Hujan Merah
Bab 1
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
227

Bacaan






November 2013

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,
    
Aslan,
    
Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo.
    
Saya kirimkan surat ini melalui Zelimkhan kerana saya tak mahu meninggalkan apa-apa jejak elektronik yang boleh mendatangkan masalah kepada awak semua dan keluarga saya di Chechnya.
    
Sahabatku Aslan,
    
Masih ingatkah awak pada video yang kita tonton semasa di masjid tempoh hari? Kesengsaraan dan kepayahan hidup saudara seagama kita di Syria tertayang di hadapan mata. Cemas dan gentar wajah saudara-saudara kita di sana menghantui ingatan saya sepanjang malam.
    
Saya tidak bisa melelapkan mata dengan tenang. Dentuman dan letupan bom barel daripada video yang dirakam mengingatkan saya pada perang yang berlaku di Chechnya ketika saya masih kecil. Perang Chechen pertama dan kedua.
    
Ia sebuah memori yang takkan pernah terpadam daripada minda saya. Waktu itu saya bersama ibu dan adik-beradik yang lain duduk ketakutan di dalam bilik di rumah kami. Dalam hati saya berdoa agar tentera Rusia tidak memasuki perkampungan kami dan membunuh kami semua. Saya juga berdoa agar ayah saya selamat. Agar ayah saya kembali ke rumah dengan senyuman puas selepas menembak mati kesemua penjajah berbangsa Rusia yang ingin menghancur dan merampas tanah milik bangsa Chechen.
    
Allah memperkenankan salah satu daripada dua doa saya. Jauh di atas bukit, pertempuran sedang berlaku di antara pahlawan Chechen yang berani dengan penjajah Rusia yang zalim. Syukur kepada Allah, pertempuran tersebut tidak merebak hingga ke perkampungan kami. Saya, ibu, dan adik-beradik yang lain semuanya selamat.
    
Namun, beberapa hari selepas itu keluarga saya menerima sebuah keranda. Di dalam keranda tersebut, ayah saya terbaring tidak bernyawa. Tubuhnya sudah tidak sesempurna dahulu, seperti ketika dia mengajar saya bermain bola sepak bersama abang-abang saya.
    
Saya menangis. Saya meraung.
    
Hingga hari ini, ada kelukaan dalam hati saya. Cukuplah umat Islam ditindas dan dibunuh oleh pemerintahnya sendiri. Cukuplah hanya kami sahaja yang merasai keperitan hidup akibat peperangan. Jangan ada lagi anak-anak yang terpaksa melihat pemergian saudara yang mereka kasihi. Cukuplah hanya saya sahaja yang melihat jenazah ayah saya kembali ke rumah dalam keadaan yang menghibakan. Saya tidak mahu anak-anak lain menerima nasib yang sama seperti saya.
    
Aslan,
    
Bukan keinginan saya untuk memaksa awak turut sama berjihad di Syria. Kerana walaupun kita sama-sama berdarah Chechen, kita berdua dibesarkan dalam keadaan hidup yang berbeza dan melalui pengalaman yang berbeza.
    
Saya cuma perlukan sebuah pengertian daripada awak. Agar awak tahu mengapa saya memilih jalan yang saya ambil sekarang.
    
Akhir sekali, sekiranya Allah mengizinkan, suatu hari nanti pasti kita akan bertemu kembali. Ketahuilah pada waktu itu, saya pastinya orang yang paling gembira di antara kita berdua.
    
Terima kasih untuk segala-galanya.
    
Sahabatmu,
                        
Dzhabrail Sultanovich Davletmurzaev                        
29 September 2013


    
Aslan bangun dari pembaringan lalu duduk bersila di atas katil. Lelaki 23 tahun itu melipat dua surat daripada sahabatnya. Rambut coklat tua yang sedikit kusut, dikemaskan. Dia termenung menopang dagu.
    
Surat Dzhabrail dikirimkan kepadanya melalui sahabat baik mereka yang tinggal di Republik Chechen, Zelimkhan Batsaraev. Dzhabrail yang dikenalinya semasa lelaki itu melawat Zelimkhan di Ufa, sudah berada di Syria ketika ini. Pemuda 25 tahun itu berjuang bersama kumpulan jihad Jaish al-Muhajireen wal Ansar.
    
Kali pertama membaca surat tersebut, Aslan cuba memahami rasa hati Dzhabrail daripada pelbagai perspektif. Dia akui, tindakan yang diambil Dzhabrail sangat drastik. Pemergiannya ke Syria berlaku seminggu selepas Aslan, Ruslan, Zelimkhan, dan Dzhabrail didedahkan dengan isu yang melanda negara yang sedang bergolak itu.
    
Bunyi peluru yang dimuntahkan senapang dan letupan bom yang bisa memecah gegendang telinga cukup memanaskan dada. Takbir “Allahu Akbar” yang dilaung kuat tentera mujahidin ketika peluru-peluru mereka menujah tubuh askar-askar Assad, menyemarakkan semangatnya.
    
Dalam masa yang sama, hati lelakinya tersentuh tatkala mendengar tangisan kanak-kanak di hospital melalui video yang dirakam. Ratapan hiba para ibu saat menyedari mereka sudah kehilangan ahli keluarga yang dikasihi meruntun jiwanya. Buat pertama kali dalam hidup, Aslan Adamovich Sakaev merasai pelbagai jenis emosi serentak; sakit hati, marah, geram, dan simpati.
    
Sebulan selepas menerima surat Dzhabrail, Zelimkhan menelefonnya dan memberitahu yang dia juga ingin berjihad di Syria.
    
Aslan jadi bingung. Hatinya kacau mendengar rancangan Zelimkhan. Bagaimana sahabatnya itu bisa terfikir untuk menjadi pejuang di sana? Tidak takutkah dia dilabelkan sebagai pengganas?
    
Lantas, untuk lebih memahami niat sahabat baiknya, Aslan mencari, mengkaji, dan menonton banyak video mengenai Syria di internet. Dia juga membaca artikel-artikel dan isu-isu yang berkaitan dengan Syria; bagaimana perang saudara itu tercetus, apa puncanya, siapa yang bertanggungjawab ke atasnya dan bagaimana kehidupan rakyat Syria sekarang.
    
Pencarian itu dirahsiakan daripada adik kembarnya. Ruslan tidak banyak bicara sewaktu selesai membaca surat Dzhabrail. Namun, Aslan cukup yakin yang Ruslan langsung tidak berkenan dengan pemergian Dzhabrail ke Syria. Adiknya tidak pernah berbual mengenai isu Syria dengannya selepas Dzhabrail meninggalkan mereka. Setiap kali Aslan cuba meminta pendapat Ruslan mengenai jihad di Syria, Ruslan akan mengubah topik. Ruslan bukannya seorang yang pro-jihad.
    
Dua minggu.
    
Itu tempoh masa yang diambil Aslan untuk menilai keadaan di Syria melalui maklumat di internet. Selepas itu, Aslan menelefon Zelimkhan untuk memintanya menangguhkan dahulu rancangan ke Syria kerana dia juga sedang mempertimbangkan rancangan yang sama. Zelimkhan bersetuju.
    
Masih lagi ragu-ragu akan keputusannya, Aslan melakukan solat istikharah bagi meminta petunjuk daripada Tuhan Yang Maha Esa. Itulah istikharah pertama yang dia lakukan seumur hidupnya. Malah, dia juga sudah mula mengambil berat akan solatnya dengan tidak melengah-lengahkan waktu solat.
    
Suatu malam selepas melakukan solat istikharah, Aslan bermimpi. Dalam mimpi, dia menyaksikan bom-bom dijatuhkan dari langit. Dia melihat seorang nenek tua menangis sambil memeluk mayat cucunya. Dan, dia juga melihat tangannya memegang selaras senapang.
    
Aslan mengambil mimpi tersebut sebagai petunjuk yang menyuruhnya menetapkan keputusan untuk ke Syria.
    
Beberapa hari selepas mendapat mimpi tersebut, Aslan menelefon Zelimkhan dan menyatakan hasrat untuk turut berjihad di Syria. Zelimkhan memberikannya pautan ke akaun media sosial milik beberapa orang mujahidin Chechnya yang dikenalinya di VKontakte. Memandangkan Zelimkhan tinggal di Republik Chechen, dia mempunyai rangkaian persahabatan yang luas dengan orang-orang Chechen di sana sehingga membolehkannya berhubung dengan mujahidin Chechen yang kini berada di Syria.
    
Aslan berbalas-balas mesej dengan mereka dan selepas seminggu, Aslan membulatkan tekadnya untuk mengikuti jejak langkah Dzhabrail ke Syria. Dia mahu berbakti kepada muslimin dan muslimat Sunni di sana. Berbakti kepada saudara-saudara yang mempunyai pegangan agama yang sama dengannya. Dia mahu membantu menggulingkan Bashar Assad, dan membiarkan tampuk pemerintahan Syria diberikan kepada orang-orang Sunni yang tertindas sejak sekian lama di bawah pimpinan diktator kejam itu.
    
Jika diizinkan Allah, dia mahu mati sebagai seorang syahid.
    
Aslan menghela nafas. Sepasang mata biru miliknya kini dialih pada sijil ijazah perubatan yang dibingkai dan digantung pada dinding. Enam tahun yang lalu, dia mengambil kursus perubatan dengan harapan dapat membantu orang lain. Walau bagaimanapun, keadaan sudah berubah. Menggunakan kemahiran dalam bidang perubatan bukan satu-satunya cara seseorang itu dapat memberi pertolongan. Aslan yakin dia akan dapat menyumbang lebih banyak dengan mengangkat senjata dan ikut berperang.
    
Aslan berbaring di atas katil kembali. Esok, dia dan Zelimkhan akan bertolak ke Turki dari Ufa International Airport. Wakil jamaat yang bakal mereka sertai akan menunggu ketibaan mereka di Turki. Mereka akan dibawa melintasi sempadan Turki-Syria.
    
Oleh kerana mereka digalakkan untuk tidak membawa banyak bagasi, Aslan cuma membawa sebuah beg pakaian beroda dan beg galas. Beg galasnya dipenuhi dengan peralatan elektronik seperti komputer riba, power bank, adapter, pengecas telefon serta beberapa peralatan lain. Dia turut membawa sedikit bekalan ubat.
    
Aslan mengiring tubuh lalu mengambil telefon pintar di sebelah.
    
Tiada mesej yang masuk.
    
Zelimkhan memberitahu dia akan tiba di Ufa sekitar pukul 3 petang.
    
Sekarang sudah pukul 3.40 petang dan Zelimkhan masih belum menghubunginya.
    
Kereta api rosak ke?
    
Telefon pintar ditutup. Aslan ingin melelapkan mata seketika. Lagipun, Zelimkhan pasti akan menelefonnya jika terjadi apa-apa dalam perjalanan.
    
Dia tidak perlu risau.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku