Cinta Hati Tuan Professor
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Oktober 2017
...tidak perlu genius untuk meneka di mana letaknya hatiku..
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
817

Bacaan






Izzah merasa lega kerja itu selesai juga akhirnya bila waktu menghampiri pukul 1 pagi. Jelas wajah masing-masing yang keletihan dan mengantuk. Mata masing-masing kelihatan merah. Izmir kelihatan memicit-micit tengkuknya. Izzah lantas meminta izin dari Prof Izmir untuk pulang. Izmir mengangguk. Mereka baru sahaja di ruang tamu apabila Puan Nora yang tertidur di sofa ruang tamu terjaga. Izzah lantas menghampiri wanita itu niatnya ingin bersalam sebelum balik. Namun tidak jadi kerana Puan Nora tidak menyambut huluran salam Izzah. Malahan dia menepuk bahu Izzah.

“Izzah, tidur sinilah. Dah lewat sangat ni. Izzah tidur je di bilik tetamu tu. Nanti esok Izmir hantarlah awak balik rumah,” ujar Puan Nora. Kedua-dua Izzah dan Izmir terlopong. Hah? Biar benar Puan Nora ni. Izmir mendengus. Dahlah diajak makan malam sekarang diajak tidur rumah pulak? Amboi apa yang Puan Nora nampak dari pembantunya sampai dilayan begitu baik sekali? 

“Ibu, saya dah janji nak hantar dia balik malam ni,” Izmir menegaskan.

“Tak payah. Malam ni Izzah tidur sini sahaja,” jawab Puan Nora. Izmir melepaskan keluhan. Aduhai. Mahu bertegas Puan Nora ibunya.

“Tak apa makcik…Prof Izmir nak hantar saya balik ni,” ujar Izzah berdalih. Dia pun tak mahu tidur di rumah itu.

“Izzah pergi telefon mak Izzah kata Izzah tidur sini ye,” arah Puan Nora masih tidak berganjak dari hasratnya. Izmir memicit dahi. Melihatkan Izmir yang jelas tidak senang dengan hasrat Puan Nora itu, Izzah pun bersuara.

“Eh jangan susah-susah makcik…saya kena balik rumah ni,” Izzah cuba membantah tetapi wanita itu masih bertegas. Izzah memandang Izmir memohon supaya Izmir menyelamatkan keadaan.

“Ibu…betul kata dia…dia kena balik. Lagipun bu, tak kan dia nak tidur sini?” ujar Izmir merasa pelik. 

“Biarlah dia tidur sini. Lewat dah ni. Izzah, tak sudi ke tidur rumah makcik?” soal Puan Nora bunyi seperti jauh hati pulak. Izzah serba-salah. Izmir mengeleng-ngeleng. 

“Bukan macam tu. Sebenarnya kalau saya tak balik malam ni. Nanti mak saya risau,” ujar Izzah berterus-terang.

“Okaylah ibu…saya nak hantar dia ni…” sampuk Izmir.

“Apa yang penting sangat nak balik tu? Dah malam sangat ni. Pergi telefon mak Izzah. Cakap Izzah tidur sini,” arah Puan Nora tegas. Izzah dan Izmir berpandangan.

“Izzah. Awak sediakan barang-barang awak. Saya hantar awak balik sekarang,” ujar Izmir juga tegas. Izzah mahu berlalu mengambil barang-barangnya tapi pantas Puan Nora menarik tangan Izzah. Ah, sudah. Mati kutu Izzah dibuatnya. Izmir suruh balik tapi Puan Nora pula tak bagi balik. 

“Izzah, dengar cakap makcik ni. Kan makcik kata dalam rumah ni makcik bos bukan professor awak tu,” ujarnya memandang tajam ke wajah Izmir yang semacam. Izmir pula memandang Izzah dan ibunya silih berganti. Izzah jadi keliru. Entah mana satu dia kena ikut. Prof Izmir bosnya tapi Puan Nora orang tua yang perlu dia hormati.

“Ibu…janganlah macam ni.,” pinta Izmir.

“Macam apa? Biarlah Izzah tidur sini. Izzah, makcik sediakan bilik tamu ye. Izzah tidur sini. Tak elok anak gadis pulang lewat macam ni. Dah lebih dari pukul 1 pagi.. Izmir ni pun satu. Orang tu dah kerja penat-penat dia nak suruh balik juga malam-malam buta ni. Bagilah dia rehat. Sejak bila kamu ni dah tak ada hati dan perasaan ni?,” ujar Puan Nora menyebabkan Izmir macam tak percaya. Izmir hilang kata-kata. Apa kena mengena balik malam-malam dengan hati dan perasaan? Apa yang dah berlaku dengan ibunya? Dari mula Izzah sampai sehinggalah lewat malam itu Puan Nora seperti tidak mahu Izzah balik sahaja. Apa yang Izzah dah buat sampai Puan Nora tak beri Izzah balik ni? 

“Sorry Prof…saya,” Izzah dengan suara bersalah meminta maaf selepas Puan Nora berlalu ke bilik tamu untuk menyediakan apa yang patut supaya Izzah dapat bermalam di situ. Izmir melepaskan keluhan. Dia pun tak sanggup untuk melawan ibunya walaupun hatinya geram juga Puan Nora berbuat demikian. Izmir melepas keluhan. Matanya lekat pada wajah Izzah yang beriak risau.

“Tak apa. Dah, awak pergi tidur dan rehat. Esok saya akan hantar awak balik rumah sekejap untuk tukar baju sebelum kita ke fakulti,” ujar Izmir dengan nada serius. Izzah hanya mengangguk. Perlahan-lahan dia berjalan ke bilik tamu. Namun separuh jalan dia berpaling. Dilihatnya Izmir masih di tempat sama sedang memerhatikan Izzah sambil berpeluk tubuh bersandar di tepi dinding. Dia masih hairan mengapa ibunya berlaku pelik hari itu. 

“Selamat malam Prof,” ucap Izzah memandang pada lelaki itu. Ada senyum di bibir. Dengan matanya yang kuyu Izmir membalas pandangan Izzah. Nampak sangat dia sudah mengantuk. Senyuman Izzah tidak berbalas. Kemudian dengan selamba dia berjalan ke arah tangga.

“Selamat malam Prof,” ulang Izzah. “Hmm, ” jawab Izmir sebelum berpaling dan mendaki mata tangga rumah itu ke ruang atas. Izzah yang melihat kelibat Izmir berlalu melepaskan hela nafas. Hmm aje dia jawab? Sikit pun tak balas? Orang ucap selamat malam baik-baik tapi dia hanya jawab itu sahaja? Itupun setelah diulang. Memang dingin kejung betul lelaki itu, Desis hati Izzah dengan ada rasa risau. Adakah Izmir sedang bengang dengan dirinya?. Puan Nora pun satu. Wanita itu memang buat dia serba-salah. Risau dia sekiranya selepas itu Prof Izmir akan jadi lebih tegas dengan dia kerana geram dengan apa yang telah berlaku sedangkan baru sehari dia bekerja dengan Izmir. Sepatutnya dia lebih tegar mengatakan tidak tadi tapi saat itu dia keliru untuk mengikut yang mana satu.

*****

“Izzah, makcik dah sediakan bilik,” ujar Puan Nora menyentuh bahu Izzah. Lamunan Izzah terhenti. Dia menoleh pada wanita itu yang sedang tersenyum mesra padanya. 

“Terima kasih makcik, err…susah-susah je,” ujar Izzah berbahasa. Puan Nora tersenyum.

“Tak susah pun. Izzah kan penat buat kerja untuk Izmir. Kasihan nak kena pulang malam-malam ni juga. Lagipun Izmir tu nampak mengantuk sangat. Risau pulak aunty dia nak kena drive malam-malam ni. Dah, pergilah berehat. Tapi kalau malam-malam Izzah rasa haus ke apa pergi je dapur. Buat macam rumah sendiri ye,” ujarnya. Tiba-tiba Izzah teringat kata-kata Izmir tadi. Jarang ibunya membiarkan orang asing menggunakan dapurnya. Adakah Puan Nora seperti yang Izmir katakan? Tak mungkin. Bukankah mereka baru sahaja bertemu? Izzah pasti Izmir hanya cuba untuk menakut-nakutkan dia sahaja.

“Baiklah makcik. Kalau saya haus nanti saya ke dapur ye,”

“Oh ya, kalau Izzah nak tuala ke kain batik ke bagi tahu lah,”

“Tak apa makcik. Prof ada kata tadi ada kemungkinan tak dapat balik malam ni jadi saya dah sediakan tuala dan baju untuk tidur. Makcik jangan risau. Saya elok-elok saja,” ujar Izzah sambil tersenyum.

“Betul ni?” soalnya.

“Betul, makcik,”

“Baiklah kalau macam tu. Selamat malam. Makcik naik dulu ye,” ucap Puan Nora lantas meminta diri untuk ke ruang atas rumah itu.

“Selamat malam,” balas Izzah. Puan Nora pun naik ke ruang atas. Izzah hanya memerhatikan sahaja sebelum dia masuk ke bilik tamu dan menutup pintu bilik tamu itu. Baru saja Izzah mahu membuka tudung dan menyangkutnya di para, tiba-tiba telefonnya berbunyi.

“Izzah kat mana ni?” suara ibunya yang tegas kedengaran.

“Izzah tidur kat rumah Prof ni,” jawab Izzah.

“Hah!!” 

“Kan Izzah ada bagi tahu mama yang Prof suruh saya buat kerja di rumah dia,” jelas Izzah. 

“Ada ke?”

“Izzah ada mesej pada mama petang tadi. Mama sedang sibuk agaknya,” terang Izzah. Pantas Puan Julia memeriksa whatsappnya. Memang ada mesej tersebut tapi dia sudah terlepas pandang. Kalau dia perasan pasti dia tidak setuju. Melampau pulak dia rasa Profesor itu mengajak Izzah pulang ke rumahnya. Macam-macam perkara boleh berlaku. Hati Puan Julia serta-merta galau.

“Izzah, kamu tak takut ke berdua saja dengan Prof tu. Izzah, kamu balik sekarang,”

“Izzah memang nak balik ma. Tapi tak boleh,”

“Kenapa? Prof tu tak bagi kamu balik ke? Izzah, bagi tahu rumah Prof tu di mana. Mama nak datang jemput kamu. Kenapa sampai bawak balik rumah pulak ni? Tak cukup ke kerja di ofis je,” gerutu Puan Julia. Risau anak daranya itu tidak pulang-pulang.

“Ma, jangan risau,”

“Jangan risau? Izzah tu anak dara dan Prof tu lelaki. Dah tentulah mama risau,”

“Tapi, Prof tu bukan duduk sorang Ma. Ibu bapa dia duduk sekali,’

“Walaupun begitu kamu kena balik. Tak manis orang perempuan duduk rumah lelaki macam tu sahaja,”

“Masalahnya ma, ibu Prof yang tak bagi Izzah balik. Dia suruh Izzah tidur sini sebab dah lewat sangat. Izzah memang nak balik dan Prof willing je nak hantar tapi ibu dia yang tak bagi,” terang Izzah.

“Kenapa pulak?”

“Entahlah ma…dia kata tak manis orang lelaki hantar perempuan balik lewat-lewat sangat,”

“Pulak? Pelik pulak mama rasa. Jadi, Izzah macamana? Semua ok?”

“Ok ma…Izzah dah tolong Prof selesaikan kerja dia tadi. Mama jangan risau. Mereka orang baik-baik,”

“Kalau macam tu tak apalah. Jaga diri Izzah baik-baik. Kalau ada apa-apa masalah telefon je mama,”

“Baik ma. Mama jangan risau. Good night Ma.,” ujar Izzah dan apabila perbualan mereka ditamatkan dengan ucapan selamat malam dan salam Izzah menekan punat telefonnya dan meletakkan telefon itu di atas meja sisi bilik itu. Izzah ke bilik air untuk mandi dan membersihkan diri. Dia kemudiannya menukar ke baju T-shirt lengan pendek dan seluar tidur sekerat betis. Setelah solat Isyak Izzah pun baring di atas katil dalam bilik itu. Dia terasa begitu letih hari itu kerana sudah dua bulan dia tidak bekerja. Badannya sudah terbiasa melepak di rumah sebelum itu jadi hari itu dia rasa terlalu penat. Izzah mengeliat seketika sambil tersangap. Sekejapan sahaja Izzah sudah melangkah ke alam mimpi.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Random | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku