Lambaian Bulan (Novel)
Bab 3
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 25 September 2017
Bermula daripada sebuah cerpen, Lambaian Bulan (LB) yang mendapat feedback yang memberangsangkan, saya mengubahnya menjadi sebuah novel yang berbeza jalan cerita namun menggunakan tajuk yang sama. Bergenre Epik Horror. Sebuah kisah diilhamkan dari secebis rahsia LB.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
33

Bacaan






TOK MANAN berdiam seketika. Nafasnya dihela. Dia kembali meletakkan titik pandang kepada beberapa orang tetamu yang duduk dihadapannya, menanti dengan penuh pengharapan. Hari sudah terlalu lewat. Mereka tidak mahu menangguh perbincangan. Tidak mahu menunggu hari esok. Isteri Pak Manan yang dari tadi duduk dimuka pintu sudah tersengguk-sengguk. Pak Manan meminta isterinya tidur dulu, namun ditolak. Selagi tetamu yang datang tidak pulang, Tok Manan ditemaninya.

Tok Manan berdehem-dehem beberapa kali sehingga isterinya, Menah tersedar dari pujukan lena yang hampir mampir.

“Tok, kami tengok keadaan sekarang lain macam. Cuaca tak menentu. Hasil tangkapan tak banyak. Kalau ada hasil pun, ikan cepat rosak. Bau air laut pun busuk,” adu Adim.

“Mungkin ada berlaku pencemaran laut,” jawab Tok Manan, mudah.

“Tok, kampung sebelah elok aje. Kampung kita aje macam ni. Kalau ada ribut, sampainya sehingga sempadan kampung. Tapi kampung sebelah, tenang-tenang aje. Hasil tangkapan mereka bertahan lama. Saya dah periksa air laut mereka tak berbau. Saya periksa kampung sebelah lagi yang mengapit kampung kita. Elok saja.

Sejak semalam kabus naik, tok. Datangnya dari laut, perlahan-lahan ke darat. Bot melencong ke bahagian laut lain pun, kabusnya mengikut. Punca kami tak boleh turun ke laut langsung.”

“Biasalah tu,” ucap Tok Manan.

Mereka saling berpandangan.

“Tok macam tak kisah aje,” kata Adim.

Adim pelik dengan tingkah Tok Manan yang bersahaja. Selalunya orang tua itu lebih agresif walau masalah sebesar kuman.

“Esok-esok cuaca eloklah. Macamlah kamu tak biasa dengan perubahan cuaca. Mungkin ada sebabnya hanya kampung kita bermasalah dengan kualiti air. Jadi, buat masa ni jangan dekati pantai. Nanti aku cuba minta bantuan pihak berwajib. Eloklah kamu semua balik ke rumah. Tak elok biarkan orang rumah ditinggalkan waktu-waktu begini. Nanti sibuk nak selesaikan masalah ini, masalah lain pulak muncul. Orang boleh ambil kesempatan mencuri dan berbuat hal tak baik,” kata Pak Manan.

“Kampung ni tak pernah ada masalah jenayah. Kau lupa ke?” ujar Khatib.

“Malang tak berbau, Khatib.”

“Ha, tahu pun. Yang melanda kampung kita ni malangnya berbau atau tidak?” soalnya lagi.

“Perihal alam itu biasalah, Khatib. Dulu-dulu pun pernah jadi macam ni, kan. Lepas tu baik-baik semuanya.” Tok Manan positif.

“Aku sama generasi dengan kau, Manan. Membesar juga dikampung ini. Apa-apa hal yang terjadi dikampung ini dulu aku juga turut tahu. Jangan fikir aku senyap, tidak bermakna aku tidak memerhati dan mencari jawapannya,” balas Khatib yang bernada agak keras.

“Aku pun dah rasa semacam, Manan. Tak akanlah hal lama berulang kembali,” kata Ahmad.

“Kau berdua banyak sangat fikir. Tak ada apa-apalah,” tegur Tok Manan.

Tok Manan mengerling ke arah isterinya yang sudah membulat mata. Adim memandang Ahmad. Ayahnya yang duduk di anak tangga beriak bimbang. Beberapa orang teman yang berada berdekatannya saling berpandangan. Hal apa yang berulang?

“Ada kau tengok tujuh kawasan tu?” bisik Ahmad usai menguis lengan Bahrin.
Belum sempat Bahrin menjawab, Khatib bersuara.

“Aku jumpa kau ni bukan kerana aku tak tahu apa-apa. Kami pun berpengalaman dalam hal-hal dilautan. Naluri pelaut macam kami ni kuat. Kami jumpa kau pun sebab nak sama-sama fikirkan apa-apa keraguan dan cubalah menenangkan hati kami. Selalunya kau tak macam ni tau,” tegur Khatib lagi.

“Dah lewat sangat ni. Esok boleh bincang lagi. Lagipun apa yang Manan boleh buat untuk kalian? Manan pun sama dengan kamu semua. Bukan boleh mencari jawapan dalam hanya satu malam. Kami pun dah penat. Jadi eloklah kamu semua balik,” sampuk Menah.

Adim menghela nafas. Dia menoleh ke belakang dan terangguk tanda meminta semuanya bubar. Masing-masing mula beransur pergi. Adim yang sudah menyarung selipar, memandang Tok Manan yang masih bersila di beranda dan termenung seketika. Anak matanya beralih ke muka pintu. Menah sedang merenung tajam Adim. Lelaki itu bersegera melangkah pergi.

“Adim, kau balik dulu. Jangan singah ke mana-mana,” arah Ahmad.

“Ayah nak pergi mana?”

“Adalah.”

Ahmad bersegera menumpang Bahrin. Mereka berdua hilang dibalik kabus.

GADIS bermata kuyu sedang enak melayari mimpi. Tidak berkutik walau seinci. Norri yang sedang bersandar dikepala katil tidak dapat melelapkan mata pula walhal sampai saja di sini, mengantuknya teramat sangat. Dia menguap beberapa kali berselang-seli menjeling-jeling Soflin yang nyenyak tidurnya.

Norri menuruni katil dan menghala langkah keluar dari bilik. Dia dan Soflin menduduki bilik kecil yang berdekatan dengan dapur. Mungkin kerana ruangnya kecil, sesuai tinggal berdua jika dibandingkan dengan kamar-kamar lain. Tapak kaki yang memijak lantai tidak terasa sebarang bendasing. Rumah ini seperti dibersihkan setiap hari.

Suasana tampak suram kerana segala jenis barangan didalam rumah ini sangat antik dan pencahayaan yang kekuningan. Langsir putih berenda yang kusam diselak sedikit. Norri merendahkan kepala untuk mengelak langsir yang berat itu dari menyapu keseluruhan wajahnya. Lampu yang dihidupkan awal semasa ketibaan Norri, membantu penglihatan. Kali ini Norri memerhatikan semuanya dengan teliti.

Sebuah katil berkepala kayu jati, bercorak bunga hutan dipandang. Cadar putih berenda melapik tilam, sungguh ringkas. Perabot sekadar cuma beberapa buah. Perhiasan pula bercampur aduk dengan pelbagai budaya. Entah kamar siapa. Tidaklah Norri ingat.

Gadis beraut wajah bulat, berdahi luas dan berlekuk dagunya itu mendorong langkah ke jendela. Tanpa bertangguh, selak diangkat dan daun pintu ditolak. Serta merta kabus yang tebal masuk ke dalam kamar sehingga menurunkan daya ketajaman penglihatan Norri. Bilik bagaikan dipenuhi asap.

Gadis itu tercegak tanpa berbuat apa-apa. Kabus yang tebal berlumba-lumba masuk dan melanggar fizikal Norri. Bukan asap kebakaran kerana tidak berbau. Norri menjengah keluar tingkap. Dia tidak mampu untuk melihat persekitaran. Kabus putih semata-mata.

Dia memikirkan kemungkinan. Manalah tahu memang benar ada kebakaran. Kabus yang luar biasa ini tidak mungkin berlaku dikawasan rendah. Jika adapun tidaklah setebal begini.

Norri keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Belum dekat dengan pintu keluar, kabus putih sedia terapung, masuk dari laluan lain. Bergegas langkahnya menuju ke muka pintu yang sudah terbuka. Belum sempat Norri melangkau bendul untuk ke beranda, wajahnya bertembung dengan muka Soflin.

“Kau buat apa kat luar ni, Soflin?” soal Norri.

Riak wajah Soflin tidak tenang. Kornea matanya yang bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan seolah-olah lari dari pandangan hairan Norri. Soflin menggeleng pendek. Tubuh Norri ditolak perlahan agar Norri beralih sedikit. Soflin segera masuk ke dalam rumah dan berlalu ke biliknya.

Kabus putih tidak berhenti menerobos masuk. Fenomena ini menghairankan Norri. Dia masih berdiri dimuka pintu. Masih ingin melihat persekitaran. Selang beberapa minit Norri menutup pintu kerana tiada apa-apa yang dapat menjawab persoalannya selain kabus yang kian menebal. Hari pun sudah terlalu lewat. Dia ingin kembali ke biliknya.

“Ya ALLAH, Soflin! Terkejut aku wei! Kenapa terintai-intai macam tu?” tanya Norri.

Berpaling saja Norri ke belakang, Soflin sudah menyambut pandangannya. Gadis itu tercegak dibalik dinding. Bukankah Soflin terus menonong kembali ke biliknya? Soflin berjalan melintasi Norri dan duduk di kerusi. Kemudian, dia berbaringan. Kelopak matanya segera terkatup. Norri tergeleng.

“Esok pagi bangun awal. Kita cari sarapan sama-sama,” pesan Norri sebelum beredar.

Jari jemari menguis rambut yang menutupi pipinya. Perlahan-lahan kelopak mata dibuka. Soflin mengemam bibir. Benarkah apa yang dilihatnya tadi?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku