Hujan Merah
Bab 6
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
72

Bacaan






Latakia, Syria

Magazin 10 peluru itu digabungkan dengan Zastava M91 yang berada di hadapannya. Postur badan dibetulkan. Sambil meniarap di atas kain rentang, jari kanannya diletakkan di bahagian picu senapang penembak tepat tersebut.
   
Abu Bakar menutup mata kiri sementara mata kanan pula ditumpukan pada iron sights Zastava M91. Melalui sights senapang, dia melihat jelas papan yang berdiri kira-kira 300 meter daripada tempat dia berada. Tembakan senapang penembak tepat Zastava M91 mampu mencapai sasaran sejauh 1000 meter.
   
Abu Bakar menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan. Walaupun sasarannya bukan manusia, namun jantungnya berdetak laju. Tekanan yang kuat untuk lulus ujian menembak membuat tangannya sedikit menggeletar. Manakan tidak, sudah 10 das tembakan dilepaskan namun hanya beberapa sahaja yang singgah ke papan. Keyakinan Abu Bakar kian lama kian goyah.
   
“Tenang, Abu Bakar. Jangan terburu-buru! Tarik secara sederhana!” Abu Basir mengingatkan tatkala melihat wajah cemas anak muridnya.
   
Abu Usman yang turut sama menoleh ke arah sahabatnya. Rasa ingin membantu membuak-buak namun jarak empat meter di antara mereka menyukarkan dia menunjuk ajar Abu Bakar. Tambahan pula latihan kali ini merupakan ujian yang mereka harus lulus sebelum memasuki latihan fasa dua. Mereka tidak dibenarkan berbual sesama sendiri ketika ujian sedang berlangsung.
   
Abu Bakar makin tertekan. Dia harus mensasar tembakan dengan sempurna untuk memperbaiki markahnya. Jika tidak, dia harus mengambil ujian ini sekali lagi esok hari. 
   
Dia menarik nafas, cuba menenangkan diri. Anak matanya memandang fokus pada imej papan.
   
Dengan lafaz bismillah, jari-jemarinya menarik picu dengan kekuatan yang sederhana bagi memastikan tidak ada getaran yang berlaku. Hal ini kerana, jika picu ditarik dengan kuat, jari yang lain akan bergetar dan boleh membuatkan sasaran berubah.
   
Abu Basir yang berdiri di sebelah Abu Bakar melihat melalui binokular sama ada tembakan Abu Bakar mengenai sasaran atau tidak. Dia lalu tersenyum. Peringatannya kepada Abu Bakar sebentar tadi membuahkan hasil yang baik. Tembakan Abu Bakar mengenai sasaran walaupun tidak berada di bahagian paling tengah.
   
“Alhamdulillah. Kena bahagian papan walaupun bukan di tengah-tengah. Teruskan usaha kamu, Abu Bakar,” puji Abu Basir.
   
“Alhamdulillah…” Abu Bakar menarik nafas lega. Kejayaan tadi walaupun kecil, namun sedikit sebanyak menaikkan keyakinannya.
   
Ujian menembak mereka tamat 20 minit kemudian. Abu Basir membawa pemuda-pemuda di bawah seliaannya ke papan sasaran masing-masing. Dia mencatat sesuatu di dalam buku nota sambil meneliti satu-persatu papan dan memberi komen berkenaan tembakan-tembakan tadi.
   
Apabila tiba gilirannya, Abu Bakar jadi malu dengan Abu Basir dan rakan-rakan yang lain. 20 butir peluru diberikan namun yang tiba di papan cuma 14 sahaja. Markahnya ialah yang paling rendah. Namun, disebabkan ada lapan tembakannya yang berada di bulatan paling dalam dan hampir mengenai sasaran tengah, dia lulus ujian menembak kali ini.
   
Abu Usman menepuk-nepuk bahu Abu Bakar. Ibu jari kanan dinaikkan, sebagai tanda sahabatnya sudah melakukan ujian sebaik mungkin.
   
“Awak dah buat yang terbaik.”
   
“Alhamdulillah.” Abu Bakar memanjatkan syukur.

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

  
“Ruslan!” Raisa mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali. “Ruslan!” panggil Raisa lagi. Seketika kemudian, Ruslan membuka pintu bilik. Ibunya tercegat di muka pintu dengan raut wajah gelisah. Ada lingkaran hitam di bawah mata wanita itu, menandakan sudah beberapa hari dia tidak tidur lena.
   
“Kenapa ni, mama?” soal Ruslan sebelum menguap. Selama 16 jam dia bekerja tanpa rehat di hospital. Dia baru sahaja tiba di rumah sejam yang lalu.
   
“Mama tak jumpa VK* milik Aslan! Facebook dia pun mama tak jumpa, Ruslan!”
   
“Mungkin abang dah tutup agaknya…” Ruslan menjawab. Dia pasti abangnya menutup semua akaun laman sosialnya sebelum berangkat ke Syria. Namun dia tidak boleh memberitahu ibunya perkara itu.
   
“Kenapa Aslan tutup? Sabtu minggu lalu mama lihat Nastya tag gambar Aslan di VK!” Raisa memberitahu.
   
“Mana saya tahu? Mungkin abang dah bosan dengan semua ni…” Geram Ruslan menjawab. Selepas tahu ke mana Aslan menghilang, hatinya jadi sakit setiap kali mendengar nama Aslan disebut.
   
“Macam mana ni Ruslan? Macam mana mama nak hubungi Aslan? Perlukah kita tampal poster muka Aslan di seluruh bandar? Mana tahu ada orang ternampak Aslan di mana-mana.” Bersungguh-sungguh Raisa memberi cadangan.
   
“Tak perlu, mama. Sudahlah! Tak payah diingat lagi orang yang mementingkan diri sendiri tu.” Ruslan membalas keras.
   
“Ruslan!” Raisa memanggil separa menjerit. “Dia tu abang kamu, Ruslan! Kenapa kamu cakap macam tu?” Raisa menjegilkan mata.
   
Ruslan merengus. “Nanti dia telefonlah tu. Dia bukannya mati pun!” jawab Ruslan acuh tidak acuh, menyebabkan satu tamparan melayang ke pipinya.
   
Ruslan terpaku.
   
Ibunya baru sahaja menamparnya.
   
Air mata Raisa yang tadinya bergenang kini mengalir ke pipi.
   
Saat itu, timbul sejuta penyesalan di hati Ruslan. Kata-katanya melukakan hati ibu. Kata-katanya membuat air mata ibunya tumpah. Bukankah derhaka namanya itu?
   
“Mama…” panggil Ruslan, mengharap kemaafan.
   
“Mama tak nak dengar apa-apa lagi dari kamu, Ruslan!” bentak Raisa. “Kamu tak nak tolong mama, tak apa! Biar mama dan papa cari abang kamu sendiri!”
   
Raisa mengesat air mata. Biarlah! Ruslan tidak akan memahami perasaannya kerana bukan dia yang melahirkan Aslan.
   
Dengan langkah yang lemah, Raisa meninggalkan anaknya.   
   
“Mama…” Ruslan memanggil.
   
Panggilan Ruslan tidak dipedulikan.
   
Kecewa, Ruslan menapak masuk ke dalam bilik bersama sesalan di kalbu. Tubuhnya tersandar lesu pada pintu.
   
Ketika dia memejam mata, air matanya pantas lurut ke pipi.
   
“Maaf mama…maaf…”    

___________________________________________________

VK*

VK ialah laman sosial yang hampir sama seperti Facebook, namun, kebanyakan pengguna VK berasal daripada negara-negara bekas Soviet Union seperti Rusia, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, dan Tajikistan. Ia amat popular dalam kalangan pengguna yang bertutur dalam bahasa Rusia sehingga mendapat gelaran Facebook Rusia.
 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku