Hujan Merah
Bab 9
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
57

Bacaan






Anastasia menatap bingkai gambar yang tergantung pada dinding bilik. Senyuman gembira dia dan Aslan ketika memegang skrol ijazah masing-masing di dalam gambar tersebut kini terasa bagaikan pisau yang menyiat-nyiat setiap inci tubuhnya.
    
Dengan air mata tersisa di pipi, dia tertawa perlahan. Bagaimana hidupnya bisa berubah kerana seorang lelaki yang bernama Aslan Sakaev?
    
Kedua-dua lutut dipeluk erat. Sungguh, Anastasia menyesal. Menyesal kerana tidak punya keberanian untuk meluahkan rasa cinta kepada Aslan. Walaupun dia tahu hati Aslan tidak pernah dimiliki oleh mana-mana perempuan, dia enggan mengambil risiko untuk mencuba. Asalkan dia boleh melihat Aslan selalu, itu sudah mencukupi.
    
Tidak pernah terlintas dalam fikiran yang Aslan akan pergi jauh. Ke tempat di mana Anastasia tidak dapat bertemunya lagi.

*****

8 bulan yang lalu…

Universiti Perubatan Bashkir
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

    
Makmal yang menempatkan beberapa replika tengkorak manusia kini riuh dengan suara-suara pelajar tahun keenam Fakulti Pediatrik, Universiti Perubatan Bashkir. Sambil berbual, mereka bergerak dari meja masing-masing menuju ke meja pensyarah di hadapan.
    
“Aslan, mari ambil gambar bersama!” Anastasia memanggil. Aslan yang sedang membaca, menghentikan bacaannya lalu berjalan merapati Anastasia.
    
“Nastya, Aslan sahaja ke? Saya tak diajak pula…” ujar Zelimkhan, nadanya seakan-akan merajuk.
    
Spontan Anastasia berpaling ke belakang. Zelimkhan pura-pura membuat muka sedih.
    
“Cepat sikit Zelimkhan!” Anastasia kemudian terpandang Ruslan yang masih tidak berganjak dari kerusi. Ruslan sedang menulis sesuatu di dalam buku nota. Si gadis rambut perang mengeluh.
    
“Ruslan!”
    
Ruslan mengangkat kepala, melihat ke arah abangnya dan Anastasia. “Kenapa?”
    
“Kita nak ambil gambar bersama Prof ni, mari!” Anastasia mengajak sambil jari dituding ke arah rakan sekelas yang mengambil tempat masing-masing di sebelah-menyebelah Profesor Olga. Profesor wanita separuh abad itu membetulkan kot panjang warna putih yang dipakai. Tangan kanannya memegang sejambak bunga, hadiah daripada pelajarnya.
    
Ruslan bangun lalu mengikuti Aslan dan Anastasia. Zelimkhan sudah terlebih dahulu mengambil tempat berdiri di sebelah Radik. Salah seorang rakan mereka, Viktor, menetapkan timer lapan saat. Viktor kemudian berlari pantas menyertai rakan-rakannya yang kini berdiri dalam satu barisan horizontal.
    
Anastasia senyum ke arah kamera. Lengan Aslan dipaut dengan erat. Empat saat selepas itu, kamera tersebut memancarkan cahaya sepantas kilat.
                        
*****
    
“Selamat hari lahir, Nastya,” ucap Aslan. Hadiah dihulur kepada Anastasia.
    
“Terima kasih Aslanchik!” balas Anastasia manja.
    
Aslan tertawa. Sepasang mata birunya kini memerhati ruang tamu Anastasia yang dihiasi lampu dan belon warna-warni. Muzik berentak pantas turut menghidupkan suasana parti hari jadi tersebut. Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan-rakan universiti mereka yang kebanyakannya tidak dikenali Aslan.
    
“Aslan, mana Ruslan?” Anastasia menyoal apabila melihat Ruslan tidak datang bersama abangnya. Hadiah pemberian Aslan dipeluk cermat.
    
“Ruslan ke Grozny.” Aslan menjawab.
    
“Kenapa?”
    
“Ada kawan papa berminat untuk mengenali dia.”
    
“Apa maksudnya?”
    
“Kawan lama papa macam berkenan nak jadikan Ruslan menantu. Jadi mama dan papa suruh Ruslan ke sana untuk bertemu mereka.”
    
“Oh...maksudnya tak lama lagi kahwinlah Ruslan,” seloroh Anastasia.
    
Aslan ketawa lagi. “Tak mungkin. Dia bukannya jenis yang akan kahwin awal.”
    
“Manalah tahu. Zelimkhan pun balik ke Grozny, kan? Dia berjumpa dengan bakal mertua juga ke?”
    
“Tak… Dia sambut hari lahir ibunya.”
    
“Oh…hari ini ke hari lahir ibu dia?”
    
“Ya.”
    
“Wah, kebetulan pula…” ujar gadis itu. “Oh ya! Marilah makan, Aslan!” Anastasia mempelawa.
    
Sepuluh minit kemudian, Anastasia berdiri di hadapan sebuah kek bulat yang dilapis dengan krim warna putih dan merah jambu. Di atas kek tersebut berdirinya dua batang lilin besar dan tiga batang lilin kecil. Rakan-rakan Anastasia kini mengerumuni meja yang menjadi tempat letaknya kek.
    
Mereka yang berada di situ mula menepuk tangan dan menyanyi.
    
Selepas menyanyikan lagu untuk Anastasia, mereka beramai-ramai mengucapkan ‘Selamat hari lahir’ kepadanya. Tanpa berlengah, Anastasia terus memotong kek.
    
“Woohooo!!” Rakan-rakannya menjerit lalu bertepuk tangan sekali lagi. Anastasia tersenyum gembira.
                        
*****
    
Aslan memandang langit malam yang dipenuhi dengan pancaran bunga api warna-warni sempena Victory Day. Victory Day yang disambut pada 9 Mei setiap tahun ialah hari cuti bagi memperingati tarikh Nazi Jerman menyerah diri kepada Soviet Union pada penghujung Perang Dunia Kedua.
    
Selain itu, 9 Mei juga ialah tarikh hari lahir Anastasia, gadis pertama yang menegurnya di universiti. Anastasia merupakan perempuan pertama yang berkawan rapat dengannya. Demi menghadiri majlis hari lahir Anastasia, Aslan sanggup menolak rayuan Ruslan yang memintanya ikut bersama ke Grozny.
    
Aslan menghela nafas. Suasana riuh-rendah di dalam rumah membuatnya tidak selesa. Lalu dia memilih untuk duduk di luar rumah, di atas bangku kayu di tepi rumah setingkat milik keluarga Anastasia. Walaupun bunyi letupan bunga api di bandaraya Ufa turut membingitkan telinga, namun Aslan tidak kisah. Sekurang-kurangnya dia tidak berasa sesak nafas di situ.
    
Aslan bersandar pada bangku lalu memejamkan mata. Perjalanan hidup sepanjang lima tahun lebih di universiti diimbas kembali. Dia bakal menamatkan pengajiannya semester ini namun kenangan bersama rakan-rakan, pensyarah, dan pesakit, akan sentiasa disimpan dalam ingatan.
    
Tiba-tiba satu wajah yang langsung tidak asing menerpa ke minda. Spontan Aslan mencelikkan mata.
    
Ulyana.
    
Anak kecil yang dikenalinya di hospital setahun lalu. Ulyana yang berusia empat tahun dan berambut perang memiliki muka yang comel bagaikan anak patung. Walaupun anak kecil itu berperang dengan pneumonia, wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman. Aslan selalu berbual dengan Ulyana setiap kali ada kelapangan.    
    
Namun, takdir Tuhan mengatasi segalanya. Anak kecil itu tewas dalam perjuangannya selepas dua minggu di hospital. Waktu itu, Aslan benar-benar merasakan dirinya sudah gagal sebagai seorang bakal doktor. Dia tidak mampu menyelamatkan seorang anak kecil, lantas, apa yang mampu dia lakukan?
    
“Aslan…”
    
Lamunan Aslan pecah sebaik terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang. Anastasia sedang tersenyum. “Kenapa termenung di sini?” soal si gadis manis.
    
“Saja…nak menikmati udara segar. Awak? Tak apa ke awak berada di sini dan bukannya di dalam?” Aslan menyoal kembali.
    
Gadis rambut perang itu mengambil tempat duduk di bangku yang sama.
    
“Awak okey?” Aslan menyoal prihatin.
    
Anastasia diam, membiarkan soalan Aslan tidak berjawab. Matanya mengamati bunga api yang dilepaskan ke langit malam.
    
“Saya rasa macam awak akan pergi jauh dari sini, Aslan…” ujarnya perlahan. Aslan tertawa.
    
“Dan ke mana pula saya nak pergi?”
    
“Entahlah…” Anastasia menundukkan kepala, memandang ribanya.  “Saya cuma rasa sahaja.” Wajah dipaling ke arah Aslan. “Awak tahu, firasat perempuan selalunya tepat.”     “Mungkin benar kata awak. Mungkin juga saya nak pergi jauh. Tinggalkan tempat ni.” Aslan kembali menatap langit malam.
    
Tidak semena-mena hati si gadis bertukar gundah-gulana.
    
“Awak…nak balik ke Chechnya ke?” Anastasia menyoal. Matanya merenung Aslan. Pemuda itu menoleh, menatap muka si rambut perang. Rasa lucu pula mendengar Anastasia menyoal begitu.
    
“Saya bergurau sahaja. Ke mana lagi saya mahu pergi? Sini ialah tempat saya. Saya hidup dan mati di sini.”
    
“Jangan cakap tentang mati!” Anastasia naik angin. Dia tidak suka jika ada orang menyebut perkataan ‘mati’ di depannya.
    
Aslan tersentak, terkejut dengan reaksi tidak dijangka daripada sahabatnya. Dia tidak pernah mendengar Anastasia berbicara begitu keras.
    
“Ma…maaf,” pinta Anastasia, kesal dengan kata-katanya sebentar tadi.
    
Gadis bermata biru itu cepat-cepat memalingkan wajah ke arah lain. Matanya merenung buaian yang tergantung pada pokok di halaman rumah. Buaian itu bergerak-gerak perlahan ditiup angin malam.
    
“Papa saya seorang askar.” Anastasia membuka cerita.
    
“Askar?”
    
“Ya. Papa saya terkorban dalam pertempuran ketika umur saya 8 tahun.” Anastasia memberitahu. “Kami tinggal di Orenburg. Lepas tu, papa dihantar bertugas ke tempat lain. Jadi mama bawa saya kembali ke rumah ibunya, nenek saya, di Ufa. Beberapa bulan lepas tu, mama beritahu saya yang papa dah tak ada, terkorban dalam pertempuran. Mereka kebumikan papa di Orenburg. Mama tak bawa saya ke Orenburg. Kata mama, keluarga papa nak ambil saya daripada mama. Sebab tu saya tak pernah pergi ke Orenburg lagi.”
    
Anastasia menghela nafas. “Saya dah 23 tahun. Saya sepatutnya dah kahwin sekarang. Tapi bila fikirkan yang mama akan berseorangan selepas saya kahwin, saya rasa tak nak kahwin pula.”
    
“Kalau macam tu, pergilah kahwin. Nanti bawalah mama awak tinggal bersama awak,” cadang Aslan.
    
Anastasia menongkat dagu. “Tapi tak ada orang ajak saya kahwin pun…”
    
“Mungkin awak tak perasan. Saya rasa ada ramai lelaki yang sukakan awak.”
    
Anastasia terkesima. Tangan yang menongkat dagu tadi jatuh ke riba. Wajah pemuda bertubuh kekar itu dipandang tanpa berkedip.
    
Tatapan Anastasia dibalas Aslan dengan senyuman penuh makna sehingga membuat dada si gadis berdebar-debar.
    
“Si…siapa?” Anastasia menyoal. Mungkinkah Aslan juga merasakan apa yang dirasainya?
    
“Rinat, Viktor, hm…saya rasa ada beberapa lagi yang suka awak. Tapi saya tak pasti sangat…” Aslan mengusap-usap tengkuk, cuba mengingati.
    
Segaris senyuman tawar terlorek di bibir Anastasia.
    
‘Tapi bukan kau, kan Aslan?’
    
Sudah lama dia menaruh hati pada Aslan. Wajah pemuda itu yang selalu tenang, sikap dan tutur bicaranya yang sopan, senyumannya yang manis, Anastasia sukakan kesemuanya. Tapi dia tahu, Aslan hanya menganggapnya sebagai seorang teman rapat. Hubungan mereka tidak dapat pergi lebih jauh.
    
Mungkin inilah yang terbaik. Jika dia meluahkan perasaan kepada Aslan, dia mungkin akan ditolak. Hubungan mereka akan bertukar kekok. Dia tidak sanggup mengambil risiko. Biarlah mereka kekal sebagai sahabat. Sekurang-kurangnya, dia boleh berada di sisi Aslan selalu.
    
“Awak masih 22 tahun, kan?” Anastasia sengaja menyoal.
    
“Ya. 1 Oktober nanti saya 23 tahun.”
    
“Pelik, bukan? Waktu saya dah pandai bergolek, awak baru lahir.”
    
“Memang pelik. Tapi, nak tahu tak apa yang lebih pelik?”
    
Anastasia kelihatan teruja. “Apa dia?”
    
“Bila ada orang lain yang sama muka dengan awak di dunia ini.”
    
Gadis itu ketawa terkekeh-kekeh. “Awak maksudkan Ruslan ke?”
    
“Ya.”
    
“Awak ni luculah, Aslan.”
    
“Terima kasih.”
    
“Jomlah masuk dalam. Sejuk ni dekat luar.” Anastasia bangun lalu menapak langkah ke pintu rumah.
    
“Nastya!” laung Aslan. Anastasia berhenti, lalu berpaling ke belakang. Seraut wajah Aslan kini menatapnya.
    
“Saya doakan agar awak bertemu lelaki yang mencintai dan menghargai awak sepanjang hayatnya.”
    
Anastasia terkedu sejenak. Terasa aneh bila mendengar kata-kata itu diucap lelaki yang paling dicintai selepas ayahnya.
    
Namun kemudian, dia menguntum senyuman.
    
“Terima kasih. Saya juga doakan agar awak bertemu dengan gadis yang akan mencintai dan menghargai awak sepanjang hayatnya.”




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku