DUNIA BUKAN SYURGA
1
Genre: Islamik
Kategori: Buku
Paparan sejak 26 September 2017
Selagi kita masih hidup jangan bermimpi untuk bahagia, kerana ujian pasti menimpa, jadi redha dan sabarlah.. Itu yang bawa kita ke syurga.
Penilaian Purata:
247

Bacaan






MANUSIA TERBAIK, MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

ALHAMDULILLAH, kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT, kerana dapat bersama dalam majlis ilmu untuk kita sama-sama menggilap kembali kefahaman dan keimanan kita kepada-Nya. Sebagaimana yang kita sering dengar di kalangan para sahabat, apabila mereka duduk bersama-sama, mereka akan sentiasa berkata;

“Mari kita gilapkan imam kita beberapa ketika.”

Maksudnya, duduk dalam majlis ilmu atau duduk di dalam majlis muzakarah, itu dikira sebagai majlis menggilap keimanan kepada Allah SWT. Ini kerana sifat manusia itu sering terlupa, sifat manusia itu adakalanya lalai dan lagho. Tetapi dengan adanya peringatan- peringatan seperti ini dan bila kita sesama kita saling ingat mengingati, maka itu merupakan alat untuk mendekatkan kita dan mengingatkan kita kepada Allah SWT.

Kata para hukama;

“Orang yang bijak dan orang yang tajam pemikirannya mengatakan bahawa satu kumpulan yang dianggap tidak cerdik (bodoh), apabila kita hanya bercita-cita kepada satu perkara tanpa kita membayar harganya. Sama juga dengan orang yang mengangkat tangan ke langit, berdoa mengharapkan Allah Taala turunkan hujan emas atau perak, tanpa mereka berusaha untuk mencari rezeki di bumi ini. Demikian juga orang yang menuntut keselamatan di akhirat. Kita hendak sangat syurga di akhirat tetapi kita tidak buat mengerjakan arahan atau suruhan yang diperintahkan oleh Allah di atas dunia.”

Inilah peringatan yang telah diberi. Jadi dalam bab ini, saya akan mengupas mengenai;

“Manusia yang baik adalah manusia yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain dalam semua perkara di bawah kemampuan yang ada pada dia.”

Maka setiap peluang yang diberi oleh Allah SWT untuk kita lakukan kebaikan sama ada perkara kebaikan itu berbentuk kewangan, sama ada kebaikan itu berbentuk kata-kata nasihat yang baik, ataupun ia berbentuk pertolongan dan juga cara menyelesaikan masalah manusia dalam kehidupan beragama, itu semua adalah bermanfaat.

Termasuklah mereka yang boleh membaca 'ayat jampi' (ruqyah). Kalau ada orang yang sakit, kita baca ayat dan tiup ke arahnya. Itu juga termasuk dalam memberi manfaat kepada orang. Ertinya bidang memberi manfaat ini besar. Skopnya luas, semua sudut kita dapat.

Contohnya, orang yang datang ke masjid dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Dia tidak mampu untuk menjadi imam mahupun bilal. Tetapi apa yang dia mampu adalah membersihkan masjid, menyusun sejadah, al-Quran dan kitab-kitab. Itu adalah perkara yang memberi manfaat. Ertinya tidak ada benda yang sia-sia dalam kehidupan seorang Mukmin.

Mukmin yang positif, tidak ada perkara yang sia-sia.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku