Hujan Merah
Bab 8
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
74

Bacaan






Grozny, Republik Chechen, Rusia
   
“Selamat hari lahir, abang…” Ashura mengucap perlahan. Di bawah sinaran malap lampu bilik, anak mata hijau zamrudnya merenung kek bulat yang dilapis dengan krim coklat. Terpacak dua batang lilin besar dan tiga batang lilin kecil yang menjadi simbol umur 23 tahun si pemilik kek. Di atas kek tertulis ‘Untuk abang tersayang, Zelimkhan’.
    
Sebulan yang lalu, Ashura menempah kek tersebut di kedai kek kegemaran mereka berdua. Ketika itu, dia langsung tidak tahu yang Zelimkhan sudah membuat keputusan untuk berjihad di Syria. Dia cuma tahu akan hal itu sebaik melihat ibu mereka menangis di ruang tamu, sekembalinya dari kelas tuisyen. Ayah yang duduk bersebelahan ibu tidak berkata apa-apa. Zelimkhan sedang duduk berlutut di hadapan ayah dan ibu mereka. Mata abangnya berkaca-kaca.
    
Ashura terpaku melihat mereka bertiga.
    
“Abang, kenapa ni?” soalnya.
    
Zelimkhan menundukkan wajah, tidak sanggup mengulang kembali ayatnya tadi kepada Ashura. Melihat Zelimkhan tidak memberi apa-apa jawapan, pandangan Ashura beralih ke ibu dan ayah mereka.
    
“Mama, papa. Kenapa ni? Apa dah jadi?” Suaranya meninggi inginkan penjelasan.
    
Ayah mereka, Ramidin, menghela nafas. “Zelimkhan nak ke Syria.”
    
Terbuntang mata Ashura mendengar jawapan tersebut.
    
“Syria? Buat apa?” Dia memandang abangnya. “Kenapa ni abang? Misi kemanusiaan ke?”
    
Pantas sahaja Zelimkhan menggeleng.
    
“Habis tu?”
    
Soalan Ashura dibiar tidak berjawab.
    
Diam Zelimkhan membuat Ashura tidak puas hati. Dia berlutut di sebelah abangnya. Jari-jemarinya memegang lengan Zelimkhan. “Abang, kenapa ni? Kenapa abang nak ke Syria?”
    
Zelimkhan memandang adiknya. “Abang pergi sana untuk berjihad.”
    
Mata Ashura terbeliak. Serta-merta dia teringatkan saudara mereka yang meninggalkan rumah dan menyertai kumpulan jihad di kawasan pergunungan Kaukasus. Saudara mereka itu kemudian terbunuh dalam satu pertempuran di antara pasukan jihadnya dan askar-askar Rusia.
    
“Berjihad? Sejak bila abang jadi radikal ni? Abang nak jadi macam Ibragim ke? Atau abang nak jadi pengebom berani mati?” Bertalu-talu soalan diajukan pada abangnya. Namun Zelimkhan tetap membatu. “Jawablah, abang! Abang nak jadi macam pengganas dekat Beslan tu ke? Abang nak jadi pembunuh ke?”
    
Tuduhan Ashura membuat Zelimkhan hilang sabar. “Ashura, abang pergi untuk menegakkan agama Islam! Tak ada kaitan dengan keganasan!” Tinggi dan keras suara Zelimkhan, membuat Ashura tersentak. Abangnya tidak pernah bercakap kasar kepadanya. Apa yang membuatkan abangnya berubah?
    
“Pengganas!” Ashura menjerit lalu berlari naik ke tingkat atas.
    
Hingga hari ini, sudah banyak air mata Ashura tumpah kerana Zelimkhan. Malam ini turut tidak terkecuali. Ashura mengesat air mata yang bercucuran dengan pergelangan baju. Dalam sedu-sedan, dia merenung kek hari lahir Zelimkhan.
    
“Selamat hari lahir, abang… Ashura rindukan abang…”

*****

Kem latihan Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria

 
Pagi itu selepas solat subuh dan sarapan, Abu Bakar mengajak Abu Usman masuk ke bilik seketika. Di bilik, dia memberi Abu Usman satu objek berbentuk segi empat yang berbalut.
    
“Untuk apa ni?” Abu Usman menyoal.
    
Abu Bakar menjungkit bahu. “Entah. Saya pun tak tahu. Tapi untuk awak. Daripada saya, tentunya.”
    
“Boleh buka, kan?” Abu Usman inginkan kepastian.
    
“Bukalah.”
    
Abu Usman mengoyakkan kertas pembalut hadiah berwarna merah. Belum habis kertas hadiah dikoyakkan, dia sudah dapat meneka isi kotak. Abu Usman senyum.
    
“Macam mana awak tahu saya perlukan ini?” soalnya.
    
“Saya ada super power.” Abu Bakar bergurau.
    
“Saya nak buka.” Abu Usman membuka kotak tersebut lalu mengeluarkan sebuah power bank berbentuk segi empat tepat. “Wow! Warna merah!” komennya. Mata Abu Usman beralih ke sahabatnya.
    
“Selamat hari lahir yang ke 23, Zelimkhan Ramidinovich Batsaraev.” Abu Bakar mengucapkan. Dia tersenyum lebar.
    
“Terima kasih,” ucap Abu Usman, terharu. “Terima kasih Aslan,” ucapnya lagi lantas mendakap tubuh sahabat karibnya.

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia
  
Anastasia Baklykova memecut laju kereta yang dipandu. Dia tidak mahu berlengah. Dia sudah bosan menerima alasan “Tidak tahu” daripada mulut Ruslan setiap kali dia menelefon dan bertanya tentang Aslan. Jawapan “Aslan sudah hilang” yang diberikan ibu Aslan juga tidak mampu diterima lagi. Anastasia mahukan jawapan sebenar. Dia pasti Ruslan tahu sesuatu namun enggan menceritakan apa-apa, baik kepadanya, mahu pun kepada rakan mereka yang lain. Jika tidak, mana mungkin dia bisa kekal tenang, fikir Anastasia.
    
Selepas memarkir kereta di hadapan rumah Aslan, gadis rambut perang itu cepat-cepat turun dari Kia Rio warna putih miliknya. Dia menolak pintu pagar lalu melangkah masuk ke perkarangan rumah. Loceng rumah ditekan.
    
Hati Anastasia berdebar-debar sementara menunggu pintu dibuka. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana mahu bertanyakan perihal Aslan kepada Ruslan tanpa mengguris perasaan pemuda itu.
    
Ruslan muncul di balik pintu beberapa saat kemudian. Demi terlihatkan wajah Ruslan, Anastasia terkesima. Terasa seperti jantungnya akan gugur bila-bila masa. Sudah lama dia tidak melihat wajah itu. Walaupun dia tahu lelaki yang berdiri di hadapannya bukan Aslan, hatinya tetap tidak keruan. Mungkin juga kerana sudah terlalu lama tidak bersua, dia mula merindui Aslan lebih daripada kebiasaannya.
    
“Ruslan, apa khabar?” Anastasia menyoal selepas dirinya kembali tenang.
    
“Baik. Kenapa, Nastya?” Ruslan menyoal.
    
“Aslan…dia…dia sebenarnya pergi ke mana?” soal Anastasia. Dia tiada masa mahu berbasa-basi.
    
Raut wajah Ruslan bertukar keruh. Soalan Anastasia dibiar tidak berjawab.   

“Ruslan, awak pasti tahu ke mana Aslan pergi. Di mana Aslan sebenarnya?” Anastasia menyoal separa merayu. Dia mahu Ruslan menjawab soalannya, bukan terus membisu.
    
“Kalau saya beritahu, awak nak buat apa?” Kali ini Ruslan pula menyoal Anastasia.    

Gadis itu terpaku. Otaknya mula mencipta teori yang bukan-bukan. Mungkinkah Aslan melarikan diri dari rumah? Atau mungkinkah dia sudah kahwin lari dengan mana-mana perempuan tanpa restu keluarganya?
    
Ruslan menatap si rambut perang. Sejujurnya, dia tidak mahu memberitahu orang luar ke mana Aslan pergi. Namun Anastasia sanggup datang ke rumahnya demi bertanyakan hal Aslan. Tidak seharusnya dia membiarkan sahaja gadis ini pergi tanpa mengetahui di mana Aslan berada. Tambahan pula, dia sangat yakin yang Anastasia menaruh perasaan pada abang kembarnya.
    
Lama Anastasia merenung Ruslan.
    
Apa yang akan dia lakukan jika Aslan kahwin lari dengan perempuan lain? Adakah dia sudah bersedia untuk mendengar jawapan Ruslan?
    
“Awak nak tahu ke mana abang pergi?” Ruslan menyoal lagi.
    
“Ia terlalu privasi ke?”
    
“Taklah juga…” jawab Ruslan.
    
“Aslan, dia, okey tak?”
    
“Saya pun tak tahu.”
    
Anastasia menundukkan wajah, hampa dengan jawapan yang diberi.
    
“Dia ada di Syria sekarang.”
    
Anastasia segera mengangkat wajah. Bola matanya membulat besar menatap Ruslan, seakan tidak percaya dengan apa yang didengari.
    
“Apa maksud awak? Syria? Kenapa Aslan ada di Syria?” Bertalu-talu dia mengaju soalan. Apa yang Aslan lakukan di negara yang sedang bergolak? Mengapa dia pergi ke sana?
    
“Awak pernah dengar perkataan ‘Jihad’?”
    
Anastasia bungkam. Sekarang, dia tahu benar apa yang bakal disampaikan Ruslan.
    
“Itulah yang abang saya sedang lakukan di sana.”
    
“Tapi itukan peng..” Ayat tersebut tidak diteruskan, takut melukakan hati Ruslan.
    
“Ya…pengganas. Label yang diberikan oleh ramai orang. Abang saya pergi ke Syria untuk berjihad,” ujar Ruslan tanpa berselindung. Geram dan sakit di hatinya kembali.
    
“Tapi…tapi kenapa? Kenapa?”
    
“Saya juga sedang cari jawapan kepada soalan itu.”
    
Anastasia menelan liur. Tiba-tiba dadanya rasa sesak. Merah di mukanya perlahan-lahan menghilang.
    
“Nastya, awak okey ke?” Ruslan menzahirkan kebimbangan sebaik melihat raut wajah gadis itu bertukar pucat. Anastasia kelihatan seperti akan pitam bila-bila masa sahaja.
    
“Saya…saya…” Terketar-ketar suara Anastasia. “Ruslan…Aslan…”
    
Ruslan segera memegang kedua-dua bahu Anastasia agar tubuhnya tidak rebah.
    
“Maaf sebab terpaksa beritahu awak semua ni…”
    
“Dia akan kembali, kan?” soal Anastasia. “Ruslan, Aslan akan kembali, kan? Selepas dia selesai berjihad di sana, dia akan kembali ke Ufa, kan?” Suara Anastasia tertahan-tahan.
    
Ruslan terdiam lama. Sepanjang perkenalannya dengan Anastasia, inilah kali pertama dia melihat gadis itu menunjukkan reaksi begitu terdesak.
    
Berapa banyak hati yang akan abang hancurkan?
   
“Ruslan?”
   
“Tak, Nastya. Dia tak akan kembali ke Rusia.” Ruslan tahu jawapannya pasti meleburkan perasaan gadis itu.
    
Anastasia tertawa perlahan. Rindunya pada Aslan belum berakhir dan sekarang pula dia harus mendengar gurauan seperti ini? Sungguh tidak masuk akal.
     
“Awak bergurau, kan?”
    
Diam Ruslan membuat Anastasia menyoal lagi. “Kenapa awak bergurau hari ini? Awak tak pernah bergurau dengan saya, Ruslan.”
    
“Ini bukan gurauan, Nastya. Abang…tak akan kembali ke Rusia lagi.”




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku