Cinta Hati Tuan Professor
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Oktober 2017
...tidak perlu genius untuk meneka di mana letaknya hatiku..
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
931

Bacaan






Di dalam kereta Mercedes Prof Izmir petang itu Izzah hanya mendiamkan diri. Suasana senyap terasa membelenggu.  Hanya deruan enjin kereta itu sahaja kedengaran. Baru Izzah terperasan yang radio tidak dihidupkan walaupun sudah 20 minit mereka berada di atas jalan. Tiba-tiba Izzah terasa bosan.

“Prof, saya pasang radio ye,” ujar Izzah meminta izin. Lelaki yang memandu itu menjeling sekilas. Tajam jelingannya. Tersirap darah Izzah dibuatnya. 

“Tak perlu. Sekejap lagi kita sampailah,” ujarnya tegas. Izzah menjuihkan bibir. Hah? Tak perlu? Ya Allah punya bingit sunyi dalam ni pasang radio pun tak boleh? Aduhai, mati kutulah dia di situ. Sunyinya. The silence is killing me! desis hati Izzah. Oh dia ni dari planet mana? Naik kereta tak pasang radio. Kerana sangat bosan Izzah akhirnya mengetuk jarinya di bahagian pemegang pintu mengikut irama lagu kegemaran yang tiba-tiba melintas di benaknya.  Izmir tiba-tiba mendengus seraya bersuara,

“Boleh tak hentikan,”. Izzah kehairanan.

“Apa?” soal Izzah tidak faham.

“Tu jari tu…boleh tak duduk diam. Sangat merimaskan saya,”

“Merimaskan?”

“Saya suka suasana sunyi. Ketukan jari awak tu menganggu fokus saya,” ujarnya. Fokus? Fokus apa? Untuk drive? Peliknya lelaki itu.

“Oh ye ke? Ok saya hentikan,” akur Izzah. Terpaksalah. Kalau tidak tak dapat pulak kerja itu nanti.

“Thank you,” ujarnya dengan suara lega.

“You are most welcome,” balas Izzah. Suasana senyap kembali tapi Izzah tidak puas hati. Dia mahu tahu kenapa Izmir tidak suka memasang radio. Pelik sungguh dia rasa. Tak pernah lagi dia jumpa. Prof Izmirlah yang pertama.

“Err Prof…prof memang tak dengar muzik ye?” soal Izzah selamba. Dia memandang wajah serius lelaki itu dari tepi.  Memanglah pandangan dari tepi itu sangat menarik dan mendebarkan. Kalau boleh dia nak pandang lama-lama saat itu tapi..

“Buat apa saya bagi tahu awak,” ujar Izmir tiba-tiba buat Izzah terganggu lamunan lantas menjuihkan bibirnya. Part Prof Izmir sengal macam itulah yang menyebabkan perasaan yang teruja tadi tiba-tiba boleh jadi hambar. 

“Kalau Prof tak kisah saya nak pasang radio. Sunyi sangat dalam kereta ni,”

“Saya suka suasana sunyi dan tenang. Bunyi radio menyesakkan kepala saya,” luahnya. Izzah terlongo. Oh, ada ye orang macam ni dalam dunia? Tak dengar radio?

“Jadi Prof ni memang tak suka musiklah ye?” soal Izzah memerhatikan wajah itu yang kelihatan fokus pada pemanduannya.

“Suka tapi bukan yang bingit-bingit macam lagu-lagu sekarang dan saya tak suka dengar radio kerana ia penuh dengan lawak-lawak bodoh yang tiada manfaat dan tak bertambah ilmu sikit pun. Saya tak suka perbincangan kosong tak ada makna macam tu. Ia seperti memperbodohkan diri sendiri dan orang yang mendengar. Ada banyak perkara bermanfaat yang boleh disampaikan. Tapi radio ni semua suka sembang-sembang kosong begitu kecuali IKIM.FM,” ujar lelaki itu panjang lebar. Izzah tak terkata apa. IKIM.FM? Dia terangguk-angguk. Wah, alim betul Prof ni? Tapi dari penampilan tak nampak pulak alimnya itu. Ah, kau ni pun satu Izzah. Pergi tanya perkara sebegitu dari seorang professor. Mereka kan spesis lain dari kau. Apa lagi, mesti syarahan panjanglah yang kau dapat. Kalau tanya lagi nanti dah jadi syarahan akademik pula, desis hati Izzah sendiri.

“Prof kata suka muzik. Prof suka muzik macamana? Lagu kegemaran Prof apa?”

“Awak ni nak interview saya masukkan dalam majalah ke apa? Majalah keluarga ke Majalah maskulin? Tanya pulak muzik kegemaran lagu kegemaran semua?” marah Izmir tiba-tiba. Izzah tersentak. Aduhai, memang tak boleh bawa berbuallah lelaki itu!

“Tanya pun marah ke? Oh Prof baca majalah Keluarga dengan Maskulinlah ye?” soal Izzah dengan senyum sinis. Masih tak berputus apa. Terus cemberut wajah Izmir.

“Awak ni memang suka main-main ya? Tanya macam-macam. Apa yang awak dapat? Daripada tanya perkara tak bawak manfaat tu, baik awak tanya benda yang lebih berfaedah contohnya apa expectation saya terhadap awak atau apa kerja yang awak kena buat selama setahun ni. Setakat ni awak tak pernah tanya lagi. Oh, mungkin awak tak serius pun nak kerja dengan saya. Awak nak main-main je lebih,” marah Izmir. Izzah menjuihkan bibir. Aduh, kena marah lagi. Mengapalah lelaki ni suka sentap? Tanya itu marah. Ini marah. Kalaulah tidak kerana mamanya, sudah tentu Izzah cabut lari. Tak sanggup dia kerja dengan Professor yang suka sentap itu!.

“Jangan macam tu Prof. Saya akan tanya nanti. Tapi bukan sekarang. Saya serius nak kerja dengan Prof ni,” ujar Izzah berterus-terang. Izmir hanya mencemik seolah tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Izzah. Selepas itu semua kembali senyap sunyi hanya deruan enjin dan sesekali batuk kecil Izzah sahaja kedengaran. 20 minit seterusnya itu memang sangat menyiksakan bagi Izzah bila semua senyap sunyi dan dia pula kena marah bila banyak sangat bercakap. Entah dari mana Prof itu datang. Tak suka bising tak suka dengar radio dan bunyi boleh menganggu fokus dia. Pelik sungguhlah orang genius dan pandai ini. Cara orang biasa berfikir tidak sama dengan cara orang yang genius ni agaknya.

Akhirnya mereka tiba di sebuah kawasan perumahan lama. Kereta yang dibawa Izmir berhenti di sebuah rumah berkembar berdinding bata warna merah. Di tepi tembok penuh dengan pokok bunga kertas pelbagai warna. Izmir menekan remote dan serta-merta pagar rumah itu terbuka. Kereta Izmir memasuki perkarangan rumah berkembar dua tingkat itu yang dihiasi dengan pelbagai pokok bunga di sekitarnya dihampari rumput permaidani yang diurus rapi. Rumah itu sangat kemas dan rapi untuk seorang lelaki macam Izmir. Izmir membuka pintu kayu ruang tamu jenis kayu jati. 

“Apa tercongok lagi…masuklah,” arah Izmir kepada Izzah yang kelihatan teragak-agak untuk mengikut Izmir masuk ke rumah berkembar dua tingkat itu.

“Err…Prof duduk sorang aje ke?” soal Izzah dengan matanya menerawang dengan sangsi ke dalam rumah itu. Perabot agak vintage tapi suasana rumahnya sangat kemas dan lega. Ada chandelier kristal di ruang tamu. Izzah terpesona seketika dengan hiasan dalam rumah itu namun dia masih risau. Wajarkah dia masuk? Kalau Prof itu serial killer bagaimana? Ataupun dia sebenarnya bapa ayam? Ha, bagaimana?

“Awak ni kenapa? Muka pucat semacam?” soal Izmir memerhati wajah polos Izzah yang kian pucat itu. Dia perasan walaupun pucat wajah itu masih nampak comel di matanya. Pagi tadi Izzah memakai tudung merah jambu. Petang itu dia sudah menukar ke warna biru lembut. Nampak keanak-anakan wajah itu. Sesuai dengan warna biru lembut itu.

“Saya tak biasa…” jawab Izzah terus-terang. Matanya masih menerawang ke ruang dalam rumah itu dengan kerut kerisauan di dahinya.

“Tak biasa masuk rumah orang?” soal Izmir kembali dengan matanya masih memerhati wajah gadis itu.

“Bukan macam tu.”, sangkal Izzah.

“Habis?”

“Saya tak selesa. Prof dan saya dalam satu rumah…Prof tak takut ke?” soal Izzah.

“Takut apa? You look harmless to me,” jawabnya selamba memandang Izzah ke atas ke bawah. Izzah bukan yang pertama dia bawa balik. Ada ramai wanita yang dia bawa balik.

“Tak kan Prof tak terfikir…Prof dan saya. Saya perempuan, Prof lelaki?” kata Izzah masih mahu menyedarkan janggalnya kalau mereka berdua sahaja dalam rumah itu.

“Ye saya lelaki awak perempuan. Kenapa? Kita berbeza jantina. Apa masalahnya?” soal Izmir.

“Boleh jadi masalah besar Prof,” jawab Izzah bersungguh. Dia ni datang dari planet mana? Tak kan lah Izmir tak faham yang berdua di tempat sunyi kalau bukan muhrim itu haram dan boleh ditangkap berkhalwat? Nama saja professor tapi kenapa perkara asas seperti itu dia tak tahu? Ataupun buat-buat tak tahu? Agaknya dah biasa tak?

“Kenapa? Awak tak percaya dengan saya? Kan saya dah kata saya tak mahu terlibat apa-apa. Semua ini tak lebih dari seorang majikan kepada pembantunya. Itu sahaja,”

“Saya percaya Prof tapi bagaimana dengan orang-orang di kejiranan ini? Mereka mungkin sangka benda lain kalau Prof hanya berdua dengan saya macam ni lewat petang pulak tu,” ujar Izzah. Izmir tersengeh.

“Oh itu. Jangan risaulah,” ujar Izmir sudah pun mahu menapak masuk ke dalam rumah itu. tapi tak jadi bila Izzah bersuara lagi. Dia menoleh pada Izzah.

“Saya risau Prof sebab kalau kena tangkap basah kita kena paksa kahwin. Saya tak mahu kahwin dengan Prof dan saya pasti Prof pun tak mahu kahwin dengan saya kan?” soal Izzah lagi.  Izmir tersentak.

“Eh, apa awak merepek ni Izzah?” tanyanya bengang.

“Maaf Prof. Saya tak mahu masuk. Saya tak mahu kita kena kahwin paksa. Kita berdua tak sesuai. Saya muda lagi dan Prof dah agak tua. Apa yang saya suka tak akan sama dengan apa yang Prof suka. Prof otak geliga tapi saya tidak. Saya tak mahu hidup kita sengsara nanti sebab kita terpaksa kahwin dan tak suka satu sama lain. Nampak sangat kita ni tiada persamaan.  Walaupun secara dasarnya saya akui Prof agak hensem dan mendebarkan tapi….” kata-kata Izzah terhenti di situ setelah melihat kening Izmir terangkat seketika dengan ayat-ayatnya tadi.

 “You and me together is just not possible. Not at all.  Lagipun saya tak mahu kahwin cara terpaksa. Saya hanya mahukan perkahwinan sukarela. Suka sama suka. Walaupun selalu dalam novel semua kisah kawin paksa akan berakhir dengan happy ending tapi Prof dan saya memang tak sesuai secara realitinya. Tak mungkin kita akan ada happy ending,” ujar Izzah menyambung dengan laju seperti tiada noktah dalam kata-katanya. 

Wajah Izmir jadi semacam. Berkerut lagi keningnya. Biar betul budak perempuan ni. Mulut perempuan itu seperti bertih jagung kalau tidak pun seperti mesingan terlepas bersepah tanpa sasaran tepat. Izmir tiba-tiba mengetap bibir menyebabkan Izzah terasa seperti mahu menikus. Izzah akui yang dia sememangnya sudah terlebih cakap. Dan lebih teruk lagi dia telah menghamburkan semua ayat-ayat over thinking yang sepatutnya kekal dibenaknya sahaja. Ah, apa aku cakap ni? Dia hensem dan mendebarkan? Kau gila Izzah.  Izzah, mulut kau memang derhaka selalu, desis hati Izzah geram. Sekarang manusia di depan kau sudah mahu bertukar seperti raksasa. Kau tak serik lagi ke?

“Betul ke?” soalnya dari celah ketapan gigi. Nampak bengang.

“Betul apa Prof?,” soal Izzah semula buat naif. Muka rasa bersalah.

“Betul ke kita tak sesuai?” tanyanya menekan perkataan “tak sesuai” itu dengan wajah semacam. Rasa tercabar. Egonya tercalar. Tak pernah seorang perempuan berkata-kata seperti itu padanya. Selalunya ramai yang teruja untuk berkahwin dengannya ataupun mahu menjadikan dia teman lelaki tapi gadis di depannya tak mahu terkahwin dengannya kerana menurutnya mereka tidak sesuai. Malah menganggap dia orang tua pula. Part akhir itu yang buat dia rasa sakit hati sangat. Dia tak setua mana pun!

“Dah tentulah Prof. Prof dan saya kan macam langit dan bumi. Lagipun saya dah ada boyfriend,” ujar Izzah menipu. Ye boyfriend yang sudah putus dua bulan lalu. Izmir terdiam. Dia seperti mahu mengatakan sesuatu tetapi tidak jadi. Yang keluar hanyalah helaan nafas. Mereka bertentang mata sehinggalah Izmir mula berkata, 

“Saya setuju. Awak memang tak sesuai dengan saya sebab saya tak mungkin dapat hidup dengan orang yang mulutnya macam bertih jagung. Sekali dia bercakap lambat nak sungguh nak berhenti. Kalau hari-hari duduk dengan awak, takut nanti saya cepat dapat darah tinggi dan sakit jantung mendengar bebelan awak. Jangan risau. Saya pun tak mahu kahwin dengan awak atas sebab yang sama.,” ujarnya memandang tepat pada Izzah. Izzah tersentak. Boleh mati sakit jantung? Amboi bukan main lagi orang tua itu mengutuk dia!

“Sebab itulah Prof kenapa saya rasa kita tak patut ada di rumah ini berdua sebab Prof pun tak mahu kahwin dengan saya dan saya juga memang tak mahu kahwin dengan Prof. Nauzubillah!,” ujar Izzah bersungguh sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Izmir mengangguk-angguk walaupun dalam hati terusik juga ego dia. Nauzubillah tu. Direnungnya wajah kemerahan Izzah. Teruk sangatkah dia sehingga Izzah minta simpang untuk berkahwin dengan dia? Tapi on the second thought. Dah tentu aku tak mahu kahwin dengan dia. Jadi, kata-kata gadis itu tak sepatutnya menyakitkan hatinya.  Izzah membalas pandangan Izmir. Pandangan mereka bertaut lagi. 

“Siapa pulak yang nak kahwin tu Izmir? Kamu nak kahwin?” suara seorang wanita menerpa gegendang telinga Izzah. Izzah tersentak. Pandangan mata Izzah dan Izmir terlerai. 




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Random | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku