Hujan Merah
Bab 14
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
40

Bacaan






Grozny, Republik Chechen, Rusia

Buaian dihayun perlahan. Angin musim sejuk yang menghembus dingin seakan-akan membantu hayunan. Ashura mendongak ke atas, menatap langit biru. Angin pagi yang bertiup menerbangkan rambut coklat mudanya sehingga menutupi wajah. Segera dia menyelak rambut ke belakang telinga. Sepasang anak mata hijau Ashura kini memerhati kawanan burung yang berterbangan di dada langit. Semakin lama, kawanan burung tersebut semakin jauh dari pandangan.
    
Ashura mengalih tumpuan, matanya memerhatikan permainan-permainan yang diselimuti salji. Cuma dia seorang yang berada di taman permainan ketika ini.
    
Entah kenapa, terasa seperti baru semalam dia datang ke taman ini bersama Zelimkhan. Walhal, sudah lebih tiga minggu Zelimkhan meninggalkan keluarga mereka. Jika dahulu dia ke sini untuk menghiburkan hati, sekarang dia ke sini untuk mengimbau memori indah yang telah lama berlalu.
    
Buaian dan gelongsor sentiasa menjadi permainan kegemaran dia dan abangnya. Dia akan duduk di atas buaian dan Zelimkhan akan menghayunkan buaian dengan kuat untuk menggembirakannya. Bosan dengan buaian, mereka akan bermain gelongsor bersama.    
    
Senyuman bahagia mereka bagaimanapun tidak berpanjangan.     
    
Ketika perang Chechen kedua tercetus, taman permainan ini dimusnahkan oleh bedilan bom askar-askar Rusia.
    
Dia dan Zelimkhan kehilangan tempat bermain mereka. Tempat yang melihat mereka berdua membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain.
    
Taman permainan ini dibina semula pada tahun 2010.
    
Namun mereka berdua tidak pernah kembali ke taman ini lagi.
    
Ashura mengeluh lalu bangun dari buaian. Alat-alat permainan yang terkubur oleh salji, diperhatikan.
    
Kali terakhir. Ini kali terakhir dia datang ke sini, tekadnya.
    
Dengan hati yang berat, Ashura menapak pergi dari taman permainan itu.
    
Kala itu, bukan dirinya sahaja meninggalkan taman permainan yang menyimpan 1001 memorinya bersama Zelimkhan. Ashura turut melepaskan taman permainan itu jauh dari hati. Sudah tiba masanya dia menerima kenyataan yang dia harus hidup tanpa Zelimkhan di sisi. Abang kesayangannya tidak akan kembali lagi. Dan dia, harus melepaskan Zelimkhan kerana itu jalan yang dipilih Zelimkhan. Zelimkhan berhak menentukan hidupnya sendiri.
    
Ashura menguntum senyum.
    
Pelik.
    
Tiba-tiba sahaja hatinya rasa lapang. Seolah-olah terlepas daripada bebanan yang berat.
    
Ya.
    
Inilah yang terbaik. Untuk dia, dan juga Zelimkhan.

*****
    
Mairbek mundar-mandir di ruang tamu rumahnya, resah menanti khabar gembira yang bakal menyusul. Minggu ini, Mairbek pasti dia akan berkahwin dengan Ashura. Persediaan sudah dibuat. Tidak ada apa-apa yang bisa menggagalkan rancangannya. Sama ada gadis itu bersetuju atau tidak, gadis itu tetap akan menjadi miliknya. Dia akan mendapatkan gadis itu dengan apa cara sekalipun.
    
Mata Mairbek melirik pada jam di dinding. Menurut rakan-rakannya, Ashura keluar dari rumah awal-awal pagi lagi. Mereka kini sedang mengekori gadis itu dan cuma menunggu peluang untuk mendapatkannya, atau lebih tepat lagi, menculiknya.
    
Mairbek senyum sinis sambil membayangkan perkahwinannya dengan gadis manis itu.
    
Kau tak suka bila aku tanya dengan baik, sekarang aku buat cara kasar pula. Padan muka kau, Ashura!

*****
    
Ashura mempercepatkan langkah. Sejak beberapa minit tadi dia sudah perasan akan kehadiran kereta yang mengekori. Semakin lama hatinya semakin tidak keruan. Dia menyeluk tangan ke dalam beg sandang, mencari sesuatu. Setelah menemukan benda yang dicari, barulah Ashura rasa tenang sedikit.
    
Ashura berhenti berjalan. Dia berpusing ke belakang. Matanya curiga memerhati sebuah kereta berwarna merah. Bagaikan mengikuti langkahnya, kereta itu turut berhenti di tepi jalan. Ashura memandang ke kiri dan kanan. Tidak ada orang lain di kawasan itu. Yang ada cuma deretan pangsapuri tidak berpenghuni. Sesal mula membuat ruang di kalbu. Dia silap kerana mengikuti jalan ini tadi. Walaupun laluan ini jalan pintas, dia tetap memerlukan beberapa minit untuk sampai ke rumah.
    
Kedua-dua pintu bahagian penumpang kereta merah tersebut dibuka. Dua orang lelaki yang memakai jaket hitam melangkah keluar. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya Ashura ketika itu. Jari-jemarinya menggenggam erat benda yang disimpan di dalam beg tangan.
    
“Assalamualaikum,” sapa salah seorang lelaki yang kini berjalan ke arahnya.
    
“Wa…waalaikumsalam.” Ashura tergagap. Hatinya sangsi melihat mereka berdua.
    
“Kami nak tanya soalan ni…” ujar seorang lelaki lagi.
    
Ashura tidak menjawab apa-apa. Dia pasti itu taktik mereka untuk rapat dengannya agar dia tidak berlari dari situ. Dia berundur perlahan. Kedua-dua lelaki itu dipandang dengan penuh waspada.
    
Saat itu, Ashura tiba-tiba teringatkan Zelimkhan. Apa yang abangnya akan lakukan dalam keadaan seperti ini?
    
“Jangan takut, Ashura! Jadilah berani.” Kata-kata Zelimkhan suatu ketika dahulu terngiang-ngiang di ingatan.
    
Ashura menghela nafas, cuba menenangkan diri. Semangat dikuatkan.
    
Sebaik sahaja kedua-dua lelaki tersebut berada selang dua langkah dari Ashura, mereka  meluru ke arahnya. Dengan pantas, Ashura mengeluarkan perenjat elektrik lalu menghalakannya ke leher lelaki yang mula-mula menyapanya tadi. Lelaki tersebut terkena renjatan lalu hilang keseimbangan badan sekaligus membuatnya tumbang di atas salji.
    
Rakannya mengambil peluang kelalaian Ashura lalu mengunci kedua-dua lengan gadis itu dari belakang. Perenjat elektrik Ashura terlepas dan jatuh di atas salji. Gadis itu meronta-ronta untuk melepaskan diri namun usahanya gagal kerana lelaki tersebut jauh lebih kuat.
    
“Lepaskan saya!” jerit Ashura. “Tolong!” Dia menjerit lagi. “Tolong!”
    
“Jangan bergerak! Berdiri diam-diam!” Lelaki tersebut mengancam.
    
Dengan penuh tenaga, Ashura menendang kemaluan lelaki tersebut, menyebabkannya menjerit kesakitan seraya melepaskan kunciannya pada lengan Ashura. Ashura membuka langkah lalu memberi tendangan sisi ke hidung lelaki tersebut sehingga tubuh si lelaki tersungkur di atas salji. Selepas itu, dia cepat-cepat mengambil perenjat elektriknya merenjat tubuh lelaki itu sehingga pengsan. Ashura kemudian berpaling ke arah rakan lelaki yang pengsan tadi. Dia mengangkat kaki lalu memijak perut rakan lelaki itu dengan kuat berkali-kali. Setelah puas, dia memasukkan semula perenjat elektriknya ke dalam beg.
    
Ashura lantas berlari pergi tanpa menoleh ke belakang.
    
Di dalam kereta, si pemandu melihat segala-gala yang berlaku di antara Ashura dan dua orang rakannya.
    
Ya, begitulah, Ashura. Jangan takut dan jangan tunduk pada mereka.
    
Si pemandu keluar dari kereta. Langkah diatur menghampiri rakan-rakannya yang sedang terbaring. Bibirnya menggaris senyuman mengejek.
    
Padan muka kamu dua!’ Kutuknya dalam hati. Dia memerhati Ashura yang berjalan tanpa menoleh ke belakang. Kelibat Ashura kian menjauh dan akhirnya menghilang dalam keputihan salji. Dia tersenyum lega.
    
Zelimkhan, kau pasti bangga. Cara tendangan adik perempuan kau, betul-betul sama macam kau.

*****
    
Ashura tercungap-cungap masuk ke dalam rumah. Selepas mengunci pintu, dia menuju ke dapur untuk mendapatkan ibunya.     
    
“Mama!” panggilnya. Fariza yang sedang menguli tepung untuk membuat galnish, menoleh ke arah Ashura.
    
“Pergi ke mana tadi?” soal Fariza.
    
“Saya hampir kena culik.” Ashura memberitahu tanpa menjawab soalan ibunya.
    
Terbeliak mata Fariza. Adunan tepung ditinggalkan di atas meja. “Dekat mana? Kamu pergi mana tadi?” Anak perempuan tunggalnya itu dirapati.
    
“Dalam perjalanan balik dari taman, ada kereta ekori saya. Dua orang lelaki keluar dan cuba culik saya. Tapi saya sempat gunakan perenjat elektrik dan kalahkan mereka.” Ashura menunjukkan perenjat elektrik yang digunakan kepada ibunya.
    
“Ya Allah! Ashura!” Tubuh si anak didakap erat. “Nasib baik kamu tak apa-apa… anak mama…” Fariza menangis tersedu-sedu. Hati ibu mana yang tidak risau apabila anaknya hampir diculik?
    
“Mama…” Ashura membalas erat pelukan ibunya. “Jangan risau. Ashura tak apa-apa. Ashura tak akan tinggalkan mama…” Dia meyakinkan ibunya.
    
Sedu-sedan Fariza bertambah kuat, membuat Ashura rasa bersalah.
    
“Jangan menangis lagi, mama. Ashura okey. Ashura akan jadi lebih berhati-hati selepas ini.”

*****

+963535577692: Assalamualaikum Ashura. Apa khabar? Ini abang.

---
    
Ashura terpaku. Mesej daripada abang tersayang bisa membuat jantungnya terhenti. Cepat-cepat dia melabuhkan punggung di atas katil. Tangannya menaip balasan mesej dengan pantas.

---

Ashura: Waalaikumsalam. Ashura sihat. Kami semua sihat. Abang macam mana?

+963535577692: Abang sihat. Ashura jangan risau. )) Dah makan?

Ashura: Kami baru habis makan malam. Abang?

+963535577692: Sekejap lagi kami makan. Macam mana keadaan di sana? Semuanya okey?

Ashura: Ashura yang patut tanya soalan tu kepada abang. Abang okey tak di sana? Abang tak buat benda-benda yang bahaya, kan?

+963535577692: Semuanya okey di sini. Abang tak buat benda-benda yang bahaya. Abang cuci tandas, basuh pinggan, dan kupas kentang.

Ashura: Abang kupas kentang? :o Sejak bila abang pandai kupas kentang?

+963535577692: Sejak berada di sini, abang dah jadi rajin. Hahaha )))

Ashura: Hahaha. Abang dah dapat balik telefon abang, maksudnya bolehlah kita berbalas mesej setiap hari, kan?

+963535577692: Insya Allah kalau tak ada apa-apa tugasan, abang akan balas mesej Ashura.

Ashura: Abang dah mesej mama dan papa?

+963535577692: Sedang mesej. ))

Ashura: Ashura rindukan abang.

+963535577692: Abang pun rindukan kamu semua.

Ashura: Seronok tak kehidupan di sana?

+963535577692: Tak banyak beza dengan kehidupan abang di Ufa.

Ashura: Ya ke?

+963535577692: Ya. Makan apa tadi?

Ashura: Kurzunush*. )) Abang makan apa nanti?

+963535577692: Entahlah, abang pun tak pasti. Bukan abang yang masak.

Ashura: Oh… Ya, tadi Ashura buat sesuatu yang hebat!

+963535577692: Apa dia?

Ashura: Pagi tadi ada orang nak culik Ashura. Ashura guna perenjat elektrik dan teknik karate yang abang ajar untuk kalahkan mereka.

+963535577692: Ashura hampir kena culik dekat mana??

Ashura: Dalam perjalanan balik. Dekat kawasan pangsapuri terbiar tu…

+963535577692: Berapa kali abang cakap jangan lalu situ seorang diri! Kenapa tak dengar cakap abang?!

Ashura: Ashura nak balik rumah cepat…

+963535577692: Lain kali jangan lalu situ lagi. Tak kiralah sendiri atau berteman, jangan lalu situ!

Ashura: Okey…maaf…

Ashura: Jangan risau. Kami dah laporkan pada polis tadi.

+963535577692: Polis cakap apa?

Ashura: Mereka akan siasat hal ni.

+963535577692: Ingat, mulai hari ni, Ashura kena lebih berhati-hati! Habis sekolah terus balik rumah. Jangan pergi ke tempat-tempat yang jauh dari rumah kalau sendiri. Pastikan ada papa atau mama temankan Ashura.

---
    
Ashura mengesat air mata yang mengalir. Dia bagaikan tidak percaya yang dia sedang bermesej dengan Zelimkhan setelah lebih tiga minggu tidak mendengar khabar daripada abangnya.

---

+963535577692: Ashura? Ashura okey tak ni?

---
    
“Abang…Ashura rindukan abang…”

---    

+963535577692: Ashura?

+963535577692: Ashura okey tak?

Ashura: Ashura nak jadi berani macam abang…

Ashura: Boleh, kan?

+963535577692: Ya. Ashura boleh jadi berani. Tapi jangan buat perkara yang merisikokan diri. Faham?

Ashura: Faham.

+963535577692: Janji?

Ashura: Ashura janji.

+963535577692: Macam tu lah adik abang. )))

Ashura: Abang jangan risau. Ashura boleh lindungi diri sendiri.

+963535577692: Betul ke?

Ashura: Betul. Sebab abang tak ada di sini, Ashura kena jadi lebih kuat untuk lindungi mama dan papa.

+963535577692: ))) Abang rasa macam nak peluk Ashura erat-erat sekarang ni!

---
    
Ashura tersenyum.

---    

Ashura: Abang, jaga diri baik-baik di sana. Buatkan kami bangga. Ashura sayangkan abang.


---

_____________________________________________

Glosari:    

Kurzunush – Makanan etnik Chechen. Biasa dimakan ketika makan malam.






Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku