Hujan Merah
Bab 15
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
49

Bacaan






Sekolah No. 11

Ashura melangkah masuk ke dalam kelas. Mairbek yang sedang berbual dengan rakan-rakannya, terpaku melihat penampilan gadis itu yang berlainan daripada biasa. Rambut coklat muda miliknya dipotong pendek melepasi telinga dengan rambut depan yang menyentuh kening.
    
Mata kedua-dua mereka bertemu ketika gadis itu memberi renungan tajam pada Mairbek. Rasa bersalah, remaja lelaki itu segera memaling wajah ke arah lain. Ashura tersenyum sinis lalu meneruskan langkah ke mejanya.
    
Rakan baik yang duduk bersebelah dengannya, Kheda Elmurzaeva, segera menegur.
    
“Apa dah jadi dengan rambut dan pakaian awak?” soal Kheda. Dia memerhati jaket dan skirt panjang yang dipakai Ashura. “Kenapa dengan baju awak hari ini?” Dia menyoal lagi sambil memegang bucu jaket khaki sahabatnya.
    
“Saja, nak cuba trend baru.” Ashura menjawab lalu melabuh punggung atas kerusi.
    
“Ini trend selekeh. Jaket ni terlalu besar. Langsung tak kena dengan badan awak. Siapa punya jaket yang awak pakai ni?”
    
“Abang saya.”
    
“Abang awak? Kenapa? Mana jaket yang biasa awak pakai tu?” Kheda menyoal kehairanan.
    
“Ada di rumah,” jawab Ashura selamba.
    
“Hah?” Dahi Kheda berkerut. Kali ini hujung rambut Ashura pula disentuh. “Pendek sangat awak potong ni,” komennya.
    
“Rambut panjang buat saya rimas.” Ashura menjawab jujur sambil membetulkan skaf kepala yang dipakai.
    
Kheda menghela nafas. Penampilan adalah sangat penting bagi seorang gadis Chechen. Rambut panjang yang cantik, pakaian yang kemas dan sesuai dengan tubuh, serta sikap yang sopan adalah suatu kebanggaan buat gadis Chechen. Walaupun Ashura sering memberitahu dia tidak kisah dengan penampilan diri, namun, Kheda tidak menyangka Ashura akan melakukan sesuatu yang begitu drastik hari ini.
    
Merasakan ada sesuatu yang terjadi kepada rakan baiknya, Kheda menyoal, “Ashura, ada sesuatu ke yang awak sembunyikan dari saya?”
    
“Tak ada apa.” Ashura menjawab acuh tidak acuh.
    
“Ini tentang Mairbek ke?”
    
Soalan Kheda membuat Ashura sedikit kaget. “Apa maksud awak?”
    
“Maksud saya, awak bukan bercinta dengan dia ke?”
    
Mulut Ashura ternganga. Sejak bila dia bercinta dengan Mairbek?
    
“Saya dan Mairbek tak ada apa-apa. Di mana awak dengar semua ni?”
    
Kheda mengeluarkan telefon bimbit lalu menunjukkan sesuatu kepada Ashura.

_____________________________________________

Mairbek: Tak lama lagi Batsaraeva akan bertukar nama ke Yandarbiyeva. Doakan kami berdua.

_____________________________________________

Ashura mengetap gigi. Marah meluap-luap di kalbu. 'Berani Mairbek tulis begitu di akaun VKontaktenya? Lelaki itu patut diajar!'
    
“Ashura. Kenapa saya tak tahu tentang awak dan dia?” soal Kheda. Ada rajuk pada suaranya.
    
Ashura menggenggam lengannya kuat, cuba menenangkan diri. Dia tidak mahu hilang pertimbangan di sini.
    
“Mairbek berdelusi. Saya dan dia tak ada apa-apa.” Tegas Ashura menjawab.
    
“Jadi kenapa dia tulis macam ni?”
    
“Saya pun tak tahu kenapa. Saya tak suka dia dan tak akan pernah sukakan dia.”
    
“Apa awak nak buat tentang ni? Mesti khabar angin tentang hubungan awak dan dia dah tersebar di sekolah…” ujar Kheda, risau.
    
“Jangan risau. Saya akan uruskan hal ni. Kalau ada orang lain tanya awak pasal saya dan Mairbek, jawab sahaja yang itu hanya khabar angin.”
    
Kheda mengangguk faham.
    
Ashura tersenyum nipis. Otaknya sudah merencanakan sesuatu buat Mairbek Yandarbiyev.
    
“Oh ya, bagaimana dengan pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan tu?” Ashura mengubah topik.
    
“Keputusan untuk pusingan pertama akan diumumkan seminggu lagi. Doakan saya terpilih, ya? Pemenang hadiah utama akan mendapat 500,000 ruble.” Kheda menjawab dengan penuh bersemangat. Isu Mairbek bagaikan sudah dilupakan oleh gadis berambut perang itu.  
    
“Awak nak sambung belajar di universiti di Moscow, kan?” Ashura menyoal.
    
“Ya. Saya nak jadi pereka fesyen yang berjaya suatu hari nanti. Kalau saya menang, bolehlah saya sambung belajar tanpa perlu kisah hal biasiswa. Mungkin duit tu juga saya boleh buat modal berniaga kecil-kecilan.” Kheda tersenyum riang. Melihat rakan baiknya gembira, Ashura turut bahagia. Dia akan sentiasa menjadi penyokong nombor satu Kheda.

*****
    
Sebaik loceng terakhir berbunyi, Mairbek cepat-cepat mengemas barang-barangnya. Dalam keadaan kelam-kabut, bekas penselnya terjatuh ke atas lantai. Habis bertaburan isi bekas pensel tersebut. Mairbek menyumpah seranah dalam hati. Rakan-rakan kelasnya yang lain sudah berpusu-pusu keluar, meninggalkan dia mengutip sendiri alatan tulis yang bertaburan. Ada yang bergolek sampai ke meja orang lain.
    
Selepas habis mengumpulkan alat tulis, dia kembali ke meja lalu memasukkan bekas pensel di dalam beg.
    
“Saya tahu pasal kelmarin. Berapa awak upah mereka semua?”
    
Soalan itu membuatnya terkejut. Dia berpaling. Ashura berpeluk tubuh memandangnya.
    
“Saya tak faham apa awak maksudkan.” Mairbek berdalih.
    
“Mereka ke hospital tak lepas tu?” soal Ashura lagi, sengaja menyakitkan hati Mairbek.
    
Mairbek diam membisu. Beg disilang ke bahu.
    
“Mairbek, dengar sini!” Suara Ashura mengeras.  Jari telunjuk di arah ke muka lelaki itu. “Saya tak pernah ada apa-apa perasaan pada awak. Sedikit pun tak ada.” Jari dijatuhkan semula. “Saya ingatkan awak akan faham bila saya jelaskan hari tu. Rupanya tidak.” Matanya menatap tajam mata Mairbek. “Apa yang awak buat kelmarin benar-benar membunuh semua persepsi baik saya kepada awak. Awak tak akan pernah mendapatkan saya, Mairbek!” Tegas gadis itu mengucapkan.
    
“Saya tak cintakan awak dan tak akan berkahwin dengan awak. Walaupun semua orang di dunia ini mati dan cuma tinggal awak dan saya yang masih hidup, saya tetap tak akan pilih awak. Awak cumalah lelaki yang keji. Lelaki keji yang memaksa perempuan lain untuk berkahwin dengannya!”
    
Mairbek mengetap gigi, menahan marah yang kini membuak di dada. Urat-urat di lehernya timbul ketika Ashura menunduhnya sebagai lelaki yang keji.
    
“Saya simpati pada bakal isteri awak. Dia pasti hidup merana bersuamikan lelaki macam awak!”
    
Mendengar itu, Mairbek mengangkat tangan lalu melayangkannya ke wajah Ashura. Tangannya ditangkap si gadis. Ashura memberi tumbukan padu ke ulu hati pemuda itu sehingga membuat Mairbek terundur ke belakang. Satu tendangan pada wajah diberi sebagai hadiah susulan.
    
“Argghhh!” Mairbek mengerang kesakitan. Hidung diraba. Terkejut dia melihat darah di tapak tangan.
    
Ashura mengeluarkan perenjat elektrik dari dalam beg. Wajah Mairbek yang bengis memandangnya kini dibalas dengan senyuman sinis.
    
Lelaki ini akan terima balasan akibat kelancangannya di media sosial.
    
Berang, Mairbek meluru ke hadapan, ingin menerkam Ashura namun Ashura lebih pantas mengelak. Tubuh Mairbek direnjat dengan perenjat elektrik kesayangan Ashura. Apabila tubuh itu mula terhuyung-hayang, Ashura memberi tendangan sisi pada pinggang Mairbek sehingga lelaki itu tersembam di atas lantai.
    
Ashura memijak tubuh lelaki yang sedang dalam kesakitan itu sebelum melutut membisikkan sesuatu kepada Mairbek.
    
“Awak tahu kan kalau awak ceritakan pada orang lain tentang apa yang terjadi dalam kelas hari ini, awak sendiri yang akan dapat malu.” Ashura tersenyum. “Saya juga dah buat laporan polis kelmarin tentang cubaan menculik awak yang gagal, Mairbek Yandarbiyev,” ugut Ashura. Senyumannya melebar.
    
“Selamat tinggal.”

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia


---

24 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Ini abang. Abang minta maaf sebab tinggalkan kamu semua tanpa apa-apa pesan. Abang sekarang ni di Syria. Kamu apa khabar?

+963535577691: Ruslan?

+963535577691: Mesti kamu marah dan kecewa pada abang, kan?
 

---

28 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum. Sihat tak? Lama tak dengar khabar kamu.)) Sekarang di Ufa dah malam, kan? Abang rindukan kamu semua di Ufa….

 
---

30 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Cuaca hari ini cerah walaupun sejuk. Kamu dah makan? Sihat tak? Mama masak apa pagi ni?


---

2 Januari 2014

+963535577691: Assalamualaikum. Abang tahu kamu masih marah pada abang. Maafkan abang sebab buat keputusan tanpa memberitahu kamu.

+963535577691: Bila kamu tak balas mesej abang macam ni, abang jadi sedih. ((

+963535577691: Cuaca hari ni mendung. Seperti mendungnya hati abang sekarang. +963535577691: Balaslah mesej abang ni…Susah tau nak dapatkan talian internet di sini. ((

 
---

4 Januari 2014

+963535577691: Assalamualaikum. Walaupun abang tahu kamu tak akan balas mesej abang, tapi, abang masih nak taip mesej ni. Kamu dah makan? Jangan tak makan tengah hari pula walaupun sibuk di hospital. ))

+963535577691: Hari ini salji turun dengan lebat. Biarpun begitu, abang rasa musim dingin di Rusia lebih sejuk berbanding Syria. Ingat tak dulu kita selalu bertanding buat orang salji di laman rumah? Rasa macam dah lama sangat masa tu berlalu.

+963535577691: Abang sayang dan rindu kamu semua. Balaslah mesej abang ni.


---
    
“Abang tipu, kan? Kalau abang sayang kami, abang takkan buat macam ni…” ujar Ruslan perlahan. Marah di hatinya kian menebal. Perbuatan Aslan mengundang tangisan ibu dan kekecewaan ayah.  Itu sudah cukup membuat rasa kasih Ruslan kepada abangnya bertukar kepada kebencian.
    
“Hipokrit!” Dia menuduh sambil memadam satu-persatu mesej yang dikirimkan Aslan.     

*****

Latakia, Syria
        
Cuaca hari itu cerah seperti biasa. Biarpun begitu, suhu rendah bulan Januari di Syria sering sahaja memaksa penduduknya memakai berlapis-lapis pakaian bagi menghangatkan tubuh. Abu Bakar dan Abu Usman turut tidak terkecuali. Mereka berdua memakai tiga lapis baju dengan jaket camo di lapisan paling luar.
        
Abu Bakar memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar. Sebentar tadi, dia baru sahaja menghantar mesej kepada Ruslan. Dalam hati dia berharap Ruslan akan membalas mesejnya.
Abu Bakar menoleh sebelah. Abu Usman sedang khusyuk menaip sesuatu pada skrin telefon pintar.
        
Lama juga dia ni buka akaun VK...’ getus hati Abu Bakar.
        
Jalan berbatu yang mereka lalui ketika itu tidak terlalu luas. Dua kereta dari arah bertentangan tidak dapat melalui jalan tersebut pada masa yang sama. Kiri dan kanan jalan pula dipenuhi dengan semak samun. Walaupun begitu, tiada usaha dilakukan untuk membersihkan kawasan semak samun di sepanjang jalan kerana ia sendiri berfungsi sebagai camouflage untuk menyembunyikan kedudukan markas mereka daripada bidikan senjata tentera rejim.
    
Abu Usman tersenyum lebar. Satu akaun media sosial di VKontakte menggunakan nama Abu Usman Shishani baru sahaja dibuat.
    
“Aslan,” panggil Abu Usman.
    
“Kenapa?”
    
“Saya dah buat akaun. Hantar ‘Friend Request’ cepat,” arah Abu Usman. Sambil itu, tangannya menaip sesuatu di ruang pencarian VKontakte. “Abu Muhammad guna nama apa di VK?” Paparan pada skrin menunjukkan berpuluh-puluh akaun dengan nama Abu Muhammad sehingga Abu Usman tidak pasti mana satu akaun milik anak muda kesayangan mereka semua itu.
    
“Abu Muhammad Shishani…mungkin…” jawab Abu Bakar, juga tidak pasti. Telefon pintar dikeluarkan.
    
Abu Bakar melihat akaun VKontakte yang baru dibuatnya kelmarin dengan nama ‘Abu Bakar Shishani’. Ada satu friend request daripada seseorang yang bernama ‘Khaleed Safar’. Abu Bakar membuka profil pemilik akaun yang bernama Khaleed Safar itu.

Khaleed Safar
Tarikh lahir: 17 Disember 1992
Status: Bujang
Bandar asal: Skudai
Bahasa: Melayu, Inggeris, Rusia
Mengenai saya: Tikhiy i dobryy, pokornyy rab Vsevyshnego!
(Tenang dan baik, hamba kepada Tuhan yang maha Agung!)

    
“Zelimkhan, tengok ni. Tarikh lahir lelaki ni sama dengan awak.” Abu Bakar memberitahu. Telefon pintar diberi kepada Abu Usman.
    
“Tak ada mutual friends. Macam mana dia jumpa akaun awak?” Abu Usman menyoal sangsi. “Dan dari Skudai. Di mana tu? Awak nak terima dia jadi kawan ke?” Telefon pintar dipulangkan semula.
    
“Tarikh lahirnya sama dengan awak. Dia pasti seorang lelaki yang baik. Lihatlah ayat-ayat al-Quran yang dia post di akaunnya.”

_____________________________________________

Всевышний Аллах сказал: «Я сотворил джиннов и людей не иначе как только для того, чтобы они поклонялись Мне» (Аз-Зарийат, 56).    

(Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (Az-Zariyat, 56))

_____________________________________________

«Мы непременно испытаем вас незначительным страхом, голодом, потерей имущества, людей и плодов. Обрадуй же терпеливых которые, когда их постигает беда, говорят: Воистину, мы принадлежим Аллаху и к Нему вернемся. Они удостаиваются благословения своего Господа и милости. Они следуют прямым путем.» (Aль-Бакара, 155-157).

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Al-Baqarah, 155-157)

____________________________________________
   
“Saya nak terima dia sebagai kawan.” Abu Bakar memberitahu.
    
“Suka hati awak. Harap-haraplah dia bukan ejen FSB yang menyamar,” ujar Abu Usman.
    
Selepas menerima Khaleed Safar sebagai rakan di VKontakte dan menghantar friend request kepada akaun Abu Usman, Abu Bakar memasukkan semula telefon pintar ke dalam poket. Cuaca sejuk membuat dia malas mahu pergi ke mana-mana selepas tugasan meronda walaupun dia tahu petang nanti dia terpaksa pergi ke bandar Qastal Ma’af bersama Abu Usman dan Abu Muhammad. Mereka bertiga akan ditemani Rawwad Ansari, penduduk asal Aleppo yang fasih berbahasa Arab, Rusia, dan Inggeris. Rawwad juga merupakan guru bahasa Arab mereka di markas.
    
“Ada friend request daripada Magomed Muhammad.” Abu Usman memberitahu. “Siapa dia ni?” Sedang dia leka membuka profil Magomed Muhammad, kakinya tersandung batu yang besar. Abu Usman hampir-hampir sahaja terjatuh namun Abu Bakar terlebih dahulu memaut lengannya. Langkah kedua-dua lelaki tersebut terhenti.
    
“Nyaris-nyaris…” Abu Usman mengurut dada. “Kalau tak habislah muka kacak saya ni tercalar,” guraunya.
    
“Hati-hati sikit,” pesan Abu Bakar.
    
“Terima kasih.” Abu Usman tersengih.
    
“Sama-sama.”
    
“Magomed Muhammad ni Abu Muhammad, kan? Nama sebenar dia Magomed ke?” Abu Usman menyoal.
    
Abu Bakar sengaja membiarkan soalan itu tidak berjawab. Biarlah Abu Muhammad sendiri yang memberitahu nama sebenarnya kepada Abu Usman. Dia tidak mahu menjadi orang yang membuka cerita berkenaan Abu Muhammad.
    
Melihat sahabatnya itu diam sahaja, Abu Usman memandang kembali akaun dengan nama Magomed Muhammad itu. Beberapa saat selepas itu, dia menerima Magomed Muhammad sebagai rakan di VKontakte.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku