THE PERFECT THIEF
Bab 1
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 November 2017
#Action#Romance#Crime Merlis dijadikan tebusan oleh Maliq, seorang perompak yang terdesak. Akhirnya Maliq diburu oleh pihak berkuasa dan mengheret Merlis bersama ke satu lokasi yang jauh dan terpencil. Manakala Eman iaitu rakan subahat Maliq telah melarikan hasil rompakan mereka berdua sekaligus memusnahkan harapan Maliq untuk membiayai pembedahan kanser mata adik kesayangannya. Hari demi hari, simpati Merlis menggunung apabila mengetahui kisah hidup Maliq yang menyayatkan hati. Maliq juga tidaklah sejahat yang disangka. Justeru, bibit-bibit cinta hadir tanpa dipaksa. Mungkinkah cinta mereka berdua akan bersatu dan segala impian dapat direalisasikan? Atau cuma kekal menjadi cinta antara penculik dan tebusan? NOTA: Nama/Tempat/Watak/Kejadian adalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena antara yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
54

Bacaan






#1:Dè Bloom LaFleur


Jaluran cahaya dari mentari pagi memancar menembusi tingkap lutsinar.  Papan tanda bertulis 'Dè Bloom LaFleur' terpampang megah diluar kedai.  Ianya merupakan sebuah kedai bunga yang berkonsepkan Inggeris. 

Dinding dan kebanyakan perabot didalamnya juga berwarna putih dan warna-warna pastel yang lain.  Dan oh!  Pemiliknya semestinya merupakan seorang gadis muda yang begitu cintakan bunga yang bernama Merlis. 

Pekan Louvre merupakan sebuah pekan kecil de negeri Je t'aime tetapi maju serta penduduknya yang baik-baik belaka.  Merlis adalah graduan dalam bidang kejuruteraan namun minatnya yang mendalam terhadap bunga dan gubahan telah mendorongnya membuka sebuah kedai bunga yang terletak sebaris dengan bangunan kedai ternama yang lain.

"Selamat pagi Pak Cik Yusof!."

"Selamat Pagi Merlis.  Ada bunga baru hari ni?"

"Ada.  Sekejap lagi sampai."  Tangan Merlis lincah mengangkat pasu-pasu bunga yang pelbagai warna diluar kedai. 

"Wah.. Mak cik Shila kamu mesti suka.  Nanti kami datang tengok untuk hiasan dikedai kami." 

Pak Cik Yusof dan Mak Cik Shila menguruskan 'Smile Café' sejak dari dulu lagi.  Kedai mereka juga terletak bersebelahan.  Setiap pagi, Merlis akan  singgah untuk membungkus sarapan pagi disitu. 

Tambahan pula rasa kopinya amat istimewa sekali diadun dengan resepi rahsia oleh pasangan sejoli berkenaan.  Resepi cinta barangkali!

"Wendy, sekejap lagi bunga-bunga baru akan sampai.  Tolong kosongkan ruang didalam freezer.  Mana-mana bunga yang kurang segar alihkan ke freezer sebelah." 

"Baik Cik Merlis."  Wendy merupakan pembantu Merlis dikedai bunga tersebut.  Dia berlalu ke bahagian belakang dan melakukan kerja-kerja yang diarahkan. 

Papan tanda yang tergantung dicermin pintu bertulis 'OPEN' dipusing.  Kedainya telah bersedia untuk beroperasi pada hari ini.  Banyak gubahan dan juga hamper yang perlu disiapkan. 

Dia tidak langsung menyangka bahawa warga Pekan Louvre begitu menyambut baik kedai bunganya disitu.  Mungkin ianya satu-satunya kedai bunga yang ada di Pekan Louvre.  Tempahan juga agak banyak dipesan oleh hotel-hotel serta majlis-majlis rasmi yang akan diadakan.  Maknanya, keputusan Merlis untuk menjadi gadis bunga adalah tepat.

Tingg...

Bunyi loceng berdenting menandakan ada pelanggan yang datang.  Daun pintu ditolak perlahan dan muncul pasangan yang agak lanjut usia melangkah masuk kedalam kedainya.

"Selamat datang ke Dè Bloom LaFleur.  Encik nak buat tempahan bunga ke?" Merlis menyapa seorang lelaki berusia yang berpakaian santai serta memakai topi ala koboi. 

Berdiri disebelahnya ialah seorang wanita yang juga seusia dengan memakai kacamata hitam dan tangan kanannya memaut lengan lelaki tadi. 

'Pasangan suami isteri agaknya,' tebaknya.

"Ye.  Kami datang nak buat tempahan sempena pembukaan kedai barang kemas kami."

"Oh ye ke?  Tahniah!  Kedai yang mana ye?"

"TopAz," jawab wanita tadi sambil menanggalkan kacamata hitamnya.   Secalit senyuman terukir dibibir.  Tidak seperti pasangannya yang mempamerkan wajah serius dengan paip yang tersepit dibibir.  Bau tembakau menerjah lubang hidung Merlis.

Matanya melilau menelanjangi kedai bunga Merlis.  Dia terangguk-angguk seolah-olah kagum dengan hiasan dalaman Dé Bloom LaFleur.   Hati Merlis sedikit teruja.

"Nama saya Merlis.  Boleh kita ke sana untuk perbincangan selanjutnya?" jari telunjuk dihalakan ke satu sudut kedainya.

"Saya Orked dan ini suami saya En. Ajmal."  Mereka berjabat tangan.  Manakala Merlis hanya memberi tunduk hormat berserta senyuman mesra kepada suami Puan Orked.

Merlis menuntun pasangan berkenaan ke sudut perbincangan khas.  Sebuah meja kayu berbentuk bulat diletakkan ditepi jendela yang bergantungan dengan bunga begonia dan chicory menambahkan rasa damai dimata. 

Dilabuhkan punggung mereka bertiga dikerusi yang tersedia.  Katalog bergambar dengan gubahan bunga sebelum ini dibentangkan.  Hasil perbincangan yang mengambil masa hampir sejam itu akhirnya telah memberikan kata putus.

Puan Orked dan En. Ajmal telah bersetuju untuk meilih bunga marigoldpeony dan juga bunga ros putih sebagai gubahan untuk perasmian mereka. 

Deposit dihulurkan sebelum mereka berlalu pergi dengan senyuman yang meleret. 

"Alhamdulillah.  Rezeki aku pagi-pagi ini."  Beberapa helai not berwarna ungu dikucup lantas dimasukkan kedalam laci dan dikunci.

Merlis dan Wendy meneruskan kerja-kerja mereka setelah bunga-bunga baru tiba.  Bunga yang paling mendapat permintaan tinggi adalah bunga ros.  Terutamanya apabila tiba Valentine's Day, Hari Guru dan sebagainya, bunga ros lah yang akan menjadi pilihan. 

Setiap duri yang ada pada batang bunga ros digunting sebelum disimpan ke dalam freezer.  Bunga-bungaam yang disimpan didalam freezer hanya bertahan lebih kurang tiga minggu sahaja. 

Justeru itu, mereka perlu memastikan stok simpanan bunga-bunga mereka dihabiskan sebelum kelayuan.   Mereka juga ada menyediakan khidmat penghantaran bunga kepada pelanggan tetapi hanya dalam jumlah yang sedikit.

Merlis lebih suka mengayuh basikal untuk menghantar pesanan kepada para pelanggannya kerana disamping dapat menikmati pemandangan indah Pekan Louvre.  Sementelah pula, pekan tersebut tidaklah sebesar mana.

Hari pembukaan kedai barang kemas 'TopAz' akhirnya tiba.  Merlis, Wendy serta beberapa orang pembantunya bertungkus lumus untuk menyiapkan gubahan. 

Sentuhan terakhir adalah amat penting bagi memastikan bunga-bunga tetap segar dan harum.  Sebelum majlis bermula mereka telah meletakkan gubahan tersebut didalam kedai. 

"Terima kasih Lis.  Saya dan suami sangat berpuas hati dengan semua gubahan ni.  Cantik!  Kan bang?" Puan Orked mencuit pinggang suaminya.  En. Ajmal tersenyum sambil mengangguk.

"Sepadan dengan harga.  Mahal pun takpe asalkan hasilnya memuaskan.  Terima kasih Lis," ucap En. Ajmal.

"Sama-sama.  Lega saya bila pelanggan puas hati dengan hasil kerja saya.  Saya selalu ikut permintaan pelanggan demi kepuasan mereka."  Merlis membalas senyuman.

"Eh, jemputlah masuk sekali.  Sekejap lagi perasmian nak mula" pelawa Puan Orked disambut dengan persetujuan En. Ajmal.

"Takpelah puan.  Lagi pun saya ada kerja lagi ni.  Ada penghantaran istimewa kepada customer."

"Ohh..Kalau macam tu kita jumpa lain kali.  Datanglah ke sini lagi.  Tengok-tengok aksesori kat sini.  Semua cantik-cantik tau.  Puan Orked kamu yang reka" Puan Orked menampar manja lengan suaminya.

"Ye Lis.  Untuk Lis kami akan bagi diskaun lebih sikit.  Datang ye?"

"In shaa Allah Puan Orked.  Saya mintak diri dulu ye.  Tahniah atas pembukaan TopAz"  Merlis menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Usai tugas penghantaran Merlis mengambil keputusan untuk menjenguk kedai Puan Orked.  Papan tanda yang bertulis 'TopAz' kelihatan ekslusif dengan hurufnya yang diukir dengan warna emas.

"Akhirnya awak datang jugak" Puan Orked menyambut kedatangan Merlis dimuka pintu.

"Kerja dah siap Puan Orked.  Tu yang saya singgah.  Cantik betul hiasan dalaman disini.  Tak macam kedai biasa" mata Merlis mengitari suasana keliling.  Kagum dengan dekorasi yang ditonjolkan. 

Sudah tentu ianya adalah hasil idea Puan Orked juga.  Semasa menghantar bunga pagi tadi dia hanya fokus kepada gubahan bunganya.  Kini dia berpeluang melihat-lihat ruang didalamnya pula.

"Terima kasih.  Dekorasi ni hasil idea kami berdua" ulasnya

Tetamu telah ramai beransur pulang selepas jamuan ringan.  Merlis menolak dengan baik pelawaan Puan Orked untuk menjamu selera terlebih dahulu kerana dia sudahpun kenyang menikmati 'smile citrus donut' daripada Smile Café sebentar tadi.  Nun disatu sudut, En. Ajmal sedang leka berbual dengan beberapa orang lelaki sebayanya.

"Jomlah.  Saya tunjukkan aksesori baru."  Tangan Merlis ditarik ke rak cermin yang berpalang besi.  Seutas rantai emas putih dengan loket yang diukir bentuk bunga matahari dikeluarkan.  Ianya diacu pada leher jinjang milik Merlis.

"Sesuai betul.  Nampak sweet je"

Merlis melihat dirinya kedalam cermin.  Tangannya menyentuh rantai berkenaan.  Rekaannya memang bersesuaian dengan personalitinya yang amat mencintai bunga.  Tag harga dirantai dibelek. 

GULP..

Terasa kesat liurnya.  Harga yang dipamerkan diluar kemampuannya.  Lantas rantai tersebut diletak ke tempat asalnya semula.

"Kenapa?  Lis tak suka?" soal Puan Orked.

"Suka.  Cuma harganya terlalu tinggi.  Saya tak mampu" Mendatar jawapan Merlis.

"Jangan risau.  Saya hadiahkan rantai ni pada Lis.  Sebab rakan-rakan saya cukup kagum dengan gubahan awak tadi."  Mata Merlis terbuntang.

"Tak boleh macam ni puan.  Lagipun saya sudah dibayar upah.  Saya tak boleh terima pemberian ni lagi." 

"Siapa kata?  Anggap saja ni sebagai tanda perkenalan dari saya.  Lagipun awak ni sebaya dengan anak perempuan saya.  Tapi dia tinggal jauh dari sini."  Roman wajahnya bertukar mendung.

"Ambik ye.  Ikhlas daripada saya dan suami" kesungguhannya membuatkan Merlis mengalah.  Rantai tersebut lantas dikalungkan semula.

"Terima kasih Puan Orked.  Memang cantik."  Merlis menatap kembali dirinya dicermin.

Tiba-tiba terdengar dua das tembakan diluar kedai.  Serentak dengan itu dua orang lelaki bertopeng dan bersenjata terkocoh-kocoh memasuki kedai tersebut.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku