PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
309

Bacaan






NAMA AKU Lily. L. I. L. Y. Bukan Liliana...atau Norliyana..atau Lilian apa-apa. Memang hanya Lily.  Kalau korang tanya aku kat mana sekarang...aku akan jawab, aku ada di sebuah lobi bangunan pentadbiran sebuah kilang. Kilang ni baru juga kat area ni. Kawasan perkilangan di Bandar Baru Sultan Suleiman, Klang ni memang banyak kilang. Aku pun dah banyak kali bertukar kilang. Kilang ini, adalah kilang ke empat yang bakal jadi tempat kerja baru aku. Itupun kalau aku dipilih untuk bekerjalah...hehe..

Aku tengah tunggu turn interview. Ada ramai budak kat luar ni. Kat lobi ni. Bukan budak pun ada. Ada beberapa kakak-kakak yang turut sama menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke bilik temuduga yang terletak nun di kiri sudut sana. Penemuduganya cuma seorang. Tapi yang nak ditemuduga, aku agak-agak (sebab aku tak kira) adalah dalam 50 orang. Aku toleh sekelilingku. Ramai lelaki dari perempuan. Budak-budak yang aku kira baru habis SPM. Terus cari kerja. Macam aku dulu-dulu...

Ya...lepas habis SPM...belum sempat keputusan SPM aku keluar, aku dah kerja kat sebuah kilang yang berdekatan rumah. Kilang coklat. Huii...korang tak dapat bayangkan masa mula-mula aku dapat kerja kilang coklat tu. Memang best gila! Teruja sungguh. Bayangkan, depan mata kau ada berlambak coklat yang bertimbun-timbun! Lepas tu, kalau nasib kau baik...kalau ada coklat yang reject, apalagi...boleh telan la! Tapi jangan sampai supervisor nampak. Tapi, supervisor pun dua kali lima juga. Kalau ada coklat reject, dia bungkus bawa balik rumah. Aku sekadar curi makan sekeping dua saja. Nak cilok banyak-banyak, aku tak berani.


Okey. Habis cerita kilang coklat sampai di sini. Lain kali aku cerita lagi. Ada tiga orang lelaki dipanggil masuk ke bilik temuduga. Pak cik yang jadi penemuduga ni, ambil langkah bijak untuk cepatkan proses temuduga dengan memanggil tiga orang sekaligus untuk ditemuduga dalam satu masa. Jadi lebih cepat. Aku kerling kakak di sebelah kananku. Dia diam saja berpeluk tubuh dengan beg besar berwarna hitamnya. Aku kerling pula ke sebelah kiriku. Ada seorang lelaki yang tinggi lampai. Kulitnya putih. Orangnya agak pendiam. Dia kulihat datang seorang diri. Tak macam beberapa lelaki lain. Bersembang macam buat bertih jagung di hujung sudut, padahal sekejap lagi nak masuk interview. Aku tongkat dagu. Lemau menunggu giliran yang entah bila.


Tiba-tiba kulihat ada dua orang lelaki muda menghampiriku. Panik! Apasal ni? Mereka berdua tersengih lalu bertinggung di depanku memandangkan di situ cuma aku, kakak sebelah kanan aku dan lelaki sebelah kiri aku saja yang dapat duduk di sofa lobi itu. Bakinya, mereka terpaksa berdiri. Aku terus tarik ke belakang wajahku bila mereka tersenyum-senyum padaku.


“Assalamualaikum....dik, abang nak tanya sikit...” soal salah seorang dari mereka yang memakai baju t-shirt merah hati. Dia duduk betul-betul depan aku. Aku buat muka gusar. Siapa yang sepatutnya menemuduga aku ni? Aku tak jawab soalannya. Tapi sekadar pandang budak lelaki berdua tu.


“Boleh berkenalan tak?” soalnya dengan senyuman yang panjang. Ohhhh....aku rasa mulut aku nak melopong. Boleh pulak dia terjah kat situ untuk berkenalan dengan aku. 


“Abang tengok adik ni lawa betul...abang nak berkenalan boleh?” soalnya lagi tanpa malu. Dahlah ada kakak kat sebelah aku tu dok tengok-tengok. Aku gabra. Garu kepala. Aku rapat ke arah kakak di sebelah kanan aku. Takut dengan keberanian lelaki itu.


“Nama siapa dik?” soalnya lagi tanpa jemu. Dia dan kawannya masih bertinggung di depan aku. Sedangkan ada mata-mata lelaki lain yang sedang memandang. Aku hela nafas berat. Kupandang wajahnya dan selamba aku kata;


“Saya dah kahwin...” 


“Haaa??? Dah kahwin??” serentak dengan itu, dia saling berpandangan dengan kawannya. 


“Melepas.....” dia menepuk dahi lantas bangun dan berlalu dengan kawannya tergelak-gelak. Langsung dia tak minta maaf pun kat aku sebab kacau bini orang. Aku senyum sumbing. Hahahahhhaaruunn....aku gelak besar terguling-guling dalam hati. Padan muka! 


Ku jeling seimbas lalu, dia dan kawan-kawannya rancak ketawa. Agaknya lucu bercerita pada kawan-kawan yang dia sudah tersalah mengorat? Haa...elok juga. Aku pandang kakak di sebelah kananku. Dia tersenyum padaku. Aku senyum balik padanya.


Aku tertoleh pula ke kiri. Ke arah lelaki di sebelahku.  Pasti dia pun jadi saksi cerita tadi. Namun wajahnya tenang saja. Langsung tak ketawa atau senyum bila mata kami bersatu. Hmmhh...suka hati kaulah!







PAK CIK yang menemuduga aku tu, orangnya hitam manis, rambutnya tebal. Orangnya gendut.Perutnya macam perempuan mengandung 6 bulan. Okeylah tu kan...baru 6 bulan. Adalagi 3 bulan 10 hari....hehehe... Aku agak isterinya mesti pandai memasak. Maka sebab itu badannya jadi berisi macam ni.

“Lily?”soalnya padaku selepas dia menemuduga dua orang perempuan sebelumku yang turut ada sama dalam bilik temuduga.

“Ya..”aku angguk laju. macam askar je...

“Sebelum ni kerja kilang minuman. Kenapa berhenti?” soalnya padaku dengan senyuman yang lebar di bibir. Matanya tunak merenung wajahku. Pandangan itu selalu ku terima dari banyak lelaki.

“Tak larat minum air manis...” okey tak jawapan aku? At least aku jujur...

“Hahahhaa...”dia tergelak besar. Bergoyang-goyang perut gendutnya. Aku tengok saja perutnya yang menari.

“Kilang tu nak pindah ke Penang. Dah nak tutup. Jadi itu sebab saya datang minta kerjakat sini...” jawabku lagi. Alasan ni lagi keras macam konkrit kot. Dia mengangguk-angguk.

“Tak ada masalah...tak ada masalah...” dia menulis sesuatu ke atas kertas di tangannya. Aku kira jawapan aku tadi lulus kot...sebab tu muka dia happy saja. Tak macam temuduga budak lelaki. Mukanya asyik masam saja.

“Dah kahwin?” soalnya padaku. Bulat mata aku sekejap.

“Belum...”aku geleng. Dia senyum simpul kemudian tunduk mencatit sesuatu di borang kepunyaan aku. Kemudian dia mengangkat wajahnya dan memandang kami bertiga kembali.

“Saya boleh ambil ketiga-tiga anda semua untuk bekerja di sini. Tapi, kalau boleh kerjalah lama-lama. Jangan kerja dua tiga bulan, lepas tu berhenti pulak. Penat saya nak temuduga orang cari pekerja baru. Ya?” katanya dengan penuh harapan.Aku angguk sambil senyum.

“Okey..awak semua boleh keluar dan tunggu kat luar sekejap. Selepas ni, saya akan bawa semua pekerja yang lulus temuduga ke seksyen masing-masing...” pesannya. Kami bertiga angguk serentak dan bangun. Kami keluar dari bilik temuduga itu.








DARI 50 orang yang melalui proses temuduga, cuma 11 orang yang dipilih. Hanya 5 orang perempuan yang diambil bekerja. Selebihnya lelaki. Hmm...ini kilang  memproses alat elektronik. Jadi, mungkin tenaga kerja lelaki lebih diperlukan di sini. Itu aku punya pendapatlah. Aku berjalan laju mengikuti langkah pak cik tadi bersama dengan pekerja-pekerja yang lain. Oh ya...mamat yang mengorat aku tadi tu...tak terpilih untuk bekerja! Yahuuuu...Maka aku tak perlu tengok muka dia lagi!

Kami melalui beberapa bangunan yang ada nama seksyen di depannya. Bila setiap kali melalui beberapa seksyen, pak cik tadi akan menghantar beberapa pekerja baru ke situ. Mendengar dari cakapnya tadi, itulah seksyen untuk pekerja tersebut. Sudah 4 buah bangunan yang kami lewati. Dari 11 orang, kini dah tinggal 4 orang. Aku, dan tiga lelaki lain. Kupandang ketiga-tiga lelaki itu. Seorang,lelaki yang kukira macam jenis nerd aje. Dia pakai baju kemeja butang sampai ke leher. Rambutnya disapu gel sampai berkilau. Boleh buat cermin kat rambut dia tu. Macam orang nak pergi interview kerja pejabat saja. Padahal ini cuma temuduga untuk jawatan ‘Operator Pengeluaran’. Tak payah ikut dress code untuk temuduga la ye...

Seorang lagi, lelaki biasa. Ya...memang biasa. Dia pakai t-shirt dengan jeans dan mukanya pun macam orang biasa. Aku tak berminat nak tengok lama-lama muka dia.

Seorang lagi, lelaki yang duduk di sebelah kiri aku tadi. Mamat yang tinggi lampai dan putih tadi. Haa...yang ini muka jambu jugak. Aku ada selera lah juga nak study muka dia dan cara penampilan dia. Kemas juga mamat ni. Rambutnya disikat dengan stail tersendiri. Dia memakai t-shirt berkolar warna putih dan jeans biru. Siap dengan kasut kulit berwarna hitam yang berkilau bak cermin hikmat! Mirror...mirror...mirror  in the wall....ahhh...aku dah mula mengarut! Teringat pula babak dalam cerita SnowWhite tu.

“Mari...ikut saya..” panggil pak cik tadi lalu mengajak kami berempat mengekorinya ke sebuah bangunan yang ada di bahagian kiri kawasan kilang. Bangunan itu terletak bersebelahan dengan pondok bas kilang. Tempat menurunkan dan mengambil pekerja kilang setiap hari. Bangunan itu berdekatan dengan kawasan parkir motorsikal. Berderet motorsikal yang ada di situ. Macam-macam jenis. Sekali tengok, kalah kilang motor kot. Dalam tak sedar, kami sudah memasuki satu bangunan.

“Tunggu sini sekejap. Saya panggil admin seksyen ni...” kata pak cik tadi. Kami berpandangan sesama sendiri. Melihat ada sofa yang tersedia di lobi bangunan itu, laju saja punggungku duduk. Biarlah lelaki-lelaki tadi tak duduk. Aku kan perempuan. Mana larat nak berdiri lama-lama. Selepas itu, pak cik tadi datang kembali dengan seorang perempuan berbangsa cina. Dia memakai kemeja berwarna oren dan skirt paras lutut warna hitam. Umurnya aku kira, adalah dalam 40-an. Aku rasalah. Aku bangun.

So...ini Mrs. Chew. Dia akan bawa kamu semua ke tempat kerja kamu. Jika ada apa-apa masalah berkaitan kerja, kamu boleh jumpa dia. Kalau nak isi borang untuk apply asrama kilang pun, kamu jumpa dia lepas ni. Okey? Selamat bekerja...” kata pakcik itu tersenyum memandangku. Aku angguk. Kemudian dia pergi meninggalkan kami berempat di situ bersama Mrs. Chew.

“Ayob?”soal Mrs. Chew. Lelaki  nerd tadi angkat tangan. Mrs. Chew pandang.

“Firdaus..?”soal Mrs Chew sambil memandang borang di tangannya. Lelaki berkulit putih muka jambu tadi angkat tangan. Oh...Firdaus namanya...

“Hazlan?”kali ini lelaki biasa tadi angkat tangan. Mrs. Chew mangangguk. Dia memandangku.

“Then awak mesti Lily..” katanya. Aku angguk tanpa mengangkat tangan. Takkan Lily tu nama orang lelaki? Ada ke? Tak tahulah...zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Dulu pun, masa aku sekolah menengah, aku ada kawan lelaki sorang. Namanya Mohd. Hidayu. Tersekat jugak kerongkong aku masa mula-mula aku tahu nama dia. Budaknya memang nakal! Tak serupa langsung dengan namanya yang ‘Ayu’.

“Come...i’ll show you your place...” kata Mrs. Chew lalu berjalan. Kami berempat ikut. Satu pintu ditolak. Ada lorong panjang yang kosong. Kami jalan lagi.Hoho...waktu tu aku rasa macam berada dalam satu babak filem Teenage Mutant Ninja Turtle. Jalan dalam lorong yang agak panjang. Tapi, rupanya ada pintu di tengah-tengah lorong itu.Mrs. Chew tolak pintu itu.

Bzzzzz...bunyi mesin menerpa telinga. Ada 4 barisan mesin yang berjalan dengan deretan alatan elektronik di atasnya. Kebanyakannya adalah komponen televisyen, komputer dan alat audio. Pekerja-pekerja di situ, ada yang mencuri memandang ke arah kami bila kami masuk. Mrs. Chew berbual sesuatu dengan seorang lelaki berbangsa cina. Kemudian lelaki berbangsa cina itu menunjukkan beberapa tempat. Mrs. Chew kembali kepada kami.

“Awak duduk sini...awak pula duduk sini...” Mrs. Chew mengarahkan aku duduk di sebuah bangku. Aku duduk. Lelaki yang bernama Firdaus tadi duduk di kerusi sebelahku. Manakala dua lagi lelaki tadi dibawa Mrs. Chew ke arah barisan mesin di hadapan kami. Tempat mereka di sana. Barisan mesin itu kupandang. Alat komponen elektronik yang berjalan di atasnya kurenung. Aku sudah kena buat kerjakah hari ini? Aku sudah terpinga-pinga. Amboi...mentang-mentang dia cakap ‘immediate vacancies’..maka kerja pun ‘immediate’ jugak?

“Tak apa...nanti itu Jackie, you punya supervisor datang ajar you. Hari ni,kerja sampai pukul 12 saja. Sabtu memang halfday unless kalau you are required to do overtime. Okay?” tiba-tiba saja Mrs. Chew sudah berdiri di sebelahku.Aku pandang dia terkebil-kebil. Tapi aku angguk jugalah. Dia tersenyum lalu terus meninggalkan aku dan pekerja baru lain di situ. Aku telan air liur pekat.Apa aku nak buat ni???







Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku