Hujan Merah
Bab 16
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
40

Bacaan






Perjalanan dari markas Dzhamaat Halifat ke bandar Qastal Ma’af mengambil masa sejam setengah. Qastal Ma’af yang berada di barat laut Syria, merupakan salah sebuah bandar di utara Latakia. Ia terletak berhampiran dengan Kesab, Mashqita, Ayn al-Bayda, dan Rabia. Penduduk bandar ini kebanyakannya Sunni daripada keturunan Turkmen manakala penduduk-penduduk kampung dan daerah kecil di sekitarnya terdiri daripada Syiah Alawi.  
    
Rawwad memarkir kereta berhampiran kawasan hutan di pinggir bandar Qastal Ma’af. Dia kemudian turun bersama Abu Bakar, Abu Usman, dan Abu Muhammad. Untuk tidak menarik perhatian, mereka berempat tidak memakai jaket atau seluar celoreng yang biasa dipakai. Sebaliknya, kesemua mereka memakai jaket tebal warna hitam dan seluar jeans warna biru. Abu Usman dan Abu Muhammad turut memakai topi sejuk manakala Abu Bakar pula memakai kep berwarna hijau gelap. Kalashnikov yang dibawa turut ditinggalkan di dalam kereta.  
    
Di seberang jalan, kelihatan beberapa buah rumah pangsa berdiri megah walaupun dimamah usia. Abu Bakar memerhati beberapa orang kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran. Sebahagian permainan di taman itu berlubang dengan kesan peluru di sana-sini.
    
Abu Bakar dijentik rasa bersalah.
    
Benarkah kehadiran pemuda-pemuda sepertinya mampu mengubah kehidupan warga Syria? Atau mungkinkah kewujudan mereka hanya memburukkan lagi situasi sebahagian rakyat Syria yang sudah sememangnya malang?
    
“Awak okey?”
    
Suara Abu Usman segera mematikan persoalan di minda Abu Bakar.
    
“Saya okey.” Dia membalas.
    
Setelah yakin kawasan di situ selamat, Rawwad mengajak mereka bertiga mengikutinya. Langkah Rawwad dituruti tanpa banyak soal.
    
Berbanding bandar-bandar lain di Latakia, Qastal Ma’af tidak ramai penduduk. Sepanjang perjalanan, cuma ada beberapa buah kedai sahaja yang dibuka. Orang yang lalu-lalang juga tidak ramai. Barangkali faktor cuaca yang sejuk membataskan pergerakan mereka. Atau mungkin juga mereka takutkan bom barel yang bisa dijatuhkan askar Assad bila-bila masa sahaja seperti di Aleppo dan kawasan-kawasan lain. Itulah teori mereka bertiga.
    
Abu Bakar memandang kiri dan kanan jalan. Di sebelah kiri ada kedai roti, kedai gunting rambut, kedai buah-buahan dan beberapa buah kedai lain yang Abu Bakar sendiri tidak tahu, memandangkan papan tanda kedai ditulis dalam bahasa Arab. Di sebelah kanannya pula ada kedai sayur-sayuran, kedai kain, dan kedai alatan elektrik. Sesekali terdengar jeritan pemilik kedai yang mengajak pelanggan masuk ke dalam.
    
“Jauh lagi ke kedai senjata tu?” Abu Usman menyoal Rawwad.
    
“Dalam beberapa minit lagi. Kedai tu agak tersorok sedikit.” Rawwad menjawab. Lelaki 32 tahun itu mengusap-usap janggut hitamnya yang sederhana panjang.
    
“Tak nampak pelik ke nanti bila kita keluar dari bandar dengan bawa senjata?” Abu Muhammad menzahirkan kebimbangannya.
    
“Jangan risau. Malik ada caranya sendiri,” balas Rawwad.     
    
Abu Usman dan Abu Muhammad agak teruja memandangkan ini pengalaman pertama mereka membeli senjata sendiri. Lain pula halnya dengan Abu Bakar yang kurang menyenangi rancangan dua orang sahabatnya itu. Bagi Abu Bakar, senjata yang dibekalkan oleh jamaat sudah memadai. Walaupun Kalashnikov yang diberikan kepada mereka pernah digunakan oleh orang lain, namun ia tetap berfungsi dengan baik.
    
Ketika Rawwad, Abu Usman, dan Abu Muhammad sedang rancak berbual, Abu Bakar terpandang seorang budak lelaki berpakaian lusuh yang sedang duduk di hadapan sebuah kedai lama.
    
Tiba-tiba hatinya tersentuh dengan pakaian dan raut wajah suram si budak. Apatah lagi apabila dia perasan yang budak lelaki itu hanya duduk berlapikkan kotak. Abu Bakar segera menghampiri.
    
“Roti,” ujar budak tersebut dalam bahasa Arab sebaik Abu Bakar berada di hadapannya.
    
Abu Bakar terpinga-pinga. Matanya kemudian terarah pada roti- roti bulat yang diletak di atas plastik besar di hadapan si budak.
    
“Err…berapa?” Abu Bakar menyoal dalam bahasa Arab. Budak itu tidak terus menjawab. Lama dia memerhati wajah Abu Bakar.
    
“Shishani?” soalnya.
    
Abu Bakar mengangguk. Shishani bermaksud Chechen dalam bahasa Arab. Abu Bakar meneka budak itu mungkin dalam 10 atau 11 tahun berdasarkan saiz badannya.
    Budak itu mengambil sebiji roti. “100,” ujarnya. Dia menghalakan jari telunjuknya ke atas untuk memberi maksud 1, kemudian mengepal penumbuk lalu menggoyangkan penumbuknya dua kali untuk memberi maksud 0. Abu Bakar mengangguk faham.
    
“Empat.” Abu Bakar memberitahu  dalam bahasa Arab. Dompet dikeluarkan dari poket seluar sementara budak itu membungkus keempat-empat roti tadi dengan surat khabar.
    
Bungkusan roti diberi kepada Abu Bakar. Abu Bakar menghulur sekeping wang kertas yang tertera nombor 500. Budak itu menggeleng, tidak mahu mengambil wang yang diberi. Empat jari dinaikkan untuk memberitahu Abu Bakar yang harga kesemua roti tersebut ialah 400 pound Syria.
    
Abu Bakar pula terus mendesak budak itu agar menerima wangnya. Dia ikhlas mahu memberi lebihan baki kepada si budak penjual roti, yang kini sedang berusaha menyampaikan sesuatu kepada Abu Bakar menggunakan isyarat tangan.
    
“Saya tiada wang baki,” ujar budak itu dalam bahasa Arab.
    
“Saya tak perlukan wang baki. Ambillah,” ujar Abu Bakar dalam bahasa Rusia.
    
Tidak jauh dari situ, Rawwad, Abu Usman, dan Abu Muhammad yang memerhatikan gelagat mereka berdua mengerutkan dahi masing-masing.
    
“Kenapa tu?” soal Rawwad.
    
“Entahlah…” jawab Abu Usman.
    
“Mari tengok.” Rawwad mengajak.
    
Mereka menghampiri Abu Bakar dan budak lelaki penjual roti.
    
Rawwad menyoal, “Kenapa ni?”
    
“Saya nak berikan dia 500 pound tapi dia tak mahu terima,” jawab Abu Bakar.
    
“Mungkin dia tak ada wang baki,” teka Abu Usman. “Berapa semuanya?”
    
“400 pound.”
    
Abu Usman mengeluarkan dompetnya lalu mengambil empat keping wang kertas 100.
    
“Jangan.” Abu Bakar menegah. “Saya nak berikan dia 100 pound baki sebagai sedekah…”
    
“Abu Bakar, cara kamu salah.” Rawwad memberitahu.
    
“Salah?”
    
“Ya. Berikan dia wang untuk roti itu dahulu. Kemudian barulah kamu berikan dia wang yang kamu mahu beri sebagai sedekah itu.”
    
“Oh, begitu.” Abu Bakar mengeluarkan lima keping wang kertas 100 dan memberikan empat keping not kepada budak lelaki di hadapannya.
    
Budak lelaki itu mengambil wang yang dihulurkan.
    
“Terima kasih,” ucapnya.
    
Abu Bakar memegang tangan budak itu lalu menyelitkan sekeping lagi not 100 ke tapak tangannya. Budak penjual roti itu menggeleng.
    
“Saya tak boleh terima, abang,” ujarnya berulang-kali.
    
“Ikhlas. Sedekah. Rezeki.” Abu Bakar mengucapkan perkataan-perkataan itu dalam bahasa Arab. Akhirnya, budak itu mengambil wang pemberian Abu Bakar.
    
“Semoga Allah merahmatimu, abang.” Budak itu berkata, terharu. Air-air jernih mengalir daripada kelopak matanya.
    
“Jangan menangis. Budak lelaki tak menangis,” pujuk Abu Bakar lalu mengesat air mata budak itu.
    
Si budak mengangguk, seolah-olah memahami apa yang dikatakan Abu Bakar.
    
“Terima kasih…” ucapnya lagi.
    
“Kami pergi dulu.” Abu Bakar memberitahu.
    
“Siapa namamu, abang?” soal budak itu sebaik Abu Bakar berdiri.
    
“Abu Bakar. Kamu?”
    
“Haydar.”
    
“Haydar ya… Jumpa lagi, Haydar.”
    
“Jumpa lagi, abang.”
    
Abu Bakar, Abu Usman, Abu Muhammad, dan Rawwad melangkah ke jalan semula.
    
“Jumpa lagi!” laung Haydar. Mereka berempat menoleh ke belakang. Haydar melambai-lambai ke arah mereka. Mereka melambai kembali.
    
“Jumpa lagi Haydar!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku