BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Oktober 2017
Menceritakan tentang kasih sayang seorang ibu muda Aliya yang sanggup berlorban untuk kebahagian suami dan anak yang disayang. Cintanya pada Zaim, anak yang sentiasa dikenang, membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menyamar sebagai pembantu demi untuk kembali menagih cinta yang pernah ditinggalkan. Persahabatannya bersama Azie dan Laili memberinya kekuatan untuk menempuhi segala dugaan yang datang menghalang. Kesetiaannya pada Taufik tak pernah berbahagi. Selama tempoh 5 tahun yang berlalu kasihnya tetap abadi pada cinta hatinya itu. Pemargiannya dulu kerana terpaksa, kini dia kembali untuk mengemis baki-baki cinta yang masih bersisa dengan identiti berbeza. Wajahnya yang disolek menggunakan kepakaran Azie , yang bekerja sebagai jurusolek mampu untuk mengaburi mata semuanya termasuklah Pn.Hayati yang sering membencinya selama ini. Demi permata hatinya, Zaim, Aliya sanggup bertahan.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
298

Bacaan






Selesai meronda sekitar kilang Aliya kembali ke pejabatnya. Fail-fail di hadapannya diperiksa satu-persatu dengan tekun kerana sudah agak lama dia bercuti dan sepanjang tempoh itu, banyak transaksi telah berlaku. Aliya hanyut dalam dunianya sendiri. Dunia yang hanya ada dia dan kerja. Kerja, kerja dan kerja lagi. Hidup mesti diteruskan. Jangan biar kesedihan menghalang diri untuk menggapai kejayaan. Masih ramai yang ingin dibantu, terutamanya penghuni-penghuni di rumah anak yatim yang pernah menempatkan mereka dulu. Mereka mahu membantu meringankan beban sebagai tanda penghargaan kerana usaha menjaga dan mendidik yang telah dilakukan. Kini tibalah masa mereka membalas budi. Bukan dipinta tapi rela memberi kerana rumah itu sudah dianggap sama seperti kampung halaman sendiri.

“Liya, ni sample-sample design yang aku dah prepare untuk tahun ni punya koleksi hari raya. Kau tengok dulu.” fail yang dibawa bertukar tangan. Aliya memeriksa isi kandungan fail berkenaan.

Dia mengangguk-anggukkan kepala. Laili merupakan tulang belakang kepada perkembangan kilang mereka. Tanpa Laili tak tahulah apa yang jadi. Bertindak sebagai pengurus pemasaran, idea-idea yang diutarakan Laili seiring dengan masa. Kajian pemasaran yang dilakukannya juga cukup teliti, malah amat berkesan dan berdaya saing. Aliya mengagumi komitmen yang ditunjukkan Laili itu.

“Liya, aku ada bagitahu kau tak yang stok-stok kain yang ada kat stor tu dah tak banyak. Aku rasa baik kau order yang baru. Bukan apa, takut nanti dah dekat-dekat raya stok kat kedai Uncle Lim tak ada, susah kita nanti. Baik prepare awal, biar dia order dulu, senang sikit nanti.” arah Laili. Aliya masih meneliti fail di hadapannya.

Laili memerhati gelagat Aliya penuh minat. Dia mengakui ketekunan yang ditunjukkan bosnya itu. Aliya memang hantu kerja. Kalau dia dah fokuskan sesuatu, tak payahlah nak cakap apa-apa, takkan didengarnya. Laili tersenyum. Mood menyakatnya kembali. Tangannya ditepuk kuat di meja serentak dengan itu Aliya melatah. Laili ketawa puas hati kerana Aliya berjaya dikejutkan lagi.

“Kau ni kan, terkejut aku tau tak? Boleh gugur jantung aku dibuatnya.” tutur Aliya geram.

“Kau tu la, kalau dah sibuk dengan kerja, apa aku cakap pun dah tak dengar. Buat habis air liur aku je. Agaknya kalau bom meletup kat sebelah pun tak sedar.” balas Laili.

“Siapa kata aku tak dengar? Aku dengar la. Tadi kau cakap pasal…” Aliya memerah otaknya mengingati butir bicara Laili kepadanya. Berkerut-kerut keningnya memikirkan topik perbualan mereka sebentar tadi. Tiba-tiba dia tersenyum, lantas menggigit bibir. Laili membalas dengan cebikan tak puas hati.

“See. Kau tu bila aku cakap bukannya nak beri perhatian. Aku kenal sangat dengan kau Liya. Bukan baru semalam kita kenal, dah berabad-abad. Sampai dah berjangut aku ni tau tak. Kau tu memang hantu kerja kan. Tak payahla nak menipu aku, dah lama dah aku tahu.” balas Laili. Aliya hanya mampu senyum.

“Sorry. Kau tu la. Banyak sangat benda yang nak kau suap kat aku pada satu masa. Tadi masuk-masuk je kau suruh aku tengok sample design yang kau propose ni. Bila aku tengah fokus kau cakap benda lain pulak. Macam mana aku nak tangkap. Lagipun design kau ni la punya pasal.” katanya lagi.

“Kenapa? Tak best ke? Kalau tak ok masih sempat lagi kita ubah konsep yang baru.” ucapnya ragu-ragu. Aliya sengaja mengggaru-garu dagu.

“Baik…dah cukup baik sangat dah kalau macam tu…” tuturnya. Wajah hampa Laili ditatap. Laili sedar yang dia perlu memulakannya semula.

“Mantap. Terkejut aku, tak sangka kau dapat reka design-design ni semua. Kau ciplak kat mana?” gurau Aliya. Hatinya senang. Laili memang boleh diharapkan dan hasil kerjanya selama ini tak pernah menghampakan. Laili lega kerana usahanya itu akhirnya mendapat kredit daripada Aliya.

“Kau ni Liya, aku ingat tak lulus tadi. Buat aku terkejut je. Tapi cakap baik sikit ye, aku tak main la ciplak-ciplak ni. Tengok kaki la sikit.” balasnya, masuk bakul angkat sendiri. Aliya jengkel dengan tindakan Laili itu. Ciss…berlagak ye. Kau tengok aku buat apa. Bisiknya dalam hati.

“Mana?” kata Aliya kepada Laili yang masih mahu dikompang-kompang.

“Apa?” balas Laili kembali kehairanan, sambil mengangkat keningnya.

“Kaki kau la. Apa lagi.” soal Aliya lagi.

“Nak buat apa pulak dengan kaki aku?” balas Laili kembali.

“La, tadi kata suruh tengok. Tapi tak pa la. Bukannya aku tak tahu, kaki cagu. Eee…ngeri.” serentak dia mencapai tas tangan dan kunci kereta. Perutnya sudah mula berkeroncong, minta diisi.

“Mana ada. Tengok ni, sampai hati kau cakap kaki aku cagu…” Laili mempertahankan diri sambil menunjukkan kakinya ke arah Aliya. Aliya saja buat-buat tak nampak.

“Tak nak, aku geli.” usiknya lagi. Sekali sekala dia seronok memperlakukan Laili begitu sambil langkahnya diatur menuju ke arah pintu.

“Jom makan, siapa yang lambat sampai kat kereta dia belanja.” ucapnya sebelum pintu dibuka luas. Laili yang masih tak puas hati terkedu sebelum dia mengejar Aliya daripada belakang dengan sepantas kilat.

“Yes…kan aku dah cakap tadi. Tengok kaki la. Pernah ke aku kalah dengan kau. He…he…he. Alhamdulillah, hari ni makan free.” ucap Laili senang hati. Aliya masih termengah-mengah menahan lelah. Dia tahu dia takkan mampu menandingi ketangkasan Laili yang macam lipas kudung itu. Hanya Azie yang mampu mengatasinya.

“Hari ni aku nak makan banyak-banyak. Lagipun ada orang belanja, o…yeh.” ucapnya sebelum memasukkan diri ke dalam perut kereta. Aliya mengaku kalah.

Dia sedang menumpukan perhatian dalam pemanduan manakala Laili masih becok bertanya itu dan ini. Tentang Zaim itu perkara biasa, yang menjadi kekusutan di fikiran bila sahabatnya itu membangkitkan perihal Taufik. Setiap kali nama itu disebut hatinya sakit bagai dihiris sembilu. Sebolehnya dia tidak mahu nama itu disebut lagi, paling tidak buat masa sekarang.

Hatinya masih terguris dengan tindakan Taufik yang tidak menghalang pemergiannya itu. Sedang Taufik tahu hanya sepatah perkataan yang perlu dia ucapkan. Hanya dengan sepatah perkataan, semuanya akan kembali normal. Perpisahan yang menyakitkan itu juga tidak mungkin terjadi, malah dia berjanji akan tetap setia hingga ke hujung nyawa tapi harapannya hancur. Taufik betul-betul keras kepala. Tiada apa yang dapat mengubah pendiriannya itu. Jika perpisahan yang diminta, dia perlu menerimanya.

Tidak berapa lama kemudian mereka sampai ke destinasi yang dituju, warung Kak Senah. Laili masih terpinga-pinga. Dia macam tak percaya.

“La…kenapa kat sini pulak. Ingat nak pekena tom yam kaw ngan ikan siakap tiga rasa kat kedai Thai kat hujung tu. Ni kedai Kak Senah, faivorate kau, bukan aku. Mana aci macam ni.” bentak Laili tak puas hati. Ingatkan bolehlah makan besar sikit hari ni.

Dah lama dia tak ke kedai Tom yam kegemarannya itu. Takde teman. Lagipun mereka menghidangkan juadah dalam portion yang besar, paling sikit pun untuk makan dua orang, tak termampu untuk dihabiskan. Laili masih tak mahu turun daripada kereta sedangkan Aliya sudah lama menantinya.

Aliya yang sedang menggamitnya daripada luar kerata dipandang. Kegembiraan yang jelas terpancar di wajah sahabatnya itu membuatkan dia rela beralah untuk hari ini. Dia tahu Aliya sangat sukakan nasi goreng kampung yang disediakan oleh Kak Senah itu. Kalau dah dapat, mak mertua lalu tepi pun tak perasan. Lantas senyuman terukir di wajahnya melihatkan gelagat Aliya, mengalahkan orang mengidam.

“Cepatla sikit. Dah lama aku mengidam nasi goreng Kak Senah ni. Nanti ramai orang tak dapat meja biasa, tak syok.” gesa Aliya kepada Laili yang semakin menghampiri. Aliya dilihat resah tak sudah. Laili pelik dengan perubahan sahabatnya yang sorang ni. Dulu dialah orang yang paling sabar dalam apa keadaan pun. Entah apa yang mengubahnya menjadi seperti itu.

“Kot iya pun lapar, sabar sikit boleh tak? Dah macam orang mengidam pulak aku tengok kau ni. Kau biar benar. Ke kau betul-betul…” Laili memandang wajah Aliya tak berkelip, mulutnya terlopong. Tangannya sengaja diletakkan membulat di perut. Aliya mengerti maksud tersirat Laili itu lantas dia mencebik geram.

“Kalau betul pun kenapa? Tak boleh? Aku kan dah ada laki. Nak terkejut apanya. Kau ni kan kecik besar, kecik besar je aku tengok.” balas Aliya geram, Laili tak pernah melepaskan peluang untuk menyakatnya. Ada saja modalnya nak buat lawak bodoh.

“Cepatla, nanti tak ada tempat.” ucap Aliya lagi sambil meraih tangan Laili menuju ke gerai Kak Senah. Laili hanya menurut dalam senyuman.  

Nasi goreng kampung cili api dengan telur mata kerbau kegemarannya disantap semahunya. Aliya tersenyum puas. Cukup pedas dan cukup rasa sampai mengalir air mata. Sudah lama dia kepingin untuk makan nasi goreng tersebut. Ringkas tapi mantap, kena dengan seleranya yang agak tak tentu arah sejak akhir-akhir ini.

Mungkin kerana tekanan seleranya jadi hambar, tapi tidak tika ini. Seleranya yang hilang datang kembali. Dalam masa beberapa minit, sebahagian besar daripada nasi goreng tersebut hilang di pandangan. Sehelai tisu dicapai, pantas menyapu segala air-air badan yang terbit akibat tindak-balas dengan kepedasan yang berlebihan itu. Laili menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau ni pun Liya, kot iya pun lapar, cubalah bersopan sikit.” tegur Laili kepada Aliya yang masih tekun menyuapkan nasi ke mulut. Kata-kata Laili langsung tak diendahkannya.

Senyuman puas masih setia meniti di bibir. Aliya masih menikmati keenakan nasi goreng kampung kegemarannya itu. Rasa cukup, pedas cukup, pendek kata sempurna, 10,10,10, perfact score. Dalam masa singkat nasi goreng tersebut licin dibahannya tapi Aliya kelihatan masih tak puas lagi. Dia berkira-kira mahu memesan pinggan yang berikutnya. Laili perasan dengan tindak-tanduk Aliya itu.

“Nah, ambik yang aku punya ni. Lagipun aku kenyang lagi. Sebenarnya sebelum kau ajak lunch tadi, Kak Zai ada offer kuih teow goreng kerang yang dia bawak kat aku. Aku pun apa lagi, join sekaki. Kau makan lah yang aku punya ni sekali.” ucap Laili sambil menyuakan pinggan nasi gorengnya ke arah Aliya. Aliya menepuk tangannya gembira, macam budak kecil bila dapat gula-gula, pantas huluran Laili disambut penuh syukur.

“Liya, aku tengok kau ni lain macam je. Tak pernah pulak makan sampai banyak macam ni. Badan kecik je, tapi makan…ke kau ni ada membela?” Laili mula mengusik Aliya yang sedang menikmati makanan kegemarannya itu. Serentak wajahnya berubah masam, merajuk barangkali. Sudu di tangan turut berhenti beraksi kerana hatinya rasa terguris dengan kenyataan yang baru dikeluarkan oleh Laili.

“Dah kenapa pulak ni? Tak kan terasa kot? Macam tak biasa je dengan lawak aku kat ko, dulu okey je, kenapa sensetif sangat pulak sekarang ni?” ucap Laili yang perasan perubahan air muka sahabatnya itu.

Aliya sendiri tak pasti kenapa emosinya mudah turun-naik sejak akhir-akhir ni. Sekejap dia rasa gembira, tapi tiba-tiba perasaan hiba menerpa. Hatinya selalu berdebar-debar. Malah selera makannya juga bertambah. Dulu cukup satu, sekarang mesti nak lagi satu. Dia juga sudah mula menginginkan sesuatu, kalau tak dapat mulalah perasaan sebal menyelubungi diri.

Separti kata Laili, dia sendiri juga tak tahu bagaimana semuanya boleh muat dalam perutnya yang kecil itu. Mungkin benar semuanya kerana tekanan ataupun kerana gembira bertemankan Laili yang tak pernah lokek dengan senyum dan ketawa. Perasaan hibanya terubat malah masalah yang membebani selama ini beransur pergi dibawa bayu sepi.

“Jab, kau tak jawab lagi soalan aku tadi. Kau dengan Taufik macam mana? Bila kau nak balik? Dia bagi kau duduk sini berapa lama?” soal Laili kepada Aliya lagi.

“Kenapa? Kau tak suka ke aku duduk sini lama-lama? Baru je semalam aku sampai, hari ni kau dah tanya bila aku nak balik. Apa lah kau ni. Sedih aku tau.” angin Aliya berubah lagi. Perasaan hibanya kembali. Lebih sakit daripada tadi kerana nama yang tak ingin didengarinya itu diungkit lagi.

Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan Laili. Belum buat masa ini. Tak rela membuka pekong di dada sendiri. Dia yang tak mampu mempertahankan ikatan yang terbina, biar dia sendiri yang merana. Dia tidak mahu memikirkan pekara yang bakal terlepas daripada genggaman, selepas semua yang diihtiarkan dilihat sia-sia dan masih tak ada kesudahan.

Baginya yang berlalu biarlah berlalu. Kalau dikenang pun hanya membebankan fikiran, biar masa yang menentukan segalanya. Seandainya Taufik memerlukannya dia akan segera kembali dengan rela hati, tapi andai kehadirannya tak diperlukan lagi dalam hidup si suami, dia rela menyisihkan diri buat selama-lamanya.

“Aku tanya je pun tak boleh ke? Bosan la macam ni. Dah sudah?” soalnya pula. Aliya membalas dengan anggukan.

“Kalau dah, jom balik. Pening aku layan kau ni. Cakap salah, tak cakap salah.” tutur Laili. Dia sudah bersedia untuk beredar.

“Kejap la, aku nak tapaw se lagi boleh? Nanti petang boleh ulang.” balas Aliya mematikan langkah Laili. Serentak dia menggeleng-gelengkan kepala seperti tak dapat mempercayai apa yang baru didengari.

“Liya, betul ke kau pasti yang kau okey ni. Pedas tu. Makan banyak-banyak sangat, nanti sakit perut pulak. Aku jugak yang susah nanti. Betul ke kau tak pregnant ni? Jom la pegi check nak, aku temankan.” Laili menawarkan diri.

“Aku okey la, tak ada apa-apa pun. Takkan la aku tak perasan kalau aku pragnant. Tak mesabah dek akal kau ni. Badan aku, takkan lah aku tak tahu. Kan aku dah cakap, dah lama aku teringin nak makan nasi goreng ni. Aku cakap kau bukan nak percaya. Kat rumah dulu aku ada la try buat, tapi tak sama. Aku pun tak tahu kenapa. Beli kat luar pun sama jugak. Tak ada yang sama dengan air tangan Kak Senah ni. Dah alang-alang ada kat sini biarlah aku balas dendam. Kenapa? Tak boleh ke?” ucap Aliya sayu. Jarinya menggaru-garu tapak tangan yang terasa gatal, Laili mengeluh mendengarnya.

“Kak Senah, nasi goreng kampung extra pedas dengan telur mata kerbau satu, bungkus ya.” pesan Laili pada Kak Senah yang sedang sibuk di dapur. Aliya tersenyum penuh riang, gembira kerana Laili benar-benar memahaminya.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku