Hujan Merah
Bab 27
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 November 2017
"Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo."
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
106

Bacaan







Abu Hurairah bersandar pada batu sederhana besar di belakang mereka. Bersama keluhan, dia menyoal Abu Usman. “Bosannya saya. Abang rasa bosan tak?”
    
“Ya,” jawab Abu Usman.
    
Abu Hurairah mengetap bibir, tidak puas hati dengan jawapan ringkas Abu Usman. Dia menghinggapkan tangan pada bahu pemuda itu.
    
“Kenapa?” Abu Usman menyoal.
    
“Abang nampak tak gembira baru-baru ni. Selain suka menyendiri, abang pun dah kurang bercakap. Abang masih teringat abang Abu Safiya ke?”
    
Soalan Abu Hurairah membuat Abu Usman terkedu. Mata hitam anak muda itu tepat memandang wajahnya, menagih jawapan. Namun belum sempat Abu Usman menjawab, walkie-talkienya terlebih dahulu berbunyi.
    
“Musuh tiba di kaki bukit, barat daya. Tunggu isyarat seterusnya daripada pasukan penembak,” Abu Hamza memberi arahan. Abu Usman meneropong ke arah barat daya. Jauh di bawah bukit yang dilindungi pokok-pokok tumbuh meninggi, kelihatan askar-askar Assad sedang mara ke atas dalam satu barisan yang panjang. Mereka melalui jalan yang berlainan dengan jalan yang dilalui pasukan mujahidin beberapa jam yang lalu. Jumlah kekuatan mereka dalam 200 orang.
    
Benarlah seperti jangkaan komander Ansar Sham. Setelah menawan beberapa buah bukit yang tidak berapa jauh dari situ, sasaran tentera rejim yang seterusnya ialah kawasan pergunungan tempat mereka berada sekarang.
    
“Walaupun jumlah mereka ramai, kita tetap ada kelebihan, kan? Posisi kita di atas bukit,” ujar Abu Hurairah, sekadar mennyedapkan hati yang mula dijentik cemas.
    
“Buat masa ini, ya. Tapi kalau mereka tembak dari bukit sebelah atau dari helikopter, susahlah kita.”
    
“Tapi, bukit depan tu tak kosong, kan?” Abu Hurairah inginkan kepastian.
    
“Tak kosong. Ada mujahidin Ansar Sham di sana.”
    
Abu Hurairah meneropong sebuah lagi bukit yang berhadapan dengan bukit tempat mereka duduki.  Jarak kedua-dua bukit tersebut kira-kira 1 km. “Tak nampak mereka sangat dari sini.” Abu Hurairah memberitahu.
    
“Mereka ada di atas bukit,” kata Abu Usman sebelum terbatuk.
    
“Abang okey tak? Ada bawa ubat asma abang?”
    
“Abang okey. Jangan risau.”
    
Abu Usman meneropong satu-persatu tempat persembunyian rakan-rakan yang menjadi penembak hendap seperti mereka. Kedudukan mereka agak tersorok dan jauh dari kawasan laluan ke atas bukit. Namun jika mereka tidak berhati-hati ketika menembak, kedudukan mereka dapat dikesan dengan mudah melalui arah tembakan.
    
Abu Usman menurunkan teropongnya. Tangan diletakkan pada senapang semi-automatik di hadapan. Walaupun ini merupakan kali pertama dia ditugaskan sebagai penembak hendap, dia tidak boleh cuai. Nyawa Abu Hurairah dan dia berada di atas tali yang sama. Dia tidak akan membiarkan anak muda itu ditimpa apa-apa kecelakaan. Cukuplah dengan kegagalannya menyelamatkan Abu Safiya. Selagi dia hidup, dia akan melindungi semua rakan-rakannya di sini.
                        
*****
    
Tepat pukul 8.20 pagi, tembakan dilepaskan oleh pasukan penembak mujahidin ke arah askar-askar Assad yang sedang mara ke atas bukit. Askar-askar Assad bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing. Formasi mereka berterabur. Ada yang berlari menjauhi kawasan tembakan, ada yang bersembunyi di sebalik belukar yang ditutupi salji sambil menunggu peluang untuk menyerang balas, dan ada juga yang dengan beraninya meluru ke atas bukit.
    
Selama beberapa minit, tembakan hanya datang daripada pihak mujahidin sebelum askar-askar Assad mula menembak dari kawasan persembunyian mereka.
    
“Bang! Bang! Bang! Bang!”
    
Bunyi tembakan memenuhi udara, membingitkan telinga. Sesekali terdengar letupan daripada bom tangan yang dilempar oleh pihak mujahidin ke bawah bukit, dan bunyi teriakan askar Assad yang menyusul kerana terkena bedilan bom tangan.
    
Abu Usman memejam mata kirinya, sementara mata kanannya fokus mencari sasaran melalui iron sights Zastava M91. Dia memerhatikan pergerakan tentera-tentera rejim yang semakin menghampiri dari jarak 400 meter. Senapang digerakkan, mengikuti langkah seorang tentera yang sedang berlari ke atas bukit. Tentera rejim tersebut kemudian bersembunyi di belakang sebuah batu besar, menyukarkan Abu Usman membidiknya.
Walaupun cuaca sejuk, peluh dingin kini membasahi dahi Abu Usman. Jari diletakkan di picu senapang.
Abu Usman menarik nafas dalam-dalam. Sebaik askar itu mengangkat kepala, Abu Usman menarik picu. Bidikannya mengenai kepala askar rejim tersebut. Askar malang itu rebah ke bumi.

Satu hembusan lega dilepaskan.

Abu Usman kemudian menghalakan senapangnya mengikuti pergerakan askar rejim yang lain. Dia menjumpai sasaran yang seterusnya, seorang askar yang kelihatan dalam lingkungan 40-an. Sasarannya itu sedang bersembunyi bersama dua orang rakannya di sebalik semak-samun kira-kira 300 meter dari jarak kedudukan Abu Usman dan Abu Hurairah.

“Anjing Assad…” Perlahan Abu Usman mengutuk. Dia memutuskan untuk menembak askar yang berada di tengah dahulu. Dengan sekali tarikan picu, askar rejim yang duduk di tengah-tengah dua orang kawannya itu jatuh bergolek ke bawah bukit bersama kepala yang berdarah.

Abu Usman tersenyum melihat kepanikan yang terpancar di wajah dua orang rakan askar yang mati sebentar tadi. Mereka berlari keluar dari tempat persembunyian. Abu Usman mengambil kesempatan ini dengan menembak mata salah seorang daripada mereka. Seorang lagi terlepas daripada bidikan Abu Usman namun akhirnya rebah juga setelah ditembak Abu Hurairah.

Dalam Abu Usman sedang khusyuk menembak, Abu Qatada mendekatinya dengan nafas tercungap-cungap.

“Abu Usman!”

“Kenapa?” soal Abu Usman tanpa menoleh.

“Abu Yusuf al-Tatari ditembak! Dia perlukan rawatan!” Abu Qatada memberitahu. Terkejut Abu Usman mendengarnya. Dia segera melepaskan senapang snipernya lalu tertunduk-tunduk berlari mengikut Abu Qatada ke tempat Abu Yusuf. Dalam hati, dia berdoa agar Abu Yusuf tidak cedera teruk.

Dua orang mujahidin Dzhamaat Halifat sedang menyandarkan Abu Yusuf pada sebatang pokok zaitun di atas bukit.
Tangan Abu Yusuf memegang perut yang berlumuran darah. Sesekali dia memejamkan mata untuk menahan sakit tembakan yang menembusi perut. Balaclava yang dipakai sudah ditanggalkan oleh Abu Anas dan Abu Ibrahim yang berada di kiri dan kanannya. Abu Ibrahim mengelap peluh yang membasahi dahi pemuda itu.

“Allah….” ucap Abu Yusuf dalam kepayahan. Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu derita kesakitan yang dirasainya tatkala itu.

“La…ilaha…illallah…muhammadur…rasulullah…” lidah Abu Yusuf tidak putus-putus berzikir. Pandangan Abu Yusuf mula berpinar-pinar akibat kehilangan terlalu banyak darah.

“Bersabarlah saudara…” ujar Abu Anas. Air matanya mengalir sayu melihat rakannya sedang bertarung dengan maut.
    
Abu Usman yang baru tiba di atas bukit meluru ke hadapan Abu Yusuf lalu mengambil kotak pertolongan cemas daripada Abu Ibrahim. Dia kelam-kabut membuka kotak kecil warna putih yang diisi dengan pisau bedah.
 
“Abu Usman…” panggil Abu Yusuf perlahan. Abu Usman tidak mendengar panggilannya. Bunyi peluru yang tidak putus-putus dimuntahkan senapang  menenggelamkan suara Abu Yusuf.

Abu Usman cepat-cepat mengeluarkan anestesia daripada kotak pertolongan cemas.

“Abu Usman…” panggil Abu Yusuf lagi, kali ini agak kuat.

Dengan berbekalkan pisau bedah, anestesia, kapas, kain pembalut, dan antiseptik, Abu Usman merapati tubuh
Abu Yusuf untuk mengeluarkan peluru di dalam perut pemuda itu.

“Abu Usman…” Abu Yusuf tahu yang masanya sudah singkat. Dia tidak mahu Abu Usman bersusah payah deminya.

“Shhh….” Abu Usman memberi isyarat kepada Abu Yusuf untuk tidak berkata apa-apa.

“Jangan…tak sempat…Zelimkhan…” ujar Abu Yusuf. Nafasnya tersekat-sekat. Abu Usman memandang wajah kesakitan Abu Yusuf, pemuda pertama yang berkenalan dengannya dan Abu Bakar ketika mereka tiba di Syria.

“Rustam…jangan pergi. Awak akan selamat!” Abu Usman tidak putus-putus memberi semangat. Panik mencengkam diri tatkala melihat wajah rakannya itu bertukar pucat. Abu Yusuf menggeleng perlahan. Kesakitan yang dirasa sudah tidak tertanggung lagi. Perlahan-lahan, bibirnya melafazkan syahadah buat kali terakhir.
Abu Yusuf memejam mata. Hembusan nafasnya terhenti.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un…” ucap Abu Ibrahim, Abu Qatada dan Abu Anas serentak.

Abu Usman terpaku tidak percaya.

Pisau bedah diletakkan di atas tanah. Dengan jari-jemari yang menggeletar, dia menyentuh wajah pucat Abu Yusuf.

“Rustam…” Abu Usman memanggil. “Rustam…” Dia memanggil lagi.

Namun panggilannya tetap tidak berbalas.

Air mata Abu Usman mengalir ke pipi.

“Awak dah pergi ke, Rustam?” soalnya perlahan.

Abu Usman terduduk hampa di atas salji. Dia mahu mengatakan sesuatu namun suaranya bagaikan tersekat di kerongkong.

Melihat Abu Usman yang masih terkejut, Abu Ibrahim segera memeluk tubuh rakan seperjuangannya.

“Sabar, Abu Usman…” Abu Ibrahim menenangkan Abu Usman yang kini menangis tersedu-sedu.

Abu Qatada dan Abu Anas sama-sama membaringkan tubuh Abu Yusuf di atas salji. Abu Anas seterusnya mengeluarkan selimut besar daripada beg galasnya lalu menyelimuti jenazah Abu Yusuf. Dia kemudian tertunduk sedih di sisi sahabatnya yang sudah gugur.

Abu Qatada menepuk perlahan bahu Abu Anas. “Pertempuran belum tamat. Kita masih ada rakan-rakan lain yang turut berjuang bersama kita. Ayuh, Abu Anas.”
Abu Anas mengesat air mata yang tumpah. Dia mengangguk perlahan sebelum kembali ke dalam formasi pasukan bersama Abu Qatada.

Laungan ‘Allahu Akbar’ yang kuat dari pihak mujahidin dan kata-kata Abu Qatada bagai memanggil kembali
semangat Abu Usman. Sedu-sedannya berhenti. Air mata dikesat.

“Saya kena kembali ke posisi. Abu Hurairah berseorangan di sana,” ujarnya pada Abu Ibrahim.

“Semoga Allah melindungi dan mempermudahkan segala-galanya untuk kita. Bertabahlah, saudaraku!”




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku