PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
214

Bacaan






TEPAT JAM 8.00 pagi esok harinya, aku sudah nampak Firdaus tercegat di depan pagar asramaku. Dia kulihat sedang berbual dengan pengawal keselamatan di pondok kawalan.  Langkah kulajukan ke arahnya.Tak mahu dia menunggu lebih lama.

“Awal...”sapaku padanya. Dia mengukir senyum lalu berjalan seiring denganku. Ada beberapa pekerja yang sedang menunggu bas kilang.

“Bukan awal. Tapi on time...” katanya pula. Aku tersenyum lebar. Kami melangkah laju menyusur jalan pintas melalui belakang asrama kerana jalannya lebih dekat dengan jarak kilang. Tak perlu berpusing di jalanraya yang besar. Ada juga beberapa pekerja yang melalui jalan itu untuk pergi kerja. Terutama pekerja kilang lain yang tidak menyediakan perkhidmatan bas kilang.

Room mate kau pergi kerja naik apa?”soal Firdaus tiba-tiba. Aku mengetap bibir sambil berfikir.

“Nita pergi dengan pakwe dia. Lin pergi dengan abang angkat dia. Kak Ja pergi naik kereta dia...” ujarku.

“Kau tak nak tumpang Kak Ja tu?” soal Firdaus sambil berjalan. Dia menyeluk kedua tangannya ke dalam kocek seluarnya. Barangkali dingin pagi itu menggigit tulang– temulangnya.

“Seganlah aku. Lagipun, dia pun bukannya ramah sangat...” sanggahku. Firdaus sekadar menjungkit kening. Kami berjalan lagi.

“Kau tak nak cari pakwe sorang? Boleh pergi kerja dengan pakwe kau...atau abang angkat ke...” ujar Firdaus sambil ketawa. Aku turut ketawa lucu.

“Hahah! Kau ingat senang ke nak cari pakwe...” getusku. Sesekali aku membetulkan tali beg sandang silang yang menghimpit dadaku.

“Tak cari...mana nak tahu susah ke senang...” Firdaus tergelak. Kami masih berjalan.

“Susahlah nak bercakap bab cari pakwe ni...sebab aku kalau boleh tak nak cari pakwe. Aku nak cari suami terus!” kataku.  Zungggg.... sebuah kereta meluncur laju di hadapan kami sebaik kami sampai di bibir jalan. Kilang sudah terbentang di seberang jalan. Firdaus memandangku ganjil. Dia mengetap bibirnya resah. Kami sama-sama menoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat keadaan lalu lintas.

Line clear! Jom!” laung Firdaus. Dengan laju, kami sama-sama berlari melintas jalan yang kosong sejenak. Tawa berhamburan bila seberang jalan sudah dicecah. Entah apa yang gembira sangat pun tak tahu. Tapi, tiba-tiba dapat berlari laju macam masuk marathon pagi-pagi buta ni seronok juga. Rasa macam kanak-kanak riang. Firdaus juga kulihat tersenyum lebar dengan kembang-kempis hidungnya. Menahan nafas yang mengah dan tercungap-cungap.

 




 

“CARI suami terus?” soal Firdaus sewaktu makan tengahari.  Kami makan di bawah pokok tempohari. Macam biasa, kami malas nak berebut kerusi di kantin dengan pekerja asing. Aku angguk.

“Macam mana nak buat suami kalau tak bercinta dulu? Takkan tak nak kenal dulu? ”soalnya lagi. Dia memandangku dengan seribu persoalan. Aku garu kepala yang tidak gatal. Bibir kuketap lama. Dia kulihat sempat merenung bibirku. Tapi cepat-cepat dia memandang mukaku pula.

“Aku tak nak membazir masa aku bercinta. Lagipun, aku tengok kawan-kawan aku bercinta...macam tak seronok saja. Mula-mula bercinta... masa mengorat memanglah indah. Tapi, bila dah lama-lama, asyik bergaduh. Semua benda nak diungkit. Waktu tu, kalau boleh korek balik lima sen untuk dipulangkan semula pada pakwe, pakwe diorang akan minta. Penat-penat bercinta bagai nak rak...tapi putus pula..” komenku. Firdaus tersenyum sinis padaku. Dia menggeleng. Barangkali menyesali kedengkelan otakku berfikir. Hey...itu pendapat aku! Hak aku...betul atau tidak...terserah pada aku.

“Tak ada orang yang nak bercinta untuk putus...” kata Firdaus seakan mengejekku.

“Memanglah....tapi kalau boleh aku tak nak senang-senang terima orang jadi pakwe aku. Aku ada kriteria aku sendiri untuk cari lelaki idaman aku...” kataku geram. Lantas Firdaus memandang wajahku.

“Ohh...jadi,kau dah ada ciri-ciri lelaki idaman kau? Haa..apa dia?” soal Firdaus tidak sabar. Aku memandangnya ragu-ragu. Bimbang hendak berterus terang dengannya. Aku takut kena gelak pula nanti. Lagipun, aku baru saja kenal si Firdaus ni. Takkanlah aku nak buka pekung di dada pula dengannya.

“Rahsia..”kataku sambil menarik muka masam. Dia mencebik.

“Rahsialah sangattttt....” getusnya dalam nada geram dan jengkel. Isy...meluat pula aku tengok si Firdaus ni.

“Ini rahsia aku. Kalau aku bagitahu kau, dah tak nama rahsia lagi...” gumamku.

“Bagitau aku je pun...bukannya orang lain...” dia nampaknya masih gigih nak tahu rahsia hati aku. Kesian pula tengok muka dia ni. Dahlah perantau di daerah ini. Mak bapak pula jauh di utara tanah air. Jadi, aku berlembut hati sedikit dengannya.

“Satu je aku bagitahu kau....tapi kau jangan gelak!” kataku garang. Tepat merenung anak matanya.

“Iyelah...”cuak saja mukanya aku tengok. Aku senyum meleret. Wajah lelaki kacak berkuda putih dan bertopeng muncul di benakku.

“Aku nak lelaki yang kaya. Lelaki tu, mesti seorang yang banyak duit, kaya raya...ada syarikat sendiri....ada kereta sport atau kereta mewah koman-koman pun lima bijik....”

“Oit!!! Kau ni hidup kat bulan ke?” pintas Firdaus tiba-tiba dengan riak muka garang.

“Apa pulak...lelaki macam tu wujudlah!” marahku.

“Kat mana? Ada depan mata kau ke? Kau pernah nampak?” soal Firdaus bertalu-talu.

“Ada! Lelaki macam tu wujud! Tapi of courselah bukan kat tempat macam ni! Bukan kat kawasan kilang ni.... aku percaya, aku akan jumpa lelaki macam tu satu hari nanti...” aku berkeras dengan pendapatku. Firdaus sengih sendirian sambil menggeleng kepalanya.

“Kau ni banyak beranganlah...” keluhnya sambil menyedut minumannya.

“Ini bukan angan-angan. Tapi impian...” aku sudah menanam hasrat. Aku akan mencari Prince Charming yang kutunggu-tunggu itu. Bila aku jumpa, akan kutunjukkan pada Firdaus. Biar terjojol biji matanya nanti tengok Prince Charming aku.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku