PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
311

Bacaan






“KERJA BAIK- BAIK...jangan merayau lepas kerja. Terus balik rumah...” pesan ayah sewaktu menghantarku ke kilang pagi Isnin itu . Aku angguk.

“Duit ada?” soal ayah lagi.

“Ada...”jawapku. Aku dah sediakan duit tambang awal-awal. Aku pun dah sediakan duit untuk bayar hutang si mamat yang bernama Firdaus tu. Aku tak mahu berhutang lama-lama dengan orang. Ayah membelok lorinya masuk ke simpang kilang tempat aku bekerja. Diperlahankan pemanduannya.

Ada beberapa bas kilang yang baru sampai pagi itu. Hari masih awal. Berduyun-duyun pekerja kilang turun dari bas berwarna biru itu.

“Ayah...kalau Lily nak duduk asrama kilang, boleh?” soalku.

“Kenapa?” soalnya pantas sambil memandang ke arahku. “Sunyilah ayah nanti...” sambungnya lagi.

“Alah...ayah pun bukan selalu ada kat rumah sejak dua tiga bulan ni....” getusku geram.

“Buat apa duduk asrama...duduk rumah lagi elok...” kata ayah lagi.

“Kalau hari-hari asyik berulang alik naik bas angkut-angkut ni...dah tu pulak 3 bas...kopaklah gaji Lily ayah...penat lagi...Itu kalau ada bas. Kalau bas tak ada...penat nak menunggu...” rungutku.

“Kamu nak motor? Nanti ayah belikan satu untuk kamu bawa ke kilang...” kata ayah lagi. Aku melongo sambil mataku terkebil-kebil memandang ayah. Kalau aku nak beli motorsikal, biarlah aku beli dengan wang gaji aku. Bukan dari duit ayah. Kalau ayah belikan aku motorsikal, bermakna ayah pun kena belikan satu lagi motorsikal untuk Nini. Kalau tak, matilah ayah kena kutuk dengan mak tiri aku. Sejak dulu lagi, apa saja ayah beli untuk aku, Nini pun kena dapat satu. Mak tiri aku memang akan pastikan  hal itu. Jadi, dari menyusahkan ayah aku, baik aku tolak.

“Tak payahlah ayah. Asrama kilang ada. Free je duduk situ. Bukan kena bayar pun. Motorsikal tu, nanti dululah. Biar Lily simpan duit dulu...bila dah banyak, baru boleh fikir nak beli motor...” kataku sengih. Dahi ayah berkerut mendengar jawapan aku. Dia terdiam lama. Lorinya diperlahankan sehinggalah tiba di depan pintu pagar kilang. Dia memberhentikan lori tanpa mematikan enjin.

“Tak susah ke duduk asrama nanti?” soal ayah gusar.

“Tak. Alah...nanti kalau cuti, Lily baliklah rumah. Bukan jauh pun. Ayah pun, kalau rindu kat Lily, boleh datang asrama jenguk Lily... Boleh ya ayah...” pujukku lagi. Ayah diam. Berfikir.

“Bolehlah...penat nak naik bas hari-hari...” aku menambah lagi. Mahu menambah perang psikologi kepadanya. Dia jungkit keningnya seraya mengeluh.

“Ikut kamulah. Tapi kalau susah, balik duduk rumah sajalah...tak payah duduk asrama..” katanya. Aku angguk. Tangannya cepat-cepat kusalami dan aku terus turun dari lori. Dia juga mahu pergi kerja selepas ini.






MASUK saja ke kilang, ke bangunan tempat aku bekerja, aku terus duduk di tempat semalam. Aku toleh ke sebelah kananku. Mamat tu belum datang. Tempatnya masih kosong. Deretan mesin yang dipanggil ‘line’oleh orang kilang kupandang. Line itu masih belum dipasang. Bila kerja bermula. barulah ia berjalan.

Secara dasarnya, kerja aku senang saja. Dalam satu barisan mesin itu, ada 8 orang yang akan menjalankan 8 kerja berbeza. Ia akan dimulakan dengan point pertama oleh orang pertama yang berada di hujung barisan ataupun line sekali. Orang pertama itu akan mengeluarkan komponen-komponen speaker untuk dipasang. Kemudian, bila dia siap memasang, line yang berjalan secara automatik itu akan menghantar komponen yang sudah siap dipasang itu kepada orang ke dua untuk pemasangan bahagian dalam speaker. Kemudian, hantar pula kepada orang ke tiga. Orang ke tiga akan memasang satu lagi alat bahagian luar speaker dan begitulah proses itu berjalan hingga tiba di tempatku. Aku jadi orang ke enam.

Kerjaku sebagai orang ke enam ialah untuk memeriksa kedua-dua belah komponen speaker antara bahagian belakang dan bahagian depan sama tinggi. Ada ukuran tertentu yang telah diberikan kepada aku. Jadi, kalau ada mana-mana speaker yang tinggi sebelah, aku akan reject! Hehe! Senang kan? Nampak macam senang. Tapi, hakikatnya aku berlawan dengan masa. Barang yang berjalan di atas line dengan laju secara automatik itu membuatkan aku kena buat kerja dengan cepat. Tak boleh leka. Kadang-kadang, bila line terlalu laju dan banyak barang yang kena reject,aku memang tak sempat nak tangkap kesemuanya. Tapi, menurut kata supervisor aku, lama-lama bila aku dah pandai, aku boleh atasi masalah itu.

“Hai dik...sorang je ke...” lamunan aku terbang hilang bila ada dua orang lelaki yang sedang berdiri di hadapan aku. Di seberang line tempat dudukku yang cuma 3 kaki lebarnya. Lantas aku mendongak memandang mereka berdua. Satu kepala botak, satu lagi memakai baju sejuk.Barangkali tak tahan dengan penghawa dingin kilang yang tak berapa nak sejuk?

“Sorang je la...” getus aku.

“Nama siapa dik...” soal si botak sambil tersengih-sengih. Aku senyum terkulat-kulat. Malasnyeeeee nak menjawab soalan macam ni pagi-pagi buta!  Aku tidak menjawab.

“Alah...sombonglah dia...tak nak kawanlah macam ni...” si baju sejuk itu menambah pula.Tersenyum-senyum simpul dia memandang aku. Kedua mereka kupandang lagi. Bahasa tubuh mereka kurenung. Mereka tidak dapat duduk tegak atau tenang. Tubuh mereka bergoyang-goyang ke kiri ke kanan macam ulat beluncas. Si baju sejuk pula,sekejap menyeluk kocek baju sejuknya,  sekejap menyeluk kocek seluarnya. Si botak pula, sekejap asyik garu kepala, sekejap asyik memandang ke arah pintu. Aku tersenyum simpul.

“Lily..”aku jawab jugalah. Serba salah juga tak nak jawab.

“Alahai...manisnya nama...macam nama bunga!” komen si botak tersengih menyeringai.

“Orangnya pun manis...” sambung si baju sejuk. Aku tersenyum.

“Dah kahwin?” soal si baju sejuk tanpa selindung. Hahaha...aku sengih sekali lagi. Part ni aku paling lemah. Kringgggg....deringan loceng berbunyi menandakan telah bermula. Kelam kabut dua mamat itu lari balik ke seksyen mereka. Aku ketawa gelihati. Derap tapak kaki yang laju kedengaran dari belakangku. Kutoleh ke belakang. Mamat yang bernama Firdaus itu termengah-mengah lari untuk duduk di tempatnya. Bunyi mesin mula kedengaran kuat. menandakan line sudah mahu berjalan.

“Lambat?”sapaku pada mamat di sebelahku. Dia angguk sambil menekan perutnya yang senak berlari barangkali. Dia meletakkan begnya di bawah meja.

“Rehat nanti...tunggu aku...aku nak bayar hutang..” kataku mencelah bunyi bising mesin yang sudah berjalan. Dia angguk saja sambil membetulkan urat-urat tangannya yang tegang sebelum memulakan kerja. Nun di hujung sana, orang pertama line kami sudah membuka kotak komponen speaker untuk memulakan pemasangan.








“DUIT kau...”hulurku. Dia ambil lalu terus memasukkan duit itu ke dalam kocek seluar jeansnya. Kerja kilang ni, yang seronoknya ialah kita boleh pakai jeans. Aku masih memakai t-shirt putih sementara menanti uniform kilang yang akan diberikan padaku petang nanti oleh supervisor aku.

“Nama kau Firdaus kan?” soalku. Asyik bersembang, tapi kami masih tidak berkenalan secara rasmi. Dia pandang aku dan angguk.

“Kau?” soalnya.

“Lily..”dia angguk.

“Aku nak panggil kau apa?”

“Daus..”

“Okey..”ujarku pendek. Kami terus berjalan bersama menuju ke kantin kilang. Dari jauh,aku lihat kantin kilang penuh. Di kilang itu ada tiga kali waktu rehat. Waktu rehat pertama, pukul 11.30 pagi hingga pukul 12.30 tengahari. Waktu kedua,pukul 12.30 tengahari hingga 1.30 petang. Rehat ketiga, jam 1.30 petang hingga 2.30 petang khas untuk kakitangan pentadbiran. Seksyen tempat aku bekerja, rehat pukul 12.30 hingga 1.30 petang. Jadual rehat itu dibuat sebegitu untuk  mengelakkan kesesakan di kantin pada waktu rehat.

Kulihat, 80% pekerja di kantin terdiri dari lelaki. Ada beberapa kerat saja perempuan.Tapi semua pekerja perempuan sibuk berkepit dengan mata air masing-masing. Kalau ada yang berehat sesama perempuan, itu geng mereka dan mereka tidak bergaul dengan perempuan lain. Tak geng katanya. Habis, aku yang baru kerja ni,mana nak cari geng perempuan untuk kubuat kawan? Berkerut seribu dahiku berfikir.

“Jom..”ajak Firdaus agar aku lebih pantas beratur di depan kaunter kantin kilang untuk mengambil nasi. Aku keluarkan kupon makanan yang kuperolehi pagi tadi dari supervisor aku. Begitu juga Firdaus. Untung juga kerja kilang besar-besar ni. Ada kupon makanan! Sekurang-kurangnya jimatlah juga duit aku.

Bila aku dah sampai ke kaunter makanan, aku jadi rambang mata nak pilih mana satu.Semua makanan sudah tersiap dihidang pinggan demi pinggan. Ada nasi, sayur kangkung goreng dan ayam seketul. Pilihan lagi satu, nasi, ikan goreng dan sayur rebus. Lagi satu pilihan yang boleh diambil, mee kari. Aku pilih mee kari sebab aku tengok kerangnya  besar-besar. Macam sedap saja. Firdaus memilih untuk makan nasi. Usai mengambil makanan dan menukarkannya dengan kupon makanan, kami berdua berjalan sama-sama mencari tempat duduk. Penuh!

“Macam mana?” kupandang dia. Dia pandang aku. Terpinga-pinga. Dia meliarkan matanya. Kemudian mulutnya dimuncungkan ke arah sebuah pokok berhampiran kantin. “Bawah pokok boleh?” soalnya padaku. Aku jungkit bahu. Bolehlah! Aku angguk. Lalu kami pergi duduk bersila di bawah pokok dan makan.

“”Kau asal dari mana?” soalku. Dia memandangku.

“Pendang,Kedah..Kau?” soalnya pula.

“Aku memang orang sini. Tapi...arwah mak aku, orang Perlis...Bapak aku orang jati sini. Orang jawa...” kataku tergelak. Dia tersengih lucu. Kami makan dengan tenang sambil menghirup angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dingin.

“Tapi muka kau tak macam jawa sangat...” kata Firdaus pula.

“Aku ikut muka arwah mak aku...mak aku keturunan india campur kahwin dengan orang siam..” jawapku.

“Kira...kau ni mixlah?” soalnya sekadar bergurau.Aku ketawa gelihati.

Mixlah...melayu campur jawa campur siam campur india...haa..macam mana tu?” aku gelak lagi. Dia juga kulihat tergelak.

“Tapi memang orang Kedah...orang Perlis...orang Penang..semua hidung macam Shah Rukh Khan dan Kajol kan...hidung tinggi-tinggi... sebab ada mix India..” kata Firdaus. Aku pandang mukanya. Hidungnya juga mancung.

“Yalah kot...”kataku pula. Kami makan lagi hingga licin satu pinggan. Tak tinggal habuk pun. Lapar punya pasal.

“Hari tu, kau balik rumah sampai pukul berapa?” soal Firdaus pula.

“Hmmhh...3.30 petang baru sampai rumah!” kataku geram. Dia tersengih.“Tunggu bas punya cerita...” tambahku lagi.

Apply asrama lah! Senang. Tak payah ulang alik...” sarannya sambil menghirup sirap ais. Aku angguk.

“Nanti rehat pukul 4.00 karang, aku nak pergi pejabat. Nak apply asrama...” kataku. Selepas rehat tengahari ini kami ada satu rehat lagi iaitu jam 4.00 petang hingga 4.15 petang.

“Aku nak ikut...” katanya pula. Aku memandangnya pelik.

“Duduk asrama lagi jimat minyak motor aku. Lagipun, aku tak payah duduk rumah sewa tulagi...” katanya memberi penerangan. Aku melopong. Hanya mampu angguk.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku