Hujan Merah
Bab 22
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
56

Bacaan






Grozny, Republik Chechen, Rusia
   
Ashura melangkah ke ruang tamu dengan perasaan yang senang. Zelimkhan baru sahaja mengirimkan mesej yang menyatakan dia dalam keadaan yang baik. Ashura bukan main gembira lagi dengan mesej Zelimkhan.
   
Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, Ashura duduk di atas salah satu sofa lalu mengambil alat kawalan jauh televisyen di atas meja. Televisyen dihidupkan.
   
Wajah jelita Linda Idrisova yang sedang menyanyikan lagu Bezaman Alu menjadi tatapan mata. 
   
Ashura mengamati wajah penyanyi Chechen yang popular itu. Suatu ketika dahulu, Zelimkhan pernah memberitahu perempuan idamannya ialah wanita seperti Linda Idrisova. Sopan, lemah-lembut, dan paling penting, menutup aurat.
   
Ashura menyentuh rambutnya yang dipotong pendek. Selain skaf kepala, dia tidak pernah memakai hijab. Kadang-kala Zelimkhan akan berleter kepadanya tentang kepentingan menutup aurat. Namun leteran itu sekadar masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Ibu bapanya juga tidak pernah menyuruh dia berhijab jadi apa salahnya jika dia tidak memakainya? Lagipun, skaf kepala yang dipakai ketika di bangunan sekolah dan di rumah saudara-mara itu sudah cukup sopan baginya.
   
Namun kali ini, Ashura rasa lain. Linda Idrisova yang diminati Zelimkhan nampak sungguh menawan dengan jubah biru dan hijab bercorakkan bunga. Dia sendiri pun sampai terpesona melihatnya.
   
Selepas nyanyian Linda tamat, Ashura menukar siaran. Pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan yang disertai rakan baiknya, Kheda Elmurzaeva, kini ke udara. Lebih seribu penyertaan daripada gadis Chechen berumur 16 hingga 25 tahun diterima untuk pertandingan itu namun yang terpilih cuma 30 orang sahaja. 30 orang gadis yang terpilih akan berentap dalam pelbagai aktiviti seperti pertandingan fesyen, memasak, ucapan spontan dalam bahasa Rusia dan Chechen berdasarkan tajuk yang diberi, tarian tradisional Chechen, serta sesi soal jawab yang mengetengahkan soalan-soalan berkaitan sejarah dan tradisi masyarakat Chechen. Pertandingan ini akan berlangsung selama tiga minggu sebelum salah seorang daripada mereka dinobatkan juara.
   
Ashura tidak pernah berminat dengan rancangan seperti ini. Oleh kerana Kheda merupakan salah seorang peserta, terpaksalah Ashura menonton rancangan ini dua kali seminggu sambil mengundi Kheda untuk menang.
   
Selepas rancangan Gadis Chechen Kebangsaan untuk minggu ini tamat, Ashura mematikan televisyen lalu mengangkat punggung daripada sofa yang diduduki. Ketika mahu menaiki tangga ke tingkat atas, Fariza memanggil namanya. Gadis itu melangkah ke ruang tamu kembali.
   
“Kenapa, mama?” soal Ashura.
   
“Ini bunga kamu.” Fariza menghulur sekuntum tulip kuning.
   
Ashura mengambil tulip kuning tersebut. Masuk hari ini, sudah tiga hari dia menerima bunga yang sama daripada pengirim yang tidak diketahui. Ibunya pula asyik berkata bunga itu untuknya serta selalu sahaja mengusiknya berkenaan bunga itu.
   
Ashura mengamati bunga di tangan. ‘Kenapa tulip kuning? Aku suka ros merah jambu, bukan tulip kuning.
   
“Jangan lupa tukar air tulip di bilik kamu tu nanti,” pesan Fariza pada anak gadisnya. Ashura yang dapat bunga, entah mengapa dia pula yang rasa teruja. Tidak sabar mahu melihat wajah lelaki yang memberikan anaknya tulip kuning itu.
   
“Okey.” Ashura menjawab. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. “Mama ada hijab yang mama tak nak guna lagi?”
   
Terangkat kening Fariza. “Hijab? Kamu nak pakai hijab?”
   
“Saya nak cuba sahaja. Ada tak?”
   
“Carilah yang mana-mana kamu suka dalam almari mama,” ujar Fariza. “Mama nak masak dulu. Nanti lepas cuba hijab tu, masuk dapur tolong mama.”
   
“Baik.”

*****

Hospital Al-Azzam, Qastal Ma’af
Latakia, Syria

   
Abu Bakar meneguk air yang diberi Abu Muhammad. Anak muda 19 tahun itu sudah berada di sisinya sejak 20 minit yang lalu. Setelah dahaganya hilang, Abu Bakar memberikan gelasnya kepada Abu Muhammad. Dia kemudian membetulkan kedudukan bantal yang menjadi sandaran.
   
“Abang okey tak ni?” Abu Muhammad menyoal tatkala melihat wajah Abu Bakar berkerut-kerut menahan sakit.
   
“Abang okey. Jangan risau.” Abu Bakar meyakinkan. “Semua orang di markas sihat tak?” soalnya.
   
“Semua sihat,” jawab Abu Muhammad. Hati kecilnya lalu menyambung ‘Walaupun ada orang yang mengkhianati jamaat kita.
   
“Abu Usman baik-baik saja, kan?” soal Abu Bakar lagi. Rakan baiknya itu ada datang melawat dua hari yang lalu.
   
“Abang Abu Usman sihat. Abang janganlah fikirkan sangat pasal kami di markas. Kami semua okey je. Abang cuma perlu fokus pada kesihatan abang.”
   
Nada mendesak Abu Muhammad yang bagaikan sedang cuba menyembunyikan sesuatu, menarik minat Abu Bakar. Pipi Abu Muhammad dicubit perlahan.
   
“Apa yang kamu cuba rahsiakan ni, Abu Muhammad?” Mata Abu Bakar memicing curiga.
   
“Man…mana ada rahsia.” Abu Muhammad menafikan. Jantungnya berdebar-debar dengan soalan Abu Bakar. Lelaki itu nampak seperti sudah menghidu sesuatu. Sepatutnya dia berlagak tenang sahaja ketika menjawab soalan Abu Bakar tadi.
   
“Baik kamu cakap…kalau tak…” Abu Bakar mengugut. Cubitan pada pipi Abu Muhammad dikuatkan.
   
“Esok, esok saya akan beritahu. Jangan cubit lagi, abang,” rayu Abu Muhammad.
   
Cubitan dilepaskan.
   
“Cepat cakap,” arah Abu Bakar.
   
“Tunggu esok.”
   
“Kenapa esok?”
   
“Sebab saya tak boleh beritahu sesiapa. Mereka dah amanahkan kepada saya untuk tidak berkata apa-apa,” jelas Abu Muhammad. Sengaja dia tekankan perkataan ‘mereka’, dengan harapan Abu Bakar akan memahami keadaannya.
   
Abu Bakar mengeluh perlahan. Anak muda di sebelahnya ini diamanahkan untuk menyimpan rahsia. Jadi tidak baik dia terus memaksa. Lagipun, tentu ada sebab mengapa Abu Muhammad tidak dapat memberitahunya hari ini.
   
“Kamu nak duduk sini sepanjang hari?” soal Abu Bakar, mengubah topik.
   
Abu Muhammad mengangguk. “Saya dipertanggungjawabkan untuk menemani abang di sini,” ujarnya lalu tersengih.
   
“Kamu dipertanggungjawabkan atau kamu yang nak datang curi tulang di sini?” Abu Bakar menyakat.
   
“Tanggungjawablah. Bukan nak curi tulang pun.”
   
“Yalah tu.”   

*****
---

Ruslan: Assalamualaikum abang. Apa khabar?

---
   
Abu Bakar menyimpul senyum, terharu dengan mesej daripada Ruslan. Ini kali pertama Ruslan menghantar mesej kepadanya sejak dia berada di Syria. Tanpa berlengah, Abu Bakar menaip jawapan untuk adiknya.

---

Aslan: Waalaikumsalam. Abang sihat. ))) Kamu apa khabar? Lama tak dengar berita. Mama dan papa sihat tak? Kamu dah makan? Makan apa hari ini?

Ruslan: Saya sihat. Mama dan papa pun sihat. Saya dah makan. Piroshki daging. Abang? Luka abang macam mana?

Aslan: Abang makan bubur. Zelimkhan yang masak.

Ruslan: Zelimkhan ada di situ? Dia sihat?

Aslan: Zelimkhan di markas dan dia sihat. Kawan lain yang datang dan berikan abang bubur Zelimkhan.

Ruslan: Bubur Zelimkhan? Bunyinya lawak. ))

Aslan: Ya. Antara kita bertiga, dia kan yang paling pandai masak.

Ruslan: Luka abang macam mana? Masih sakit ke?

Aslan: Abang okey. Jangan risau. Sekarang dah tak sakit lagi.

Ruslan: Ambil gambar, boleh?

Aslan: Gambar luka ke?

Ruslan: Ya.

Aslan: Tak payahlah. Malulah abang hahahahaha ))

Ruslan: Saya serius ni.

Aslan: Nantilah abang kirim pada kamu. Hm…macam mana keadaan di rumah? Mama dan papa marah tak pada abang?

Ruslan: Apa reaksi yang abang harapkan?

Aslan: Abang jangkakan papa pasti mengamuk.

Ruslan: Tepat.

Aslan: Abang minta maaf. Pada kamu, pada mama, pada papa…

Ruslan: Kalau rasa bersalah, baliklah ke Ufa. Masih belum terlambat lagi, abang.

Aslan: Abang tak boleh balik.

Ruslan: Kenapa? Jihad di sana lebih penting daripada kami semua ke?

Aslan: Kamu semua dan jihad abang sama-sama penting.

Ruslan: Jadi bila baru abang akan balik?

Aslan: Bila keadaan di sini kembali seperti sediakala dan Assad digulingkan.

Ruslan: Bila tu?

Aslan: Suatu hari nanti. Abang pasti. Doakan abang, Zelimkhan, Dzhabrail, dan kami semua di sini.

Ruslan: Abang yakin ke perjuangan abang ni jihad di jalan Allah? Bukannya dimanipulasi oleh pihak-pihak yang cuba ambil kesempatan atas situasi di Syria, untuk
mengukuhkan pengaruh mereka dan mengurangkan pengaruh Iran? Abang tahu kan yang Iran menyokong rejim Assad? Dan Iran juga tidak menyenangi Amerika.

Aslan: Iran negara majoriti Syiah. Assad itu Syiah. Sudah pasti Iran akan menyokong sekutunya.

Ruslan: Abang, dunia ini kompleks. Apa yang kita lihat di depan mata kita bukan semuanya realiti sebenar. Ingat tak lagi dengan apa yang terjadi sewaktu pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan? Amerika menyalurkan berbilion dolar kepada pasukan mujahidin untuk melawan tentera Soviet dan akhirnya, apa yang terjadi kepada Afghanistan sekarang? Kumpulan mujahidin berbalah sesama sendiri sehingga akhirnya mereka dikalahkan oleh Taliban. Afghanistan sekarang dipenuhi dengan pengganas yang menindas kaum wanita dan penegak undang-undang ekstrem yang sudah jelas menyimpang daripada agama Islam yang menganjurkan kedamaian. Itukah yang abang mahu lakukan ke atas Syria?

Aslan: Ruslan, kamu dah salah faham. Abang datang untuk menolong orang yang ditindas.

Ruslan: Dengan mengangkat senjata? Itukah cara abang?

Aslan: Kamu tak faham, Ruslan.

Ruslan: Jadi buatlah saya faham! Apa yang abang cari di sana sebenarnya?

---

*****

Markas Dzhamaat Halifat

   
Abu Usman tersenyum lebar memandang telefon pintarnya. Gambar kiriman Ashura setengah jam lalu segera dijadikan wallpaper telefon. Wajah Ashura yang comel nampak lebih menyerlah tatkala mengenakan hijab ibu mereka. Abu Usman tidak putus-putus memuji adiknya. Dengan harapan agar adiknya akan terbuka hati untuk terus memakai hijab selepas ini. Dalam dia sedang tersenyum-senyum sendiri, Abu Safiya menepuk bahunya.
   
“Hai, sis con!” panggil Abu Safiya dengan senyuman nakal. Hanya mereka berdua yang ada di bilik Abu Usman ketika itu.
   
Sis con?” Abu Usman mengulang, tidak faham.
   
Sister complex. Cinta yang berlebihan kepada kakak atau adik perempuan,” jelas Abu Safiya.
   
Abu Usman mencebik. Sekarang baru dia faham kenapa Abu Yasmin kadang-kala geram dengan kelakuan Abu Safiya.
   
“Apa yang awak baca?” soal Abu Usman dengan rasa meluat.
   
“Semua.” Selamba Abu Safiya menjawab.
   
Abu Usman mendengus. “Lupakan semua yang awak baca.”
   
Abu Safiya ketawa. Dia mengeluarkan telefon pintar lalu menunjukkan sesuatu kepada Abu Usman; gambar gembira seorang kanak-kanak perempuan yang memakai gaun kembang merah jambu.
   
“Ini satu-satunya adik saya, Safiya.” Abu Safiya memberitahu.
   
“Safiya?”
   
“Ya. Kunya saya diambil sempena namanya,” ujar Abu Safiya lagi.
   
Abu Usman hanya mengangguk.
   
“Ini rahsia kita berdua, jangan beritahu sesiapa. Sebenarnya, saya pun ada sister complex macam awak.”
   
“Saya tak ada sister complex.” Abu Usman membetulkan. Namun jauh di sudut hati, dia mengaku yang dia sememangnya terlebih sayang dan tersangat mengambil berat akan adik perempuannya.
   
“Tak apa kalau awak tak nak mengaku. Yang penting awak tahu kita sama.” Abu Safiya ketawa terkekeh-kekeh.
   
“Jangan samakan saya dengan diri awak yang tak betul.” Mendatar suara Abu Usman.

Pemuda 22 tahun itu menepuk-nepuk bahu Abu Usman lalu mengambil tempat duduk di sebelah lelaki itu. Dia menghela nafas, menatap dinding putih.
   
Sejujurnya, Abu Safiya sudah tidak kuat lagi. Wajah gembira yang terpaksa ditayang saban hari membuatnya penat. Biarpun begitu, dia ingin rakan-rakannya tahu yang dia wujud. Sambil berharap mereka akan sentiasa menitipkan doa buatnya suatu hari nanti.
   
“Awak doktor, kan?” Abu Safiya menyoal perlahan.
   
“Ya.” Abu Usman menutup telefon lalu memasukkannya ke dalam poket seluar.
   
“Mesti pernah dengar tentang glioblastoma*, kan?”
   
Abu Usman tersentak. Wajah Abu Safiya diamati dengan cermat. Pemuda itu tersenyum hambar kepadanya.
   
“Awak…,” Abu Usman terdiam. Dia faham apa yang ingin Abu Safiya sampaikan tatkala lelaki itu mengangguk.
   
“Tahap 4,” kata Abu Safiya. “Masa saya dah tak lama lagi. Saya tak mahu mati sia-sia.”
   
“Sebab tu ke awak datang ke Syria?”
   
“Ya. Mengarut bunyinya, kan?”
   
“Itu alasan yang boleh diterima.”
   
Abu Safiya mengangkat tangan kanan ke hadapan mata. “Penglihatan saya semakin teruk sejak dua minggu ni. Begitu juga dengan sakit kepala saya.” Tangan diturunkan. “Asas menembak saya kukuh sebab saya sertai kelab menembak di Vladikavkaz. Jadi tembakan saya selalu mengenai sasaran waktu operasi di sini.
   
Tapi, waktu ribat kita diserang, tembakan saya banyak kali tersasar. Saya dah tak dapat mengagak jarak dan dah tak dapat melihat dengan baik lagi.” Pemuda itu berpaling, memandang Abu Usman di sebelahnya. “Maafkan saya sebab biarkan Aslan cedera, Zelimkhan.”
   
Tiada kata-kata yang mampu terluah dari mulut Abu Usman. Saat itu dia hanya mampu mengucap simpati di dalam hati. Di sebalik sikap peramah dan ceria Abu Safiya, siapa sangka tubuhnya sedang bertarung dengan maut sepanjang masa? Tetap mengukir senyum walau tubuh makin binasa.
   
“Zelimkhan…Bila perang di Syria ni berakhir nanti, dan bila awak, Usman, dan Aslan berpeluang kembali ke Rusia, datanglah melawat keluarga saya di Vladikavkaz. Beritahu Safiya, hero kesayangannya akan sentiasa melindunginya, tak kira di mana pun dia berada.”
________________________________________________________________

Glosari:

Glioblastoma - Glioblastoma, juga dikenali sebagai glioblastoma multiforme (GBM), adalah kanser paling agresif yang bermula di dalam otak. Tanda-tanda dan gejala glioblastoma termasuk sakit kepala, perubahan personaliti, loya, dan gejala-gejala serupa dengan strok.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku