ASAM - MASA
Bab 3
Genre: Umum
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Oktober 2017
Perjuangan seorang insan bernama Aydee, merentas masa dan realiti. Sebuah kisah fiksyen separa kembara masa / parallel universe / alternate realities, di mana watak utama ini berubah dalam perjuangannya. Begitu juga kisah cintanya. Dialah serikandi. Dialah perwira. Dialah manusia. Dan dia adalah Aydee, pemilik kromosom unik. "...Dakwat yang paling pucat lebih bernilai dari memori yang terindah...", tutur HWA. Dalam dunia alternate reality 2026, Aydee dipertemukan Tua (si panglima dari abad ke-16), Jay (si pejuang yang digelar pemberontak) dan beberapa insan yang lain. Cinta, persahabatan, perjuangan bergaul menjadi satu. Gabungan insan-insan kerdil memerangi Paid yang memerintah secara diktator dan total, turut memerangi segala pendokong kebejatan. Aydee diburu SUKA (Sekretariat Untuk Keamanan Awam) dan segala balatenteranya seperti PADAM (Kementerian Propaganda Awam Dan Maklumat), hinggalah sabotaj makanan dan bekalan tenaga yang melibatkan DUKES (Kementerian Duit, Kewangan dan Sumber Tenaga) dan MAKAN (Kementerian Agrotani dan Kestabilan Asas Nutrisi). Segala-galanya kerana para pejuang ini enggan tunduk kepada arahan si kuku besi, "Patuh Dan Setia".
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
141

Bacaan






BAB 3

 

“Klinfilta”.

 

Aydee memandang dinding di sebelah meja yang kini didiaminya. Setelah sebentar tadi memeriksa informasi ketibaan keretapi berkelajuan tinggi dari Bangkok, dia merasakan masih ada masa untuknya untuk berehat seketika di kafe ini. Sekurang-kurangnya, dapatlah Aydee menyembunyikan wajahnya dari bertemu lagi si jejaka yang terkejut beruk tadi di dalam tandas!

 

Jenama Klinfilta tertera pada sebuah alat berwarna putih. Menurut telahan Aydee, ia adalah sebuah penapis udara. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, jualan penapis udara semakin laris, barangkali kerana habuk yang terlalu banyak di hutan besi ini. Mungkin juga kerana kewujudan musim jerebu sebagai musim ketiga selain musim hujan dan musim panas di Malaysia.

 

Dan Klinfilta adalah antara jenama termasyhur di rantau ini. Setidak-tidaknya, itulah yang baharu diucapkannya buat tatapan penonton berita jam lapan malam. Ya, masih segar di ingatannya, itulah antara berita yang dibacanya minggu lalu, pada malam ulangtahun ketiganya bekerja sebagai pembaca berita, kerjaya yang bermula pada tahun 2023.

 

Aydee tersenyum, dia yakin ‘Klinfilta’ itu sebuah permainan kreatif kosakata ‘clean’ dan ‘filter’. Barangkali, kemasyhurannya kelak akan mencecah populariti dan impak beberapa jenama yang kekal mengubah perbendaharaan kata warga tempatan. Jenama-jenama seperti ubat gigi, mi segera, penyembur aerosol racun serangga, marjerin dan diapers, dimana mereka memonopoli sebutan yang meniti di lidah-lidah pengguna. Sipa yang tidak mengenali Colgate, Maggi, Ridsect mahupun Pampers? Ataupun, jenama ‘Klinfilta’ ini mungkin juga menjadi seperti pelbagai perkataan lain yang kadangkala dipendekkan atau diadaptasi, seperti ‘pawagam’ untuk ‘panggung wayang gambar’, ‘swafoto’ untuk selfie, budaya pengambilan gambar diri sendiri, ataupun ‘swalayan’ sebagai terjemahan terbaharu self service. Fikir Aydee, mujur sahaja belum wujudnya istilah ‘swahepi’ untuk insan-insan yang gemar syok sendiri!

 

Insan yang memegang jawatan sebagai pembaca berita perdana jam lapan malam ini tersenyum sendirian. Sesekali dia menghirup kopi pekat, sambil membetulkan letaknya topi di kepala. Fikir Aydee, mujurlah dia gemar membaca. Si penagih ilmu ini tidak mahu kekal sebagai zulmat. Dan di waktu itulah dia terjumpa artikel sebuah sindrom genetik, sindrom yang memiliki nama persis jenama penapis udara.

 

Sindrom Klinefelter.

 

Dari pembacaannya beberapa tahun yang lalu, Aydee mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Meskipun dia dilahirkan memiliki organ kaum lelaki di bahagian hadapan bawah pusatnya, penampilan Aydee jauh berbeza. Dia lebih tinggi berbanding rakan-rakannya, lansing dan tidak memiliki sebarang facial hair. Bahkan, sebagai insan yang memiliki organ yang satu itu, amatlah pelik baginya tidak memiliki halkum dan tidak pula pernah mengalami pecah suara atau kegarauan sejak kecil. Ianya seumpama semua tanda-tanda fizikalnya sebagai lelaki terhenti sejak kelahirannya. Tambahan pula, sedari kecil, dia kaget apabila mengalami pendarahan haid!

 

Kepelikan itu akhirnya terungkai apabila Aydee menemui seorang doktor pakar. Menurut ujian asas yang dijalaninya, Aydee memiliki kromosom terakhir 47, XXY. Doktor terkejut, apatah lagi Aydee. Sesungguhnya, kebanyakan manusia punyai 46 set kromosom! Kelainan ini mengukuhkan lagi teori sang doktor bahawa Aydee sememangnya terkesan dengan sindrom Klinefelter, sesuatu yang wujud dalam satu kelahiran dalam seribu bayi lelaki yang muncul di dunia ini. Namun, menurut doktor yang sama, masih banyak ujian yang perlu dilakukan ke atas Aydee, kerana kebiasaannya penghidap sindrom ini dikelasifikasikan sebagai lelaki. Definasi yang diasaskan kromosom XY untuk lelaki dan kromoson XX pula untuk wanita.

 

Aydee menghirup lagi kopinya. Pahit. Sepahit realiti hidupnya yang penuh kejanggalan. Mindanya kembali mengingati tutur bicara si pakar perubatan.

 

“Aydee,we have to do further tests on you. Selalunya, insan yang affected oleh sindrom ini tidak pula melibatkan kewujudan kedua-dua organ jantina lelaki dan wanita, but you... You’re different. You’re unique!”.

 

Ya. Dia berbeza. Insan yang menunaikan pangilan alam melepaskan air kecil melalui anatomi organ yang terletak di bahagian hadapan badannya, meskipun dia juga pernah mengalami menstrual cycle!


Unik. Laksana selayaknya dijadikan pameran zoo bersangkar, untuk dikaji sains dan dikeji manusia.

 

* * *


Aydee yakin dirinya khunsa. True hermaphrodite. Intersex.

 

Fikir Aydee, barangkali segalanya berlaku kerana dia memiliki kadar hormon wanita yang tinggi secara semulajadi. Tambahan pula, sememangnya dia cenderung memilih untuk menjadi seorang lagi warga kaum Hawa.

 

Sememangnya, bapa si Aydee mahukan anak sulungnya ini menjadi lelaki. Tatkala melihat keberadaannya dahulu sebagai janin di usia trimester kedua kandungan sang ibu, bapanya begitu bahagia melihat imej paparan ultrasound. Namun, kegembiraan itu luput seawal saat pertama Aydee menghirup udara jagat ini.

 

Aydee bukannya tidak pernah cuba menjadi seorang lelaki. Dia yang dibesarkan dengan segala kelasakan dan tatasusila keras yang menjadi stereotaip komuniti telah mencuba sedaya-upaya. Bahkan, bagi pemilik tubuh yang teramat langsing ini, Aydee turut terlibat dalam pelbagai acara ‘sukan jantan’. Tidak cukup sekadar sepak takraw, hoki dan bola sepak, dia turut mencuba, meskipun lebih kepada paksarela untuk bermain ragbi! 


Ragbi. Sukan jantan. Amat fizikal.


Namun sayangnya, fizikal dan mukanya yang jambu membuatkan dirinya berterusan dibuli. Suaranya yang tidak pecah-pecah dan misai atau apajua facial hair yang tidak kunjung tumbuh membuatkan dirinya dan perlekeh menjadi sinonim. Pernah suatu ketika, guru kaunseling memanggil ibubapanya ke pejabat. Segalanya kerana Aydee telah melukis misai dan janggut palsu di mukanya dengan menggunakan pen hitam. Namun akhirnya, kini, gincu dan mekap asas juga yang kini mewarnai wajahnya sabanhari.

 

Pernah juga dia mencuba nasib, memaksa dirinya memiliki teman wanita. Meskipun Aydee amat memahami mereka (mungkin kerana hormon yang sama turut menghuni jasadnya), dia acapkali ditinggalkan apabila mereka tahu dia bukanlah lelaki sebenar. Jiwanya mula memberontak. 


Apakah sebenarnya definasi lelaki sejati? 

Bermisai?

Berjanggut? 

Merokok? 

Berseluar? 

Bersuara lantang? 

Duduknya mesti terkangkang?

Besar halkumnya? 


Apakah klasifikasi itu sekadar bergantung kepada benda-benda fizikal, atau ianya juga melibatkan tanggungjawab? 


Bagaimana pula perihal bersolat Jumaat? 

Mengimamkan jemaah? 

Memelihara kesucian kaum Hawa? 


Jiwanya kacau. Kekerasan stereotaip merenggutnya ke sisi lain.

 

Segalanya menjadi semakin gelap buat Aydee tatkala dia mengalami periodnya yang pertama. Dia terkantoi. Walaupun pada awalnya, bekas kekasihnya itu menyangka si Aydee buasir atau berak darah, semua kekusutan terurai apabila si gadis itu menemui tuala wanita di dalam beg sandang milik Aydee. Hubungan mereka lebur begitu sahaja tanpa sebutir sekalipun ucapan perpisahan. 


Sadis.

 

Namun, meskipun Aydee lebih cenderung menjadi wanita, tidak pula sesekali dia membiarkan penolakan cinta sebagai alasan. Iya, segalanya itu mempengaruhinya hingga kini dia galak mengambil ubatan dan hormon sintetik yang merencatkan penghasilan semulajadi hormon-hormon jantan mengikut blueprint DNA dan RNA miliknya, tetapi Aydee tetap tidak akan setuju menggunakan kekecewaan alam percintaan sebagai alasan.

 

Sekali lagi kepalanya berdenyut. Pantas dia membuka plastik berisi asam. Dikumamnya. Ah, lega sedikit. Entah berapa banyak bungkusan asam dan jeruk yang sudah disantakkan ke perutnya. Andai diukur kandungan garam sodium, apatah lagi MSG (mono sodium glutamate), entah berapa kilogramlah agaknya yang menepu dalam saluran pembuluh darah insan ini.

 

Aydee tersenyum tatkala teringat nasihat si doktor kepadanya agak menghentikan atau sekurang-kurangnya menurunkan seketika pengambilan segala ubat hormone. Bak kata Doktor James, dia harus membiarkan badannya dan masa menentukan sendiri apakah yang wajar dilakukannya. Keberlangsungan penghasilan hormon mungkin sesuai dijadikan penanda aras jantinanya secara biologi. Ya, Doktor James memang berkeras tidak mahu menggunakan ubat-ubatan sebagai suatu gangguan atau intervensi penentuan jantina khunsa. Menurutnya, kesan terhadap organ-organ lain dan otak masih belum difahami sepenuhnya para doktor dan saintis. Bahkan, jelas si pakar perubatan, kalau diikutkan konsep LeChatelier’s Principle, setiap peningkatan mendadak sesuatu bahan kimia atau hormon boleh mengakibatkan kesan songsang. Sama juga seperti undang-undang fizik, Newton’s Third Law of Motion. Segalanya demi mencapai suatu equilibrium, keseimbangan. Namun Aydee masih berdegil.


Kedegilan yang membentak keras menentang konsep alam. Konsep entropi, di mana sememangnya alam ini secara semulajadi akan menuju kerawakan dan kemusnahan, tahap di mana setiap aturan yang dibuat perlahan-lahan merosot.

 

* * *


Kedegilannya sesuai benar dengan namanya. Aydee, suatu nama yang bermaksud ‘tangan’, ‘kuasa’,‘kekuatan’, dan ‘keupayaan’. Memang benar, insan ini bernama Aydee, A-Y-D-E-E. Itulah nama yang dimilikinya semenjak lahir ke dunia. Itu nama aslinya, bukan sesuatu nama yang direka-reka. 


Ia bukanlah seperti Salleh yang berubah menjadi Sally. 

Bukan juga seperti Michael yang menjadi Michelle, atau Zaitun yang dijantankan menjadi Zack. 

Ataupun Sajjad yang tersejat, waima sekalipun Saifuddin yang magisnya menjadi Safiey.


Insan istimewa ini tetap setia dengan namanya. Nama yang unik secocok dengan pemilik kromosom yang unik. Andai ada yang mengatakan bahawa nama-nama yang berakhiran -i atau -ee bersifat feminin, bagaimana pula dengan nama-nama seperti Mazlee atau Ramlee? Tidak, sesekali tidak Aydee ingin cuba mengubah namanya! Nama itu identiti, tidak berubah. Aydee bukanlah seperti insan-insan nakal yang cuba menambah lengkuk pada angka 3 di penghujung MyKad agar menjadi 8, dan begitu juga bukanlah dia seperti insan-insan sebaliknya yang cuba memaskulinkan kad akuan diri mereka dengan cuba memadamkan lengkuk 8 agar menjadi jantan segera!

 

Aydee itu nama yang bersifat uniseks, milik kedua-dua jantina. Ia sebaris dengan nama-nama lain seperti Jamie, Fairuz, Helmi, Azmi mahupun Aiman.

 

Kini, Aydee selesa hidup sebagai seorang wanita. Cuma, kadang-kadang apabila dia sudah tidak mampu bersabar dan tidak tahan tandas wanita yang senantiasa penuh, dia masih curi-curi masuk ke tandas lelaki. Sesuatu yang tidak begitu ketara buatnya yang lebih gemar memilih pakaian yang neutral. Jeans dan t-shirt. Tambahan pula, dadanya agak flat, tidaklah serata landasan di lapangan terbang, cuma bentuknya lebih sedikit lekuknya dari kesan gigitan kerengga.

 

Aydee tersentak. Ada getaran dalam poket kiri seluarnya. Cepat-cepat diseluknya dan dikeluarkan gajet itu, khuatir kalau-kalau ada panggilan atau mesej penting, terutamanya dari keluarga.

 

Oh, rupa-rupanya ia hanyalah alarm dari SARAH yang membuatkan gajetnya ‘menggigil’. Mata Aydee perlahan menyoroti skrin. Ah, dalam masa 8 minit lagi dia harus bergegas ke terminal keretapi laju HSR di aras bawah tanah. Sistem Aturcara dan Rekomendasi Arah Halatuju (atau singkatannya SARAH) sememangnya kini sudah menjadi satu keperluan untuk semua insan. Kewujudannya yang didokong penyelarasan semua data ketibaan dan pelepasan serta real-time tracking menggunakan GPS bagi setiap pengangkutan awam, baik yang di darat, di laut mahupun yang berterbangan di udara membolehkan para pengguna mengetahui dengan tepat bilakah mereka harus bergerak ke nod-nod terminal pengangkutan. 


Lagipun, peningkatan penggunaan kod-kod QR (Quick Response) untuk setiap peristiwa dan notis mesyuarat, termasuklah juga trend terkini dalam kad jemputan kahwin memudahkan perkongsian maklumat mengenai alamat, lokasi, masa dan segala contact details. Dalam era komunikasi tanpa batasan, SARAH menjadi pembantu peribadi setiap insan dalam merancang aturcara dan arah halatuju mereka. Dengan hanya mengimbas kod-kod QR seperti imbasan tiket keretapi laju HSR yang dilakukan Aydee malam tadi, SARAH akan secara automatik memaklumkan pengguna bilakah mereka harus bergerak, ke arah manakah mereka harus bergerak, dan jenis pengangkutan awam manakah yang harus digunakan agar menjadi lebih efisien. Ternyata, sistem yang diasaskan usahawan tempatan (dengan bantuan geran kewangan dari MIGHT) ini menggunakan sepenuhnya kemampuan keseluruhan sistem dan perisian, hardware dan software. Bahkan, kerana ia mampu mengemaskini data keadaan trafik jalanraya di samping dalam masa yang sama boleh digunakan untuk menghantar pesanan ringkas, SARAH menjadi applikasi digital nombor wahid di negara ini. Ia jauh berada di hadapan applikasi mudahalih lain seperti Ways, KugelMaps, WATTspeak bahkan juga efbi.

 

Kebolehannya mengatur jadual kehidupan dan perjalanan sememangnya memudahkan, meskipun kadangkala ianya mengerikan. Apakan tidaknya, dengan maklumat dari SARAH, papantanda-papantanda digital elektronik kini mampu mengubah dan memaparkan iklan yang bersesuaian mengikut aturcara dan perjalanan si pengguna applikasi yang berdekatan. Aydee pasti, andai ada seorang bapa yang sudah membeli tiket transit ke Melaka bagi seisi keluarganya, insan itu akan sedikit gusar perihal ketebalan isi dompetnya apabila mendekati deretan papantanda bijak digital. Persis penjual yang berakal, kelipan-kelipan LCD akan mula memaparkan iklan-iklan jualan murah ataupun tarikan taman tema terkini di bandaraya bersejarah, sesuai dengan 'pengetahuan' mereka yang kelompok insan ini akan menghala ke sana. Informasi sebegini pastinya menambat hati sang isteri dan anak-anak yang seterusnya akan pula mengatur strategi memujuk si bapa untuk berbelanja! Aduh, begitulah kreatifnya dunia pemasaran masakini. Aydee tersenyum, pada tahun 2026, sudah tiada lagi kedapatan iklan pukulrata yang kadang-kadang dahulunya selalu serkap jarang dan agak rendah potensi pulangannya. Umpama mengiklankan barangan bayi kepada pasangan yang belum bernikah. Namun, setidak-tidaknya, kuranglah rancaknya kadar pengurangan ketebalan isi dompet!

 

Sungguh, apabila kita menggunakan perkhidmatan yang percuma, kitalah yang sebenarnya menjadi produk untuk diperdagangkan.


Aydee menekan punat tertentu di gajetnya. Skrin kembali bersinar dan gajetnya mulai bersuara.


“Aydee, sila bergerak turun ke aras bawah dalam tempoh lima minit. Belok ke kanan dan berjalan sekitar 50 meter ke lokasi seterusnya. Anggaran masa menuruni anaktangga A atau syaf lif C4 adalah 5 minit. Tren HSR ke destinasi anda akan tiba di platform A1 tepat pada...”, suara digital SARAH dimatikan Aydee. Dia sudah mengambil maklum.

 

Tangannya kembali melorot ke bawah, gajet diselitkan kembali ke dalam koceknya. Akan tetapi, rasa terkejut tadi masih ada. Tangannya tanpa sengaja tersangkut dan menyelak sebahagian kecil baju yang membaluti tubuhnya.

 

Dan tanda kelahirannya pun kelihatan. Sebuah birthmark jenis port-wine stain, yang turut dikenali sebagai nevus flammeus ada di tubuhnya. Tanda kelahirannya mirip apa yang dimiliki Mikhail Gorbachev. Hanya sahaja bagi encik Gorbachev, tanda kelahiran itu jelas terpamer di sisi kanan kepalanya, manakala bagi si Aydee, tanda yang berbentuk ala-ala simbol ȹ terdapat kira-kira seinci di bawah pusatnya. Birthmark yang seakan-akan wajah Janus, dewa dalam mitologi Romawi yang memiliki dua kepala telah kekal menemaninya semenjak lahir. Bahkan menurut gurauan kasar sahabat-sahabat akrabnya, itulah identiti pengenalan Aydee yang kekal abadi, tanda pengecaman mayat seandainya dia kemalangan.

 

Aydee membetulkan bajunya dan menghirup baki kopi. Dia memang gemar memakai pakaian sebegitu, longgar, selesa dan neutral jantina. Pemakaiannya hanya berubah menjadi skirt dan segala pakaian feminin korporat di tempat kerja. Tugasannya sebagai pembaca berita memerlukannya begitu. Namun sesekali Aydee tertanya juga, kenapa begitu peliknya norma kebiasaan. Bukankah masyarakatnya itu selalu mendabik dada sebagai ummah Melayu yang semestinya Islam? Jadi, mengapa imej korporat ala keBaratan yang wajib ditonjolkan? Mengapakah korporat itu mesti membuka aurat? 


Korporat, atau keparat?

 

Aydee tersedak. Itu tanda serdak dan habuk kopi sudah berhinggapan di tekak. Tonsilnya juga sudah mulai mengering dan tampil kemerahan. Ah, barangkali juga kerana asam dan beberapa butir ubat hormon yang semakin kerap ditelannya. Kekerapan yang makin menjadi-jadi semenjak Aydee mengetahui wujudnya perasaan si jurukamera kepadanya. 


Meskipun pada awalnya Aydee menolak kerana dia sememangnya sedar mamat kacak dan berbadan sasa itu ramai peminatnya dari golongan wanita (dan juga kumpulan mak nyah tukang mekap), namun ternyata lelaki itu benar-benar meminatinya. Sudah berkali-kali mereka keluar makan bersama. Jumlah tiket wayang yang ditonton bersama juga telah mulai berkepuk banyaknya (menghampiri ketebalan buku telefon), dan lelaki itu benar-benar jujur serta menghormatinya. Tangannya bukanlah Spiderman, jauh juga dari lagak persis gitaris yang menari-nari merayap ke sana ke sini. Namun, Aydee masih takut untuk memberitahunya perkara sebenar. Sudah hampir 10 tahun dia menyembunyikan identitinya sebagai khunsa, biarpun sudah terdetik azamnya untuk berterus-terang apabila dia pulang kelak dari Selatan tanahair.

 

* * *


Rahsianya sebagai khunsa hanya pernah terbocor di kalangan jurumekap. Itupun kerana kecelakaan berlaku apabila ubat hormonnya tercicir dari beg sandang yang selalu menemani Aydee!

 

Pada awalnya, ‘abang-abang patah’ itu memarahinya, lebih-lebih lagi mereka menganggap Aydee pesaing terkuat untuk fokus dan hati si jurukamera. Namun akhirnya mereka sibuk menanyakan di manakah si pembaca berita itu membuat pembedahan untuk menjadi wanita! Akhirnya Aydee terpaksa membocorkan rahsia dan membuktikan dirinya khunsa.

 

Aydee bukan seperti mereka. Dia bencikan mak nyah. Dia benci pengkid. Dia membenci mereka yang keliru atau acah-acah keliru dengan jantina diri. 


Dan dia turut membenci dirinya.

 

Dalam kekalutannya mengemaskan semua barang-barangnya untuk bersiap dan turun ke platform A1 di aras bawah tanah, perhatiannya dicuri gelaktawa suara garau yang konon-konon cuba memfemininkan diri. Matanya menyorot dua tubuh yang menghuni sebuah meja di penjuru kafe. Ah, seorang pengkid dengan seorang nyah? 


Mesra, berpegangan tangan. 


Meskipun dari jauh, Aydee pasti yang si ‘jantan’ itu bukanlah yang semulajadi. Duduknya terlalu terkangkang, menyerlahkan kemaskulinannya yang dibuat-buat. Rambut yang dicacakkan dengan entah berapa botol krim pengeras rambut, baju yang sedikit longgar bagi menutupi bungkusan kain yang menggulung ketat menutupi dada dan wajah yang terlalu bersih dari barang sehelai misai atau janggut turut mengkhianatinya. 


Namun, gaya si nyah terlalu mengelirukan. Rambut… mak ai cantiknya! Lurus! Boleh dibuat iklan syampu kalau dikibas-kibas. Sekilas pandang, andai ada mata yang bersinggah melihat ‘wanita’ jadian itu, mungkin ada yang terpana melihat gaya pemakaian dan cara lentik tubuhnya. Bahkan mungkin ada yang menyumpah kebangangan si ‘wanita’ yang masih mencari ‘jantan’ yang bukan sejati. Namun, gelaktawa dari halkum yang cuba disembunyikan masih mengkhianti si nyah. Lelaki tetap seorang lelaki.

 

Aydee meneruskan langkahnya ke arah syif lif C4 meskipun matanya entah kenapa masih terpaku pada si ‘wanita’ jadian. Mungkin tertarik dengan deria fesyen miliknya. Cepat-cepat Aydee mengalihkan pandangannya setelah dia perasan pengkid itu berkali-kali menjelingnya. 


Aydee tersenyum, fikirnya, barangkali pengkid itu risau dia akan sailang si awek. Atau barangkali juga pengkid itu menyangka Aydee itu sekumpulan dengannya! Aydee tergelak sendirian. Fikirnya, pasangan ini terlalu confuse. Yang perempuannya sibuk hendak menjadi lelaki, meskipun akhirnya memilih lelaki yang sibuk ingin menjadi perempuan!

 

Tapi, sekurang-kurangnya, mereka boleh bernikah. Bahkan boleh beranak-pinak, meskipun fungsi mereka kini bakal menyongsang ke asalnya. Kunci yang menyamar menjadi mangga akan kembali menjadi kunci, dan begitulah sebaliknya.


Bukan seperti Aydee. Dia yang masih tidak tentu jantan betinanya.

 

Aydee menghentikan langkahnya sambil menunggu ketibaan kenderaan vertikal di syaf lif C4. Tiba-tiba dia teringat, dia harus memeriksa keberadaan MyKadnya. Wajib buatnya memastikan kad plastik terpenting di dunia itu tidak tercicir.

 

Setelah jemarinya berdansa seketika mencari kad akuan diri, matanya tertumpu pada digit terakhir kad yang kini digenggamnya erat. Digit sifar yang menghuni posisi terakhir deretan dua belas angka yang menjadi maklumat asas dan definasi lokaliti, tarikh kelahiran dan jantinanya. 


Sebenarnya, MyKad milik Aydee bukanlah sepatutnya diakhiri dengan angka itu. Menurut cerita dari ibunya, pakar perubatan yang mnyambut kelahirannya dihubungi pegawai pendaftaran yang mendambakan pendapat perubatannya berkenaan jantina bayi. Si doktor mencadangkan agar ruangan digit terakhir dibiarkan kosong. 


Zero.

Zilch. 

Zip. 

Nada. 

Nothing. 

Kosong.


Kata doktor, itu sebagai tanda pemilihan digit terakhir yang bersesuaian dengan jantina boleh dilakukan kemudian, terutamanya apabila Aydee sudah matang kelak. Namun, mungkin kerana tersalah faham, 'kosong' itu diterjemahkan menjadi angka sifar!

 

Aydee tersenyum lagi. Meskipun nombor terakhir dalam MyKad miliknya adalah sifar yang kebiasaannya menggambarkan si pemilik itu dari kaum Hawa, bapanya tetap bertegas mengatakan segalanya belum tamat. Nombor terakhir, nama waima apa susunan huruf sekalipun bukanlah definasi jantina yang konklusif dan konkrit. 


Masih terngiang di telinga Aydee kata-kata ibunya bahawa sememangnya dalam sistem pernomboran kad akuan diri itu, nombor terakhir yang genap untuk wanita, dan nombor ganjil yang ganjil untuk lelaki.

 

Meskipun bapanya seorang guru matematik, emosi dan egonya telah membuatkan dia terkhilaf dengan jawapan, “Tapi nombor sifar bukanlah suatu nombor genap. Dan ia juga bukan nombor ganjil. Ia hanya suatu nombor!”.

 

Sesungguhnya, sifar itu genap. Yang itu Aydee pasti.



http://www.portalilham.my/karya/Novel/Umum/WFSJLu3KyCM/HANYUT <<< untuk karya lain



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku