BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Oktober 2017
Menceritakan tentang kasih sayang seorang ibu muda Aliya yang sanggup berlorban untuk kebahagian suami dan anak yang disayang. Cintanya pada Zaim, anak yang sentiasa dikenang, membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menyamar sebagai pembantu demi untuk kembali menagih cinta yang pernah ditinggalkan. Persahabatannya bersama Azie dan Laili memberinya kekuatan untuk menempuhi segala dugaan yang datang menghalang. Kesetiaannya pada Taufik tak pernah berbahagi. Selama tempoh 5 tahun yang berlalu kasihnya tetap abadi pada cinta hatinya itu. Pemargiannya dulu kerana terpaksa, kini dia kembali untuk mengemis baki-baki cinta yang masih bersisa dengan identiti berbeza. Wajahnya yang disolek menggunakan kepakaran Azie , yang bekerja sebagai jurusolek mampu untuk mengaburi mata semuanya termasuklah Pn.Hayati yang sering membencinya selama ini. Demi permata hatinya, Zaim, Aliya sanggup bertahan.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
213

Bacaan






Taufik masih pegun memandang ke luar jendela menerusi cermin kaca di bilik pejabat. Hatinya tidak senang. Fikirannya berserabut. Sudah seminggu lebih Aliya menghilangkan diri. Sedang dia berangan-angan untuk menyatukan semula hubungan yang sudah lama terpisah, Aliya pergi meninggalkannya lagi. Aliya tak pernah serik. Tak pernah berfikir panjang.

Zaim sudah beransur sembuh dari demamnya dan itu mambuatkan Taufik lebih lega. Masalahnya kini adalah Aliya. Taufik kecewa dengan tindakan Aliya yang dilihat sengaja ingin bermain tarik tali dengan perasaannya. Semudah itu Aliya datang dan semudah itu juga dia pergi. Marahnya pada Aliya kembali.

Dia mula merasakan kasih sayang yang dicurahkan selama ini tidak dihargai, sama seperti mencurahkan air di daun keladi, sia-sia dan takkan pernah ada hasilnya. Aliya memang tidak pernah nak berubah. Tak pernah mahu berpegang pada janji.

“Kau kejam Liya. Kau kejam!” luah Taufik. Hatinya sakit, sambil menggenggam tangan menahan perasaan benci yang mula memutik terhadap si isteri sebelum dia beristigfar berkali-kali.

 

“Papa, bila mama nak balik? Im dah rindu sangat nak jumpa mama. Kerja mama tak siap lagi ke pa?” soal Zaim bertalu.

Taufik yang baru saja merebahkan diri di sofa yang terdapat di ruang tamu mula rasa tak tenang. Hari ini dia pulang lebih awal daripada biasa. Badanya terasa kurang sihat dan dia sangat memerlukan rehat. Kepalanya pening memikirkan hal-hal pejabat yang tak pernah sudah ditambah pula masalah Aliya yang sengaja menempah musibah.

Pertanyaan Zaim menusuk sampai ke hati. Hatinya mula terasa panas. Kekecewaannya kembali. Liya, kenapa buat kami macam ni, bisiknya di dalam hati. Dia buntu untuk menjelaskan keadaan yang sebenar kepada Zaim. Begitulah keadaan Zaim sejak ketiadaan Aliya, menanti kepulangan Aliya saban hari. Salah Taufik juga yang memulakan pembohongan tentang kehilangan Aliya.

Kepada Zaim dikatakan yang Aliya pergi bekerja kerana sudah agak lama ibunya itu bercuti. Bila segala urusan selesai barulah mamanya itu akan kembali semula. Niatnya hanya satu, untuk melindungi perasaan Zaim daripada terluka lagi, tapi dia tidak menyangka keadaan mula menjadi bertambah teruk. Setiap hari dia dihujani dengan persoalan berkaitan Aliya dari anaknya itu yang dia sendiri tidak pasti jawapannya. Kesabarannya benar-benar diuji. Hendak dicari, tapi dia sendiri tidak tahu ke mana. Sudah ditanyakan pada Mak Jah, namun kebisuan Mak Jah menghampakannya.  

“Papa…papa dengar tak Im cakap ni? Bila mama nak balik? Im rindu mama.” ucap Zaim lagi setelah Taufik seperti tidak mendengar apa yang diperkatakannya tadi. Tapi keadaan tetap sama. Taufik masih lagi tidak memberi sebarang respon padanya.

“Papa, mama kerja kat mana? Call la mama pa. Im nak cakap dengan mama boleh tak?” soal Zaim lagi lebih mendesak kali ini. Taufik panas hati. Kepalanya yang sakit diramas geram. Hajat di hati ingin melepaskan lelah, tapi lain pula jadinya. Sekarang kepalanya jadi semakin berserabut dengan soalan-soalan dari anaknya yang tak ada noktahnya itu.

Dalam hati dia mengutuk perbuatan Aliya yang tidak rasional. Akibatnya dia yang terpaksa menanggung kini. Ingin menerangkan perkara sebenar dia tak sampai hati. Perasaan anaknya harus dijaga. Dia tidak rela Zaim membesar menjadi seorang remaja yang bermasalah. Dia juga tak sanggup menghampakan impian Zaim untuk hidup bahagia bersama mamanya.

Taufik dah tak dapat nak tahan lagi. Dia mendengus kasar sebelum bingkas bangun dari perbaringan. Dia takut kalau lama-kelamaan nanti tahap kesabarannya akan semakin berkurangan, natijahnya pasti Zaim yang akan menjadi mangsa. Beg bimbit dicapai, langkah diatur meninggalkan Zaim kesorangan tanpa sebarang jawapan. Zaim memerhatikan kelakuan papanya itu, serentak satu keluhan dilepaskan.

Sesampainya di bilik beg yang penuh dengan fail-fail kerja diletakkan di hujung katil. Badan yang kepenatan direbahkan di atas tilam yang empuk. Keheningan suasana bilik rasa mendamaikan dan seketika kemudian dia terlena.

 

Bunyi riuh rendah dari tingkat bawah mengejutkan Taufik dari lenanya. Taufik menggosok-gosok mata yang masih bertaut. Kepalanya dirasakan semakin berat, malah badanya juga sudah mula panas. Laci meja disebelahnya ditarik, serentak dia mengeluarkan beberapa biji panadol yang terdapat di situ sebelum menelannya. Sejenak dia melihat ke sekeliling kamar sebelum meraub muka berkali-kali untuk menghilangkan rasa mengantuk yang masih terasa.

Kerinduannya pada Aliya menjengah ruangan hatinya. Dia tidak dapat menafikan perasaan sendiri. Hanya Allah yang tahu bebanan yang ditanggungnya selama ini. Bukan hanya Zaim, tapi dia juga menantikan kepulangan Aliya, isterinya yang tersayang. Dia rindukan belaian dan kasih mesra dari Aliya. Senyuman dan tawanya mampu membuatkan hati berbunga ceria. Bahagianya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Janji mereka sampai ke syurga, namun akhirnya terkubur begitu saja. Taufik menghela nafas panjang.

Bingkai gambar perkahwinannya yang berada di atas meja dicapai. Lama wajah Aliya ditenung. Dibelai potret Aliya. Terasa seperti Aliya ada di hadapannya kini. Fikirannya bercelaru antara cinta dan kecewa. Aliya lah cinta pertama dan terakhirnya. Penguat semangat dan tekadnya untuk berjaya. Segala kasih dan sayangnya tertumpah pada isterinya itu. Setiap kali bila terfikirkan hal Aliya dia jadi runsing. Dia kecewa kerana Aliya seperti tidak menghargai kasih yang telah dicurahkannya. Tidakkah isterinya itu merasakan keihlasan hatinya sehingga sanggup meragui kasih sayang yang diberi selama ini. Bukankah sudah acap kali ungkapan sayang itu dituturkan kepadanya tapi kenapa dia masih lagi pergi. Segala pengorbanan yang dilakukan selama ini ternyata sia-sia. Taufik menarik nafasanya dalam-dalam untuk mententeramkan lubuk hati yang semakin kuat berperang.

“Liya, ke mana Liya pergi? Abang rindu Liya. Baliklah. Abang janji abang takkan marah Liya. Liya baliklah ya. Abang sayang Liya.” ucapnya sebelum potret isteri kesayangannya itu dikucup bagi melepaskan rindu yang sedang sarat di hati.

“Liya percayalah, abang benar-benar sayangkan Liya. Abang nikahi Liya bukan sebab terpaksa tapi dengan kerelaan abang sendiri dan bukan sebab Izham atau siapa-siapa. Semuanya abang lakukan kerana cinta abang pada Liya. Kenapa Liya masih ragu. Abang dah lama cintakan Liya, cuma Liya yang tak tahu selama ni.” ucapnya perlahan. Buat seketika bingkai gambar tersebut didakap kemas sebelum diletakkan kembali di sisi meja.

Jam di tangan dikerling. Seingatnya dia masih belum memunaikan solat Asar sedangkan masa sudah menghampiri waktu Maghrib. Langkahnya sedikit kurang stabil. Dia bingkas bangun mencapai tuala mandinya. Tiba-tiba kedengaran bunyi cermin pecah. Taufik terkejut. Potret perkahwinannya yang baru ditatapnya tadi terdampar di lantai. Taufik hilang kata-kata. Dia tidak menjangka perkara seperti itu akan terjadi.

“Ya-Allah apa yang kau buat ni Taufik.” katanya sekadar berbisik pada diri sendiri. Sedang Taufik berkira-kira mahu mencapai bingkai gambar tersebut, daun pintu terbuka.

“Aliya.” suaranya tersekat di kerongkong, langsung tidak kedengaran di telinga. Taufik terkejut dengan kehadiran Aliya di muka pintu. Suasana sunyi menyelubungi setiap pelusuk kamar tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Pelbagai andaian dan tuduhan muncul di fikiran keduanya.

 

Bunyi kaca yang pecah mengejutkan Aliya yang sedang berdiri di luar bilik, lantas tombol pintu dipulas. Alangkah terkejutnya Aliya apabila terpandangkan bingkai gambar yang amat dikenalinya sedang terdampar di atas lantai. Wajah Taufik dilihat tenang dan bersahaja. Satu jelingan dihadiahkan kepada Aliya sebelum dia melangkah ke bilik mandi.  

Aliya menghampiri bingkai gambar yang terdampar sepi. Kepingan kaca yang berderai dikutip satu-persatu. Begitu jugalah diibaratkan hatinya juga saat itu. Hancur berderai melihatkan tindakan Taufik yang sanggup melepaskan geram pada bingkai gambar yang tak bersalah itu. Setitik demi setitik air matanya jatuh ke lantai.

“Liya tahu Liya yang bersalah. Maafkan Liya bang?” ucapnya perlahan.

Taufik menatap wajahnya di cermin kaca di dalam bilik mandi. Buat seketika dia menyalahkan diri sendiri kerana kehilangan kata-kata di hadapan Aliya tadi. Dia perasan perubahan wajah Aliya yang ketara ketika melihat keadaan itu. Dia menjangkakan Aliya pasti salah faham dan beranggapan yang dia sengaja memecahkan gambar perkahwinan mereka kerana marahkannya. Taufik menggigit bibir lantas menggaru kepalanya geram, tapi bila teringatkan perbuatan Aliya, amarahnya muncul kembali.

“Biar la apa yang dia nak fikir. Buat apa aku nak susah-susah jaga hati dia lagi. Selama ni aku dah tatang dia, sayang dia sepenuh hati, ada dia kisah? Dia yang tak tahu menghargai semua yang dah aku lakukan. Dia sendiri pun tak pernah nak fikirkan perasaan aku, buat apa aku nak fikirkan perasaan dia. Suka buat keputusan sendiri, tak pernah nak berbincang. Sekarang biar dia rasa macam mana sakitnya hati aku selama ni. Datang, pergi ikut suka hati dia je. Apa dia ingat aku ni apa?” bisik Taufik perlahan. Perasaannya tercalar diperlakukan begitu. Egonya mula menguasai diri.

“Dia perlu diajar!” gerutu hatinya sebelum dia mula membersihkan diri.

Suasana di meja makan kembali ceria. Zaim gembira kerana mamanya sudah ada bersama, dapatlah dia melepaskan rindu nanti. Hari-hari yang berlalu tanpa kehadiran mama di sisi rasa sunyi dan membosankan. Lebih ditakuti jika mamanya menghilang diri sama macam waktu dulu. Dia tak sanggup berpisah dengan mamanya lagi, cukuplah sekali. Mujurlah mama kembali. Kalau tak, tak tahulah apa yang akan terjadi.

“Kenapa papa tak cakap kat Im yang mama nak balik hari ni? Patutlah tadi bila Im tanya papa senyap je. Papa nak buat surprise kat Im ye.” ujar Zaim riang. Senyuman manisnya tak lekang di bibir. Kegembiraannya tak dapat disembunyikan menyambut kepulangan mamanya itu. Taufik membalas dengan senyuman.

“Kalau Im tahu, mesti Im mintak Mak Jah masakkan makanan yang sedap-sedap.” mulutnya dimuncungkan.

“Kenapa?” soal Taufik tadkala melihat perubahan di wajah anaknya itu.

“Ye lah. Dah lama Im tak makan banyak-banyak. Mama tahu tak ma. Sejak ma pergi kerja, Im tak ada selera nak makan sampai kena masuk hospital. Lama Im tunggu mama, tapi mama tak datang. Papa kata kerja mama tak siap lagi sebab tu mama tak dapat jenguk Im, kan ma? Mama janji nak jaga Im bila Im sakit.” tuturnya seakan-akan merajuk. Aliya menyesali perbuatan diri sendiri kerana membiarkan Zaim ternanti-nanti.

“Tapi tak apa la…sebab mama dah balik, hari ni Im dah ada selera nak makan dah ni.” ujarnya riang. Seketul ayam goreng tepung dicapai dan dibawa ke mulut.

Aliya tersentuh mendengar kata-kata anaknya itu. Simpatinya menggunung. Dia mula menyalahkan diri sendiri. Kerana dialah semua itu terjadi. Seandainya dia tidak bersikap terburu-buru pasti keadaan akan menjadi lebih baik. Dia tidak pernah menjangka yang ibu mertuanya akan menerimanya semula.

Langsung tidak pernah terdetik di hatinya yang keadaan seperti itu akan berlaku dan akibat tindakannya yang terburu-buru dia perlu menghadapi sikap Taufik yang dilihat mula dingin terhadapnya itu. Taufik tidak seperti selalu. Kejadian di bilik tidur petang tadi terbayang di mindanya. Aliya buntu. Taufik nyata berbeza dari sebelumnya. Renungan dan jelingannya tajam menikam. Dia tahu dia isteri yang ingkar, keluar rumah tanpa pengetahuan suami, berdosa besar hukumnya tapi dia terpaksa. “Abang maafkan Liya.” Hatinya merintih sedih.

Gelagat Zaim yang kegirangan melegakan Taufik. Senyumannya mati tika matanya bertembung dengan mata Aliya yang mula berkaca. Seulas senyuman terukir di wajah Aliya. Taufik buat-buat tak nampak usaha yang dilakukan oleh Aliya untuk menjernihkan kekeruhan yang melanda perhubungan mereka. Amarahnya menerpa. Satu jelingan dihadiahkan kepada Aliya yang duduk bertentangan dengannya. Biar Aliya tahu perasaannya yang sebenar. Selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh menagih kasih sayang dari isterinya itu. Dia dah penat melayan kerenah Aliya yang tak tentu hala. Perginya tak berpesan, pulangnya pula ikut dan. Langsung tak pernah memikirkan perasaan orang lain.

Aliya terkedu melihatkan sikap Taufik yang jelas ingin memulakan peperangan diantara mereka. “Liya akan cuba sedaya upaya untuk buat abang maafkan Liya.” bisik hati kecilnya.

Tiba-tiba Taufik teringatkan ibunya yang tak kelihatan di meja makan.

“Mak Jah, mak tak turun lagi ke?” soal Taufik kepada Mak Jah yang masih sedang sibuk di dapur.

“Tak Fik. Puan tak ada selera. Dia nak berehat. Pagi tadi dia keluar, petang baru balik. Penatlah tu agaknya. Mak Jah ada masakkan bubur untuk puan. Nanti Mak Jah bawa ke atas.” jawab Mak Jah. Taufik mengangguk sebelum tangannya menuju ke mangkuk asam pedas yang terletak agak jauh darinya.

Aliya terlebih dahulu mencapai senduk tersebut dan mencedokkan seketul ikan parang ke dalam pinggan suaminya itu. Taufik buat muka selamba. Aliya sedar dia harus bersabar melayan kerenah Taufik demi meraih sebuah kemaafan. Ya, demi sebuah kemaafan dia rela berbuat apa saja.

Selesai makan, Taufik ke bilik ibunya. Pn.Hayati yang sedang terbaring dihampiri.

“Mak…” panggil Taufik, serentak Pn.Hayati membuka mata. Dia dapat melihat Taufik yang sedang duduk di sisinya seraya matanya dipejamkan semula. Matanya terasa amat berat. Badanya keletihan akibat perjalanan yang jauh siang tadi. Tapi dia bersyukur kerana usahanya tidak sia-sia. Aliya sudi kembali dan memaafkan segala kesalahannya. Dirasakan penat lelahnya itu berbaloi.

 

“Liya akan ikut mak, tapi Liya balik dengan kereta Liya nanti. Liya ada hal nak diselesaikan dulu dengan Laili. Mak balik lah dulu. Nanti Liya menyusul.” janji Liya pada Pn.Hayati yang kelihatan agak keberatan dengan cadangan Aliya. Dia bimbang yang Aliya hanya berjanji kosong untuk kembali semula. Aliya nampak kerunsingan yang terpamer di wajah ibu mertuanya itu.

“Liya janji yang Liya akan balik. Mak jangan lah bimbang. Liya pun memang dah rindukan Zaim. Tapi ada sedikit urusan yang Liya nak selesaikan dulu. Insya-ALLAH, kalau semua dah beres, Liya balik.” tangan Pn.Hayati dikucup serentak tubuh Aliya didakap Pn.Hayati erat.

“Mak balik dulu. Mak tunggu Liya di rumah ya.” Aliya mengangguk. Pn.Hayati memboloskan dirinya ke dalam perut kereta, lantas kereta bergerak menuju ke destinasi yang dituju dengan perasaaan gembira. Gembira kerana kemaafan yang dicari, ditemui hari ini setelah sekian lama dia menanti. Gembira kerana usahanya untuk menyatukan semula keluarga yang terpisah akhirnya terlaksana.

“Mak, makanlah sikit. Jangan biar perut tu kosong, nanti melarat.” pujuk Taufik serentak mangkuk bubur dicapai. Pn.Hayati mengumpul kekuatan diri, digagahkan juga badannya duduk bersandar di kepala katil. Tak sampai hati mengecewakan niat baik anaknya itu.

Taufik membantu menyuapkan bubur ke mulut maknya. Baru beberapa suap, Pn.Hayati sudah mula mengangkat tangan menolak. Taufik bimbang melihat kesihatan maknya yang semakin merosot sejak kebelakangan ini. Mak kelihatan tidak bermaya dan lebih banyak menghabiskan masanya beristirehat di bilik. Lebih memburukkan keadaan, setiap kali bila diajak ke hospital pasti maknya menolak dengan pelbagai alasan. Taufik buntu.

Cawan air di atas meja dicapai dan disuakan ke mulut maknya. Dia terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dipaksa dia takut maknya itu terasa. Nampaknya terpaksalah dia menurut segala kehendak maknya itu. Selesai makan, Taufik berkira-kira mahu meninggalkan bilik tersebut, untuk memberi ruang pada maknya berehat semula. Belum sempat Taufik bangun dia terasa tangannya diraih.

“Liya kat mana?” soal Pn.Hayati.

“Ada dengan Zaim kat bawah rasanya. Kenapa mak?” balas Taufik.

“Liya dah balik. Keluarga Fik dah lengkap semula. Mak nak Fik janji, dengan mak. Bina semula ikatan yang terputus dulu. Jangan salahkan Liya, dia tak bersalah.” tambah Pn.Hayati lagi.

“Tak ada apa la mak. Fik memang dah maafkan Liya. Mak jangan fikir banyak sangat. Rehat ya.” balas Taufik. Dia kesal kerana terpaksa bercakap bohong kepada maknya itu. Hatinya masih terluka dan dia perlukan lebih masa untuk mengubatinya kali ini.

    

Aliya memandang jam di tangan. Jam sudah menunjukkan hampir pukul dua petang. Langkahnya laju menuju ke kilang mencari Laili. Dia perlu membincangkan perkara itu terlebih dulu dengan Laili, minta pendapat.

“Ye ke Liya. Sedih pulak aku dengar cerita kau ni. Takpe kau serahkan je kerja kat sini pada aku. Lagipun bukannya aku tak biasa kena tinggal sorang-sorang macam ni. Selagi kau percayakan aku, aku okey. Apa-apa kita boleh calling-calling nanti. Bukan tak biasa kan.” ucap Laili prihatin setelah mengetahui keadaan kesihatan Pn.Hayati. Jujur dia turut berasa simpati mendengarkan cerita yang disampaikan oleh Aliya itu.

“Betul ni kau tak kisah?” soal Aliya inginkan kepastian. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, usahanya untuk menyatukan semula keluarganya itu dipermudahkan.

“Tapi kau kenalah bayar aku extra elaun.” Laili tersenyum. Aliya mengangkat sebelah kening.

“Ye la, elaun pemangku pengarah. He.he.he. Dah tu kau fikir free of charge ke?” Laili tersenyum sumbing. Aliya membalas dengan cubitan ke pipi. Merah muka Laili menahan sakit.

“Kau memang kan. Aku tengah serius ni kau buat main-main pulak.” tutur Aliya geram.

“Aduh sakit. Kau ni aku nak gurau sikit pun tak boleh. Dah pukul berapa ni? Kata nak cepat. Kang sampai KL gelap pulak. Bahaya tau drive sorang-sorang. Lagipun kau tu pompuan. Tak ape kau pergi la siap. Aku handle semua kat sini. Apa-apa kita calling-calling k.” mereka berpelukan erat tanda perpisahan.

“Terima kasih sebab faham aku,” tutur Aliya perlahan.

“Kita kan kawan. Siapa lagi nak tolong kalau bukan kawan. Aku doakan yang terbaik buat kau. Cuba untuk bahagia Liya. Kau tahu kan yang kami semua sayang kau. Good luck my BFF.” ucapnya memberikan galakan.

Perbualannya dengan Laili petang tadi masih segar dalam fikiran. Pengorbanan Laili tidak mampu untuk dibalas. Sudah terlalu banyak dia menyusahkan sahabatnya itu.

“Terima kasih Laili kerana sudi membantu aku. Kau sahabat aku dunia akhirat. Amin.” bisiknya pada diri sendiri.

Daun pintu dibuka. Aliya tersedar dari lamunan. Wajah Taufik menerpa di ruangan mata. Taufik merebahkan badanya bersebelahan dengan Aliya yang sedang duduk di birai katil. Badanya membelakangkan Aliya. Dia masih tak rela menatap wajah isterinya itu. Dia belum bersedia untuk berdamai. Dia masih belum mahu mengaku kalah. Sekali-sekala Aliya perlu mendapat pengajaran supaya dia sedar apa yang telah dia lakukan. Taufik sunyi tanpa bicara. Sejak dari petang tadi tidak sepatah kata keluar dari mulut Taufik untuk Aliya, yang ada cumalah jelingan-jelingan yang tajam menikam dan renungan yang tak berperasaan.

Aliya merebahkan badannya di sebelah Taufik. Dia cuba untuk merapatkan jarak antara mereka. Belum sempat dia bertindak Taufik bingkas bangun. Aliya terkejut dengan tindakan suaminya itu. Taufik mencapai bantal dan berlalu pergi sebelum pintu bilik dihempas kuat. Aliya sedih kerana dia ditinggalkan sendiri dan tanpa dipaksa tangisannya kembali.

Taufik menghempaskan badannya di sofa panjang yang terdapat di dalam bilik bacaan. Hatinya tak keruan bila berada berdekatan dengan Aliya. Dia masih belum bersedia memaafkan isterinya itu tapi dia takut hatinya tak mendengar kata nanti. Dia takut dia tewas lagi. Aliya adalah perkara yang terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya. Cinta hatinya yang takkan pernah dapat diganti.

Hidup di samping Aliya menjadi impiannya sejak dulu. Dia cuma mahu Aliya belajar erti pengorbanan dan kesetiaan. Dia sendiri tidak pasti selama mana Aliya akan berada bersama denganya kali ini dan untuk itu dia perlu melihat keikhlasan Aliya terlebih dahulu. Dia tidak rela ditinggalkan lagi. Dia sudah muak dengan permainan Aliya yang sememangnya tak habis fikir itu dan tanpa dia sedari, dia mengeluh lagi.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku