PRINCE CHARMING UNTUK LILY.
Bab10/1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 Oktober 2017
SINOPSIS: Prince Charming Untuk Lily. Lily,seorang minah kilang, si kaki novel dan hantu drama cinta. Usianya muda belia. Hidupnya penuh angan-angan setinggi awan. Leka membuang usia, setelah bertemu Firdaus, baru dia terasa untuk mencari cinta. Cita-citanya hendak berkahwin dengan lelaki kaya, muda dan hensem! Lelaki impiannya mestilah ada kereta sport enam belas biji, muda sepertinya dan harus hensem tak hingat! Kalau dapat yang romantik, itu satu bonus. Wujudkah lelaki seperti itu? Bila diperlekehkan oleh Firdaus, semangatnya semakin membara. Bersama Nini, si adik tiri yang sekepala gila, dia gigih berusaha mencari lelaki seperti itu. Dia mahu buktikan pada Firdaus bahawa tiada impian yang mustahil untuk ditunaikan jika kita berusaha. Macam-macam cara dia buat. Macam-macam hal yang terjadi dalam misi mencari Prince Charmingnya. Dia rela buat apa saja asalkan impiannya tercapai. Namun, semakin dalam pencariannya, semakin banyak dia berbicara dengan Tuhan. Di saat dia sudah putus asa bila impian jadi kabur, muncul si Elyas Fateh Datuk Karim yang menjadi penyinar harapan. Impiannya kembali digali. Segalanya jadi mudah bila lelaki kaya raya itu memintanya untuk menjadi kekasih samaran. Hah! Pucuk dicita ulam mendatang! Sekarang kekasih samaran, lama-lama jadi kekasih betullah kan? Hidupnya berubah 360 darjah. Elyas Fateh benar-benar memukau pandangan. Elyas Fateh benar-benar lelaki impiannya. Elyas Fateh adalah Prince Charming yang dicari-carinya selama ini. Benarkah Elyas Fateh adalah Prince Charmingnya? Firdaus pula ke mana menghilang? Bila tiba di dua persimpangan, Lily buntu. Antara cita-cita dan cinta, yang mana satu harus dikejar.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
248

Bacaan






PETANG itu, sewaktu pulang dari kerja, saja aku jalan lambat-lambat menuju ke pintu pagar. Saja aku nak tengok samada Firdaus akan ikut aku balik atau tidak. Dia berjalan di hadapanku bersama seorang rakan lelaki dari seksyen yang sama. Laju langkahnya. Aku pun lajukan sikit langkahku. Takut tertinggal di belakang. Nun di luar pagar, bas kilang sudah menanti. Awal pula bas hari ini. Pekerja-pekerja kilang terutama yang lelaki terus berlari mendapatkan bas. Tidak mahu lewat kerana tak mahu berdiri dalam bas.

Aku masih berjalan. Firdaus kulihat menoleh ke belakang. Lebih tepat lagi, ke arahku. Cepat-cepat kupandang ke arah lain. Tak mahu tengok muka dia. Bila aku pandang ke depan, kulihat dia sudah memanjat tangga bas bersama rakannya. Aik???

Aku rasa nak menjerit geram saja waktu tu. Boleh pula dia bergayut dalam bas yang dah sesak macam tin sardin tu! Huh...suka hati kaulah labu. Aku tak mahu masuk campur. Bila melewati bas, aku terus belok ke kiri. Tandanya aku terus berjalan untuk pulang ke asrama. Bas menderum bunyinya. Tanda enjin sudah siap sedia untuk meluncur laju di jalan raya. Aku teguhkan kepalaku agar tidak menoleh ke arah bas yang sudah tertinggal di belakangku. Bas kulihat mula memintas langkahku. Habuk terbang merayap di udara dan menerpa rongga hidungku. Kupekup mukaku dengan tangan.

Lahabau punya bas! Kau tinggal asap je kat aku. Aku pandang bas yang sudah jauh meninggalkan aku. Firdaus ada di dalamnya. Cis...tak guna betul punya kawan. Baru bergaduh sikit dah merajuk setinggi gunung! Aku mendengus jelak.

Tiba-tiba kedengaran bunyi motorsikal menghampiri aku dari tepi. Pantas aku menoleh ke tepi. Seorang lelaki muda yang sedang menaiki motorsikal RXZ sedang mengekoriku dengan pemanduannya yang perlahan bagi menyaingi langkahku. Dia tersenyum.

“Sorang je ma?” soalnya. Ma? Siapa ‘Ma’? Aku tunduk sambil terus berjalan laju. Dia masih mengekori langkahku.

“Marilah naik dengan abe ma...” ajaknya dalam loghat Kelantan. Lembut bunyinya. Aku memandang dia yang masih memandu motorsikalnya dengan perlahan membuntuti langkahku. Perlahan aku geleng.

“Tak apalah...” aku senyum juga. Dia senyum. Sesekali dia menoleh ke belakang.

“Gaduh dengan abe ke ma? Tak payah susah la ma...mari naik dengan abe..” ajaknya lagi. Aku semakin rimas. Aku geleng lagi.

“Tak apa. Asrama dekat saja..” sungguh-sungguh aku menolak. Dia tersenyum-senyum.Dia memandang ke belakang lagi. Ada apa di belakang kami? Namun aku masih tunduk dan menghayun langkah dengan laju. Rasa macam nak terbang saja saat itu.Biar cepat sampai ke asrama.

“Alaa ma ni...tak sudi ke kawan dengan abe?Jangan gitu la...” masih lagi dia memujukku dengan loghat kampung halamannya. Aku menarik nafas panjang. Macam mana aku nak buat ni? Dah dua kali aku geleng. Dua kali aku kata tak nak. Dia masih tak faham ke? Bergunung rasa sebalku. Rasa nak marah. Tapi aku khuatir pula. Kalau aku marah sekarang, bencana mungkin tiba. Aku perempuan. Jalan seorang diri pula. Meskipun ada beberapa orang pekerja yang sedang berjalan sama waktu itu, tapi itu tak menjamin keselamatanku.

“Tak apalah be...lain kali sajolah...” aku menjawab dalam loghat Kelantan juga. Mungkin kali ni baru dia faham kot. Dia ketawa kecil.

“Kalu gaduh dengan abe pung...janganlah masam macam ni...” pujuk dia lagi. Aku terkesima. Gaduh dengan abang mana pulak ni. Dia menoleh ke belakang. Kali ini aku turut menoleh ke belakang juga. Ada apa di belakang kami hingga dua kali dia menoleh bila bercakap denganku. Aku pandang belakang.

Alamak! Kulihat Firdaus sedang berjalan perlahan di belakang kami. Firdaus? Langkahku mati. Mat Kelantan itu memandangku dan Firdaus silih berganti. Bila melihat aku merenung Firdaus dengan langkah kaki yang mati, dia memberhentikan juga motorsikalnya sejenak tanpa mematikan enjin.

Abe! Bakpo jalan lembab sangat???” aku menjerit kuat ke arah Firdaus. Firdaus kulihat terkedu. Namun dia melajukan langkahnya ke arahku. Aku memandang Mat Kelantan itu yang tersengih merenungku.

“Abe jalan dulu deh...” katanya lalu memulas minyak motorsikalnya laju. Aku angguk. Dia terus jalan ke depan. Kupandang pemergiannya dengan hati yang lega. Ada pula main paksa-paksa orang naik motor dengan dia. Tak masuk akal betul!

Firdaus sudah hampir denganku. Dia memandangku dengan serba salah.

“Bukan kau naik bas ke tadi?“ soalku hairan. Kini kami saling jalan beriringan.

“Dah naik...tapi kena tolak turun...” katanya.

“Hmmhh...iyelah tu! Menipu benar....” cebikku. Dia dan aku bagai dah lama berkawan. Kenal sangat aku dengan hatinya. Dia tak payahlah nak menipu aku. Aku tahu, dia masih bimbangkan aku. Jadi, sebab itu dia turun dari bas. Kan? Tapi tak payahlah aku cerita kat dia apa yang aku rasa ni. Bimbang nanti salah pula. Tak pasal-pasal dituduhnya aku perasan! Kami terus berjalan pulang bersama.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku