PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
181

Bacaan






ARWAH MAK aku meninggal semasa aku tingkatan satu. Dia ada sakit barah. Dua tahun berperang dengan sakit barahnya, akhirnya dia pergi menemui Tuhan buat selamanya. Aku jadi yatim sejak saat itu. Kerja ayah yang tidak menentu, membuatkan aku sering ditinggalkan sendirian di rumah. Aku tahu, ayah memang tak mahu mencari kerja lain. Dia memang suka menjadi pemandu lori. Pekerjaan pemandu lori itu satu kerjaya dalam hidupnya sejak dia berumur 19 tahun lagi.Jadi, dia memang tidak reti nak buat kerja lain dah.

Bila dia dapat kerja menghantar barang ke luar daerah, dia akan risau. Kalau cuti sekolah, aku akan dibawa sama. Maka aku pun naiklah lori ikut dia pergi hantar barang. Kadang-kadang hingga ke Johor aku pergi. Kadang-kadang ke Kelantan. Wah..waktu tu rasa macam pergi bercuti pun ada. Tapi itulah....aku terpaksa tidur dalam lori. Kadang-kadang, bila ayah dah tak tahan mengantuk sangat, dia terpaksa berhenti di tepi lebuhraya atau di tepi mana-mana kawasan rehat untuk tidur. Memandangkan aku yang makin besar, dia makin bimbangkan aku.

Setahun selepas itu, semasa aku di tingkatan dua, ayah kahwin lagi. Kahwin dengan mak tiri aku ni lah. Namanya Normah. Tapi aku panggil dia ‘mak cik’ saja. Bagi aku,istilah ‘emak’ itu hanya ada pada arwah ibuku. Tidak ada pada perempuan lain.Biarpun dia isteri ayah, tapi aku lebih senang memanggilnya dengan panggilan‘mak cik’. Dia pun, bagai faham dengan keadaan aku, dia biarkan saja.

Maktiri aku ni, rupanya seorang janda. Janda anak satu. Waktu pertama kali dia datang ke rumah aku, dia masuk ke dalam rumah berpapasan dengan seorang budak perempuan yang umurnya 4 tahun lebih muda dariku. Sekelip mata aku dapat emak dan seorang adik perempuan! Bestkan?Waktu itu, aku dah terbayangkan satu babak dalam filem Cinderella.

Ohhhoo....mak tiri aku pasti akan suruh aku buat kerja rumah sampai hitam legam muka aku. Aku kena kemas rumah...memasak untuk dia dan anaknya dan semua baju-bajuku akan dirampas untuk anaknya! Anaknya pula akan menyuruh aku menyikat rambut,memakaikan dia baju dan mengurut badannya. Waaa...matilah aku macam ni! Aku nak meraung dah waktu tu. Tapi...sangkaanku meleset!

Mak tiri aku ni baik orangnya. Dia yang kematian suami dua tahun lalu,  menjaga aku dan ayahku dengan baik. Dia tak pernah marah-marah macam yang aku bayangkan. Cuma, dia ni mata duitan! Itu yang aku nampak pada sikapnya. Dia memang suka duit. Kalau sesiapa nak bodek dia, sogok saja dengan duit. Dia memang lupa diri. Bahaya mak tiri aku ni... Lagi satu, mulutnya memang becok. Dia memang suka bercakap. Nasib baiklah ayah aku ni jenis diam sikit. Kalau tak, bising satu rumah.

Tentang adik tiri aku tu...namanya Norhanisa. Tapi aku panggil dia Nini. Macam nama akukan? Lily....Nini... Budaknya sweet saja. Nini lemah lembut. Tak macam aku yang agak kasar. Nini juga lebih pandai dari aku. Dia punya keputusan SPM lebih baik dari aku. Maka sebab itu, dia dapat kerja di sebuah hospital swasta yang terkemuka sebagai penjaga kaunter pendaftaran. Kerja Nini memang tak menentu. Adakala, dia bekerja shift pagi. Adakala dia kerja shift petang. Kadang-kadang, dia kena shift malam...Tapi, gaji dia lagi banyak dari aku! Itu yang membuatkan mak tiri aku asyik membandingkan dia dengan aku.

Kalau nak ikut rasa kecil hati, memang kadang-kadang aku kecil hati dengan mak tiri aku. Nini balik kerja dilayan macam raja. Disendukkan nasi, disendukkan lauk ke pinggan, dituang air ke gelas...sambil-sambil tu dia dan Nini akan bersembang lembut. Tapi, tak sekali pun dia buat semua tu dengan aku. Memang aku sedih.Tapi aku sedar diri. Itu mak dia. Nini berhak dapat kasih sayang sebegitu. Sedangkan aku? Mak aku dah tak ada. Mengenangkan hal itu, aku jadi tidak kisah dengan layanan yang aku rasa berat sebelah tu. Nini memang ada emak. Aku tak ada emak.

Nini pula...bagai memahami aku, selalu baik dengan aku. Kami berkongsi bilik yang sama. Jadi, banyak rahsia yang kami kongsikan juga. Waktu aku sedih pun, Nini jugalah jadi pengubatnya. Sekarang kami sudah besar, masa dan kekangan kerja membuatkan kami jarang dapat berjumpa. Hari ini pula, Nini kerja shift malam. 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku