Gadis Penjual Strawberry
Gadis Penjual Strawberry
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 02 Oktober 2017
Perjalanan Kehidupan
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
1023

Bacaan







               Jalan Tapah - Cameron Highlands.

               Aiman memandu motorsikalnya dengan cermat . Selepas subuh dia sudah bergerak dari Kuala Lumpur.  Segalanya telah diatur dan dirancang sejak awal. Seorang rakan yang ingin turut bersama membatalkan rancangan di saat akhir kerana kekangan tugas.   

               Dia menyusuri zon mendaki yang berselekoh tajam dengan berhati-hati.  Motorsikal antik jenama Norton Big Four keluaran tahun 1952 itu sangat disayangi. Ianya adalah peninggalan pusaka dari gemulah datuknya.  Banyak bahagian motorsikal itu yang telah diubah suai.  Kos untuk membaik pulih juga hampir mencecah dua puluh ribu ringgit. 

               Dia tahu jika tersilap sedikit pasti di akan jatuh rebah di atas jalanraya.  Di sebelah kirinya adalah longkang konkrit dan lereng bukit yang curam dan sempit manakala di sebelah kanannya pula adalah gaung yang dalam, mungkin sedalam 70 meter hingga 80 meter yang diliputi oleh pokok-pokok hutan.  Jika terjatuh boleh membawa maut. 

               Jalan Tapah menuju ke Cameron Highlands bukanlah jalan yang biasa dilaluinya.  Jalan itu amat mencabar.  Keadaan jalan yang berliku-liku umpama ular dipalu, sempit dan berlopak memang mencabar pemanduan.  Di beberapa tempat terdapat kawasan jalan yang baru sahaja dibersihkan akibat tanah runtuh.  Kawasan itu telah ditanda dengan pita dan kon.

               Perkara yang menarik perhatiannya untuk pergi ke Cameron Highlands bersama motorsikal kesayangannya hanya satu.  Dia masih ingat tentang cerita sahabatnya yang baru balik bercuti dari kawasan tumpuan pelancong di kawasan tanah tinggi itu. Jika ingin merasai suasana sejuk seperti di Eropah sambil mengambil gambar yang cantik dan unik, maka Cameron Highlands adalah tempatnya. 

               Sudah lama benar dia tidak ke sana.  Kali terakhir adalah ketika dia menyertai rombongan ketika masih menuntut di sebuah IPTA.  Hatinya begitu teruja mahu menjejakkan kakinya ke pusat peranginan itu lagi.

               Sebagai seorang photographer dia pasti, Cameron Highlands tidak mengecewakan. Gambar-gambar yang dihantar oleh sahabatnya itu sudah cukup membuatkannya tidak sabar untuk pergi ke tanah tinggi itu. Ya, gambar-gambar ladang teh yang beralun umpama hamparan karpet hijau, kebun bunga, ladang strawberry, gerai-gerai cenderamata, rumah-rumah penginapan dan sebagainya begitu mengujakan. Sejak awal lagi beg sandangnya sudah dimuatkan dengan kamera, beberapa unit lensa, dan komputer riba.

               Letih begitu terasa.  Lagi-lagi bila melayan selekoh yang begitu banyak.  Ya, boleh dikatakan jalan itu semuanya dipenuhi selekoh.  Ada kawasan selekoh yang memerlukannya berhenti di belakang kenderaan lain bagi memberi laluan kepada bas ekspress atau lori sayur yang laju bergerak turun.

               Tiba di puncak nanti dia sudah berangan-angan mahu mendaki hingga ke puncak Gunung Brinchang.  Dia ingin meneroka hutan tanah tinggi yang berusia ribuan tahun yang  dikenali sebagai mossy forest, mengambil gambar tumbuh-tumbuhan yang diselaputi lumut, flora unik, aksi serangga yang jarang ditemui serta gunung-ganang yang diselimuti kabus dingin.

               Khayalannya hilang melayang bila tiba-tiba sahaja dia dikejutkan oleh bunyi hon yang nyaring dan kuat.  Dia tidak dapat mengimbangi motorsikalnya lalu terbabas ke kiri jalan dan rebah di dalam longkang.  Dia tertiarap di sebelah motorsikalnya. Hatinya panas.  Marahnya meluap.

              Sebuah MPV jenis Toyota Sienta warna oren yang menghimpitnya tadi berhenti kira-kira 20 meter di hadapannya. Pemandunya, seorang gadis menanggalkan cermin mata hitamnya dan menoleh ke arah Aiman.  Beberapa ketika kemudian dia menekan minyak, meneruskan perjalanan. Seperti tidak memperdulikan apa yang  telah berlaku.

     “Hoi!, hoi!!! tunggu!, nanti!,

               Aiman mendengus.  Marah dan kecewa.  

     “Celaka. Tak guna punya pompuan.”

               Aiman menilik telapak tangan kanannya yang berbekas merah, melelas kerana terseret di atas jalan.  Kemudian dia mengangkat motorsikalnya perlahan-lahan dengan sepenuh tenaga.  Dia menelek-nelek motorsikalnya.  Perasaan marah dan kecewa semakin membekam bila mendapati  side mirror kiri motorsikalnya patah.  Ada calar di body belakang motorsikalnya. Kotak di sisi motorsikal yang memuatkan pakaiannya juga kemik. Dia menyumpah berkali-kali.

     “Dah la bawak laju. Himpit orang pulak.  Langsung tak nak tolong.  Nanti kau. Kalau aku jumpa kau kat atas siap la. Aku cam wajah kau tu tau!.”

     “Aku tau kereta kau.  Aku akan cari kau.  Aku akan tuntut ganti rugi.” Aiman mengomel dan merungut sendirian sambil cuba mengingati nombor plat pendaftaran kereta gadis tersebut.  Tidak lama kemudian dia menendang penghidup enjin motorsikal beberapa kali namun tidak berhasil.

               Di dalam kereta Ryanna merasa kesal dan takut. Dia telah melanggar seorang lelaki. Tadi, dia teragak-agak mahu membantu atau tidak. Dia berasa was-was dan bimbang. Takut pemandu motorsikal itu jenis kaki buli atau jenis lelaki yang suka mengugut.  Dia pula seorang perempuan.  Jika berlaku apa-apa tiada siapa yang boleh menolongnya.  Mujur saja dilihat lelaki itu masih boleh bergerak dan mampu berdiri. Jauh di sudut hatinya tersimpan rasa kasihan.

               Ryanna tahu dia tidak boleh berhenti di selekoh tersebut.  Bahaya sentiasa menanti. Tiada tempat untuknya berhenti.  Sepanjang jalan terlalu sempit.  Tiada bahu jalan, hanya longkang.  Silap haribulan kereta abang iparnya pula di‘sapu’ lori sayur atau kenderaan lain yang tidak kelihatan di sebalik selekoh yang terlindung oleh lereng bukit.  

               Lagi pula dia memang mengejar masa.  Dia baru sahaja selesai menghantar buah strawberry di R&R Tapah dan dia sudah berjanji dengan kakak dan abang iparnya akan pulang segera bagi membantu mereka menggubah dan membungkus bunga-bungaan pula untuk jualan esok hari.

               Aiman menghempaskan punggungnya di sebuah bilik penginapan yang terletak di Tanah Rata. Bilik yang  telah di tempah seminggu yang lalu.  Suhu yang dingin 20 darjah selsius mencengkam tubuh.  Jaket kulit yang disarung ke tubuh sejak bertolak dari Kuala Lumpur tidak ditanggalkan.  Dia menilik tapak tangannya yang berbalut.  Dia baru sahaja mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

               Sebelum check in, Aiman sempat meronda di Pekan Brinchang dan sekitar Tanah Rata. Hasratnya mahu menjejaki gadis yang menghimpit motorsikalnya masuk ke dalam longkang.  Gadis yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap kesalahannya. Bukan susah mahu mengenali kereta berwarna jingga itu. Dia tahu, pekanTanah Rata dan Brinchang bukanlah besar sangat.  Namun usahanya tidak berhasil.  Dia tidak tahu di mana gadis itu tinggal.  Sama ada pelancong atau menetap di tanah tinggi itu dia tidak tahu.  Apa yang penting gadis itu mesti bertanggung jawab terhadap perbuatannya.

               Pagi itu Aiman merancang mahu melawat Taman Agroteknologi MARDI. Salah satu tempat persinggahan wajib bagi pelancong. Selepas puas meronda dan mengambil gambar yang diingini,  Aiman berhasrat mahu bergerak ke ladang teh Boh yang terletak di Sungai Palas.  Dari situ nanti dia akan bergerak mendaki ke Gunung Brinchang pula.

               Hari semakin meninggi.  Pelancong semakin ramai.  Jalan semakin sesak.  Mujur sahaja dia menunggang  motorsikal. Kesesakan jalan tidak menjadi masalah baginya.  Dia sempat melawat gerai-gerai cenderamata dan pakaian yang banyak terdapat di tepi jalan. Dia juga sempat mengambil gambar aktiviti peniaga dan pelancong yang sibuk berurusniaga.

               Ketika melalui sebuah kawasan jual beli yang sibuk dia terlihat sebuah MPV berwarna jingga yang dicari.  Dia yakin itu adalah kereta gadis itu.  Tidak sukar untuk mengecam MPV jenis itu lagi-lagi dengan warna yang agak jarang ditemui. Matanya mula melingas.  Tidak jauh dari situ kelihatan seorang gadis yang dikenali sedang sibuk melayan pelanggan di sebuah gerai. 

     “Itu dia.  Aku dah jumpa.  Orang Cameron rupanya”, bisik Aiman sendirian.

     “Encik beli strawberry. Satu kotak lima ringgit. Tiga kotak sepuluh ringgit. Manis-manis semuanya”, ujar gadis itu ketika Aiman menghampirinya.

     “Saya tak nak beli strawberry...”

     “Bunga pun ada.  Bunga ros, kekwa, carnation, untuk keluarga atau kekasih”, ujar gadis itu melayan Aiman dengan ramah.

     “Hei cik strawberry, awak tak kenal saya ke?”, Tanya Aiman.  Gadis itu merenung  Aiman. Cuba mengingati. Kemudian air mukanya berubah.  Dia kelihatan sedikit gugup.

     “Eh, encik. Awak, awak yang jatuh motor tu kan.  So...sorry saya...”, gadis itu tidak sempat menghabiskan kata-katanya.

     “Amboi, mudahnya awak nak sorry, sorry.  Cuba awak tengok motor saya tu.  Patah, kemik sana sini.  Nak beli spare part bukan murah tau!. Awak pulak senang-senang blah macam tu aje.”

     “Eh, encik jangan kecoh-kecoh.  Malu saya.  Nanti pelanggan saya lari.”

     “Ooo...awak fikirkan diri awak sorang je ya. Haa...ni tengok tapak tangan saya yang berlubang ni.  Pergi klinik semalam dressing, kena RM 30.00 ringgit.”

     “Beginilah encik, kita bincang di kedai minum tu dulu”, gadis itu mengusul.  Dia kemudian memanggil kakaknya untuk mengambil alih tempatnya melayan pengunjung yang datang.

     “Sekarang saya nak awak bayar semua ganti rugi”, pinta Aiman setelah melabuhkan punggung di kerusi gerai minuman.  Dia memesan teh tarik.  Gadis itu hanya memesan air suam.

     “Berapa yang awak nak?”

     “RM 300.00.”

     “Hah!, RM300.00.  Banyaknya.”

     “Hei cik Strawberry, itu dah kira murah tau. Kalau nak kira kos baik pulih dekat RM 400.00 tu. Tu, tu awak tengok tu, semalam saya tukar spark plug di pekan Ringlet, kena RM 10.00”, ujar Aiman sambil mengunjukkan jari telunjuk ke arah motorsikal antiknya yang di letakkan di tepi jalan.

     “Bukan salah saya sorang. Awak pun salah juga.”

     “Haiii, awak nak salahkan saya pulak!”

     “Awak naik motor macam naik unta.  Slow, lepas tu saya nampak awak pandu masuk ke tengah jalan.  Mana sempat saya nak brake.  Kalau nak naik motor sambil berangan, ikutlah jalan Simpang Pulai”, gadis itu mengomel perlahan.”

     “Awak mengata saya?”

     “Err...tak.  Saya kata motor awak tu memang rare.”

     “Hah...habis tu, yang awak lari itu hari apa pasal?”

     “Saya takut.  Saya sorang. Nanti awak apa-apakan saya.”

     “Hei, cik Strawberry, awak ingat saya ni apa, penyangak, penyamun?”

     “Mana tau.  Saya tak kenal awak.”

     “Okey nama saya Aiman.  Aiman bin Abdul Rahman”, ujar Aiman sambil menghulurkan tangan mahu berjabat tangan.

     “Erm...nama saya Ryanna.  Ryanna Low Abdullah.” Ryanna menyambut huluran tangan.

     “Oh, anak cina Islam rupanya.”

     “Apa encik kata?”

     “Er...tak ada apa-apa.  Saya kata awak ni boleh tahan juga orangnya”, puji Aiman. Ryanna tersipu malu.

     "Jadi sekarang macam mana cik Ryanna?.  Kalau awak tak nak bayar, saya cadang nak buat report polis je", sambung Aiman mahu menguji.

     "Eh, jangan!. Nanti dulu." Ryanna kelihatan gugup. Wajahnya merona merah.  Dia memikirkan sesuatu. 

     “Encik Aiman ni datang melancong kan?”

     “Mana cik Ryanna tau?”

     “Tu ada gantung kamera kat leher.”

     “Erm...ya. Saya seorang photographer.

     “Beginilah encik Aiman.  Saya tak cukup duit nak bayar awak.  Apa kata saya tebus kesalahan saya dengan menjadi tourist guide awak, macam mana?.”

     “Tourist guide?”

     "Yup."

     “Huh, tak berbaloi.”

     “Saya pasti encik Aiman akan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan saya.”

     “Awak nak bawa saya ke mana?. Awak kan penjual strawberry?” 

     “Jangan pandang saya sebelah mata encik Aiman.  Saya boleh bawa awak ke tempat-tempat menarik yang ramai pelancong belum jejaki seperti memanjat menara di puncak Gunung Brinchang, meneroka mossy forest yang kaya dengan flora dan fauna, kebun sayur di Blue Valley, kebun bunga di Jalan Syum Yip Leong, Perkampungan Orang Asli di Pos Trisu dan Pos Telimau dan juga mengambil gambar di puncak ladang teh di ladang Boh, Habu.  Kalau awak nak melihat ladang anggur di sempadan Lojing pun boleh tapi akan memakan masa.

     “Jika encik nak, saya boleh bawa encik ke tapak perkampungan Orang Asli yang baru di Sungai Ruil.  Ingat lagi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa yang berlaku pada 2011?”, sambung  gadis itu.

     “Ya, saya ingat. Awesome. Itu yang saya cari.  Saya setuju.  Bila kita nak bergerak.”

     “Sekarang.”

     “Sekarang?”

     “Ya, kalau lewat, menjelang lewat petang suhu makin rendah. Nanti awak tak tahan.” 

     “Oh, ye ke. Tapi awak nak bonceng saya atau cik nak naik kereta oren yang macam pelesit tu?”

     “Oh tak, tak.  Saya pun ada sebuah motorsikal jenis Vespa.”

     “Ha ha ha Vespa lama.”

     “Ya, Vespa keluaran 1946.” 

     "Boleh ke awak menunggangnya?”

     “Kita boleh rempit.  Tengok siapa yang menang.”

     “Wah, dahsyat awak ni ya.  Vespa buruk tu boleh panjat gunung Brinchang ke?”

     “Vespa saya lebih laju dari Norton semput awak.”

     “Wah, tak sangka, hebat-hebat orang Cameron ni ya.”

               Hari itu seperti yang dijanjikan, Ryanna dan Aiman menunggang motorsikal masing-masing menuju ke tempat-tempat seperti yang dikatakan oleh gadis itu.  Memang tepat dan benar kata Ryanna.  Banyak tempat menarik yang dikunjungi.  Aiman tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar yang cantik dan unik sebanyak mungkin. Akan ditunjukkan kepada rakan-rakannya yang lain gambar-gambar tersebut.  Mereka pasti tercengang dan kagum dengan hasil fotografi yang diambil. 

               Aiman menghargai jasa Ryanna.  Baginya gambar-gambar yang diambil di kawasan tanah tinggi itu adalah koleksi yang terbaik dan tidak ternilai harganya.  Dia berhasrat mahu mengabadikannya ke dalam sebuah buku dan akan di postkan di dalam blog nya kelak. Kunjungannya ke Cameron Highlands bukan sekadar percutian tapi satu pengalaman yang amat berharga.  Betul kata Ryanna, dengan menunggang motorsikal mereka boleh menjelajah ke pelusuk dan ceruk tanah tinggi itu.  

               Ryanna kini menjadi sahabatnya.  Dia tidak menyangka mempunyai minat yang sama iaitu meminati motorsikal klasik. Ryanna juga mencintai  keindahan alam semulajadi. Malah dia mula tertarik dan jatuh hati dengan keramahan gadis itu.  Sebagai kenangan dan ingatan, foto Ryanna dan kedai strawberrynya juga akan dimuatkan di dalam bukunya yang akan diterbitkan.  Buku barunya itu akan diberi judul, From CH With Love.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku