Hujan Merah
Bab 25
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
85

Bacaan






Poliklinik Ufa,
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia
 
Anastasia melangkah keluar dari bilik bersalin Poliklinik Ufa. Doktor pelatih dengan rambut perang yang disanggul kemas itu kemudian melabuh punggung di bangku panjang berhampiran. Surgical mask dibuka. Bau darah yang kuat di bilik bersalin membuat tekaknya sedikit loya. Mujurlah proses bersalin wanita 30-an itu selesai tanpa sebarang masalah. Tiga orang jururawat yang bersama dengannya sebentar tadi kini sedang menguruskan wanita tersebut dan bayi lelakinya.
    
Sejak ditugaskan di bilik bersalin dua minggu yang lalu, ini ialah kali kelima Anastasia menyambut kelahiran bayi di poliklinik ini, dan kali kedua dia menyambutnya tanpa pantauan doktor berpengalaman. Petang nanti ada dua orang wanita dijangka melahirkan anak. Oleh itu, dia perlu membuat pemeriksaan susulan untuk melihat bukaan rahim mereka berdua sebentar lagi.
    
Selepas berehat seketika, Anastasia bangkit lalu menuju ke bilik menunggu yang menempatkan ibu-ibu mengandung tadi. Dalam perjalanan, dia menghidupkan telefon pintar untuk melihat jadual bertugasnya.
    
Ada satu mesej masuk ke dalam peti mesej.
    
‘+963535577691. Nombor abang di Syria.’ – Ruslan.
    
Mesej yang ringkas namun cukup bermakna.
    
Anastasia terpaku di koridor. Matanya tertancap pada mesej yang dikirim.
    
Ruslan baru sahaja memberikan nombor telefon Aslan di Syria. Inilah peluangnya untuk bertanya khabar Aslan di sana. Dan juga bertanyakan bila lelaki itu akan kembali semula ke Rusia.
    
“Abang…tak akan kembali ke Rusia lagi.” Kata-kata Ruslan bulan lalu menerjah ingatan.
    
“Tak akan kembali ke Rusia lagi…” Anastasia mengulang perlahan.
    
Aslan…tak akan kembali lagi. Aku dah tak dapat jumpa Aslan lagi. Aku…’ Wajah Aslan yang sedang ketawa muncul di ruangan minda.
    
“Nastya. Nastya. Nastya…” Suara Aslan yang memanggil namanya kini terngiang-ngiang di telinga.
    
Sambil menggenggam erat telefonnya ke dada, Anastasia memejam mata, cuba mengusir wajah dan suara itu jauh-jauh.
    
Perlahan-lahan, bayangan wajah Aslan di mindanya menghilang.
    
Anastasia mencelikkan mata semula.
    
Cukuplah, Nastya. Cukuplah 6 tahun ini…’ Anastasia memujuk dirinya sendiri. Telefon segera dimatikan. Anastasia menarik nafas dalam-dalam lalu menghembus perlahan. ‘Kuatkan hatimu, Nastya!
    
Bersama senyuman terpaksa di bibir, Anastasia menapak langkah dengan pantas ke bilik menunggu yang menempatkan pesakitnya.

*****

Skudai, Johor, Malaysia
 
Zafirah menekan loceng rumah keluarga Zhuravlev. Tidak lama kemudian, Mikhail yang hanya memakai singlet hitam dan seluar pendek paras lutut, membuka pintu.
    
“Kenapa, Zafirah?” soal Mikhail. Tertanya-tanya juga dia akan kehadiran Zafirah ke rumahnya pada minggu pertama cuti semester universiti mereka.
    
“Ada kedai buku baru dibuka di Taman Universiti. Kawan saya cakap, ada buku-buku lama dijual dengan harga yang murah kat situ. Nak pergi bersama tak?” Zafirah menyoal.
    
Mikhail merenung wajah jirannya seketika, berkira-kira sama ada hendak pergi atau tidak. Dia hampir menghabiskan pertempuran terakhir dalam permainan video Nier Gestalt yang dibeli adiknya, Azrael, beberapa bulan yang lalu ketika Zafirah menekan loceng rumahnya sebentar tadi.
    
Zafirah memberi senyuman lebar. Dalam hati dia pasti Mikhail tidak akan menolak tawarannya. Lelaki itu cukup menyukai kedai buku dan selalu menghabiskan kebanyakan masa terluangnya dengan membaca. Dia turut memiliki beratus-ratus novel Inggeris, Rusia, dan Melayu yang disusun rapi di dalam rak-rak buku di biliknya. Zafirah tahu kerana dahulu dia selalu datang bermain dengan Mikhail dan Azrael di rumah mereka.
    
“Nak pergi sekarang ke?” soal Mikhail lagi. Penamat permainan video Nier Gestalt dan ajakan ke kedai buku baru oleh Zafirah ditimbang-timbang dalam kepala.
    
“Boleh juga,” jawab gadis itu.
    
Kedai buku lebih penting.’ Fikir Mikhail. “Saya bersiap sekejap. Masuklah tunggu di dalam.” Dia mempelawa.
    
Yeay!’ Hati Zafirah menjerit kegirangan. “Terima kasih. Maaf susahkan awak.”
    
“Tak apa. Jangan risau.”
    
Zafirah menanggalkan kasut yang dipakai lalu melangkah masuk ke rumah Mikhail.
    
Selepas menekan butang ‘Save’ pada paparan skrin televisyen untuk menyimpan data permainan video, Mikhail menutup televisyen.
    
“Saya naik atas dulu. Awak tunggulah sekejap di ruang tamu,” ujar Mikhail sebelum menaiki anak-anak tangga ke tingkat atas.
    
Zafirah duduk di atas sofa berkembar tiga di ruang tamu. Hanya satu lampu ruang tamu dibuka, membuatkan ruang tamu itu agak malap, lebih-lebih lagi dengan langsir hijau tua yang menutupi pintu kaca rumah berkembar itu. Zafirah memerhati ruang tamu tersebut. Perabot, televisyen, malah bingkai ayat-ayat Al-Quran yang tergantung di dinding juga masih di kedudukan yang sama. Tidak pernah berubah sejak dahulu. Pingat emas kejohanan catur peringkat kebangsaan yang disertainya bersama Mikhail beberapa tahun yang lalu masih tergantung pada dinding yang bercat hijau muda.
    
Di setiap sudut ruang tamu ini, ada memorinya bersama Mikhail dan Azrael. Sofa yang dia sedang duduki ini, dahulu ialah ‘rumah’ mereka bertiga. Azrael akan mengambil sofa berkembar tiga dan mengisytiharkan sofa itu sebagai ‘rumahnya’. Zafirah pula mengambil sofa berkembar dua. Mikhail yang paling selalu beralah dan mengambil sofa yang paling kecil sebagai ‘rumahnya’. Mereka kemudian akan saling melawat ‘rumah’ satu sama lain di ruang tamu. Bila bosan, Mikhail akan mengeluarkan permainan papan Monopoly. Kadang-kadang, Zafirah juga akan membawa permainan dari rumahnya seperti congkak dan Jenga. Dan semasa di sekolah menengah, Zafirah dan Mikhail sama-sama menyertai kelab catur sekolah. Ruang tamu rumah ini menjadi saksi beratus-ratus perlawanan catur dia dan Mikhail.
    
Lalu, sejak bila hubungan mereka berdua bertukar renggang?
    
“Zafirah.” Mikhail memanggil, mematikan lamunan gadis itu. Zafirah menoleh ke arahnya. Baju tanpa kolar warna hitam dan seluar jeans biru, pemuda itu tetap nampak tampan walaupun pakaiannya biasa-biasa sahaja.
    
Tampan?
    
Adakah itu sebabnya dia menyukai Mikhail? Adakah kerana wajah pan-Asiannya sahaja?
    
Renungan mata Zafirah yang tepat memandangnya membuat Mikhail hairan.
    
“Ada sesuatu ke di muka saya?” soal Mikhail. Zafirah menggeleng perlahan.
    
“Tak ada,” jawab Zafirah lalu bangun dari sofa. “Jom pergi. Saya pandu kereta.”

*****
    
Zafirah memandu Perodua Myvi merah jambu miliknya dengan pantas. Kerana itu, perjalanan dari Bukit Indah ke Taman Universiti yang biasanya mengambil masa selama 20 minit, hanya mengambil masa selama 15 minit sahaja pada hari itu.
    
Sebaik memarkir kereta tidak jauh dari kedai buku yang menjadi destinasi, Zafirah menanggalkan tali pinggang keledar yang dipakai.
    
“Laju awak bawa kereta. Macam kilat,” komen Mikhail.
    
“Saya nak cepat sampai,” jawab Zafirah.
    
“Saya ingat awak nak habiskan lebih banyak masa dengan saya dalam kereta,” usik Mikhail.
    
“Apa maksud awak?” Zafirah menyoal, tidak faham.
    
Mikhail terdiam. Wajah bingung Zafirah direnung. Kemudian dia menguntum senyum. “Tak ada apa-apa. Jomlah kita masuk ke kedai buku tu,” ujarnya.
    
Huh?’ Zafirah masih lagi tertanya-tanya. ‘Apa yang dia maksudkan?’ Zafirah menggaru-garu kepala.
    
Mereka berjalan bersama menuju ke kedai buku baru yang terletak di lot hujung bangunan kedai. Sesekali Zafirah mencuri pandang ke arah Mikhail. Pemuda berketinggian 181 cm itu nampak teruja. Tentulah kerana kedai buku tersebut.
    
Zafirah mengeluh perlahan.
    
“Kenapa, Zafirah? Penat ke?” soal Mikhail sebaik terdengar keluhan Zafirah.
    
“Tak! Saya tak penat.” Zafirah menjawab.
    
“Ya ke? Baguslah.”
    
Mereka akhirnya tiba di hadapan kedai buku bernama Mika Bookstore. Meja-meja kecil dengan buku-buku yang disusun berdiri menghadap cermin kedai menarik minat Mikhail. Dia segera menolak gagang pintu kaca. Selepas Zafirah masuk, dia menutup pintu kaca tersebut.
    
Bau perabot baru yang bercampur dengan bau buku-buku yang disusun di berpuluh-puluh rak menerpa ke hidung. Mikhail menyedut aroma buku yang menjadi kegemarannya.
    
“Saya suka bau buku.” Mikhail memberitahu. Matanya meliar ke sekeliling kedai. Tidak ramai pengunjung yang datang. Mungkin kerana ia baru sahaja dibuka. Kemudian dia memandang Zafirah di sebelahnya. Jarak ketinggian mereka yang berbeza 23 cm membuat dia terpaksa tunduk sedikit untuk bercakap dengan gadis itu. “Oh, ya. Maaflah Zafirah kalau saya lama kat sini. Awak pun tau saya ni macam mana, kan?” tuturnya dengan sengihan di wajah.
    
Zafirah tersengih sama. “Saya taulah. Awak kan hantu buku,” seloroh Zafirah.
    
“Kalau awak bosan kat sini, ada sebuah restoran dua kedai dari sini. Boleh tunggu saya kat situ. Nanti saya dah habis round sini, saya cari awak kat situ.” Mikhail mencadangkan.
    
“Okey.”
    
Deretan rak-rak buku yang disusun dalam baris-baris panjang kini diperhatikan. Mata Mikhail memandang satu-persatu kadbod sederhana besar yang diletak di atas rak-rak buku. Pada kadbod tersebut ditulis genre buku. Mikhail meninggalkan Zafirah, dan kini berjalan melintasi satu-persatu rak buku berwarna coklat tua. Betullah kata-kata Zafirah, ada beberapa rak yang menempatkan buku-buku lama yang dijual dengan harga murah. Namun begitu, buku-buku lama di rak tersebut tidak disusun mengikut genre, jadi terpaksalah dia menarik satu-persatu buku keluar dari rak dan membaca sinopsis di belakang buku.
   
Hanya senyuman tawar yang mampu dibentuk di bibir si gadis tatkala itu. Sambil mengikuti langkah Mikhail, hati Zafirah berdesis, ‘Kemaruk cari buku sampai aku pun dilupakan. Mikhail ni hantu buku betul.’
    
“Nabokov Lolita?” soal Mikhail dengan nada membisik. Dia segera menarik keluar buku tersebut. Zafirah menghampirinya.
    
“Lolita…macam nama fesyen di Jepun pula,” komen Zafirah. Mikhail mengangguk. “Cerita pasal apa tu?”
    
“Tentang seorang lelaki yang jatuh cinta dengan anak tirinya yang berusia 12 tahun,” jawab Mikhail. Dia melihat isi kandungan buku sederhana tebal itu.
    
“Pedofil. Lelaki macam tu patut disula.” Zafirah menyuarakan pendapatnya.
    
“Ya. Tapi buku ni lebih daripada sekadar plot cinta yang ringkas. Ia sangat kompleks dan mendalam.” Mikhail mengucapkan dengan nada teruja. “Awak nak baca? Kalau awak nak, saya beli dua dan kita baca sama-sama nanti.”
    
Kecut perut Zafirah mendengar ayat Mikhail. Dia bukannya suka membaca. Inikan lagi mahu membaca buku sekompleks itu. Tapi Mikhail nampak bersungguh-sungguh mahu dia membaca buku tersebut. Dan dia pula sukakan Mikhail, jadi…
    
Inilah peluang kau, Zafirah! Masuk ke dalam hati Mikhail melalui buku Lolita yang berkisar tentang pedofilia ni!
    
“Boleh juga. Mungkin nanti saya akan tersuka dengan jalan cerita dia.”
    
Mikhail mengambil keluar satu lagi buku lama tersebut dari rak.
    
“Nanti kita baca sama-sama.” Mikhail menyambung pencariannya pada buku-buku lama, meninggalkan Zafirah yang sudah mula menyesal kerana bersetuju dengan cadangan Mikhail.
    
Aku rasa Mikhail ni patut ambil program kesusasteraan di universiti, bukannya kejuruteraan mekatronik.

*****
    
Benar kata Mikhail. Dia mengambil masa yang lama di kedai buku.
    
Hampir sejam setengah mereka berdua berada di situ namun Mikhail belum menunjukkan tanda-tanda mahu balik. Zafirah sudah naik bosan. Dia memerhati novel-novel Melayu yang tersusun kemas di rak. Dia mengeluh perlahan.
    
Atas saranan rakan sekolahnya dahulu, dia pernah membaca sebuah novel cinta. Lebih tepat lagi, novel kahwin paksa. Dan itulah novel cinta pertama dan terakhir dibacanya. Sepanjang membaca novel tersebut, mulut Zafirah tidak lekang dengan kritikannya pada watak utama perempuan yang menjengkelkan, dan watak utama lelaki yang dayus. Cerita itu sepatutnya boleh tamat sekitar dua ratus muka surat tetapi penulis novel tersebut memanjangkannya dengan konflik yang entah apa-apa sehingga mencapai 700 muka surat. Sungguh menyebalkan!
    
Sejak itu Zafirah cuba mengelakkan diri daripada membaca novel cinta Melayu. Novel kahwin paksa yang dibacanya membuat dia jatuh benci dengan novel cinta Melayu yang lain walaupun dia tahu yang dia tidak patut menghakimi novel-novel cinta lain sebelum membaca mereka.    
    
Kaki Zafirah sudah terasa lenguh. Dia berjalan melintasi rak-rak buku, mahu mencari Mikhail. Di lorong kedua yang menempatkan buku-buku Inggeris terbaru, Mikhail sedang duduk mencangkung sambil membelek-belek halaman buku. Di atas lantai bersebelahan, ada kira-kira 10 buah buku disusun tinggi. ‘Mesti buku-buku yang dia nak beli.’
    
“Mikhail,” panggil Zafirah. Mikhail berpaling kepadanya.
    
“Ya?”
    
“Saya tunggu awak kat restoran yang tadi tu ya. Rasa laparlah pula.” Zafirah cuba menyelindungkan rasa bosan.
    
“Okey. Nanti saya cari awak di situ,” tutur Mikhail lalu mengalihkan perhatiannya kembali pada buku di tangan.
    
Zafirah melangkah keluar dari Mika Bookstore dan berjalan menuju ke restoran yang dilalui mereka tadi. Meja-meja di dalam sudah penuh jadi Zafirah terpaksa mengambil meja di luar restoran.
    
Sebaik melabuh punggung di kerusi, seorang pelayan lelaki memberikan senarai menu kepadanya.
    
Restoran Abu Bakar menghidangkan pelbagai masakan kampung, sesuai dengan nama Abu Bakar yang biasanya dipakai oleh orang dulu-dulu. Zafirah tersenyum. ‘Kawan’ VKnya itu juga bernama Abu Bakar. Kebetulan pula.
    
Selepas memesan nasi kerabu dan jus tembikai, Zafirah mengeluarkan telefon pintar lalu membuka aplikasi VKontakte versi mobil. Dia terasa mahu membuka profil Abu Bakar.
    
‘Abu Bakar Shishani. Last seen 4 January at 12:35 pm’
    
Hmm…dah lebih seminggu. Dia okey tak ni?
    
Akaun Abu Bakar Shishani dipenuhi dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis bersama terjemahan dalam bahasa Rusia. Ada juga beberapa keping gambar senjata dan gambar kanak-kanak Syria. Dalam video yang dikongsikan olehnya pula terdapat video-video mujahidin dari Chechnya dan beberapa video pertempuran di Syria.
    
Dia ni…jihadist ke? Jihadist di Syria ke? Last seen 4 January ni, dia masih hidup tak ni?
    
Entah kenapa jari-jemarinya pantas sahaja menekan butang ‘Write a message’.
    
Menggunakan pengetahuan bahasa Rusia yang dipelajari melalui internet, Zafirah menaip menggunakan keypad Cyrillic.
    
‘Assalamualaikum. Kak dela? (Assalamualaikum. Apa khabar?)’
    
Mesej tersebut dihantar kepada Abu Bakar.

*****
    
Nasi kerabu sudah habis dimakan. Jus tembikai juga sudah diminum separuh. Namun kelibat Mikhail masih belum muncul. Zafirah menongkat dagu di atas meja. Bosan!
    
Zafirah menoleh ke meja di dalam. Ada yang sudah kosong, ada yang masih berpenghuni.
    
“Maaf buat awak lama tunggu.” Suara Mikhail mengejutkan Zafirah yang sedang meneroka bahagian dalam restoran dengan matanya. Mikhail menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Zafirah. Plastik buku yang besar diletak atas kerusi sebelah.
    
“Berapa banyak buku awak beli?” soal Zafirah.
    
“13. Cukuplah untuk dihabiskan waktu cuti sem ni.”
    
“Banyaknya! Bagus, bagus.” Zafirah melihat ke dalam, mencari kelibat pelayan restoran. Waktu itu dia perasan ada beberapa orang gadis sedang melihat-lihat ke arahnya dan Mikhail. Zafirah tahu benar siapa yang menjadi tumpuan mereka. Cemburu kini membuat ruang di hati.
    
“Awak famous betul,” ujar Zafirah sinis. Berkedip-kedip mata Mikhail, tidak faham.
    
“Apa maksud awak?”
    
“Tengoklah perempuan kat dalam tu, asyik tengok awak dari tadi.”
    
Mikhail tersenyum nakal. “Kenapa? Awak cemburu ke?”
    
“Sedikit,” jawab Zafirah lalu menyedut jus tembikai.
    
Mikhail tertawa perlahan mendengar jawapan gadis bertudung merah jambu di hadapannya.
    
“Jangan cemburu. Awak ada tempat yang istimewa di dalam hati saya.”
    
Hampir tersedak Zafirah dengan kata-kata Mikhail.
    
“Tempat istimewa?”
    
Mikhail merapatkan wajahnya pada Zafirah. “Ya. Macam adik perempuan,” jawabnya lalu kembali ketawa.
    
Zafirah menarik muka masam. Pemuda itu langsung tidak sensitif akan perasaannya. Adakah dia tidak punya ruang lain selain menjadi ‘adik perempuan’ di hati Mikhail?
    
“Awak nak ke mana-mana tak lepas ni?” Mikhail menyoal setelah tawanya reda.
    
Zafirah mencebik. “Tak ada. Saya nak balik rumah terus.”
    
Rajuk Zafirah membuat Mikhail terhibur. “Okeylah kalau macam tu. Lagi cepat kita balik, lagi cepat saya boleh baca buku. Ada 12 tak termasuk buku Lolita awak.”
    
Zafirah menggigit bibir, geram pada Mikhail yang menayangkan muka selamba. Belum sempat dia membalas kata-kata lelaki itu, telefonnya berbunyi. Notifikasi menunjukkan ada satu mesej yang masuk.
    
Mata Zafirah membulat tatkala melihat apa yang terpapar pada skrin telefon.
    
‘Vaalaikumsalam. Khorosho, Alkhamdulillakh. A vy? (Waalaikumsalam. Saya sihat, Alhamdulillah. Dan awak?)’
    
Abu Bakar Shishani sudah membalas mesejnya!




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku