Hujan Merah
Bab 26
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
86

Bacaan







Jantung Zafirah berdetak laju. Dia tidak menyangka pemuda itu akan membalas mesejnya secepat ini.    
    
Apa aku nak jawab ni? Apa aku nak jawab ni?’ soalnya berulang kali dalam hati sambil mengesat peluh yang merecik di dahi. ‘A vy tu maksudnya ‘dan awak’, kan? Aku tak silap, kan?’ Zafirah mengetap bibir. Notifikasi akaun Abu Bakar menunjukkan yang pemuda itu sedang online.
    
Ah, tulis jelah!
    
Selepas menjawab ‘Sihat, alhamdulillah’, Zafirah cepat-cepat mematikan mobile data telefon pintarnya. ‘Settled!
    
Mikhail berkerut dahi melihat wajah pucat Zafirah.
    
“Awak nampak gelisah,” komen Mikhail pada Zafirah yang sedang mengelap peluh di dahi.
    
“Awak pernah tak menyamar sebagai perempuan di sosial media?” soal Zafirah.
    
“Hah? Menyamar?” Mikhail menyoal kembali. Terangkat keningnya.
    
“Tak, tak ada apa-apa. Hm…Awak tak makan, kan? Apa kata kita balik?”
    
“Tak sabar nak baca Lolita ke?” gurau Mikhail.
    
“Tak. Saya ada benda lain nak buat,” jawab Zafirah lalu bangun dari kerusi. Dia mengatur langkah ke kaunter untuk membayar harga makanan. Mikhail memerhati sahaja langkah gadis itu.
    
Pelik betul dia hari ni…
    
Selepas membayar harga makanan, Zafirah kembali mendapatkan Mikhail lalu berjalan bersama ke petak parkir.

*****
    
Sepi menemani suasana, membiarkan hanya deruan nafas terdengar di cuping telinga. Tidak seperti ketika dalam perjalanan ke kedai buku, kali ini Zafirah memandu kereta dengan kelajuan yang sederhana. Sebaik lampu isyarat bertukar merah, Zafirah menghentikan keretanya. Dia menoleh pada Mikhail di sebelah. Kemudian dia memandang hadapan kembali.
    
“Ada apa-apa ke yang awak nak beritahu saya?” Soalan Mikhail membuat Zafirah tersentak.
    
“Apa maksud awak?”
    
“Pergi ke kedai buku cuma alasan, kan?” teka Mikhail. Dia yakin Zafirah sedang cuba untuk memenangi hatinya.
    
“Mungkin.” Pendek Zafirah menjawab. Dadanya mula berdebar.
    
“Zafirah, pada saya awak bagaikan adik perempuan.” Mikhail meluahkan. Dia akui, memang dia sayangkan Zafirah. Tetapi sebagai seorang abang. Perasaannya tidak pernah melangkaui zon cinta.
    
“Saya tahu. Masuk kali ni dah dua kali awak beritahu benda yang sama.” Zafirah menekan pedal minyak sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
    
“Jangan sia-siakan masa awak untuk saya,” keluh Mikhail sambil memerhati kenderaan yang meluncur di sebelah.    
    
“Saya anggap ini sebagai satu pelaburan. Saya tak sia-siakan masa saya untuk awak.” Jujur Zafirah menjawab, tanpa berselindung.
    
“Awak akan terlepas banyak peluang jika awak terus berpaut pada sesuatu yang tak mungkin akan jadi kenyataan.”
    
Jeda.
    
Zafirah menggenggam stereng kereta dengan kuat. Ayat Mikhail bagaikan pedang tajam yang menusuk jauh ke dasar hati, membuat matanya tiba-tiba hangat. Dia tahu bila-bila masa sahaja air matanya akan tumpah.
    
“Jangan buat begini lagi. Saya tak mahu lukakan hati awak.” Sopan Mikhail menyusun kata, tidak mahu Zafirah terasa dengannya.
    
“Kalau macam tu, terimalah saya,” luah Zafirah dengan suara yang tertahan-tahan. Air matanya melurut ke pipi jua. “Awak kata awak tak nak lukakan saya, kan?”
    
“Kalau saya terima awak dan akhirnya hubungan kita tak dapat diteruskan, awak akan lebih terluka pada masa tu,” jelas Mikhail. Mata kini terarah pada gadis di sebelahnya.
    
Zafirah tidak membalas kata-kata Mikhail. Dia diam sahaja sepanjang perjalanan yang berbaki. Biarpun begitu, hatinya bergolak bagaikan ada ribut yang melanda. Rupanya, rasa cintanya pada Mikhail membuat lelaki itu terbeban. Cintanya tidak akan pernah dapat dibalas oleh lelaki itu.
    
Jadi bagaimana? Apa lagi yang dapat dilakukannya jika Mikhail juga sudah menjelaskan seperti itu?

*****

Latakia, Syria

Sepuluh buah pikap model Toyota yang membawa 100 orang mujahidin Dzhamaat Halifat bergerak keluar dari markas tepat pukul 1 pagi. Dengan jaket celoreng yang tebal, beg galas yang besar, dan senjata di tangan, destinasi mereka semua ialah kawasan pergunungan Latakia.

Jalan tar dan jalan tanah yang licin dengan kehadiran salji melengahkan perjalanan mereka. Mereka hanya tiba di kawasan pergunungan tersebut sekitar pukul 4 pagi. Kedatangan mereka sudah dinantikan oleh 120 orang mujahidin Ansar Sham. Sama seperti mujahidin Dzhamaat Halifat, mujahidin Ansar Sham juga lengkap berpakaian celoreng.     

Taklimat ringkas diberi oleh ketua operasi daripada Ansar Sham dalam bahasa Arab. Ia kemudian diterjemah oleh amir Abdul Azim dalam bahasa Rusia. Selesai taklimat, mereka bergerak mendaki bukit. Oleh kerana hari masih terlalu pagi, mereka terpaksa mengharapkan cahaya daripada lampu suluh sambil mendaki dengan berhati-hati. Salji-salji yang menutupi denai ditolak ke tepi dengan kaki.
    
Di atas bukit, mereka diarah untuk membersihkan kawasan sekitar daripada salji yang meninggi terlebih dahulu. Mujahidin Ansar Sham awal-awal lagi sudah membawa peralatan seperti penyodok untuk merendah dan meratakan salji agar kawasan yang menjadi tempat bertahan mereka tidak terlalu licin. Beberapa orang mujahidin veteran daripada Dzamaat Halifat turut membawa peralatan sama. Memandangkan peralatan untuk menyodok dan meratakan salji tidak mencukupi untuk semua, mujahidin lain terpaksa menolak salji ke tepi menggunakan combat boot yang dipakai.
    
Mereka kemudian dipecahkan kepada empat kumpulan; penembak hendap, penembak, pelontar bom tangan, dan pembantu. Abu Usman, Abu Hurairah, 10 orang lagi mujahidin daripada Dzhamaat Halifat, dan 15 orang mujahidin Ansar Sham ditugaskan sebagai penembak hendap. Abu Yasmin serta majoriti mujahidin jamaat mereka dan Ansar Sham ditugaskan sebagai penembak. Sebelum bergerak ke posisi masing-masing, amir Abdul Azim terlebih dahulu mengarahkan ahli-ahli jamaatnya untuk solat Subuh berjemaah bersama mujahidin Ansar Sham.

*****
    
Abu Usman mengambil posisi di belakang semak-samun. Berada di sebelah kanannya ialah Abu Hurairah. Selepas memakai balaclava, Abu Usman menggabungkan magazin 10 peluru pada senapang penembak tepat semi-automatik model Zastava M91 di hadapannya. Muncung senapang itu diletakkan di tengah-tengah dua buah pokok rendah. Kedua-dua tangannya memegang utuh Zastava M91 yang memiliki berat lebih kurang 5 kg tersebut.
    
“Kita nampak macam pengganas di dalam filem,” komen Abu Hurairah.
    
“Kita memang pengganas,” balas Abu Usman. “Mungkin macam cerita Rambo.”
    
“Saya bayangkan kita seperti askar dalam Saving Private Ryan.” Abu Hurairah memberitahu sambil tersengih lebar di sebalik balaclava.
    
Abu Usman tersenyum hambar. “Lebih baik jangan. Tahu tak berapa ramai askar yang terkorban di pantai Omaha?” soalnya pada anak muda itu.
    
“Berapa ramai?”
    
“Lebih 2,000 orang di pihak tentera bersekutu.”
    
Abu Hurairah terdiam seketika. Kemudian dia menyoal lagi. “Abang rasa, ramai tak tentera Assad yang akan datang?”
    
“Entahlah.”
    
Perbualan mereka berdua terhenti di situ.
    
Abu Hurairah meneropong keadaan pergunungan di sekitar. Menurut amir, kawasan pergunungan ini penting kerana menempatkan salah satu puncak tertinggi di Latakia yang turut berfungsi sebagai balai cerap.
    
Abu Usman melihat jam digitalnya. Sudah dua jam mereka berada di sini namun, kelibat musuh masih tidak kelihatan. Bukankah sumber risikan memberitahu yang askar Assad akan melalui kawasan pergunungan ini untuk mendapatkan bukit yang menempatkan balai cerap tersebut? Adakah maklumat risikan itu silap?
    
Mereka semua kini menunggu bersama debaran di dada.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku