Hujan Merah
Bab 4
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
112

Bacaan






Hospital Ufa
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

   
“Harap maaf. Nombor yang anda dail tid…” Ruslan mematikan panggilan. Hari ini sudah masuk tiga hari Aslan gagal dihubungi.
   
Tiga hari yang lalu, pagi-pagi lagi Aslan keluar dari rumah. Bila ditanya hendak ke mana, Aslan memberitahu dia pergi berjumpa kawan. Aslan tidak membawa apa-apa melainkan dompet dan telefon bimbit. Ruslan pula langsung tidak mengesyaki apa-apa ketika itu.
   
Namun apabila malam tiba dan Aslan masih belum pulang, keluarga mereka mula dijentik risau. Ibu mereka berdua, Raisa, mendesak Ruslan keluar mencari Aslan selepas beberapa kali gagal menghubungi anak sulungnya. Ruslan mencari hingga ke rumah rakan-rakan mereka namun mereka memberitahu Aslan tidak pernah datang. Ruslan juga pergi ke hospital tempat mereka berdua bekerja namun Aslan juga tidak berada di sana.
   
Ruslan turut menelefon Zelimkhan yang disangkanya berada di Moscow. Manalah tahu Aslan ada menghubungi Zelimkhan. Namun panggilan Ruslan berkali-kali masuk ke peti mel suara. Dengan perasaan hampa bercampur bimbang, dia kembali ke rumah pukul 1 pagi. Ruslan cuba menghubungi Aslan setiap sejam tetapi usahanya sia-sia. Puluhan mesej dihantar kepada Aslan. Satu pun tidak dibalas.
   
Esoknya, Ruslan tiba di Hospital Ufa lebih awal daripada syif yang dijadualkan untuk melihat sama ada Aslan sudah masuk bekerja. Harapannya meleset lagi. Rakan-rakan sekerja memberitahu, Aslan tidak pernah menelefon mereka.
   
Tiada siapa tahu di mana Aslan berada.
   
Apa yang harus dilakukannya sekarang?
   
Ruslan meletak telefon pintar di atas meja. Ikutkan hati, dia mahu mengambil cuti hari ini. Tapi sebaik teringat yang dia terlibat dalam satu pembedahan, Ruslan pendamkan sahaja hasrat di hati. Tidak mungkin dia sempat mencari doktor lain untuk menggantikan tempatnya. Dia tidak mahu dipandang sebagai doktor pelatih yang tidak bertanggungjawab.
   
Ketiadaan Aslan di hospital menyebabkan jadual kerja beberapa orang doktor pelatih lain kelam-kabut. Untuk mengelakkan amarah dan rungutan daripada mereka, Ruslan terpaksa menawarkan diri untuk melakukan sebahagian kerja-kerja Aslan. Semua ini menjadikan dia bertambah serabut.
   
Ruslan mengurut-urut kepala yang sakit. Sudah tiga malam dia tidak tidur lena memikirkan hal abangnya dan juga syif kerja Aslan yang terpaksa dia gantikan.
   
Setelah menelan dua biji ubat penahan sakit, Ruslan menyambung kerjanya meneliti dokumen-dokumen pesakit yang berada di bawah pantauan Aslan; Anton Safarov, Maria Safina, Victoria Myskina, dan Dzhabrail Khamatov.
   
Nama pesakit terakhir membuat jantung Ruslan berdegup kencang.
   
“Dzhabrail…” gumamnya perlahan. ‘Tak! Tak mungkin abang pergi ke Syria seperti Dzhabrail!
   
“Astaghfirullahalazim…” Ruslan beristighfar. Mustahil abangnya bertukar sekelip mata seperti Dzhabrail. Sungguh tidak masuk akal baginya memikirkan yang Aslan akan mengangkat senjata seperti pengganas.
                       
*****

Tapak latihan Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria

   
Abu Bakar melabuh punggung berhampiran beg galasnya. Deruan nafasnya pantas. Latihan pagi ini menggunakan banyak tenaga. Dia mengeluarkan sehelai tuala kecil daripada beg lalu mengelap peluh yang menitik di muka dan leher. Kemudian Abu Bakar meneguk air sehingga dahaga di tekak menghilang.
   
Abu Bakar menghela nafas. Mata birunya ralit memerhati kawasan rehat yang bersebelahan sungai. Latihan fizikal mereka baru sahaja tamat. Oleh kerana sekejap lagi akan masuk waktu solat zohor, tenaga pengajar menghentikan latihan sesi pagi. Latihan akan bersambung kembali pada pukul 12.00.
   
Abu Usman yang kepenatan menyandarkan kepala pada bahu Abu Bakar.
   
“Penat?” Abu Bakar menyoal, sekadar berbasa-basi.
   
Abu Usman mengangguk perlahan.
   
“Jam berapa sekarang?” soalnya.
   
Abu Bakar melihat jam digital yang terpasang di pergelangan tangan. 11.16.
   
“11.16. Zohor jam 11.26.”
   
Abu Usman mengangguk lagi.
   
“Biar saya tidur sekejap…” Abu Usman memejam mata.
   
“Okey.”
   
Pagi itu mereka semua berlari 10 pusingan mengelilingi kawasan latihan yang luas, tekan tubi sebanyak 50 kali, bangkit tubi sebanyak 50 kali, lompat bintang sebanyak 100 kali, lari zig-zag sejauh 200 meter, memanjat dari palang ke palang, dan belajar teknik mempertahankan diri.
   
Tidak seperti Abu Bakar yang mempunyai stamina yang baik, Abu Usman mudah lelah semasa melakukan aktiviti fizikal. Sewaktu berlari tadi, Abu Bakar melihat Abu Usman menyedut ubat asmanya beberapa kali.
   
“Aslan…” Abu Usman memanggil perlahan.
   
“Ya?”
   
“Saya penat. Saya nak tidur, tapi tak dapat tidur…” ujar Abu Usman dengan tidak bermaya. Dalam masa yang sama, dia mahu menagih simpati Abu Bakar. “Apa nak buat ni?”
   
Abu Bakar mengusap-usap kepala Abu Usman. “Selamat malam, Abu Usman,” ucapnya bergurau.
   
Segaris senyuman meniti di bibir Abu Usman. Dia amat bersyukur Abu Bakar ada bersamanya di tanah asing ini. Abu Bakar sudah dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri dan kehadiran Abu Bakar di sisi memberi Abu Usman rasa selamat.
   
Tidak jauh dari situ, seorang anak muda sedang memerhatikan mereka berdua. Tertarik untuk berkenalan dengan kedua-dua lelaki itu, remaja belasan tahun itu bangun dari tempat duduk lalu menuju ke arah Abu Bakar dan Abu Usman.   
   
“Assalamualaikum…” Dia menyapa Abu Bakar dan Abu Usman.
   
“Waalaikumsalam…” Abu Bakar menjawab salam anak muda di hadapannya. Abu Usman pula sekadar menggerakkan mata dan menjawab perlahan salam anak muda itu tanpa mengalihkan kepala daripada bahu Abu Bakar.
   
Pemuda berambut coklat muda itu tersengih. Dia terus duduk bersila di hadapan Abu Bakar.
   
“Saya Abu Muhammad, dari Chechnya. Tinggal di Gudermes. 18 tahun.” Abu Muhammad memperkenalkan diri tanpa dipinta.
   
“Abu Bakar, dari Grozny. Tapi tinggal di Ufa. 23 tahun. Yang ini Abu Usman. Lahir dan membesar di Grozny.” Abu Bakar memberitahu. Abu Usman cuma tersenyum memandang Abu Muhammad.
   
“Oh…Chechen?” soal Abu Muhammad untuk kepastian memandangkan Abu Bakar berbahasa Rusia tanpa sebarang loghat, berlainan dengan orang Chechen lain.
   
“Ya. Cuma setahun tinggal di Chechnya sebelum berpindah ke Ufa,” balas Abu Bakar.
   
“Abang berdua baru tiba semalam, kan? Saya dah lebih seminggu di sini…” Abu Muhammad memberitahu dalam bahasa Chechen. Dia lebih selesa berbual dalam bahasa ibundanya berbanding bahasa Rusia.
   
Abu Usman mengangkat kepala. Wajah Abu Muhammad ditatap. 18 tahun? Terlalu muda, bukan? Kenapa dan bagaimana dia datang ke Syria?
   
Ada banyak soalan yang ingin dia tanyakan kepada Abu Muhammad, tapi apabila teringat yang mereka tidak seharusnya mengorek rahsia peribadi seseorang, dia memilih untuk berdiam diri.
   
“Kenapa?” Abu Muhammad menyoal setelah menyedari Abu Usman merenungnya.
   
“Tak ada apa-apa…” jawab Abu Usman.
   
“Abang tertanya-tanya ke kenapa saya datang ke sini?” Abu Muhammad menyoal.
   
Wah, budak ini boleh tahu apa yang aku fikirkan!
   
“Hidup saya di Gudermes terasa kosong dan hambar. Tak ada matlamat. Saya fikir, saya tak mahu mati sia-sia. Jadi bila saya dapat tahu tentang jihad di Syria, saya pun buat keputusan untuk datang ke Syria. Saya temui matlamat saya di sini. Dan matlamat tersebut ialah untuk mati syahid. Orang yang mati syahid akan masuk syurga!”
   
Penjelasan Abu Muhammad membuat Abu Bakar sedikit tergamam. Dia tidak pasti sama ada Abu Muhammad kurang bijak atau berfikiran dangkal. Kecil sungguh jiwa anak muda ini sekiranya dia datang ke Syria semata-mata untuk mati. Apa sudah jadi dengan keazaman untuk menewaskan tentera rejim yang menindas muslimin dan muslimat Sunni di Syria? Bukankah baru pagi tadi mereka dikhabarkan dengan berita askar Assad menyeksa sehingga mati orang-orang Sunni Syria yang ditangkap?
   
Berlainan dengan Abu Bakar, Abu Usman menghormati pemikiran Abu Muhammad. Asalkan seseorang itu membebaskan orang yang teraniaya dan mengangkat syiar Islam, apa-apa alasan yang mendorong seseorang itu ke tanah yang sedang bergolak ini, semua itu tidak penting.
   
Abu Bakar menggaru-garu kepala. Otaknya ligat memikir cara untuk mengubah persepsi berkenaan mati syahid.
   
“Abu Muhammad,” panggil Abu Bakar.
   
“Ya?”
   
“Syria bukannya tempat untuk kita melepaskan tanggungjawab kita pada dunia.”   
   
“Apa maksud abang?”
 
“Orang yang datang ke sini kerana merasakan  hidupnya di dunia hambar dan ingin mati segera dalam peperangan ialah orang yang tewas.”

“Tewas?”

“Ya, tewas. Dia tewas sebab dia melarikan diri daripada hidupnya. Memang hidup ini tidak dapat diramalkan, hambar, dan kadangkala membosankan. Tapi sebab itulah kita kena berusaha agar hidup kita lebih baik. Kalau kamu rasa hidup kamu di Gudermes tidak bermakna dan kamu datang ke sini untuk melarikan diri daripada hidup kamu, lebih baik kamu kembali sahaja ke sana.”

Kata-kata Abu Bakar membuat Abu Muhammad kurang senang. Abu Bakar seolah-olah menuduhnya melarikan diri daripada kehidupan.

“Saya datang ke sini untuk mati syahid! Supaya saya boleh masuk syurga!” tegas Abu Muhammad.

“Mati syahid ialah hadiah daripada Allah SWT, bukannya sesuatu yang dicari dengan datang ke Syria dengan harapan agar ditembak mati supaya boleh masuk syurga. Jika semua mujahidin datang ke Syria semata-mata untuk mengangkat senjata dan mengharap kematian segera, siapa yang akan hidup untuk membina Syria kembali?”

“Tapi abang berdua datang ke sini untuk mati syahid juga, bukan?”

“Abang datang ke Syria untuk tolong orang. Untuk bebaskan Syria daripada rejim Assad. Kalau abang ditakdirkan mati, abang sendiri pun tak pasti jika mati abang tu dikira sebagai syahid atau tidak,” terang Abu Bakar.

Abu Muhammad tertunduk, kehilangan kata. Ayat Abu Bakar dihadam sepatah demi sepatah. Betul kata lelaki itu. Mati syahid ialah hadiah dan rahsia Allah SWT.

Abu Bakar menghela nafas. Dalam hati ada rasa bersalah kerana membidas kata-kata Abu Muhammad demikian rupa. Kalau boleh, dia tidak mahu Abu Muhammad berkecil hati.
   
“Ma..maaf…” ucap Abu Muhammad, perlahan.
   
“Kenapa?”
   
“Saya tak sepatutnya mementingkan diri.” Abu Muhammad diam seketika. Dia memandang Abu Bakar. “Betul kata abang. Memang saya sedang melarikan diri…”
   
“Jangan risau. Jika Allah izinkan, dia akan berikan juga apa yang kamu mahu. Banyakkan beribadat dan menolong orang,” nasihat Abu Usman seraya menepuk-nepuk tubuh anak muda itu.   
   
Beberapa minit kemudian, azan Zohor berkumandang daripada telefon bimbit tenaga pengajar mereka. Kesemua rekrut bingkas bangun daripada tempat berehat. Masing-masing bergerak menuju ke sungai.   

Selepas selesai mengambil wuduk, mereka membentangkan tikar sembahyang masing-masing dan meluruskan saf. Abu Basir menjadi imam solat zohor mereka. Alunan surah yang dibaca Abu Basir menggetarkan hati yang mendengar. Ternyata Abu Basir seorang yang fasih berbahasa Arab. Doa yang dibacanya dalam bahasa Arab dan Rusia hampir-hampir membuat Abu Bakar menangis tatkala dia mendoakan kesejahteraan ibu bapa serta ahli keluarga mereka.
   
Usai solat, mereka bersalam dan berpelukan sesama sendiri. Abu Bakar memeluk Abu Usman erat dan lama.
   
“Inilah jalan yang kita pilih, Aslan. Jadi jangan pernah menyesal.”

*****
   
Mereka makan tengah hari sambil bercerita tentang latihan menembak nanti. Abu Bakar dan Abu Usman mendengar dengan penuh minat cerita Abu Muhammad. Abu Muhammad memberitahu yang AK-74 akan menjadi senjata utama mereka selepas tamat latihan nanti. Ke mana-mana sahaja mereka pergi, AK-74 selalunya akan dibawa bersama. Selain itu, mereka akan diajar menggunakan beberapa senjata lain seperti senapang AK-47, Zastava M91, M84, dan M70, PTRS-41, Sayad-2, dan senjata anti-kereta kebal RPG-26 serta didedahkan dengan cara-cara membuat dan mengendalikan bom tangan.
   
Tepat pukul 12.00, mereka diarah untuk berpecah mengikut minggu ketibaan masing-masing bagi memudahkan proses pengajaran kerana pelatih yang tiba di kem lebih awal sudah memiliki pengetahuan asas pengendalian senjata berbanding pelatih yang baru tiba semalam.     Abu Bakar, Abu Usman, dan pelatih yang baru tiba, akan diajar cara mengendalikan senjata oleh Abu Basir. Lelaki 35 tahun yang menjadi tenaga pengajar mereka pada hari itu memiliki rambut panjang warna coklat paras bahu dan janggut yang lebat.
   
“Sekarang saya nak kamu semua duduk dalam satu barisan horizontal,” arah Abu Basir. Kesemua pelatih baru mengangguk dan mengikut arahan yang diberi.
   
Abu Basir menunjukkan mereka selaras senapang.
   
“Ini AK-47. Kita juga panggil ia sebagai Kalashnikov atau Kalash. Tanpa magazin beratnya dalam lingkungan 3.5 kg. Jarak tembakannya sangat efektif dalam lingkungan 350 meter. Peluru yang digunakan pula ialah ini…” Abu Basir menunjukkan mereka sebutir peluru kemudian menyambung, “7.62 x 39mm.” Dia mengambil magazin dan menunjukkannya pada pelatih-pelatih di hadapan.
   
“Ini magazin. Magazin berfungsi sebagai tempat penyimpan dan penyuap peluru. Setiap magazin boleh memuatkan jumlah peluru yang berbeza. Magazin yang saya pegang ni boleh memuatkan 30 butir peluru. Magazin dipasang seperti ini…” Abu Basir mencantumkan magazin tadi pada Kalashnikov sebelum mengangkat Kalashnikov itu ke hadapannya. “Sekarang Kalash ini sudah memiliki peluru. Untuk menembak, kita kena pusing tuil pilihan ke kanan pada bahagian kanan kedudukan bawah dan tarik ke belakang. Kemudian lepaskan tuil pengunci pada bahagian atas. Acukan senjata pada sasaran dan petik picu,” ajar Abu Basir, memberi demonstrasi persediaan sebelum menembak. Seterusnya dia memanggil seorang demi seorang pelatih untuk mengajar mereka secara terus cara pengendalian AK-47.
   
Apabila gilirannya tiba, Abu Bakar bangun lalu merapati Abu Basir. Lelaki itu mengajar Abu Bakar cara-cara memasukkan magazin dan persediaan untuk menembak sebelum dia disuruh mengulang kembali apa yang diajar. Abu Bakar melakukan satu-persatu tugasnya mengikut urutan yang betul. Selepas Abu Bakar, Abu Usman pula dipanggil ke hadapan. Sama seperti Abu Bakar, dia juga melakukan semua yang diarahkan tanpa sebarang masalah.
   
Selepas memperkenalkan mereka kepada AK-47, Abu Basir membawa mereka ke kawasan lapang sasar. Sasaran mereka ialah papan warna hitam yang terdapat bulatan target warna putih yang berlainan saiz. Tembakan mereka dikira cukup baik jika mereka dapat menyasarkannya pada bulatan paling dalam pada papan warna hitam tersebut.
   
Abu Basir menunjukkan mereka beberapa posisi menembak; secara berdiri, meniarap, dan satu kaki berlutut. Kemudian dia memetik picu seraya melepaskan beberapa das tembakan. Abu Bakar dan yang lain-lain memerhatikan pergerakannya dengan teliti.
   
Abu Basir mengajar anak-anak buahnya seorang demi seorang. Dia membantu mereka memperbetulkan kedudukan kaki, postur badan dan tangan yang memegang senapang.
   
Abu Bakar mara ke depan sebaik dipanggil Abu Basir. Senapang bertukar tangan.
   
“Angkat tinggi sedikit tangan kamu.” Abu Basir menunjuk ajar.
   
“Ya.”
   
Abu Bakar mengangkat tangan lebih tinggi.
   
“Tembak!” arah Abu Basir.
   
Satu tembakan dilepaskan.
   
Tersasar.
   
“Fokus, Abu Bakar.”
   
Abu Bakar cuba membidik dengan tepat sebelum melepaskan tembakan.
   
“Tembak lagi.”
   
Abu Bakar melepaskan satu lagi tembakan.
   
“Tak teruk sangat. Tapi kamu kena usaha lagi.” Abu Basir memberi galakan kepada pemuda itu. Abu Bakar mengangguk. Dia sedikit kecewa kerana tidak dapat menyasarkan tembakan dengan baik walaupun itu kali pertama dia menggunakan senapang.
   
Setelah mengajar mereka teknik dan posisi menembak, Abu Basir mengarahkan mereka berkumpul.
   
“Esok kita akan sambung lagi latihan menembak. Jangan lupa posisi dan postur badan yang kamu buat waktu menembak hari ini.” Abu Basir mengingatkan. “Kamu faham tak apa yang saya cakap ni?”
   
“Faham!” Jawab mereka serentak.
   
“Bagus. Sekarang masuk kembali dalam kumpulan besar. Kita solat Asar dahulu sebelum kembali ke kem.”
                       
*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia
Sekolah No. 11

   
Kelas berakhir tepat pukul 2 petang. Ashura memasukkan satu-persatu buku ke dalam beg. Dia mahu segera pulang ke rumah memandangkan dia perlu menghadiri kelas tuisyen pukul 3.30 nanti. Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari kelas, Ashura mendengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang. Seorang remaja lelaki sedang berlari ke arahnya.
   
“Mairbek,” ujarnya. “Kenapa?”
   
Mairbek tersenyum. “Pasal yang saya cakap hari tu, awak dah bincang dengan mama dan papa awak?” Remaja berambut hitam itu tersipu-sipu malu. Ashura mengerut dahi, cuba mengingati.
   
'Alamak!'

Macam manalah dia boleh lupa soalan Mairbek minggu lepas? Macam mana sekarang? Patutkah dia memberitahu Mairbek yang dia belum membincangkan hal itu dengan ibu bapanya? Atau mungkin dia harus berbohong saja kepada Mairbek dan memberitahu yang kedua ibu bapanya tidak membenarkan dia berkahwin sebelum tamat persekolahan? Tapi itu akan membuat Mairbek terus-terusan menaruh harapan sedangkan dia langsung tidak punya perasaan istimewa terhadap Mairbek.
   
“Ashura.” Mairbek memanggil.
   
Ashura menghela nafas. Sudah tiba masanya dia jujur kepada Mairbek akan perasaannya.
   
“Saya belum beritahu mereka lagi.”
   
“Boleh awak beritahu mereka hari ini?” Mata Mairbek penuh dengan harapan. Perkara ini bakal menentukan masa depannya bersama gadis manis bernama Ashura Batsaraeva. Masakan dia mahu menangguhkan impiannya?
   
Ashura diam, cuba mencari jawapan yang sesuai. Tidak lama kemudian, dia menjawab. “Maaf, tapi saya tak nak fikir pasal kahwin dulu. Saya ada krisis keluarga sekarang dan saya harap awak faham.”
   
Jawapan Ashura menggores hati Mairbek. Sungguh dia tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia mahu Ashura menerimanya, bukan menolaknya.
   
“Habis tu bagaimana dengan saya?” Mairbek meninggikan suara tanda tidak puas hati. Pelajar lain yang lalu-lalang di koridor berbisik-bisik melihat mereka berdua. Ashura kurang selesa. Dia tidak mahu ada mulut-mulut nakal menyebar gosip hubungannya dengan Mairbek.
   
“Maaflah, Mairbek. Dari dulu hinggalah sekarang, saya cuma menganggap awak sebagai kawan. Ia tak pernah lebih daripada itu. Lagipun saya rancang nak melanjutkan pelajaran luar dari Chechnya. Jadi, untuk berkahwin, saya tak ada masa…”
   
Mairbek mengetap bibir. Ikutkan hati, mahu sahaja dia merentap tangan gadis itu dan menariknya ke kereta. Dia mahu menculik gadis itu dan meninggalkan gadis itu di rumahnya selama satu malam. Esoknya, pasti ibu bapa Ashura akan membenarkan mereka berkahwin. Ia sudah menjadi sebahagian daripada adat di Chechnya; apabila seseorang gadis yang belum berkahwin bermalam di rumah seorang lelaki, gadis itu harus berkahwin dengan lelaki tersebut walaupun mereka berdua tidak melakukan apa-apa. Menolak untuk berkahwin ialah sesuatu yang sangat jarang didengari kerana akhirnya ia hanya akan memalukan keluarga gadis tersebut.
   
Mairbek nekad. Inilah jalan terakhir. Sebaik sahaja Ashura tinggal di rumahnya selama satu malam, Ashura akan menjadi miliknya. Usah peduli akan pandangan orang lain. Itu tidak penting.
   
Mairbek buat-buat senyum.
   
“Saya faham... Kita masih muda. Mana tahu satu hari nanti kita ada jodoh…” Dia melembutkan tutur kata, tidak mahu Ashura meraguinya. Lagipun, bukankah perempuan cepat cair jika mendengar kata-kata seperti itu? Ucapan ‘saya faham’ yang keluar daripada mulut seorang lelaki mampu menggoyah hati perempuan.
     
Ashura lega. Ternyata Mairbek seorang yang memahami. Dia sudah salah sangka terhadap Mairbek selama ini.
   
“Maaf ya, Mairbek. Terima kasih kerana memahami. Saya pulang dulu. Assalamualaikum.”
   
“Waalaikumsalam.”
   
Ashura meminta diri lalu berjalan pergi.
   
Melihat Ashura semakin menjauh, Mairbek tersenyum sumbing, memikirkan rancangan yang seterusnya.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku