PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
203

Bacaan






TELEFON BIMBIT yang aku baru saja upgrade perisiannya semasa berjalan-jalan cari makan bersama Nini semalam kutatap bagai nak lumat. Waktu makan tengahari yang sepatutnya jadi waktu rehat dan makan untuk aku, kini aku gunakan untuk melayari internet menerusi telefon bimbitku. Firdaus yang asyik mengunyah di depanku sesekali mencuri-curi pandang ke arah telefon aku.

“Apa yang menarik sangat dengan telefon kau tu?” soalnya. Cemburu agaknya bila aku dah lebihkan telefon dari dia.

“Projek baru...” kataku dengan mata yang masih leka merenung tetingkap Facebook.

“Projek apa?” soal Firdaus hairan. Dia nampaknya sudah makan. Sesekali terdengar bunyi air yang dihirup dari straw. Srpp..srppp...tanda air dalam cawan plastik sudah habis, tapi masih lagi dihisap bakinya yang sudah tinggal setitik dua.

“Projek mencari Prince Charming...” jawapku.

“Buahahahahhhaha!!!!” dia ketawa kuat sambil menekan perutnya. Aku pandang wajahnya dengan garis tajam di dahi. Telefon dah aku ketepikan.

“Kau ni kenapa? Apa masalah kau ni sebenarnya? Asal aku berusaha nak realisasikan impian aku, kau ketawakan aku macam semua usaha ni satu misi mustahil..”marahku. Tawanya sudah surut.

“Haa...itulah! Aku baru nak cakap tadi. Ini memang mission impossible...” ujarnya dengan tawa yang masih bersisa. Aku merenyuk muka tanda geram. “Kat mana kau nak cari lelaki macam tu?” soalnya menambah kata-katanya tadi.

“Kau dengar dulu cerita aku boleh tak?” soalku geram. Naik jelak pula melihat mukanya yang asyik tergelak menyindirku.

“Ha...cerita cepat!” dia menadah telinga. Aku pandang cuping telinganya itu. Rasa macam nak curah saja air sirap ais aku ke dalam telinganya itu.

“Aku dan bincang dengan adik aku...”

“Kau ada adik?”

“Adik tiri...”

“Adik tiri??” bulat matanya memandangku.

“Jangan potong cakap aku!” pintasku cepat.

“Okey! Okey!” dia mengangkat tangan tanda serah diri. “Cerita..cerita..” sambungnya.

“Cakap kau memang betul. Susah nak jumpa lelaki kaya kalau kita sendiri bukan orang kaya. Kawan-kawan kita pun bukan orang kaya. Jadi...aku dah berbincang dengan adik aku. Langkah pertama untuk mencari lelaki kaya adalah, cari mereka di Facebook dan kemudian, add friend dengan mereka..” terangku.

“Kau ingat diorang nak terima ke kau jadi kawan diorang? Selalunya orang kaya ni , setahu aku lah....diorang set private account. Maknanya, bukan semua orang boleh tengok apa yang ada dalam FB diorang dan diorang,  bukan main terima je friend request dari sembarangan orang..” kata Firdaus. Aku menghela nafas berat. Alamak...macam mana ni? Aku garu kepala yang tidak gatal. Susah nih! Kenapalah aku dan Nini tak terfikirkan hal ni sebelum ni?

“Tapi...kitorang nak try jugak! Manalah tahu kalau-kalau ada yang tersangkut!” aku tak patah semangat. Firdaus merenung aku sejenak. Mukanya serius saja. Nampak gaya macam dia sedang membaca wajahku. Segera kualihkan pandanganku ke arah lain. Kemudian, aku pandang wajahnya semula.

“Kau ni nampaknya dah nekad...” katanya perlahan.

“Kau ingat aku main-main? Malam sikit arrr...” bentakku kecil. Dia angguk perlahan.

“Kalau macam tu, good luck! Bagitahu aku mana-mana part yang aku boleh tolong...” katanya pula dalam nada perlahan. Ada semacam je rasa bila aku dengar cara dia bercakap. Perlahan semacam...

“Haa...itulah gunanya kawan. Tolong bila susah. Bukan gelakkan kawan...” rungutku. Dia tak memberi sebarang reaksi padaku.

“Habis tu, apa progress kau sekarang?”soalnya ingin tahu. Aku melebarkan senyum lalu segera menunjukkan telefon bimbitku padanya.

“Kau tengok ni...aku dah hantar friend request kat 3 orang ni. Aku google dengan adik aku semalam dan jumpa nama orang ni dalam internet. Pak cik google kata, orang ni memang kaya.. kerabat lagi! Kalau nasib aku baik, diorang terima...” kataku sambil melarik jariku di atas skrin telefon bimbit. Beberapa wajah lelaki terpapar di skrin telefon. Firdaus meneliti satu demi satu maklumat yang aku khabarkan padanya.Dia lebih serius kali ini. Makin bersemangat aku nak teruskan projek ni.

“So...tunggulah nanti. Kita tengok sehari dua lagi!” aku tersenyum riang. Firdaus mengangguk. Dia mengemaskan sisa makanannya lalu bangun.

“Jom! Pergi surau...waktu Zohor dah masuk...” ajaknya. Aku telek jam di tangan. Sudah 1.20 petang. Sejak akhir-akhir ini, waktu solat masuk awal. Jadi, kesempatan ini boleh digunakan untuk sembahyang awal waktu sebelum waktu rehat habis. Aku bangun dan membuntuti langkah Firdaus.




BILA waktu kerja, telefon memang kena simpan dalam almari khas. Tak boleh bawa sekali samada dalam poket mahupun letak kat tepi saja. Telefon adalah barang terlarang sewaktu kerja. Sambil aku membuat kerja, fikiran aku dah mengelamun jauh. Hati aku penuh doa dan harapan agar mana-mana dari 3 lelaki kaya itu sudi terima aku jadi kawan mereka dalam Facebook.

Aku dah mula merangka pelan. Kalau mereka terima aku jadi kawan, mula-mula aku akan perhatikan saja mereka. Aku akan jadi stalker.Tengok apa status yang diorang muat naik...tengok apa aktiviti diorang dan aku akan study latar belakang mereka. Bila aku rasa dah cukup yakin untuk memulakan perbualan dengan mereka, baru akan hantar mesej peribadi.

Isy...tak nampak macam aku gatal sangat ke? Aku kan perempuan. Takkan perempuan nak mulakan dahulu salam perkenalan? Dah macam perigi buta cari timba. Tak syoklah kan? Kalau aku jadi lelaki pun, tak seronok berkawan dengan perempuan yang tiba-tiba datang terhegeh-hegeh nak berkenalan dengan kita dulu.

Habis tu macam mana? Kalau aku tak mulakan...bila aku nak dapat kawan orang kaya?Aduh...aku tepuk dahi. Geram. Rasa macam nak menangis. Buntu pun ada.Itulah...kan aku dah kata. Jangan cari cinta! Kalau cari cinta, inilah jadinya. Istilah cari cinta tu hanya boleh diapplikasi pada orang lelaki. Applikasilah pulak! Skemanya ayat aku. Macam ayat peraduan Sastera anjuran Utusan!

Jadi macam mana sekarang? Aku angkat wajah. Merenung ke depan, ada si Salman Khan celup yang sedang memandang aku sambil tangannya ligat membuat kerja. Dia pura-pura tunduk, berkerut dahi dan angkat wajah. Sama seperti lagak aku tadi barangkali. Hmmhh...aku senyum tawar padanya. Terima kasihlah sebab sedarkan aku bahawa aku sedang berangan... Dia juga turut tersenyum padaku. Aku senyum balik. Lawak pula melihat dia.

Si Salman Khan celup ni pun boleh tahan hensemnya. Muda lagi orangnya. Aku tak percaya kalau dia kata dia dah kahwin. Tubuhnya kurus saja. Tapi dia memang putih...tak macam rakan senegaranya yang lain. Mungkin lain kali aku boleh cuba bersembang dengannya? Mana tahu kan... Sesekali dapat bertukar-tukar fikiran dengan rakan dari negara asing, mungkin seronok juga. Nak tunggu aku sampai ke Bangladesh tu...mungkin takkanlah!





USAI solat Asar dalam rehat 20 minit yang pendek petang tadi, aku terus duduk di tempat kerjaku. Ku jeling di sebelah kiriku. Firdaus tiada di tempatnya. Barangkali masih di surau atau dia ke tandas melepaskan ‘hajat’. Aku masih lagi berfikir tentang cara hendak mencari lelaki kaya. Aku masih lagi berdoa agar Tuhan memberikan aku peluang untuk  berkawan dengan lelaki kaya. Doa...doa..doa! Itu saja yang aku ada. Sebagai muslim, doa disebut sebagai senjata mukmin. Dalam Islam, doa merupakan satu kuasa asbab berubahnya Qada’ dan Qadar. Bagi orang miskin, doa adalah satu harapan sebab  penyambung kehidupan. Maka berdoalah duhai hati tanpa putus asa. Mudah-mudahan, jika doa itu baik untuk kita, Allah akan mudahkan urusannya.

Tuk! Tiba-tiba mejaku diketuk dari depan dan sebatang tubuh lelaki berdiri tegak di depanku. Aku terus memandang wajahnya yang sudah tegak di hadapanku dengan senyum paling menawan di dunia.

“You apa nama?” soalnya dalam slanga Bangladesh yang pekat. Aku terkedu. Lopong mulutku. Baru senyum tadi, sekarang dia dah berani datang dekat dengan aku?Hii....Salman Khan celup ni...

“Err...”aku hilang butir bicara. Jadi canggung sekejap dengan kehadirannya yang datang secara tiba-tiba. Mataku meliar ke serata tempat dalam kilang. Beberapa timbunan kotak kulihat melambak di lantai di depanku. Ting! Mentol dalam otakku menyala. Aku tersengih.

“Err..Kotak!” kataku galak dan tersengih memandangnya. Dahinya berkerut.

“Kotak? Nama you kotak?” soalnya sekali lagi.Aku jungkit kening lalu angguk.

Yes....” jawapku penuh yakin. Dia tersenyum.

Can you talk English?” soalnya padaku. Aku terkesima. Perlahan-lahan, aku angguk.

Can...can...” walaupun Bahasa Inggeris aku sebenarnya berterabur, tapi tak salah pun kalau nak tunjuk lagak kan? Dia pun, takkan pandai sangat berbahasa Inggeris? Atau, sistem pendidikan di Bangladesh lebih baik dari Malaysia? Aku tak tahu!

“Good. Saya....sikit pandai cakap Melayu...but, if speak English, i can...” katanya lagi. Huhuhh...punah...ranap bahasa aku! Aku ketawa dengan kata-katanya. Melihat aku tergelak, dia pun sama-sama tersenyum. Saat itu juga, tiba-tiba Firdaus datang kepada kami. Dia memandang aku dan si Salman Khan celup silih berganti. Namun si Salman Khan celup ni masih tak berganjak dari mejaku sehinggalah siren berbunyi kuat. Tanda waktu rehat sudah habis.

“Okay Kotak... see you next time...”katanya lalu berlalu ke mejanya yang terletak nun selang beberapa line mesin dari aku. Aku senyum saja.

“Dah jumpa lelaki kaya ke?”” soal Firdaus tiba-tiba. Aku pantas mengalih pandang ke mukanya. Wajahnya tegang. Mesin mula berbunyi tanda kerja sudah berjalan.Firdaus kulihat terus memakai sarung tangan dan bersiap untuk memulakan tugas.Lantak kaulah nak kata apa! Ada aku kisah? 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku