BUNGA LIAR
BL-19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2017
"Tess, aku jatuh hati" - Ain "Kau gila?? Dia musuh kita!" - Theresa "Dunia saya dan dunia awak berbeza. Tetapi saya yakin jika awak ke dunia saya, awak akan temui apa yang awak cari"- Aniq Haqimi
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
53

Bacaan






Suasana di cafe hospital riuh rendah dengan gelagat para pelawat dan kakitangan hospital itu sendiri.  Setelah memilih meja yang bersesuaian, mereka melabuhkan punggung disitu.  Ain mengitari keadaan disekelilingya sementara Aniq membuat pesanan. 

Aniq menatang dua foam cup diatas dulang.  Salah satu daripadanya diletakkan dihadapan Ain.  Bau kopi yang harum bersama asap kecil yang terapung diudara membuatkan Ain mengukir senyuman.  Kelopak matanya dipejamkan tatkala haruman tersebut dinikmati.

"Terima kasih" ucapnya dengan riang.

"Sama-sama."

Aniq memerhatikan gelagat Ain yang sedang leka menikmati minuman yang dipesannya tadi.  Tanpa disedari, bibirnya turut mengukir senyuman sehingga menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun.  Dia mengambil peluang untuk menikmati pemandangan indah didepannya.  Wajah Ain yang  lebam dan tercalar tidak sedikitpun mencacatkan kecantikan gadis itu.

"Terima kasih sudi datang melawat I," suara lunak Ain memecahkan lamunan Aniq yang segera kembali ke alam realiti.

"Ermm..sebenarnya I datang ni ada tujuan," ucap Aniq.

"Maksud you?"

Aniq cuba mengeluarkan sesuatu dari kocek sebelah kanan kot yang dipakainya.

"Ain, patutlah saya cari awak takde kat bilik.  Rupanya awak kat sini" ujar satu suara.

Ain dan Aniq berpaling serentak ke arah suara tersebut.  Tuan Fakhrul yang segak berkemeja biru dan berseluar slack sudah berdiri tegak ditepi meja.  Pandangan Tuan Fakhrul dan Aniq bersatu.  Namun mereka berdua berlagak biasa.  Sepertinya tidak pernah berjumpa mahupun mengenali antara satu sama lain.

"Ni siapa Ain?" Soal Aniq sopan.

Aniq yang cukup murah dengan senyuman pada hari itu membuatkan Ain tidak tentu arah.

'Ni aku lemah ni', gumamnya.

Tuan Fakhrul masih berdiri ditepi meja.  Ain memandang wajah mereka berdua silih berganti.  Lidahnya kelu untuk berkata-kata.
  
"Errr....kenalkan ni......" suara Ain tersekat dikerongkong.

"Saya Fakhrul.  Ayah saudara Ain.  Saya diamanahkan untuk menjaga Ain oleh ibu bapanya dia disini."

Terbuntang mata gadis itu apabila mendengar pembohongan Tuan Fakhrul.  Mereka berdua saling berjabat tangan.  Ironisnya, mereka kelihatan bersahaja.  Sedangkan Ain pernah menyaksikan pertemuan mereka berdua satu ketika dahulu dimana diari milik Una telah diberikan kepada Tuan Fakhrul disatu lokasi tersembunyi.  Agendanya?  Ain masih belum pasti.  Dia akan menyiasat tentang itu apabila kesihatannya semakin pulih.

"Eh, silakan duduk uncle", Aniq mempelawa.

Tuan Fakhrul menarik kerusi yang terletak bersebelahan dengan Ain.  Kedua-dua orang lelaki itu bersembang dengan sungguh mesra.  Seperti ada keserasian diantara mereka berdua.  Setelah hampir tiga puluh minit, Tuan Fakhrul meminta diri untuk pulang.  Kini tinggallah Ain dan Aniq yang masih lagi kekal dimeja tersebut.  Kebanyakkan pelanggan yang lainnya juga telahpun pergi.

"Ramah betul pakcik you tadi kan?"

"Hah..Dia memang macam tu.  Sesiapa yang kenal dia memang akan cakap dia tu peramah.  Ada je topik yang akan dibualkan," jelas Ain. 

Kopi didalam cawan yang hanya tinggal separuh itu diteguk.  Aniq cuba mengeluarkan sesuatu daripada kocek kot yang dipakainya.  Sekeping sampul surat berwarna merah jambu dihulurkan kepada Ain.  Lambat-lambat Ain menyambutnya dengan kerutan didahi.

"Apa ni?"

"Bukalah.  Nanti you tahu isinya."

"Ok."

Ain membelek-belek sampul surat tersebut sebelum isi didalamnya dikeluarkan.  Sekeping kad berwarna putih dan bercorak lacey begitu menarik minatnya.  Kad tersebut dibuka dan serentak dengan itu bau bunga mawar menerjah ke lubang hidungnya.

'Wangi,' detik hatinya.

Ain mengukir senyum.  Satu persatu huruf yang ditaip cantik didalam kad dibaca dengan teliti sehingga habis.  Seketika kemudian dia mendongak.  Wajah Aniq ditenung seperti meminta kepastian berhubung isi kad berkenaan.

"Betul ke ni?" soalnya.

"Ye.  Takkan I nak main-main pulak.  I akan bagi jemputan rasmi kepada gadis-gadis yang telah meraih gelaran Top Queen Chicklist bagi Dazzling Club" terang Aniq panjang lebar.

"Maksudnya?  I dah jadi Top Queen?," Ain menyoal ragu-ragu.

"Yes.  That's why I am here."

Ain seperti berada diawang-awangan.  Bagaikan tidak percaya apa yang baru didengarinya tadi.  Dia perlu memaklumkan hal ini kepada rakan pasukan yang lain untuk tindakan mereka seterusnya.  Ain telah berjaya berada didalam sangkar musuhnya sendiri.  Hanya sedikit saja lagi dia akan dapat membongkar kegiatan tidak bermoral yang didalangi oleh Aniq Haqimi.

Aniq Haqimi!

Jantungnya berdegup pantas disaat pandangan mereka bersatu.  Rahang Aniq bergerak-gerak seakan memahami bisikan hati gadis tinggi lampai tersebut.  Bebola matanya bercahaya membuatkan pipi gadis berkenaan merona kemerahan.

"I cannot wait for the big moment," ucapan tersebut kedengaran mendatar dibibir Aniq dan suaranya juga turut bergetar menambahkan debaran didadanya.  Jantungnya seakan ingin melompat keluar dan sesungguhnya Ain hampir tidak lagi dapat mengawal emosinya ketika itu.

Ain memerhatikan jam yang tergantung didinding cafe.  Waktu melawat akan tamat tidak lama lagi.  Berat hatinya untuk melepaskan jejaka sasa itu pergi.

"I terpaksa balik dulu.  Waktu melawat pun dah nak habis.  Get well soon Ain." 

Pipi gebu Ain diusap sebelum Aniq meminta diri untuk pulang.

"Err...Aniq.  Terima kasih sebab sudi datang."

Berat langkah Ain mengiringi pemergian Aniq.  Walaupun kereta Aniq telah lama hilang dari pandangan matanya, dia masih lagi berdiri kaku disitu.  Langit yang tadinya cerah bertukar mendung tiba-tiba.  Semestinya hujan lenat akan melanda tidak lama lagi.  Hembusan angin menebarkan dedaun kering ke udara.  Tanpa membuang masa, Ain menapak perlahan kebilik.

*****

Ain mulai terasa mengantuk sebaik usai menikmati makan malamnya.  Tambahan pula cuaca sejuk yang menyelubungi kerana hujan lebat sebentar tadi membuatkan dirinya semakin hanyut untuk meneruskan keberaduannya.  Sebaik saja matanya hampir terlelap, dia terlihat susuk seorang lelaki yang sedang cuba memasuki biliknya.  Roman lelaki tersebut seakan dikenali walaupun dia memakai topeng muka.

Peluh mula merenik didahi.  Anak-anak rambutnya basah dan badannya menggigil.  Suaranya pula tersekat dikerongkong untuk menjerit.  Langkah lelaki tersebut semakin lama semakin dekat.  Pantas topeng muka tersebut ditanggalkan oleh lelaki itu dan menghadiahkan satu senyuman yang telah mencipta satu mimpi ngeri buat Ain.

Kepala gadis itu terasa amat berat sekali.  Mungkin kesan ubat yang telah bertindak didalam badannya.  Badannya lemah dan kelopak matanya teramatlah berat.  Lelaki tersebut mencapai bantal yang terletak diatas sofa lalu menghampiri Ain yang sedang terlantar di atas katil.

"Ja...jangan!  To...tolong!  Ferdaus!"

Namun suaranya hanya seperti satu bisikan.  Dia berpaling disaat wajah lelaki tersebut semakin menampakkan dirinya.

"Ferdaus!  Arghhh...!!"

Lelaki terbabit menekup muka Ain menggunakan bantal.  Ain terkapai-kapai kelemasan.  Kedua-dua belah tangannya dihalang.  Dia langsung tidak dapat melepaskan diri daripada serangan tersebut.  Bantal tersebut ditekan semakin kuat. 

Tubuhnya terkejang dan meronta-ronta akibat kekurangan oksigen.  Dadanya terasa sempit.  Degupan jantung juga semakin perlahan.  Hanya pemandangan yang berwarna putih terhampar diruang matanya.  Disaat-saat nyawanya terasa hampir dihujung tanduk, Ain berjaya membuka kelopak matanya dan terlihat bilah-bilah kipas masih lagi berpusing perlahan.

Keaadan bilik agak suram.  Lampu disisi katil saja yang terpasang manakala lampu utama telah lama terpadam.  Ain melihat keadaan sekeliling.  Jantungnya masih lagi berdegup hebat.  Namun tiada sesiapa pun disitu.  Hanya dirinya saja yang terbaring dikatil wad.  Tubuhnya terlantar kaku.  Otaknya yang kusut cuba dirasionalkan. 

Dia cuba mengaitkan periswa yang terjadi sebentar tadi dengan kenyataan bahawa Ferdaus telahpun ditangkap dan berada didalam lokap.  Ain barulah tersedar bahawa dia cuma melalui mimpi buruk.  Ataupun mungkin mengalami halusinasi akibat kesan ubat yang diambilnya.

"Astaghfirullahaladzim..aku bermimpi rupanya.  Ya Allah..Alhamdulillah"

Dia meraup wajahnya berkali-kali.   Jam didinding menunjukkan ke angka 3:26 pagi.   Badannya disandarkan tegak dikepala katil.  Tidak lama kemudian dia turun dari situ dan menyarung selipar lalu menuju ke bilik air. 

Kedinginan air yang dirasai tatkala menyentuh kulitnya langsung tidak menghalang dirinya untuk mengambil wudhuk.  Telah beberapa hari dia terlantar disitu.  Alpa dia seketika akan tanggungjawabnya sebagai seorang muslimah.

Sejadah dihamparkan sebaik saja dia menyarung telekung berwarna putih bersih.  Hatinya terasa lapang dan tenang sekali disaat itu.  Dia berdoa agar rasa ketenangan itu berkekalan hingga ke akhirnya.  Segala ujian untuk dirinya diterima dengan tabah. 

*****

Semua kakitangan di IPD tersebut agak kelam kabut dengan persediaan mesyuarat Task Force tegempar yang akan diadakan sebentar lagi.  Tuan Fakhrul secara tiba-tiba saja ingin mengadakan mesyuarat tersebut setelah menerima maklumat terkini daripada Ain.   Ain yang beransur sihat kelihatan bersemangat apabila memasuki perkarangan pejabatnya.  Insan pertama yang akan ditemuinya sudah semestinya Theresa.

Langkah diatur pantas.  Pintu kayu berwarna coklat muda dan bertanda nama ' Inspektor Theresa' ditolak perlahan.  Kepalanya dijengukkan ke dalam.  Theresa duduk membelakanginya dan sedang leka menaip sesuatu dikomputer.

Bunyi jari jemari yang mengetuk huruf-huruf dikeyboard melekakan Theresa.  Selama hampir lima minit Ain  memerhatikan gelagat rakannya itu.  Theresa langsung tidak menyedari perbuatannya.

"Amoii aa..jom pergi minum.  Lapar loorr..," ajakan Ain menyebabkan Theresa melatah.

"Amoii..ooi amoii...akulah amoi cantik rupawan..!."

"Hahahaha..hodoh gila kau melatah Tess."

"Ain!  Semput aku tau tak?  Sejak bila kau ada kat sini?"

"Lama la jugak.  Sempat la aku dengar kau angau sebut nama tunang kau tadi" Ain mengusik.

"Wehh...mana ada.  Kau ni saja kan?," Theresa memuncungkan mulut.

"Dah.  Aku lapar.  Jom sarapan dulu.  Nanti ada meeting pulak.  Tak tau meeting tu habis jam berapa."

Ain menarik lengan sahabatnya.  Theresa menuruti saja asalkan dia dapat melihat senyuman manis yang terukir diwajah temannya itu yang telah mati selama ini.

Pasangan sahabat tersebut hanya bersarapan dikantin pejabat.  Senang kalau tiba-tiba saja Tuan Fakhrul memanggil mereka secara tiba-tiba.  Tingkah Tuan Fakhrul bukannya boleh diduga.  Pernah dulu mereka dipanggil dengan segera.  Bagaikan lipas kudung mereka memandu pulang ke pejabat.   Jadi kali ini, mereka akan lebih berjaga-jaga.

Pesanan yang dibuat sepuluh minit yang lalu tiba dimeja.  Ain begitu berselera sekali menikmati nasi lemak berlaukkan sambal sotong.  Tidak cukup dengan itu, lauk Theresa juga dibahamnya.

"Ish...gelojoh betul anak dara ni makan" Theresa menggeleng.

"Aku tengah berselera ni.  Apa orang cakap?  Selera gajah?  Haaa...Gitulah bunyinya.  Hehehe."

"Cukup tak ni?  Kalau tak cukup aku order lagi satu"

"Amboi...Perli aku nampak Tess?   Huhuhu.  Yelah," Ain meletakkan sudu dan garfu ketepi pinggan.

Wajahnya cemberut.  Ketawa Theresa bila-bila masa saja boleh meletus.

"Ala...Tak best la macam ni.  Aku gurau je la.  Aku seronok tengok kau ceria macam ni.  Berbeza dari dulu.  Kau pun semakin bersemangat," ujar Theresa.

"Ye ke?  Aku rasa macam biasa je.  Tapi kan Tess.  Sebenarnya aku....," bicara Ain terhenti.

Theresa menyedut minumannya.  Anak mata dipicingkan.  Dia faham benar dengan sikap rakannya yang satu itu.  Kalau bicaranya terhenti mesti ada sesuatu yang serius yang ingin diperkatakan.

"Cakap je la Ain.  Aku sedia mendengar.  Macam aku tak biasa."

Pipi mulus Ain merona kemerahan.  Dia serba-salah.  Tetapi Theresa satu-satunya sahabat yang paling rapat dengannya.  Sahabat yang boleh berkongsi suka dan duka bersama.  Pastinya hal yang terbuku dihatinya kini perlu diluahkan kepada Theresa.

"Tess.  Benda yang aku nak cakap ni mungkin mengejutkan kau.  Tak pun kau akan cop aku gila.  Tapi aku perlu jugak bagitau kau pasal ni"

"Serius benar bunyinya.  Cakap sajalah.  Mana tau aku boleh bagi pandangan.  Macam la kau baru kenal aku semalam."

Jari jemari Ain dikepal dan diramas-ramas.  Dia mengitari keadaan disekelilingnya melihat para pelanggan kantin yang datang tidak pututs-putus.  Dia menghela nafas panjang dan cuba menyusun atur kata-kata yang sesuai.

"Tess...aku jatuh hati," tutur Ain akhirnya.

Sebaris ayat tersebut begitu lancar diucapkan.  Tulus.  Entah apalah reaksi Theresa nanti.

Phuihh..

Air minuman didalam mulut Theresa tersembur kelantai.

"Apa kau cakap tadi Ain?," Theresa separa menjerit.  Kesemua pelanggan di kantin tersebut terarah kearahnya.

"Aku jatuh hati Tess" Ulang Ain yakin.

"Dengan siapa?"

"Emmm..Aniq."

"Aniq?"

"Aniq Haqimi."

"Maksud kau Aniq Haqimi suspek utama kes kita tu?"

Ain mengangguk. 

"Kau gila??  Dia musuh kita!!"

Sekali lagi para pelanggan memusatkan pandangan ke arah mereka.

"Aku tau Tess. Tapi ni soal hati dan perasaan.  Aku dah cuba kawal diri.  Tapi aku...Aku cuma manusia biasa Tess."

Air mata mula bergenang dikelopak matanya.  Puas ditahan akhirnya merembes jua.  Theresa memicit kepala.

'Ain betul-betul menempah bala ' fikirnya.  Beberapa minit kemudian Theresa membuka mulut.

"Kau dah fikir habis ke ni?" soal Theresa.

Ain mengangguk.

"Aku sebagai kawan kau cuma mampu bagi nasihat.  Aku harap, kau sedar apa yang kau dah luahkan tadi.  Kau tahu kan keadaan kita.  Keadaan Aniq Haqimi.  Macam langit dan bumi bezanya.  Tapi, aku tak berada ditempat kau.  Aku tak mengerti apa yang ada dalam hati kau Ain.  Apa yang kau rasa dan lalui.  Kau pasti ada alasan kau yang tersendiri. Aku sayangkan kau.  Aku nak tengok kau bahagia.  Sebab dalam dunia ni setiap orang berhak untuk merasa bahagia."

Jemari Ain digenggam erat.  Pandangan mereka bersatu.  Suasana yang riuh dengan orang ramai terasa hening.

"Please be professional Ain.  Jangan campur adukkan hal kerja dan peribadi."

Kata-kata Theresa ada benarnya.  Ain buntu.  Adakah dia terlalu mengikut perasaan mudanya?  Atau adakah dia telah terjerumus kedalam dunia ciptaannya sendiri?  Namun jauh disudut hatinya ada sesuatu yang misteri tentang Aniq.  Sisi gelap lelaki itu tertutup dengan keperibadian yang ditonjolkan.  Hanya dia yang dapat merasai perasaan itu.

'When marimba rhythms start to play
Dance with me, make me sway
Like a lazy ocean hugs the shore
Hold me close, sway me more'

Nada dering telefon pintar milik Ain berbunyi.

"Tuan Fakhrul" terpacul nama tersebut tanpa melihat skrinnya.

Panggilan tersebut segera dijawab dan seperti diduga, ketuanya itu ingin mempercepatkan masa mesyuarat.  Theresa dan Ain bergegas pergi dari situ setelah membuat bayaran dikaunter.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BL-1 | BL-2 | BL-3 | BL-4 | BL-5 | BL-6 | BL-7 | BL-8 | BL-9 | BL-10 | Bab 11 | BL-12 | BL-13 | BL-14 | BL-15 | BL-16 | BL-17 | BL-18 | BL-19 | BL-20 | BL-21 | BL-22 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku