PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab 1/1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
208

Bacaan






ADOIII.....ini yang aku tak suka kalau datang tempat baru! Tadi, masa datang pagi tadi, ayah yang hantar aku ke sini dengan lorinya. Lepas tu, dia terus pergi kerja. Aku disuruh naik bas pulang ke rumah. Walaupun aku tak biasa dengan tempat ni, aku redah juga. Masalahnya sekarang, aku tak tahu nak ambil bas kat mana. Seinci bayang bas awam pun aku tak nampak lalu di kawasan ni.  Aku keluarkan telefon. Lantas aku dail nombor telefon ayah. Nak tanya kat mana nak ambil bas untuk balik rumah. Tapi,panggilanku tak berjawab. Hmmm...mungkin ayah tengah memandu. Kalau dia tengah memandu, memang dia takkan angkat telefon. Kecuali, kalau mak tiri aku yang telefon!

Aku pandang ke kiri ke kanan. Tak tahu nak tuju arah mana. Beberapa motorsikal mat-mat kilang lalu di depan tempat aku berdiri. Bila betul-betul lalu depan aku, minyak dipulas makin kuat. Brenggg...brengg....amboi...hebat! Bajet hebatlah tu! Sesekali, mereka bersiul. Pelik kan orang lelaki ni? Tengah bawa motor pun, sempat lagi pandang orang, lepas tu bersiul macam panggil burung. Dia tak takut ke kalau-kalau motorsikalnya tu terlanggar kenderaan lain di depan? Atau melelong masuk ke dalam parit? Hmm...

“Nak balik mana?” satu suara tiba-tiba menyapaku. Aku pantas menoleh ke tepi. Lelaki berwajah jambu yang bernama Firdaus tadi sedang menolak motorsikalnya. Aku hairan juga. Apasal dia tak naik motor dia?

“Kenapa tolak motor?” soalan dia aku tak jawab lagi. Dia senyum sejemput.

“Minyak habis...tak perasan...” katanya. Aku pandang dia. Aloloolo...kesiannya minyak motor dia habis. Dia berhenti sejenak di sebelahku.

“Tahu tak, nak naik bas awam pergi bandar Klang kat mana?” soalku laju. Dia memandang jauh ke depan. Beberapa motorsikal mat kilang yang lalu di depan kami asyik memandang kami. Atau lebih tepat memandangku.

“Tu! Depan asrama kilang sana tu. Tapi kena seberang jalan ni dulu...” tunjuknya.Aku lihat ke arah jalan yang dia tunjuk. Nuuunnnn... di hujung sana. Ada dua batang jalan. Kemudian aku kena seberang jalan tu. Lepas tu, aku kena seberang satu lagi jalan. Mak ai...jauh gila. Penat mak cik kalau macam ni...

“Jomlah...aku pun nak pergi isi minyak kat Petronas sana...” ajaknya bila menyedari aku masih tercegat memandang jalan. Aku pun, angguk jelah. Daripada jalan seorang diri,baik aku jalan dengan dia ni. Muka pun nampak baik. Muka boleh percaya la...bukan muka pencuri ke...perogol ke... Lalu kami berjalan bersama menuju ke jalan depan.

Husband tak datang ambil?” soalnya sambil menolak motorsikalnya perlahan. Barangkali menyaingi langkahku yang agak lambat berbanding langkahnya. Aku sengih.

“Kau dengar mamat baju merah tadi ngorat aku?” soalku. Bila dia ber’kau’ ‘aku’dengan aku, aku pun ikut sama. Rasa senang pula mesra dengan dia. Dia angguk.Aku gelak besar.

“Bila masa aku kahwin...” aku gelak lagi. Dia memandangku terpinga-pinga.

“Tadi tu?”

“Aku tipulah...” aku gelak lagi. Macam lawak sangat... Dia makin bingung.

“Boleh pulak tipu macam tu....” keluhnya sambil menggeleng.

“Alah...aku dah banyak kali guna trick ni. Ini trick paling berkesan aku setakat ni. Terus cut short! Bukan sekali dua aku kena ngorat...” aku baru habis gelak. Dia menjungkit keningnya.

“Dengan aku-aku pun tertipu...” katanya perlahan. Dia senyum. Ada lesung pipit yang terukir di pipinya.

“Kau duduk mana?” soalnya.

“Sungai Udang...” balasku pendek.

“Tiga kali naik bas tu...” katanya perlahan. Aku mengecilkan mataku ke arahnya.

“Tiga kali?” soalku hairan. Dia angguk sambil mencongak sesuatu. Tanpa sedar, langkah kami sudah hampir sampai ke stesen minyak Petronas.

“Kau kena ambil bas dari sini ke Port Klang dulu. Dari Port Klang, baru kau ambil bas ke Bandar Klang. Lepas tu, dari Bandar Klang, baru kau ambil bas ke Sungai Udang...” katanya. Langkahku terus mati. Dia juga berhenti. Aku memandangnya tepat ke wajah. Aduhh...3 bas??? Aku seluk dompet.

“Berapa tambang bas tu?” soalku sambil menyeluk ke dalam dompetku. Ada beberapa ringgit sahaja. Aku bukan ada duit banyak hari ini. Tadi masa datang, tak sempat nak pergi ATM. Dia memandangku terkebil-kebil.

“Entah...”jawapnya. Aku mula panik.  Aku ni,kadang-kadang memang cepat datang penyakit gabra. Itu yang aku tak suka.Melihat duit yang ada tak sampai RM10, aku gelisah. Kupandang stesen minyak Petronas. Bibirku menguntum senyum. Aku boleh keluarkan duit dari mesin ATM di situ!






‘HARAP maaf. Urusan tergendala seketika’. Ada dua mesin ATM di situ. Tapi, dua-dua mesin ATM tak boleh pakai! Arggghhhh.....aku menjerit geram. Tapi jerit dalam hati sajalah. Kalau aku jerit kuat-kuat, silap-silap haribulan, aku tak sampai ke rumah nanti. Ada juga yang hantar aku ke Tanjung Rambutan. Aku masukkan balik kad bank ke dalam dompet dengan kasar. Tup! Tercabut zipnya.Argghhhh...dua kali nak jerit hari ni.

Langkahku kasar menolak daun pintu kaca stesen minyak. Macam mana sekarang ni! Aku pandang ke depan. Kulihat mamat bernama Firdaus tadi sudah mengisi minyak ke dalam tangki motorsikalnya. Sekarang dia sedang menyarung topi keledar. Dia memandang aku. Isy...macam mana ni? Kalau aku minta pinjam duit dia dulu boleh tak? Aku pulangkan semula esok. Dia kulihat sedang menghampiriku dengan motorsikalnya.

So?” soalnya.

“Apa yang so?” soalku dengan dahi berkerut.

“Dapat keluar duit?” soalnya tersenyum. Sesekali dia memulas minyak motorsikalnya di depanku.

“Mesin ngok ngek...” ujarku geram. Dia melopong.

“Habis tu..ada duit tak?” soalnya prihatin. Aku geleng sambil berpeluk tubuh.Tolonglah bagi aku pinjam RM20...please....Dia terdiam sejenak merenung ke depan.

“Aku hantar kau baliklah... Ada beran naik motor dengan aku?” soalnya tiba-tiba.Apa??? Nak hantar aku balik? Aku merenungnya tak percaya.

“Kau duduk mana?” soalku.

“Delek...”jawapnya selamba. Alah! Delek rupanya! Dekat saja dengan Sungai Udang.Tapi...aku renung lama ke wajahnya. Boleh ke aku percaya dengan dia ni? Dahlah baru kenal hari ni. Buatnya dia bawa aku pergi mana-mana karang, naya aku....

“Err...”aku dah keliru. Tak tahu nak buat keputusan. Tapi, aku rasa baik aku tolak. Banyak yang aku kena jawap  kalau mak tiri aku nampak aku menonggek atas motorsikal orang yang baru kenal nanti.Dahlah lelaki pula tu.

“Takpelah. Aku naik bas. Marah pulak mak aku nanti...” kataku sambil tersengih. Dia senyum.

“Takpe.Faham....” dia angguk. Kemudian menyeluk kocek jeansnya. Oh yes....mataku bersinar. Dia nak bagi pinjam duit! Leganya hati aku. Dia mengeluarkan dompetnya lalu beberapa keping not RM10 diambil.

“RM20 cukup?” soalnya. Aku angguk laju. Baiknya hati kau.....senyumku sampai ke telinga. Dia menyerahkan wang itu padaku. Aku ambil.

“Isnin aku bayar balik!” janjiku. Dia mengangguk lalu menutup penutup topi keledarnya.

“Aku balik dulu” katanya sebelum memulas minyak motorsikalnya. Aku senyum dan angguk. Lalu dia terus memecut laju membelah jalan pulang. Aku merenungnya hingga bayang motorsikalnya hilang. Selepas itu, aku terkocoh-kocoh memanjat jalan mencari bas untuk pulang ke rumah.





“DAPAT kerja Lily?” soal mak tiri aku sebaik aku sampai di muka pintu rumah. Aku membuka stoking di kaki lalu angguk.

“Dapat?”soalnya riang. Aku senyum.

“Dapat...itu yang balik lambat ni. Terus kena kerja sampai pukul 12 tadi...” kataku. Jam sudah pukul 3.30 petang. Gara-gara menunggu bas tadi, aku dah terlambat.Lagipun, aku sedikit keliru tadi nak pilih bas mana satu. Puas bertanya orang di stesen bas, barulah aku naik bas yang betul.

“Berapa gaji?” soal mak tiri aku teruja. Terus dia duduk di sebelah aku. Ada bangku kayu yang diletak di luar rumahku. Tempat mak tiri aku dan gengnya bersembang setiap petang. Kadang-kadang, jika bukan bersembang di depan rumahku, mereka akan bersembang di rumah jiranku. Ikut suka merekalah.

“RM1050 saja. Tapi, kilang tu boleh buat OT...” kataku. Kutahu gaji itu dari penjelasan pak cik yang menemuduga aku tadi.

“Hah!Bolehlah belanja mak cik dan Nini makan KFC...” seraya itu tangannya menepuk bahuku kuat. Tersedak aku sedikit dibuatnya. Aku sengih. Iyelah...KFC pun KFClah....nasib baik dia tak minta aku belanja makan kat Palace of the Golden Horses. Mahu terbang setengah bulan gaji aku belanja dia makan buffet makan malam di sana.

“Boleh...boleh...makcik, Lily lapar la...” kataku sambil mengerutkan wajah. Sejak tadi masih belum makan.

“Pergilah makan! Ada lauk kat dapur tu....mak cik nak pergi rumah Mak Jah kejap. Nak bagitahu dia yang kamu dah dapat kerja ni....” katanya sambil terus angkat punggung. Aku angguk saja. Mak tiri aku memang macam tu. Mulutnya memang cepat berjalan. Aku rasa, kalau nak dibandingkan dengan wartawan, dia lagi pantas menyebarkan berita. Mujurlah dia tak ada akaun facebook. Kalau tak, aku yakin dia jadi Mami Jarum paling tajam kat alam maya ni. Mataku melihat pemergiannya. Dia hanya memakai baju kurung kedah dengan kain batik. Di kepalanya, ada tudung ala-ala Ariani. Itulah uniformnya setiap hari.

Aku bangun masuk ke dalam rumah. Lalu terus menuju ke dapur. Lapar! Kupandang atas meja makan. Ada tudung saji. Aku buka tudung saji itu. Ada ikan goreng, sayur kangkung goreng belacan, gulai timun dan sotong rebus. Aku tak tunggu lama.Terus aku senduk nasi yang ada dalam periuk. Walaupun semua lauk sudah sejuk,tapi kutelan juga. Bila makan waktu lapar, semua benda pun rasa sedap. Makan ni...kata seorang ulama’,  kemuncaknya adalah kenyang. Jadi, aku tak kisah sangat bab makan ni. Makanlah apa saja,janji perutku kenyang. Adakalanya mak tiri aku malas nak memasak, dia hanya akan goreng ikan masin saja sebagai lauk. Aku telan saja. Malas nak banyak cerita.

Selalunya,kalau mak tiri aku malas memasak tu, aku tahu sangat apa sebabnya. Mesti dia minta duit belanja dari ayah aku, tapi ayah aku tak bagi. Yalah...sebagai seorang pemandu lori sepenuh masa, pendapatan ayah bergantung pada keadaan.Kalau ada banyak kerja, banyaklah duit ayah. Kadangkala, sehari boleh mencecah hingga RM5000. Tapi, kalau tak ada kerja, hmm...nak dapat RM150 pun susah.Jadi, mak tiri aku akan buat perangailah sikit bila ayah tak ada duit. Dia takkan memasak. Aku nak memasak, aku takut. Dapur tu...dia yang punya. Dia ni pantang juga kalau barang-barang di dapurnya berubah tempat. Aku cuma berani bancuh air atau goreng-goreng kuih saja. Kalau bab masak makanan berat ni,memang aku tak berani kacau peti sejuk.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku