Endraloka
PROLOG
Genre: Fantasi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 05 Oktober 2017
Frauz digelar sebagai raja pencuri di kota Fionre. Pada satu hari Frauz ditangkap oleh kesatria kota dan dipenjarakan. Nazya merupakan gadis kesatria yang terkenal dengan gelaran Srikandi besi, dia bertemu dengan Frauz memintanya melakukan suatu misi rahsia dan sebagai balasan dia akan bantu melepaskan Frauz dari penjara. Tanpa berfikir panjang lagi Frauz bersetuju demi kebebasannya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
40

Bacaan






Bumi Negeri Endraloka bergoncangan tatkala ketumbukan tentera gasar pimpinan Maharaja Aryadura mengempur tiap pelusuk negeri itu. Bala tentera dari kerajaan Namron mara dengan begitu perkasa menumpaskan setiap kerajaan yang berada di benua Ishgan. Mereka bermula dari tanah air mereka yang terletak di utara Ishgarn, dan terus menumpaskan satu demi satu kerajaan yang berada di bumi Ishgarn. Negeri Endraloka menjadi negeri terakhir di bumi Ishgan yang mahu mereka takluki.

Derapan kaki tentera Namron berhenti di luar tembok Kota Fionre, ibukota pentadbiran kerajaan Endraloka. Keheningan menyelubungi suasana ketika itu. Maharaja Aryandura menunggang kuda tegap berbulu hitam, lengkap baju perisainya berukir harimau emas di dada. Dia menjulang pedang saktinya ke langit dan menjatuhkan bilah pedangnya menghala ke arah tembok Kota Fionre.

Sejurus kemudian, ribuan tunjahan bilah anak panah dilepaskan ke udara lalu menghujani para hamba rakyat yang berada di bahagian dalam tembok kota. Serentak dengan itu, para perajurit yang mempertahankan kota membuat serangan balas dengan menembak anak panah ke arah ketumbukan tentera Namron.

Di dalam istana di tengah kota, Raja Zabarjad membuat persiapan terakhir untuk bertembung dengan musuh. Ratu Iqlima memeluk putera dan puterinya untuk menenangkan mereka, mereka berada di dalam keadaan menakutkan. Selama ini bumi mereka begitu permai, kini bala datang menjengah membuatkan hati anak kecil itu ketakutan.

"Tuanku, sebelum tuanku ke medan perang izinkan patik katakan sesuatu." Tiba-tiba seorang wanita tua yang buta sebelah matanya muncul di sisi Raja Zabarjad.

"Cukup wahai ahlinujum negara, beta tidak lagi ingin mendengar akan segala ramalan itu, beta tidak akan lari, lebih baik berputih tulang daripada menjadi bacul." Muka Raja Zabarjad merah padam menahan amarah, dia tahu apa yang wanita tua itu ingin khabarkan kerana sejak kelmarin lagi wanita tua itu sudah ramalkan tentang kekalahan kerajaannya.

"Ampunkan patik tuanku, jika tuanku berkeras juga mahu ke medan perang, biarlah Ratu Iqlima dan dua cahayamata tuanku ini diselamatkan, mereka harus lari dari sini" cadang wanita tua itu.

Raja Zabarjad terdiam, ada benarnya juga kata Ahlinujum negara itu.

Tiba-tiba pintu balai istana ditolak deras. Udaderiz, general utama kesatria Endraloka melangkah masuk bersama beberapa orang kesatria lain. Mereka segera mendapatkan Raja Zabarjad.

"Tuanku, bala tentera Namron sudahpun berjaya memecahkan tembok pertahanan kita, patik rasa kita semua tidak punya peluang lagi, tuanku dan keluarga perlu melarikan diri." beritahu Udaderiz, nafasnya tercungap-cungap.

"Tidak! tidak sama sekali Udaderiz! Biar beta mati pertahankan negara beta, tidak sekalipun beta sanggup menjadi pengecut!" bentak Raja Zabarjad.

Satu terjahan bilah anak panah tepat menembusi salah seorang kesatria di situ secara tiba tiba-tiba. Darah memercik mengenai muka Raja Zabarjad.

Tanpa berlengah lagi, Raja Zabarjad terus menghunus pedangnya. Perisai besi dikeleknya di sebelah tangan lagi. Serangan tentera Namron sudah semakin mendekat.

"Ayuh! Kesatria sekelian, berjuang hingga ke titisan darah terakhir!" Raja Zabarjad melangkah berani untuk berdepan tentera Namron yang menyerbu masuk dari balai istana.

Udaderiz bersama beberapa kesatria lain juga berada di sisi raja yang mereka daulatkan. Mereka sudah bersumpah setia dengan seluruh jiwa mereka.

Ratu Iqlima memimpin puterinya. Manakala Nisda, salah seorang dayang istana memimpin sang putera untuk keluar dari istana melalui terowong rahsia. Ahlinujum negara yang bertukar menjadi kabus putih memacu arah perjalanan mereka untuk keluar dari situ.

Mereka keluar dari terowong gelap dan tiba di pinggir hutan.

"Ahlinujum negara, putera beta dimana? Nisda dimana?" Ratu Iqlima kegusaran sebaik sahaja menyadari puteranya dan Nisda tidak keluar daripada lohong terowong itu.

"Beta perlu berpatah arah untuk dapatkan mereka semula," tekad Ratu Iqlima, namun langkahannya terhenti apabila mendengar suara tentera musuh di hujung terowong itu.

"Tuanku, pergilah larikan diri dengan puteri, biar patik dapatkan Nisda dan putera, mungkin mereka tersilap arah." cadang Ahlinujum negara sebelum dia berubah kembali menjadi kabus dan masuk ke dalam terowong semula.

Ratu Iqlima tiada pilihan lain, dia terus memimpin tangan puterinya dan lari ke dalam hutan tebal. Air mata mengalir deras di pipinya, di hatinya mengharapkan puteranya dapat ditemukan oleh Ahlinujum negara. 







Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku