Hujan Merah
Bab 23
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
71

Bacaan






Hari operasi, 2 pagi

Mujahidin Dzhamaat Halifat berkumpul ramai-ramai di halaman banglo. Masing-masing memakai jaket dan seluar camo. Tubuh mereka menggalas beg yang dipenuhi kelengkapan yang banyak, sesuai dengan arahan Abdul Azim yang mengatakan operasi kali ini mungkin mengambil masa yang lama. Tangan-tangan mereka memeluk erat Kalashnikov di sisi.
    
Sepuluh buah pikap model Toyota sudah siap sedia menunggu. Setiap pikap mampu menempatkan 11 orang mujahidin, 5 di ruangan hadapan termasuk pemandu, dan 6 di ruangan belakang. Selesai taklimat ringkas, mereka bergerak menuju ke pikap yang disediakan.
    
Abu Usman dan  Abu Safiya berada di pikap yang sama dengan Abdul Malik manakala Abu Yasmin pula dengan Abu Anas. Setelah memastikan keberadaan kedua-dua pemuda itu dalam pikap tertentu, Abdul Azim dan Abu Hamza berpecah mengikuti mereka.
    
Abdul Azim mengucapkan selamat tinggal kepada sembilan orang mujahidin yang ditugaskan untuk mengawal markas dan menyampaikan maklumat jamaat mereka kepada kumpulan jamaat lain.
    
Pikap-pikap tersebut bertolak tepat pukul 2.20 pagi.
    
Gelap malam yang menyelimuti Latakia sekali-sekala diterangi cahaya apabila pikap yang dinaiki melintasi kawasan tertentu. Abu Usman dan Abu Safiya yang duduk berhadapan dengan Abdul Malik berbual sesama sendiri. Sesekali Abu Safiya melihat telefon pintarnya untuk memastikan sama ada terdapat mesej meragukan yang dihantar keluar.     
    
Cahaya suluhan daripada pikap di belakang memudahkan mereka berdua memerhati rakan-rakan yang lain di situ. Abdul Malik yang berambut coklat gelap dan berjanggut nipis kini bersandar. Wajahnya tenang. Namun Abu Usman dan Abu Safiya mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terus-menerus menatap wajah lelaki itu. Dalam hati, mereka tertanya-tanya sama ada Abdul Maliklah orang yang mengkhianati jamaat selama ini. Jika benar, apa motifnya? Dan, kenapa memilih jamaat mereka sedangkan ada jamaat lain yang lebih ramai ahlinya seperti Jaish al-Muhajireen wal Ansar di Aleppo.
    
Abu Yasir dan Abu Hanzalah sudah memejam mata sebaik pacuan empat roda tersebut beredar dari ruangan banglo. Abu Ismail yang duduk di sebelah Abdul Malik menyandar kepala pada tingkap kaca yang memisahkan ruangan hadapan pikap dengan ruangan muatan yang didudukinya bersama lima orang mujahidin lain.
    
“Mengantuk, Abu Ismail?” Abdul Malik menyoal.
    
“Ya. Saya tak dapat tidur petang tadi,” jawab Abu Ismail.
    
Abdul Malik membuka beg galasnya.
    
Abu Usman dan Abu Safiya yang sedang berbual sekali-sekala melirik untuk melihat apa yang dilakukan Abdul Malik.
    
Abdul Malik mengeluarkan bantal kecil lalu memberikannya kepada Abu Ismail.
    
“Ambil ni.”
    
“Tak apa ke saya guna ni?” Remaja 19 tahun itu menyoal, ragu-ragu.
    
Abdul Malik tersenyum. “Tak apa. Kamu tidurlah dulu,” ujar Abdul Malik.
    
Bantal bertukar tangan. Abu Ismail tersenyum gembira. “Terima kasih abang.”
    
Abu Usman yang melihat situasi itu menggenggam kuat pergelangan tangan Abu Safiya. Abu Safiya hanya tersenyum. Dalam hatinya, tidak ada sekelumit pun rasa percaya kepada Abdul Malik dan Abu Anas.
    
Lagi-lagi bila teringat yang salah seorang daripada mereka ialah punca sepupunya, Abu Zakaria, terkorban dalam pertempuran yang lalu. Fakta yang Abu Zakaria ialah sepupunya sengaja dirahsiakan daripada ahli jamaat mereka untuk mengelakkan kebocoran identiti.
    
Abu Safiya menghela nafas. Tubuh Abu Usman ditepuk-tepuk. Abdul Malik yang perasan kelakuan Abu Safiya, menyoal.
    
“Abu Usman, awak okey?”
    
Abu Usman menelan liur, belum bersedia mahu menjawab soalan spontan Abdul Malik.
    
Abu Safiya segera menjawab bagi pihaknya. “Abu Usman gelisah sikit sebab ini operasi pertamanya.”
    
“Oh, begitu.” Abdul Malik berhenti seketika. “Jangan risau. Insya Allah kita semua akan selamat.”
    
Abu Usman hanya mampu mengangguk.

*****
    
Abu Yasmin memandang langit malap dengan tatapan yang kosong.  Sinaran cahaya bulan malam itu tampak lebih cerah berbanding malam-malam sebelumnya. ‘Imaginasi barangkali,’ fikir Abu Yasmin.
    
Baik di Karaganda, mahu pun Ingushetia, atau di Syria, sinaran cahaya bulan sama sahaja. Abu Yasmin datang ke Syria untuk melarikan diri daripada masalah di rumah. Sangkanya, dia hanya perlu berjuang menewaskan tentera Assad. Dan mendapatkan syahid jika boleh. Tapi realiti tidak semudah itu. Sekarang dia harus memerhatikan gerak-geri Abu Anas yang duduk berhadapan dengannya. Lelaki itu sedang berbual bersama Abu Ibrahim dan Abu Yusuf.
    
Abu Yasmin menghela nafas. Matanya tidak beralih dari memandang Abu Anas. Jujur dia berharap Abu Anas bukanlah pengkhianat yang mereka cari. Namun, ini bermakna Abu Usman dan Abu Safiya sedang duduk bersama pengkhianat. Hanya Tuhan yang tahu akan bahaya yang mungkin menimpa mereka sebaik identiti pengkhianat tersebut terbongkar.
    
Hati Abu Yasmin merungut sendiri.
    
Sejak bila dia jadi manusia yang risaukan hal orang lain?

*****
    
40 minit perjalanan.
    
Abu Usman sudah kehabisan topik perbualan. Begitu juga dengan Abu Safiya.
    
Masing-masing kini diam tersandar pada dinding pikap.
    
Abu Safiya menggenggam rapi telefon pintar di tangan. Kemudian dia memanjangkan leher melihat jalan tar di hadapan.
    
Simpang…
    
Jantungnya berdetak pantas. Lori pikap yang dinaiki mereka berada dalam kedudukan kelima daripada hadapan manakala yang dinaiki Abu Anas dan Abu Yasmin pula ialah yang keenam. Amir sengaja mengaturnya begini agar Abdul Malik dan Abu Anas dapat melihat dengan jelas perpecahan laluan yang bakal berlaku di simpang nanti.
    
Abu Safiya bersandar kembali. Matanya kini tertancap pada telefon pintar. Aplikasi IRIS yang diciptanya di Rusia sudah terbuka sejak tadi.
    
Akhirnya…
    
Lori pikap yang dinaiki mereka membelok ke sebelah kiri manakala lori pikap di belakang dan yang mengikutinya membelok ke sebelah kanan. Abu Ismail dan Abu Hanzalah yang sedang tidur, terjaga.
    
“Apa dah jadi ni?” Abdul Malik menyoal hairan.
    
“Kenapa kita berpecah?” soal Abu Hanzalah pula. Mata dikesat-kesat.
    
Abu Usman sama-sama membuat reaksi terkejut. “Entahlah. Saya pun tak tahu.” Dia sengaja mengeluarkan telefon pintarnya.
    
Ada satu mesej masuk.
    
Abu Usman membaca. “Mesej daripada amir: Jamaat kita berpecah dua. Lokasi bukannya di Bukit No. 31 lagi. Nusra memaklumkan yang mereka tidak jadi menyerang Bukit No. 31 tersebut, tapi kini telah berubah kedudukan. Sebahagian daripada kita akan menolong mereka mendapatkan Bukit No.45 dan sebahagian lagi akan dihantar ke Idlib. Pasukan yang bersama saya akan ke Bukit No. 45.”
    
“Jadi kita sekarang ke Bukit No. 45, kan? Kerana amir bersama kita.” Abu Safiya sengaja memancing.
    
“Nampaknya macam tulah keadaannya…”
    
Abu Safiya mengangguk. Dia kembali memandang telefonnya.
    
Aplikasi IRISnya menangkap satu mesej yang sedang dihantar keluar.
    
Hill no.31 X. Op Hill no.45
    
Abu Safiya mengangkat muka. Abdul Malik yang sedang menaip sesuatu pada skrin telefon, dipandang tanpa berkedip. Melihat reaksi rakannya itu, Abu Usman segera mengambil telefon Abu Safiya. Terbuntang matanya melihat apa yang tertulis pada skrin.
    
Abdul Malik ialah pengkhianat yang mereka cari!
    
Tanpa berlengah, Abu Usman terus menghantar mesej kepada amir.
    
Abdul Malik.
    
Beberapa minit kemudian, pikap yang dinaiki mereka semua tiba-tiba berhenti. Abu Hanzalah, Abu Ismail, Abdul Malik, dan Abu Yasir yang baru terjaga, terpinga-pinga tatkala melihat amir mereka serta mujahidin lain keluar dari ruangan penumpang.
    
“Turun semua. Tinggalkan barang-barang dan senjata kamu di atas. Saya ada pesanan ringkas untuk dimaklumkan sebelum kita bertolak ke Bukit No. 45.” Tenang Abdul Azim mengarahkan.
    
“Faham!’ Mereka mengangguk sebelum turun dari pikap. Abu Usman memberikan telefon Abu Safiya kepada amir tanpa disedari sesiapa. Abdul Azim membaca isi kandungan mesej tersebut. Lafaz istighfar diucapkan. Wajah anak-anak buah yang kini berkumpul di hadapan, dipandang satu-persatu. Walaupun berlainan usia dan latar belakang, namun, matlamat mereka semua sama, yakni ingin membebaskan Syria daripada Assad dan menegakkan undang-undang Syariah.
    
Abdul Azim beristighfar lagi. Abu Usman dan Abu Safiya dilihatnya sudah berdiri di sebelah-menyebelah Abdul Malik. Abu Basir dan Abu Ahmad pula berdiri di belakang pemuda itu.
    
Abdul Azim memanggil. “Abdul Malik Dagestani.”
    
“Ya, amir?” soal Abdul Malik, hairan.
    
“Hill no.31 X. Op Hill no.45. Kenapa kamu hantar mesej macam tu?” Abdul Azim menyoal.
    
Abdul Malik kematian akal. Dadanya tiba-tiba berombak kencang. Bagaimana Abdul Azim boleh tahu akan mesej yang dihantarnya? Siapa yang beritahu? Dengan resah, dia memandang sekeliling. Mata kesemua ahli jamaat kini tertumpu kepadanya.
   
Bersama detakan jantung yang semakin pantas, Abdul Malik memandang Abdul Azim kembali. Sedaya-upaya dia menayang riak wajah yang tenang.
    
“Apa maksud amir? Mesej apa?” Dia berdalih.
    
“Abu Usman,” panggil Abdul Azim.
    
Abu Usman segera merampas telefon di tangan kanan Abdul Malik.
    
“Apa yang awak…,” Abdul Malik tidak sempat menghabiskan ayatnya. Kedua-dua tangannya dikunci dari belakang oleh Abu Basir. Abu Ahmad pula mencengkam kuat bahu kanannya. Pemuda itu meronta. “Apa ni?”
    
Telefon diberikan kepada Abdul Azim. Amir muda itu melihat mesej yang dikirim. Mujurlah Abdul Malik belum memadam mesej tersebut.
    
Hill no.31 X. Op Hill no. 45. Dihantar kepada nombor yang tidak dikenali.’
    
Another op, Idlib. Dihantar kepada nombor yang tidak dikenali.’
    
“Hill no.31 X. Op Hill no.45. Kenapa awak hantar mesej ni keluar? Ini lokasi operasi kita, Abdul Malik!” jerkah Abdul Azim.
    
Perlahan-lahan terbentuk satu senyuman kecil di bibir Abdul Malik. Tiba-tiba sahaja dia rasa berani. Resah gelisah yang menghambat tubuh sebentar tadi menghilang entah ke mana.
    
Ah, alangkah baiknya jika rahsia ini bisa bertahan lebih lama!
    
Senyuman Abdul Malik melebar.
    
Pengakhiran untuknya pasti tidak membahagiakan. Namun dia tidak takut mati.
    
Sama seperti mereka yang berada di sini!     
    
“Pengganas…kamu semua pengganas…” Abdul Malik menggumam.     
    
Sepasang mata hitamnya kini menatap tajam wajah Abdul Azim. Kebenciannya pada lelaki itu tiada sempadan. Hanya setelah lelaki itu mati, barulah dia akan puas.
    
Dan Abdul Malik, akan menamatkan riwayat lelaki itu hari ini!
    
“Abdul Azim!” laung Abdul Malik. “Kau pengganas yang kejam! Kau harus mati! Barulah aman dunia ni!” jerit Abdul Malik, menyebabkan keadaan di situ bertukar riuh dengan reaksi terkejut mujahidin lain.
    
“Senyap semua!” Abdul Azim mengarahkan.
    
Tanpa diduga, Abdul Malik mengambil kesempatan daripada kelekaan Abu Ahmad dan Abu Basir yang cuba menenangkan keadaan, dengan menanduk kepala Abu Ahmad sebelum menghantukkan belakang kepala dengan kuat ke wajah Abu Basir. Lelaki itu terkejut lalu tanpa sengaja merenggangkan kuncian pada Abdul Malik. Abdul Malik melepaskan diri lalu mengeluarkan pistol yang disimpan dalam jaket camo. Pistol diacu ke arah Abdul Azim.
    
Abu Safiya meluru ke arah Abdul Malik seraya menjatuhkan lelaki itu ke atas tanah. Abdul Malik yang panik, melepaskan tiga das tembakan ke tubuh Abu Safiya.
    
“Abu Safiya!” Abu Usman menjerit cemas.
    
Abdul Malik tergamam. Pistol di tangannya terlepas.
    
Dengan mata yang berair, Abu Safiya menyoalnya. “Ke…kenapa?”
    
Abu Usman membawa Abu Safiya ke pangkuan.
    
“Abu Safiya! Bertahan!” ujar Abu Usman, cemas. Tubuh Abu Safiya menggeletar. Darah tidak putus-putus mengalir keluar dari mulutnya.
    
Abu Ahmad dan Abu Basir segera menarik tubuh Abdul Malik sehingga berdiri. Pistol pemuda itu dirampas. Mereka menahan tubuh dan mengunci tangan Abdul Malik dari belakang.
    
“Ambil kotak kecemasan!” arah Abdul Azim pada mujahidin yang mula mengerumuni Abu Safiya. Dia meletakkan jarinya pada luka tembakan si anak muda, cuba menghentikan pendarahan.
    
“Abu Safiya! Abu Safiya!” Abu Usman memeluk kepala Abu Safiya di pangkuannya. Air mata sudah lama membasahi wajah. “Bertahan, bertahan!” laungnya kuat.
    
Dengan tangan yang dibasahi darah, Abu Safiya memegang lengan Abu Usman. “Zelimkhan…” panggilnya perlahan. “Janji…keluarga…Safiya…Vladikavkaz…” ujarnya putus-putus.Nafasnya turun-naik, sedaya upaya menahan kesakitan yang tidak pernah dirasakannya selama ini.
    
“Saya janji,” ujar Abu Usman bersama linangan air mata.
    
“Terima kasih, abang...” Abu Safiya menarik nafas dengan payah. “Ashaduanla…ilaha illallah…wa ashadu anna…Muhammadan…Rasulullah.” Semakin lama, wajah Abu Usman semakin pudar daripada pandangan. Panggilan Abu Usman dan mujahidin lain juga tidak terdengar lagi olehnya.
    
Tepat pukul 3.10 pagi, Abu Safiya menghembuskan nafas terakhir.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku