Cinta Hati Tuan Professor
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Oktober 2017
...tidak perlu genius untuk meneka di mana letaknya hatiku..
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1578

Bacaan






Seperti yang diminta, Izzah mengiringi Prof Izmir ke mesyuarat tersebut. Mesyuarat pantauan geran penyelidikan. Semalam semasa menyediakan carta-carta itu semua Izzah ada membaca sedikit tentang penyelidikan Prof Izmir. Geran penyelidikan Prof Izmir ialah tentang impak ekonomi ledakan alga merah berbahaya “algal bloom” di perairan Malaysia. 

Banyak juga jumlah geran tersebut. Hampir 200 ribu. Dengan geran tersebut polisi boleh dirangka dalam menghalang fenomena tersebut yang banyak memberi kesan kepada perikanan di sekitar perairan Malaysia. Terutama kepada nelayan-nelayan miskin di sekitar pantai. Penyelidikan baru berjalan selama 6 bulan. Teruja Izzah melihat Professor muda itu membentangkan progres terkini penyelidikannya. Memang sangat berketerampilan dan petah berbicara. Ada banyak yang dia tidak faham terutama yang berkaitan dengan spesis-spesis alga yang sering muncul tanpa diundang. Terasa kepalanya mahu meletup bila dihidangkan dengan istilah-istilah sains. Bunyi sangat sukar di telinga Izzah. Namun, cara Izmir membentang seolah perkara itu sesuatu yang amat mudah. Agaknya kerana dia seorang professor semuanya kedengaran mudah sahaja. Izzah merasa sedikit risau. Melihatkan ada banyak yang dia tidak faham dia kini membuat satu kesimpulan. Kalau dia mahu menjadi pembantu penyelidik dia perlu menelaah semua itu supaya dia dapat memahami apa yang di katakan oleh Prof Izmir itu. 


“Izzah, nanti minit perjumpaan tadi email pada saya ye,” ujar Izmir apabila mesyuarat selesai. Mereka berdua berjalan sama menuju ke fakulti hanya beberapa meter dari tempat mereka bermesyuarat tadi. 

“Baik Prof,” jawab Izzah akur. Sejak dari insiden pagi tadi Izzah lebih banyak diam. Dia tahu bahawa mood Izmir makin lama makin ke laut. Wajahnya juga serius sejak di rumah Izzah. 

“Hmm…tadi awak dah dengar perbincangan saya dengan pihak RMC tentang pengajian Sarjana. Awak berminat tak? Di samping saya biaya pengajian awak dan sara hidup awak dengan duit geran, awak juga boleh dapatkan ijazah Sarjana,” ujar Izmir memerhatikan riak wajah Izzah. 

“Maksud Prof saya sambung Master?” soal Izzah. Matanya tunak pada lelaki itu. Izmir mengangguk.

“Ye, awak tak mahu ke?. Awak tak rugi apa-apa.  Malahan awak beruntung sebab semuanya free untuk awak dan awak di bayar gaji pula sepanjang tempoh geran ini,”

“Tapi saya bukan bidang biologi,” dalih Izzah.

“Tak mengapa.Kita nak lihat impak ekonomi sahaja. Tak perlukan kepakaran dalam bidang Biologi. Lagipun ada banyak jurnal dan buku yang diterbitkan untuk fenomena algal bloom ini. Awak baca je sebanyak yang boleh kajian lepas dan drafkan literature review. Yang penting awak faham tentang cara untuk menjalankan kajian ni. Hal-hal lain saya boleh guide, ” terangnya.  Izzah menggigit bibir. Sedang cuba memahami apa yang dikatakan oleh Prof itu. 


“Betul ke Prof? Nanti saya fikirkan ye,” ujar Izzah berdalih sikit sebelum menjawab dia setuju untuk melanjutkan pelajaran di samping bekerja sebagai pembantu penyelidik. Kalau dia terima dia akan lebih sibuk. Belajar sambil bekerja? Mampukah dia? Lagi satu, otaknya bukan bergeliga pun. Dulu pengajian sarjana mudanya pun biasa-biasa saja. Boleh ke jadi pelajar Sarjana pula mengendalikan penyelidikan?


“Tak perlu fikir. Semester baru nak mula. Macam ni lah. Kalau betul awak nak kan kerja ni awak kena apply Master sekali. Kalau tidak saya cari orang lain sebab nampaknya saya hanya perlukan mereka yang sanggup ambil Master dalam bidang ini sahaja sebagai RA saya,” cadang Izmir memberikan Izzah tiada pilihan. Izzah terpempan. Oh tidak!


“Tapi Prof…Prof tak boleh paksa saya,” jawab Izzah tidak puas hati. 


“Saya tak paksa. Saya cuma bagi syarat sahaja. Kalau awak nak bekerja dengan saya awak kena apply untuk Master sekali di fakulti saya. Terpulang. Awak bebas untuk tidak memilih bekerja dengan saya. Dan saya pun boleh cari orang lain. Bukan susah sangat. Pelajar saya yang sedia ada boleh saja saya tawarkan kerja ni. Bagaimana? Awak nak atau tidak?” ujar Izmir memberikan kata putus. 

“Aduh Prof…kenapa ada syarat pulak ni?” soal Izzah dengan kening berkerut.

“Terpaksa sebab RMC dah syaratkan. Bukankah sebelum ni awak ada janji yang awak sanggup buat apa saja untuk saya asalkan awak dapat kerja ni?. Nampaknya awak tak berminat nak tepati janji awak tu. Sekarang awak berdolak-dalik pula. Awak juga yang kata orang yang mungkir janji tu munafik kan?,” ujar Izmir memulangkan buah paku kerasnya. Bulat mata Izzah. Satu dengusan terlepas dari bibir penuhnya.  Amboi bukan main lagi lelaki itu mengenakannya. 


Memang sejak semalam dia asyik menurut sahaja apa yang diminta oleh lelaki itu. Sekarang, lelaki itu mahu dia belajar sambil bekerja pula untuk geran penyelidikan itu. Izzah kehilangan alasan. Dia juga yang berjanji sakan dan sebelum ini galak menyindir Izmir tentang mungkir janji pula. Izzah tiada pilihan. Dia terdiam seketika. Kalau dia bersetuju maka terikatlah dia dengan lelaki itu ditambah dengan terpaksa menjadi pelajar pula. Kalau dia tidak bersetuju dia akan kehilangan jawatan itu. Tapi yang paling penting ialah janjinya dan sejauh mana dia menepati janji dia sendiri. Akhirnya, Izzah terpaksa buat satu pilihan.

 

“Baiklah. Saya akan mohon buat Master di fakulti Prof kalau itu yang Prof nak. Saya pun tak mahu mungkir janji,” ujar Izzah sambil menghela nafas. Ah! Padan muka aku! Siapa suruh berjanji lepas tu pandai pulak kata munafik pula kalau langgar janji!


“Okay…saya akan minta Kak Roy bantu awak untuk buat proposal tu,” ujar Izmir sambil tersenyum puas. Gadis itu akan bekerja dengannya dan sekaligus menjadi pelajarnya. Itu juga akan menghalang ibubapanya dari mengahwinkan dia dengan Izzah kerana Izzah ialah pelajarnya. Izmir senyum. Tak sabar dia nak bagi tahu pada ibu dan ayahnya balik nanti. 


Izzah yang melihat senyuman lelaki itu hanya menghela nafas. Apa dah berlaku ini? Dia akan melanjutkan pelajaran pula?? Makin selalulah dia bekerja dengan Prof Izmir secara rapat. Dan apabila melihat sengehan Izmir itu Izzah makin bimbang. Kenapa orang tua itu tersengeh-sengeh? Macam ada sesuatu yang tak kena sahaja? Adakah lelaki itu seronok kerana dia berhasrat untuk mengenakannya.

 Oh tidak! Izzah, what have you gotten yourself into? What have you done??!!. Mereka tiba di depan fakulti. Izmir membukakan pintu dan memegangnya supaya Izzah dapat masuk. Izzah terpempan. Eh, gentleman pulak. Pantas Izzah mengucapkan terima kasih. Izmir tidak berkata apa-apa menyambut ucapan Izzah itu. Hati Izzah yang baru hendak berbunga, layu tiba-tiba. Izmir masih dingin kejung macam biasa. 


“Oh ya lagi satu, awak boleh gunakan bilik hujung berdekatan pantri tu. Itu bilik untuk kegunaan penyelidikan dalam pejabat saya tu. Lagipun senang saya nak cari awak pada bila-bila masa,” arah Izmir. Izzah menggangguk lagi. 


“Baik Prof,” kata Izzah akur sahaja dengan apa yang diarahkan oleh Izmir.

“Ikut saya. Saya nak tunjukkan bilik tu. Awak boleh duduk situ mulai hari ni. Saya dah suruh cleaner bersihkan. Dalam tu ada desktop, printer dan peralatan yang perlu untuk tugas awak sebagai pembantu saya. Tugas awak juga menjaga semua peralatan dalam bilik tu sebaik mungkin,”

“Baik Prof. Prof jangan risau. Saya dah selalu buat kerja macam tu,”

“Lagi satu, mengenai masa datang dan masa balik. Awak kena mulakan kerja pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang. Selain dari masa itu awak juga boleh dipanggil bekerja. Kadang-kadang bila ada keperluan awak mungkin akan diminta bekerja pada hujung minggu,” terang Izmir. Izzah mengangguk lagi.

“Okay Prof. Saya maklum. Ada apa-apa lagi Prof?” soal Izzah.

“Saya rasa cukup dulu yang itu sahaja buat masa ini. Kalau ada yang lain saya akan beritahu dari semasa ke semasa,” Izzah mengangguk lagi.

“Kalau macam tu saya ke bilik saya dulu dan siapkan apa yang Prof minta,” ujar Izzah meminta diri. Izmir hanya menggumam “hmmmm” sahaja. 

   Izmir mahu berlalu tapi entah kenapa tubuhnya berpusing semula mengadap Izzah. Dua tangan dalam poketnya. Matanya lekat pada Izzah.

“Dan…satu lagi..” ujarnya bersahaja. Mulutnya perlahan-lahan menguntum satu senyuman sinis. Izzah mula resah. Ada apa pulak agaknya kali itu? Lelaki itu dah senyum semacam pulak.

“Ye, ada apa Prof?” soal Izzah. Izmir merenungnya seketika membuatkan Izzah makin cuak. Apa lagi yang Izmir mahu dia lakukan ni? Dahlah begitu sikit-sikit senyum. Senyum macam nak tergelak.

“Lagi satu saya nak pesan…. lain kali kalau nak bergaya pun style hijabista janganlah pakai tudung terbalik. Saya tahu awak generasi Y suka hipster-hipster ni tapi bagi saya tudung terbalik macam tu nampak buuuuruuuuk sangggattttttt!,” sempat lagi Izmir mengenakan Izzah. Menekan tonasi pada perkataan “sangat” dan “buruk”.   Izzah terpempan. Hah??  Terbalik? Pantas Izzah memegang tudungnya kemudian memeriksanya. Memang betul. Jahitan tepi tersebut memang terbalik. Kalau boleh saat itu dia mahu berlari ke toilet untuk betulkan. 

Ya Allah, sejak pagi tadi rupanya dia pakai terbalik. Bahkan dia telah pun masuk meeting berjumpa dengan ramai orang. Aduhai…malunya! Merah muka Izzah. Prof pun satu. Kenapa lambat sangat beritahu? Sekurang-kurangnya dia boleh betulkan lagi sebaik mereka sampai tadi. Ini tidak. Bila tanya dia jawab ok pulak. Rupanya tak ok. Patutlah dia perasan ramai yang tersenyum-senyum tadi. Jelas Izmir sebenarnya sengaja mengenakannya sejak dari pagi! Izzah memandang geram pada kelibat Izmir yang berlalu ke biliknya sambil tergelak-gelak. Bukan gelak sikit-sikit pulak tu. Berdekah-dekah. Gelihati sangatlah tu konon! desis Izzah sendiri lantas bergerak pantas ke bilik air.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku