IRTIHAL
Bab 20
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
76

Bacaan






Hospital Ufa,
Republik Bashkortostan, Rusia

   
“Astaghfirullahalazim…” Ruslan beristighfar sebaik membaca mesej daripada Zelimkhan. Dia tidak menyangka Aslan akan melalui kesukaran seperti itu; ditembak dan terpaksa menahan kesakitan sedemikian rupa. Berapa banyak lagi situasi cemas yang harus ditempuh abangnya dan Zelimkhan selepas ini?
    
Sungguh murah nyawa seorang insan di medan perang.
    
Cemas di dada berganti sebak. Air mata yang bergenang, kini menitis ke pipi. Walaupun kecewa dengan keputusan Aslan, Ruslan tetap ambil berat akan keadaaan abangnya. Rasa kasih pada Aslan tidak pernah kurang biarpun Aslan sudah mengkhianati kepercayaannya.
    
Sebentar tadi, jantungnya terasa bagaikan mahu tercabut sebaik mendapat berita Aslan ditembak. Tapi kini, dia lega bila dapat tahu yang abangnya dalam keadaan stabil. Dia juga bersyukur Zelimkhan berada dalam keadaan yang selamat.
    
Air mata dikesat. Ruslan bangun dari katil. Dia mengatur langkah dengan perlahan ke bilik air agar tidak membangunkan Viktor yang sedang lena tidur. Setelah mengambil wudhu, Ruslan membentangkan tikar sembahyang ke arah kiblat sebelum melakukan sujud syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana melepaskan abangnya daripada kematian    .
    
Selepas melakukan sujud syukur, Ruslan mengerjakan 4 rakaat solat sunat Tasbih*. Di akhir solat dia berdoa agar diampunkan dosa kerana berprasangka buruk dan menyimpan dendam pada abang sendiri. Hampir saja dia memutuskan persaudaraan mereka akibat sikapnya yang  degil.
    
Ruslan juga berdoa agar dia dan ahli keluarganya terhindar daripada bencana di dunia dan azab di akhirat, dan, semoga abangnya segera sembuh daripada kecederaan dan diberikan kesihatan yang baik. Sebaris doa turut dititip buat Zelimkhan dan Dzhabrail yang berada di Syria. Semoga mereka sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
    
Usai berdoa, Ruslan bangkit lalu melipat tikar sembahyang.
    
“Kenapa cara awak sembahyang lain daripada biasa?”
    
Suara itu membuat Ruslan sedikit kaget. Lantas dia menoleh ke arah si pemilik suara. Viktor, pemuda berbadan sasa dengan rambut coklat yang dipotong pendek ala tentera sedang menongkat dagu di atas katil.
    
“Saya buat awak terbangun ke?” Ruslan menyoal, bimbang kalau-kalau dia mengganggu tidur Viktor.
    
Viktor menggeleng. “Taklah. Saya nak ke tandas. Tapi tengok awak sembahyang ke arah pintu tandas, saya tak jadi masuk tandas. Takkan saya nak lalu depan awak, kan?”
    
Ruslan tersenyum “Saya sembahyang mengikut arah kiblat.”
    
“Apa itu ‘kiblat’?”
    
“Arah yang menjadi panduan orang Islam semasa solat. Kami ikut arah Kaabah,” jelas Ruslan.
    
“Oh…macam tu. Saya ingat awak saja-saja menghadap arah tandas bilik ni waktu sembahyang.” Viktor turun dari katil. “Ah…saya dah tak tahan ni,” ujarnya lalu cepat-cepat bergerak masuk ke tandas.
    
“Maaf sebab buat awak tunggu lama.”
    
“Tak apa, tak apa.” Viktor memberitahu sebelum menutup pintu tandas.
    
Ruslan mengambil beg galas di bawah katilnya. Kemudian dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Helaian demi helaian muka surat diselak hingga akhirnya dia bertemu dengan helaian yang kosong. Ruslan mula mencatat di dalam buku notanya.

9 Januari,
1. Berbual dengan Doktor Tatyana.
2. Abang cedera, tapi dalam keadaan yang stabil.
3. Bertukar-tukar khabar dengan Zelimkhan.
4. Berbual dengan Viktor lebih kurang 20 saat. <- Suatu peningkatan
   
Ruslan menutup buku nota tersebut. Tulisan Zelimkhan di muka hadapan buku, direnung.
    
‘Menyingkap Hidup Bermasyarakat: Ruslan dan Manusia III’, itulah tajuk yang ditulis oleh Zelimkhan. Ruslan tersenyum nipis. Sikapnya yang pendiam menyukarkannya berinteraksi dengan rakan-rakan lain terutama ketika latihan klinikal.
    
Memandangkan dia ialah rakan baik Zelimkhan dan adik kembar Aslan, rakan-rakan mereka yang lain sering mengadu kepada kedua-dua lelaki itu akan sikapnya yang kurang ramah dan suka melakukan kerja berkumpulan seorang diri. Zelimkhan pula, setiap kali mendengar aduan daripada rakan-rakan yang lain, akan memberi ceramah percuma kepada Ruslan tentang kepentingan komunikasi sesama manusia.
    
Ceramah Zelimkhan dan bebelan Aslan didengar dengan teliti. Zelimkhan memaksa Ruslan mencatat apa-apa nasihat yang diberi ke dalam buku nota. Sepanjang enam tahun persahabatannya dengan Zelimkhan, Ruslan sudah dua kali menukar buku nota itu, menandakan yang dia sudah pun mengisi penuh buku nota yang pertama dan kedua dengan catatan kepentingan ‘hidup bermasyarakat’. Biarpun begitu, ceramah Zelimkhan dan leteran Aslan hanya masuk ke dalam buku. Ruslan masih keberatan untuk mempraktikkan nasihat mereka berdua. Dia tidak terlalu berminat untuk menjaga hubungan sesama manusia. Baginya, memiliki beberapa orang teman rapat yang memahami adalah jauh lebih baik daripada memiliki ramai rakan. Namun, entah mengapa kebelakangan ini dia rasa seperti memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan berbual dengannya. Tanpa Aslan dan Zelimkhan, hidupnya jadi sunyi. Rumah yang menjadi tempat dia kembali juga tidak lagi mampu memberi kehangatan yang sama seperti ketika Aslan masih di situ.
    
Ruslan menoleh ke kiri. Viktor masih belum keluar dari tandas. ‘Barangkali melepaskan hajat besar,’ fikirnya.
    
Bila teringat kembali yang Viktor sanggup menunggu dia habis solat barulah masuk ke dalam tandas, Ruslan senyum sendiri.
    
Mungkin, sudah tiba masanya dia membuka pintu hatinya kepada rakan-rakan yang lain.

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia
       
Ashura membuka peti surat yang diikat pada pagar rumahnya. Ketika dia mengeluarkan beberapa keping surat, setangkai tulip kuning jatuh keluar. Ashura membongkok lalu mengambil bunga tulip tadi. Kemudian dia memerhatikan kawasan sekeliling.
    
Kosong. Tiada satu kelibat pun di situ. Jadi siapa yang memasukkan bunga tulip itu di dalam peti surat rumahnya? Tidak mahu terus kesejukan di luar rumah, Ashura cepat-cepat kembali ke dalam.
    
“Dari mana dapat bunga tulip tu?” Fariza menyoal sebaik melihat Ashura meletakkan surat-surat yang diambil tadi di atas meja makan.
    
“Dari dalam peti surat,” jawab Ashura.
    
“Siapa yang beri?” soal Fariza.
    
“Entahlah. Saya pun tak tahu.” Ashura menghulurkan bunga itu kepada ibunya.
    
“Peliknya. Kenapa tulip?” Fariza menyoal kehairanan. Tulip kuning itu diamati seketika sebelum dipulangkan kepada Ashura kembali.
    
“Apa maksud mama?”
    
“Kalau nak memikat, kenalah guna bunga ros, kan?” Fariza mengusik anak gadisnya.
    
Ashura terpinga-pinga tidak memahami.
    
“Memikat? Siapa yang memikat?”
    
“Maksud mama, kalau nak pikat anak mama ni, kenalah beri ros warna merah. Sebab ros merah melambangkan cinta.”
    
Ashura mengeluh perlahan. “Ashura tak berminat dengan cinta, mama.”
    
“Sekarang kamu cakap macam tu. Bila kamu dah sambung belajar di universiti nanti dan lihat semua kawan kamu dah kahwin, kamu pasti akan tukar fikiran.” Fariza mengenyit mata.
  
“Hmm…tengoklah nanti macam mana,” ujar Ashura acuh tidak acuh. Sejujurnya, dia malas mahu memikirkan soal cinta. Percubaan menculik Mairbek tempoh hari membuat Ashura skeptikal pada mana-mana lelaki yang bukan ahli keluarganya.

Dia hanya mahu fokus pada peperiksaan kemasukan universiti Uniform State Examination (EGE) yang akan berlangsung dari 27 Mei hingga 20 Jun nanti. Janji kepada Zelimkhan untuk turut menjadi seorang doktor, akan dia kotakan.

*****

Markas Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria

   
Tengahari itu, semua mujahidin di markas diarahkan berkumpul. Amir jamaat yang juga merupakan veteran perang Chechen, Abdul Azim, memerhati satu-persatu anak buahnya. Di sebelahnya berdiri Abu Hamza, naib amir merangkap amir militari jamaat.   

“Minta perhatian saudara semua!” Abdul Azim mengucapkan dengan nada yang tegas. Semua mata kini tertumpu pada lelaki 33 tahun itu.
    
“Malam esok, sebahagian besar ahli kita akan bergerak ke Bukit No. 31 untuk membantu Nusra mendapatkan bukit itu daripada askar Assad. Kita mungkin akan berada beberapa hari di kawasan sana, bergantung pada keadaan.
    
Saya ingin ingatkan saudara-saudara di sini untuk tidak menulis apa-apa berkenaan misi ini di akaun media sosial kamu. Saya tahu ada di kalangan saudara yang suka upload gambar-gambar mereka di media sosial.”
    
Abu Hurairah mengusap-usap tengkuk. Terasa seperti amir Abdul Azim sedang berbicara mengenai dia pula.
    
Abdul Azim menyambung lagi. “Jangan lupa menulis wasiat. Jika saudara ditakdirkan syahid, barang-barang milik saudara boleh diberikan kepada sesiapa yang berkenaan, seperti yang tertulis di dalam wasiat saudara semua.”   
    
Fikiran Abu Usman melayang pada Abu Bakar yang masih berada di hospital. Andainya dia ditakdirkan terkorban, dia ingin Abu Bakar menerima semua barang-barangnya termasuklah laptop dan telefon pintar miliknya.

*****
    
Selepas taklimat daripada Abdul Azim dan Abu Hamza selesai, semua mujahid terlibat kembali ke bilik dan mengemaskan barang masing-masing.
    
Suasana di dalam bilik riuh dengan suara. Mereka bercerita tentang misi, bergelak ketawa dengan lawak yang kebanyakannya tidak menjadi, serta bernyanyi-nyanyi kecil.
    
Abu Usman meletakkan beg galas yang sudah siap dikemas bersebelahan beg galas Abu Bakar. Jika Abu Bakar tidak cedera, operasi esok ialah yang pertama buat mereka. Mungkin ini salah satu hikmah yang tersembunyi di sebalik musibah yang menimpa sahabatnya itu. Sekurang-kurangnya Abu Bakar tidak perlu terlibat dalam pertempuran untuk satu jangka masa yang lama.
    
Dalam Abu Usman sibuk melayan perasaan, namanya dipanggil seseorang.
    
Abu Usman menoleh belakang. Abu Yasmin sedang berpeluk tubuh di situ.
    
“Kenapa?” soal Abu Usman.
    
“Saya nak cakap dengan awak sekejap,” balas Abu Yasmin.
    
“Apa dia?”
    
“Sini tak sesuai untuk bercakap.” Abu Yasmin tidak mahu perbualannya dengan Abu Usman didengari ramai.
    
Satu helaan nafas keluar dari dada Abu Usman. Perkara yang ingin diberitahu Abu Yasmin sudah pasti bersangkut-paut dengan kata-katanya semasa ribat dua hari yang lalu.
    
“Baik, saya ikut awak.”

_____________________________________________________________

Glosari:

*Solat sunat Tasbih: Solat ini disebut Solat Tasbih kerana tasbih diucap sebanyak 300 kali dalam 4 rakaat solat. Solat sunat Tasbih dilakukan sebanyak 4 rakaat dan 1 salam sekiranya solat itu didirikan pada waktu siang. Jika didirikan pada waktu malam, 4 rakaat itu dilakukan dengan 2 salam (2 rakaat, 1 salam).

Solat sunat Tasbih ini telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abbas bin Muththalib. Rasulullah SAW bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.”  ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah )





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 | Bab 17 | Bab 18 | Bab 19 | Bab 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku