan. Hanya tinggal lampu meja yang malap cahayanya bertebaran hanya di hujung kepala katil. Badannya segera dilabuhkan ke tilam empuk. Kepalanya mendarat di atas bantal dan mengiring ke kiri. Permukaan dinding menyapa renungan sementara sebelum Andara terlena.

Angin malam menerobos masuk dari celah jendela kaca yang terbuka sedikit. Deru manja sang pawana meningkatkan suhu dingin di dalam kamar Andara. Terliuk-liuk berombak langsir dek sentuhan angin. Perlahan-lahan kain putih bermaterial ringan itu terkuak ke tepi sehingga cerah bulan menerangi kawasan beradu. Rembulan bergerak dengan halusnya seiring ditemani sisik-sisik gelap awan disekitarnya. Cahaya yang melimpah masuk ke kamar beradu Andara perlahan-lahan merayap sampai ke atas katil. Lagi sedikit terkena jari kaki Andara, gadis itu mengerekotkan badan.

“Sejuknya,” bisik Andara, halus.

Berkerut-kerut dahinya dek menyedari suhu yang meningkat. Andara membuka mata. Terkial-kial tangan kanan menggapai-gapai selimut. Ketika berusaha itulah pandangan Andara menangkap pergerakkan langsir.

“Patutlah.”

Andara menuruni katil. Ketika menghampiri jendela, deringan telefon membejatkan langkahnya. Andara berpatah balik. Telefon yang berada di atas meja diraih.

“Ada apa Mak Cik Tijah?” soal Andara usai mengenal pasti pemanggil.

“Kamu ada niat nak balik rumah orang tua kamu tak?’ tanyanya kembali.

“Mak Cik Tijah telefon semata-mata itu aje ke?”

“Jawab ajelah.”

“Tak.”

Panggilan ditamatkan usai Andara menjawab. Terpinga-pinga dibuatnya. Andara menghela nafas seiring cahaya rembulan memudar dan menghilang. Awan gelap menyelimuti penuh sang purnama. Persekitaran kembali tenang. Pawana juga melesapkan kehadirannya.

Telefon dibaringkan di atas meja semula. Dia kembali ke niat asalnya. Andara menarik daun tingkap dan menguncinya dari dalam. Renungan perlahan-lahan mengitari kelam malam dipersekitaran rumah pangsapurinya sehingga tuju penglihatan menghala ke dada langit. Lama diperhatikan damparan permaidani malam sehinggalah berdebar-debar tidak semena-mena dirasakannya. Andara segera menarik langsir dan menutup keseluruhan jendela.

Andara berbaringan. Lengan melapik pelipis kanan. Hujung rambutnya disimpul-simpul jari telunjuk kiri. Bibir dikemam-kemam lembut sehingga pelupuk matanya perlahan-lahan layu dan hanyut dalam ketenangan yang sementara.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku