IRTIHAL
Bab 5
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
49

Bacaan






Kem latihan Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria
   
“Aduh!” Abu Usman yang sedang meniarap, mengerang kesakitan. Terjegil matanya memandang Abu Bakar. Rakannya itu membuat muka tidak bersalah.
    
“Kali ni buat elok-elok!” Dia mengarahkan. Abu Bakar tersengih-sengih. Tangannya memicit betis Abu Usman dengan kuat.
    
“Aduh! Awak memang sengaja, kan?” Abu Usman menuduh.
    
Abu Bakar memukul kaki Abu Usman. “Bangunlah! Jangan jadi pondan!”
    
Abu Usman bangun lalu duduk di atas tilam. Kaki kiri yang sakit, digosok-gosok.
    
Anak muda berambut hitam yang turut berada di situ tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
    
“Tak lama lagi abang akan biasa,” ujar anak muda itu. Spontan Abu Bakar dan Abu Usman berpaling ke arahnya.
    
“Berapa lama agaknya baru akan biasa?” soal Abu Usman. Dia tidak sanggup menahan sakit yang sama setiap hari.
    
“Dalam seminggu macam tu… Bergantung pada abang juga.” Abu Hurairah, remaja 18 tahun kelahiran Kazakhstan itu menjawab.
    
“Oh…Seminggu…”
    
“Padan muka. Bila saya ajak pergi gim dulu awak tak nak ikut. Rasakanlah sekarang…” sindir Abu Bakar.
    
“Saya ada asma.” Abu Usman membela diri.
    
“Apa kaitan paru-paru awak dengan kaki awak yang sakit sekarang ni?”
    
“Sebab saya ada asma jadi saya tak sesuai lakukan aktiviti berat. Sebab itulah bila saya lakukan aktiviti fizikal, badan saya cepat sakit.”
    
“Itu semua alasan! Awak ada Ventolin sepanjang masa. Dan awak bukannya budak-budak lagi,” tempelak Abu Bakar.
    
“Saya akan nampak noob jika saya sedut Ventolin di gim!”
    
“Alasan, alasan! Awak sepatutnya lebih cergas sebab berlatih karate enam tahun di Grozny.”
    
“Saya jarang berlatih sejak masuk universiti!”
    
“Apa? Itu lagi teruk.” Abu Bakar menuding jari pada Abu Usman. “Awak dah menghampakan tok guru awak.”
    
Abu Usman mencebik geram. Habis sudah ideanya mahu membidas kata-kata Abu Bakar. Tapi dia tidak mahu menyerah kalah. ‘Tak ada pilihan lain…’ fikirnya. Tidak semena-mena, dia  menanduk perut Abu Bakar. Kedua-dua pemuda itu sama-sama tergolek di atas permaidani. Kemudian mereka berdua mula bergusti. Masing-masing cuba mengunci sesama sendiri agar pihak yang satu lagi tidak dapat bergerak. Abu Hurairah yang berada di situ ketawa melihat kelakuan mereka. Dia sungguh berharap telefon pintarnya ada sekarang agar dia boleh mengambil gambar ‘gusti’ mereka berdua sebagai kenang-kenangan.
    
Sedang Abu Bakar dan Abu Usman sibuk beradu tenaga, pintu bilik mereka dikuak perlahan. Abu Muhammad menjenguk ke dalam. Sebaik terlihat Abu Bakar dan Abu Usman yang sedang bergusti, Abu Muhammad lantas masuk ke bilik mereka tanpa berlengah.
    
Abu Bakar cuba menghalang Abu Usman daripada bangun dengan mengunci kaki kiri Abu Usman. Abu Muhammad yang teruja pula mula mengira.
    
“Satu, dua!” Lagak Abu Muhammad persis seorang pengadil.
    
Abu Usman berjaya meleraikan kakinya daripada kuncian Abu Bakar. Dengan pantas dia bangun lalu menerkam sahabatnya sehingga mereka berdua sama-sama jatuh di atas tilam. Abu Usman cepat-cepat menghentikan pergerakan Abu Bakar dengan menghempap tubuh sambil mengunci kedua-dua tangan pemuda tersebut agar tidak dapat bergerak. Abu Bakar meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tubuh dan kakinya digerak-gerakkan namun usahanya untuk meloloskan diri tidak berjaya kerana tubuh Abu Usman jauh lebih berat.
    
“Satu, dua, tiga! Abang Abu Usman menang!” Abu Muhammad mengumumkan.
    
“Yeah!” Abu Usman bersorak gembira lalu mengangkat kedua-dua tangan ke atas tanda kemenangan.
    
“Gila! Berapa berat awak ni?” Abu Bakar menyoal, tidak puas hati kerana kalah.
    
“85 kg.” Selamba Abu Usman menjawab. Dia menghulur tangan kanan pada Abu Bakar untuk membantu sahabatnya bangun. Huluran tangan disambut.
    
“Berat betul!” komen Abu Bakar. Tangannya memicit perut Abu Usman. “Banyak lemak dekat sini…” guraunya. Segera tangan itu ditepis Abu Usman.
    
“Lemak-lemak di sini bahagia dengan tuannya,” bidas Abu Usman.
    
“Bahagialah sangat…haha…”
    
Abu Usman terbatuk-batuk sebelum menoleh ke arah Abu Muhammad. “Abu Muhammad, kamu ke mana tadi? Lepas makan malam terus menghilang.”
    
“Saya ada tugasan mencuci pinggan.” Abu Muhammad memberitahu.
    
“Cuci pinggan?” Serentak Abu Bakar dan Abu Usman menyoal.
    
“Ya.”
    
“Bukan kita semua memang cuci dulang sendiri ke? Kamu cuci pinggan apa pula?” Abu Bakar hairan sebab tadi dia dan Abu Usman mencuci dulang yang menjadi tempat makanan mereka diletakkan.
    
“Periuk, pisau, semua tu orang yang bertugas kena cuci. Abang mesti belum dapat jadual bertugas lagi, kan?”
    
“Jadual bertugas?” soal Abu Usman. “Jadual apa? Bukan kita dah dapat ke? Pagi sembahyang subuh, makan, berkemas, latihan, solat, makan, latihan, solat, rehat, makan, solat, rehat, solat, kuliah agama, tidur dan qiamulail. Bukan jadual ke tu?”
    
“Itu jadual kem latihan. Kita ada jadual lain lagi. Contohnya memasak, membersihkan tandas, membersihkan latar, dan cuci pinggan,” terang Abu Muhammad.
    
“Oh…O..key…”
    
“Mungkin abang akan dapat jadual pagi esok. Sementara itu, janganlah asabiyyah sangat.”
    
Berkerut-kerut dahi Abu Bakar dan Abu Usman apabila dikatakan bersemangat asabiyyah. Bila masa pula mereka mengamalkan semangat asabiyyah?
    
“Kenapa kamu panggil kami asabiyyah? Apa yang kami dah buat?” Abu Bakar menggaru-garu kepala.
    
“Abang berdua tak banyak bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Asyik berkepit sepanjang masa. Macam mana kita nak rapatkan ukhwah dengan para mujahidin di sini kalau abang berdua asyik buat hal masing-masing? Sekurang-kurangnya berkenal-kenalanlah juga dengan saudara-saudara yang lain…” Abu Muhammad menyenaraikan kesilapan mereka.
    
Abu Bakar dan Abu Usman terdiam. Bila Abu Muhammad memberitahu, barulah mereka perasan yang mereka berdua kurang beramah mesra dengan rakan-rakan di kem.
    
“Lepas ni ada kuliah agama. Lepas kuliah agama abang berdua bolehlah berkenal-kenalan lebih rapat dengan saudara-saudara kita. Baiklah, saya pergi dulu. Jumpa kat bilik kuliah.” Abu Muhammad berjalan ke pintu bilik. Sebelum melangkah keluar, dia sempat berpaling ke belakang. Dengan nada yang riang, dia mempelawa, “Bilik saya di sebelah, kalau senang-senang dan rasa bosan, bolehlah datang melawat saya.”
    
“Okey…” Abu Bakar dan Abu Usman menjawab serentak.
    
Selepas Abu Muhammad keluar, mereka berdua saling berpandangan.
    
“Saya tak perasan yang kita berdua ni tak bergaul dengan orang lain sampailah dia beritahu kita,” kata Abu Bakar.
    
“Ya. Ini kali pertama saya dinasihatkan oleh orang yang lebih muda daripada saya, selain Ashura, tentunya.” Senyuman sedih terbentuk di bibir selepas nama itu disebut. Ah! Mengapa hati ini tiba-tiba sahaja merindui dia?
    
Abu Bakar senyum. Dia faham benar apa yang sedang difikirkan sahabatnya. Lantas, dia menepuk-nepuk tubuh Abu Usman. “Jom pergi bilik kuliah,” ajaknya. Dia kemudian menoleh ke arah Abu Hurairah. “Abu Hurairah, kamu juga.”
    
Abu Hurairah mengangguk bersama senyuman yang lebar.

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

    
Ruslan, Adam, dan Raisa melangkah keluar daripada balai polis dengan perasaan yang berat. Sebentar tadi mereka baru sahaja membuat laporan kehilangan Aslan. Pihak polis bertanyakan beberapa soalan sebelum memberitahu yang mereka akan menyiasat laporan tersebut.
    
Raisa mengeluarkan telefon pintar. Dia mendail nombor Aslan dengan penuh harapan. Beberapa saat kemudian, hatinya hampa lagi. Raisa bingung. Ke mana Aslan pergi? Adakah dia ditimpa masalah sehingga menyebabkan dia tidak dapat balik? Atau… adakah dia diculik? Tiba-tiba wanita separuh abad itu panik. Dia berlari ke arah pintu masuk balai polis.
    
“Mama?” Ruslan hairan melihat ibunya tiba-tiba sahaja berlari ke balai polis kembali. Tanpa berlengah, Ruslan dan ayahnya, Adam, mengejar langkah Raisa.
    
Sebaik sahaja kakinya mencecah lantai pejabat balai, Raisa menjerit.
    
“Saya rasa anak saya diculik, Tuan!”
    
Jeritan Raisa menyebabkan semua mata tertumpu ke arahnya. Sudah tidak ada rasa malu dalam diri Raisa. Apa yang penting ialah Aslan. Dia mahu Aslan dijumpai dan kembali dengan selamat.
    
Pegawai polis yang merekodkan laporan kehilangan Aslan tadi merapati Raisa.
    
“Tadi puan kata dia hilang,” ujar pegawai polis itu.
    
“Dia takkan hilang tanpa sebab. Anak saya baik dan dia kerja sebagai doktor. Dia takkan hilang tanpa sebab melainkan kena culik. Saya pasti dia kena culik. Sebab itulah dia tak dapat angkat panggilan telefon.” Bersungguh-sungguh Raisa meyakinkan pegawai polis yang berada di hadapannya. “Tolonglah Tuan… Anak saya pasti kena culik. Tuan kena cari anak saya cepat. Tolonglah Tuan…” rayunya.
    
Pegawai polis itu mengangguk. “Kami akan cari anak puan. Kalau ada apa-apa maklumat, kami akan beritahu.” Tenang sahaja dia menjawab. Ini bukannya kes orang hilang yang pertama dikendalikannya.
    
Ruslan yang melihat ibunya merayu sebegitu sekali merasa dirinya tidak berguna. Dia gagal melindungi ibu yang disayangi. Dia tidak sepatutnya membawa ibunya datang bersama ke balai polis.
    
Adam memegang bahu isterinya. “Raisa…” Dia memanggil. Dengan genangan air mata, Raisa memandang Adam. Suaminya menggeleng, memberi isyarat pada Raisa agar membiarkan pihak polis menjalankan tugas mereka. “Mereka akan cari Aslan. Mari kita pulang, Raisa…” pujuk Adam.
    
Raisa mengangguk lemah.
    
“Terima kasih Tuan,” ucap Adam pada pegawai polis tadi. “Mari, Raisa…” Adam memeluk bahu isterinya dan membawanya keluar dari balai polis. Ruslan cuma menuruti daripada belakang.

*****
    
Ruslan masuk ke dalam bilik abangnya. Tubuh direbahkan di atas katil Aslan. Matanya merenung siling. Kepalanya pula ligat berfikir akan teori yang mungkin menjurus kepada kehilangan Aslan.
    
Adakah abangnya diculik seperti yang dikatakan ibunya? Tapi, abangnya tidak punya musuh.
    
Mungkinkah ada perempuan yang obses pada abangnya lalu menculiknya?
    
Mengarut betul!
    
Adakah abangnya diragut atau dirompak sehingga tinggal sehelai sepinggang dan tidak mampu menghubungi mereka? Mungkin juga abangnya ditangkap dan dirompak sebelum ditinggalkan di tempat asing sehingga dia tidak dapat kembali ke rumah.
    
Ah! Cukup-cukuplah dengan teori yang menyusahkan hati ini sahaja, Ruslan! Kembalilah kepada Allah dan berdoalah untuk keselamatan abang.’
    
Ruslan membangunkan tubuh. Meja belajar Aslan diperhatikan. Dia bergerak ke meja tersebut. Ada beberapa buah buku disusun berdiri di atas meja. Mata Ruslan meneliti satu-persatu buku yang tersusun. Semuanya buku perubatan. Ruslan merengus kencang.
    
Matanya melirik pada laci meja Aslan. Kerusi ditolak ke belakang. Ruslan melabuh punggung di atas kerusi. Laci paling atas di sebelah kanan ditarik. Ruslan membongkar isi laci. Cuma ada beberapa buah buku nota yang diisi dengan catatan-catatan berkaitan perubatan di dalamnya. Laci disorong ke dalam kembali.
    
Kali ini laci nombor dua ditarik keluar. Ruslan bangun daripada kerusi lalu duduk berlutut di hadapan laci. Tangannya menyelongkar dan mengeluarkan helaian-helaian kertas dalam laci dan meletakkan helaian-helaian tersebut di atas lantai.
    
Dia membaca apa yang tertulis di atas kertas-kertas yang dikeluarkan. Beberapa minit kemudian, satu rengusan kencang dilepaskan lagi. Di atas kertas cuma tercatat nota yang berkaitan dengan kerjaya mereka sahaja. Langsung tidak memberi sebarang petunjuk kepada kehilangan Aslan. Dia menyusun dan memasukkan kembali kertas-kertas tadi ke dalam laci nombor dua sebelum menutupnya.
    
Tangan Ruslan menarik laci terakhir. Dahinya berkerut sebaik melihat buku-buku tebal yang bersusunan di dalam laci. Dia mengeluarkan buku-buku tebal tersebut satu-persatu lalu meletakkan kesemuanya di atas lantai. Ruslan mengambil salah satu buku tadi lalu menyelak muka surat hadapan.
    
2009?
    
Diselak lagi muka surat yang seterusnya.
    
1 Januari 2009,
    
Pada hari ini, aku

    
Cepat-cepat Ruslan menutup buku tersebut. ‘Ini diari abang. Aku tak boleh baca diari abang.’
    
Ruslan memasukkan diari tahun 2009 milik Aslan ke dalam laci. Kemudian dia memasukkan satu-persatu buku tebal tadi ke dalam laci semula. Dia pasti kesemua buku itu diari Aslan namun berlainan tahun. Tatkala dia hendak memasukkan diari yang terakhir, matanya tertarik pada tulisan di kulit muka diari.
    
2013.
    
Ruslan merenung diari itu, lama.
    
Aku…bolehkah aku baca ni? Mungkin aku dapat jumpa apa-apa klu berkaitan tentang abang dalam ni. Tapi membaca diari orang lain tanpa pengetahuan mereka ialah salah. Tapi…
    
Ruslan berbelah bahagi sama ada mahu membaca diari Aslan atau tidak.
    
Mungkin aku patut baca dari belakang.’
    
Diari berwarna coklat itu dibawa ke pangkuan. Jarinya menyelak helaian diari daripada belakang.
    
Entri terakhir Aslan ditulis pada hari Ahad, 1 Disember 2013.
    
Aku pergi hari ini. Maafkan aku. Aku tak dapat kembali ke sini lagi. Mama, papa, Ruslan, aku sayangkan kamu semua.
    
Ruslan tergamam.
    
Abangnya tidak pernah hilang. Dia pergi dan meninggalkan mereka. Tapi ke mana?
    
Ruslan menyelak muka surat sebelumnya.
    
Jumaat, 29 November 2013
    
Aku tak tahu kalau keputusan aku ini betul atau tidak. Yang aku tahu cuma satu. Aku ikhlas melakukannya kerana Allah. Bukankah niat itu lebih penting?

    
Selasa, 5 November 2013
    
Aku telefon Zelimkhan hari ini. Aku beritahu dia keputusan aku. Tapi aku tak beritahu Ruslan. Dia pasti marah jika dia tahu aku juga pergi seperti Dzhabrail.

    
Hancur luluh hati Ruslan tatkala habis membaca entri 5 November  yang ditulis Aslan. Walaupun Aslan tidak menulis ke mana dia pergi, namun Ruslan tahu yang Aslan meninggalkan mereka untuk pergi ke Syria.
    
Dengan rasa marah bercampur kecewa, Ruslan mengepal penumbuk lalu melayangkannya ke atas lantai. Tatkala itu dia merasakan dirinya begitu bodoh. Rupanya Aslan bukannya hilang. Sebaliknya, abangnya itu telah mengkhianati kepercayaannya.
    
Di mana silapnya dia hingga Aslan meninggalkan mereka?
    
Ruslan tersandar pada kaki kerusi. Pandangan matanya kosong menatap dinding yang dicat dengan warna biru, warna kegemaran abangnya.
    
Alangkah baiknya jika dia tidak menemui diari Aslan. Sekurang-kurangnya, dia masih boleh berharap yang Aslan akan kembali. Bukan seperti sekarang ini di mana dia tahu yang abangnya berpotensi untuk terkorban dalam pertempuran.
    
“Kenapa? Kenapa abang khianati kami?” gumamnya perlahan. “Kenapa?”




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku