Masihkah Ada Cinta
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 November 2017
Mengisahkan cabaran yang dihadapi oleh seorang ahli politik. Di dalam mengejar idealism dia terpaksa mengorbankan kehidupan peribadi
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
153

Bacaan






“Assalamualaikum semua”. Terima kasih kerana hadir dalam mesyuarat kita pada hari ini. Agenda mesyuarat kita pada hari ini untuk mendengar laporan dari saudara-saudara semua tentang rancangan bantuan yang kerajaan dah peruntukkan itu. Saya berharap proses pengagihan bantuan itu berjalan dengan lancar. Kita tak nak ada yang merungut tak terima bantuan. Bagi saya kita membantu kepada yang memerlukan tanpa mengira pegangan politik masing-masing,” kata Amran yang dipanggil sebagai YB Amran kerana kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

Semua yang hadir di dalam mesyuarat mengangguk-anggukkan kepala, tanda setuju dengan apa yang dikatakan oleh Amran. Sebagai ahli politik Amran tahu bagaimana untuk menjaga hati pemimpin-pemimpin bawahan ini. Mereka adalah penyambung suara orang kampung dan rakyat di bawah kawasan Amran.

“ Kita mulakan dengan Pak Man,”kata Amran sambil matanya memandang kearah seorang pak cik berusia pertengahan 60an.

Pak Man memulakan bicara. Sebagai ketua Kampung Mewangi Pak Man bertanggungjawab menjaga kebajikan penduduk kampungnya  terdiri dari kira-kira 30 buah keluarga. Pelbagai isu yang perlu diberi perhatian dari sekecil-kecil masalah seperti yuran persekolahan hinggalah masalah yang memerlukan peruntukan yang besar seperti membina jambatan menghubungkan Kampung Mewangi dengan Kampung Rahmat di seberang sungai.

Selepas Pak Man selesai membentangkan laporan kampungnya, ketua-ketua kampung yang lain pula memgambil giliran. Amran tahu sokongan dari ketua-ketua kampung ini membolehkan dia dipilih menjadi wakil rakyat untuk kawasan ini selama 2 penggal berturu-turut.

Amran mudah untuk bergaul dengan masyarakat kampung kerana latar belakangnya sebagai anak orang susah. Arwah bapa dan ibunya penoreh getah di sebuah ladang getah . Dengan adik beradik seramai tujuh orang dan pendapatan yang tak seberapa ibu bapa Amran membesarkan mereka.Alhamdulillah hampir kesemua adik beradik Amran berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading kecuali kakaknya yang sulung yang terpaksa berhenti sekolah selepas SPM kerana keputusan yang tidak begitu memuaskan. Tambahan pula pada ketika itu peluang untuk belajar tidak semudah sekarang.

Amran beruntung kerana diberikan otak yang agak baik. Dia telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke luar negara selepas SPM. Berkat dorongan hasil kejayaan Amran adik beradiknya yang lain telah mengikut jejak langkahnya.

Semasa dia di luar negara bakat kepimpinannya memang terserlah. Amran telah dipilih menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universitinya. Amran mempunyai hubungan yang rapat dengan ramai pemimpin negara. Setiap kali ada lawatan pemimpin dari Malaysia Amran dan rakan-rakannya dari Persatuan Pelajar akan menyambut kedatangan mereka.

Dari situ minat Amran terhadap dunia politik semakin berputik. Amran nampak penglibatan dalam politik memberi peluang untuk dirinya menabur bakti kepada anak bangsanya.

Sekembalinya dia ke tanah air Amran sempat bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti. Namun minatnya terhadap politik tidak pernah kunjung padam sehingga dia ditawarkan untuk bertanding sebagai calon pilihanraya.

Walaupun mendapat tentangan dari  arwah abahnya dan Izara isterinya Amran tetap berdegil dengan hasratnya untuk bertanding. Walaupun pada ketika itu jawatannya sebagai pensyarah memberikan kehidupan yang selesa kepada mereka berdua.

Perkahwinan Amran dan Izara yangmenjangkau hampir 10 tahun tidak dikurniakan anak. Mungkin belum rezeki, kata Amran setiap kali diajukan pertanyaan tentang zuriat.

Walaupun Amran menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Rimba Damai yang agak terpencil ini tapi dia menetap di Kuala Lumpur. Izara tidak bersetuju untuk berpindah ke Rimba Damai  dengan alasan dia memang telah biasa menetap di Kuala Lumpur. Dia orang bandar, bukannya orang kampung seperti Amran.Jiwa Amran lebih dekat dengan suasana kampung kerana sememangnyadibesarkan di ladang getah. Jiwa kampungnya makin menebal.

Sesekali Amran mengintai ke arah jarum jam ditangannya. Dah hampir pukul 12 tengahari. Dia melihat hampir kesemua yang hadir mula menampakkan kebosanan mendengar laporan Pak Ali yang merupakan Ketua Kampung kelima yang membentangkan laporan. Semua yang hadir amat maklum dengan Pak Ali yang memang pantang diberi peluang bercakap. Mungkin agaknya dia pernah bercita-cita menjadi wakil rakyat tapi disebabkan pendidikan yang terbatas dia setakat menjadi Ketua Kampung sahaja.

‘Abang balik flight pukul berapa?’ Amran membaca mesej wassap dari Izara.

‘Abang sampai Kl pukul 8 malam.Sayang makan dululah takut abang sampai lewat’ balas Amran ringkas sambil kepalanya mengangguk-angguk ke arah Ketua-Ketua kampung yang duduk di meja berhadapan dengannya.

Ali pembantu peribadinya sibuk mencatat isi-isi penting yang dikemukakan oleh Ketua-ketua Kampung .Ali banyak membantu meringankan tugasnya sebagai wakil rakyat. Ali pun bukannya orang laindengannya. Ada pertalian keluarga. Bau-bau bacang kata orang tua-tua.

Sesekali Amran mengerling ke arah jam di taliponnya. Dia merasa masa bergerak terlalu lambat. Walaupun perutnya semakin lapar tapi Pak Ali masih rancak mengeluarkan pandangan dan pendapatnya.Amran tahu dia perlu menjaga hati Pak Ali walaupun Pak Ali hanya setakat lulusan tingkatan tiga sahaja. Pak Ali seorang yang dihormati dikampungnya .Jika hati Pak Ali terguris Amran tahu dia akan kehilangan sekurang-kurangnya 30 undi dari anak beranak dan kaum keluarga Pak Ali dalam pilihanraya nanti.Itupun jika namanya dicalonkan semula bergantung kepada Menteri Besar dan kata putus dari Perdana Menteri sendiri.

Pak Ali memberhentikan laporannya  yang panjang lebar ketika hampir pukul 1.30 tengahari. Masing-masing yang hadir kelihatan menarik nafas lega melihat Pak Ali menamatkan laporannya.Masing-masing tidak sabar menunggu untuk makan tengahari. Amran juga merasa lega walaupun sebagai ahli politik dia belajar menyembunyikan perasaannya. Ketika dia mula menceburi bidang politik seorang bekas menteri kabinet telah berpesan kepadanya.Sehingga sekarang dia masih memegang teguh ajaran Tan Sri bekas menteri.

Kata Tan Sri  yang masih teguh dalam ingatannya ‘ Amran,kalau nak jadi ahli politik kita kena ada banyak topeng. Masa ziarah orang mati kena pakai topeng sedih. Masa ke majlis ramai belia kena jadi orang muda, kena pakai topeng orang muda. Kalau pergi ke tempat banjir kena tunjuk rasa simpati, kena tunjuk muka sedih. Kalau ada anak kecik kena tunjuk minat pada anak kecik. Gosok pipinya. Angkat budak tu buat macam anak kita sendiri. Kalau ada wartawan dari akhbar atau televisyen kena tunjuk senyum lebar. Undi dari golongan wanita sangat penting sebab pengundi wanita adalah separuh dari bilangan pengundi. Tidak ada perempuan yang tidak sukakan anak’.

Semua kata-kata dari Tan Sri kekal dalam ingatannya. Bukan mudah untuk Amran menapak dalam politik.Kalau diikutkan lebih mudah mengawal kakitangan  satu Jabatan di pejabat dari mengawal lawan dan musuh dalam politik. Tapi disebabkan minat Amran sanggup hadapi semua itu.

Dia beruntung mendapat sokongan dari Izara isterinya yang tercinta. Izara kenal dengannya pun ketika dia mula-mula menceburi bidang politik. Walaupun Izara tidak begitu meminati bidang politik tapi atas cintanya terhadap Amran dia sanggup berkorban. Sebaik sahaja mereka mendirikan rumahtangga Izara berhenti berkerja untuk menumpukan perhatian kepada rumahtangga. Kehidupan mereka suami isteri amat bahagia. Saling sayang menyayangi.

Namun setiap yang kelihatan sempurna tentu ada sedikit sebanyak kekurangannya. Perkahwinan selama hampir 10 tahun belum dikurniakan zuriat lagi. Segala ikhtiar telah dilakukan namun Allah masih belum memakbulkan doa pasangan untuk nendapat anak.

Amran tahu Izara merasa tertekan kerana gagal memberikan Amran zuriat. Tapi Amran tidak meletakkan kegagalan mendapat zuriat di bahu Izara semata-mata. Malahan doktor pakar yang memeriksa mereka mendapati  tidak ada masalah samada di pihak Izara mahupun Amran. Mungkin belum rezeki mereka lagi.

“Kasih sayang abang terhadap Sayang tidak sedikit pun terjejas walaupun kita tidak ada anak. Abang redha dengan ketentuan Allah andai ditakdirkan kita gagal mendapat zuriat. Banyak lagi pilihan yang kita ada. Kita boleh aja ambil anak angkat. Kalau rasa sunyi dan rasa nak keriuhan dikelilingi suara anak-anak kita boleh aja bermain dengan anak saudara. Zara pun ramai anak saudara, abang pun ramai anak saudara” kata Amran memujuk Izara apabila Izara kelihatan tertekan.

“ Kita kena pandang dari sudut yang positif. Kita belum dikurniakan anak tapi tidak bermakna kita tak bahagia.Kita ada satu sama lain. Kasih sayang abang tetap tak berubah.” Itulah kata-kata semangat dari Amran setiap kali Izara meluahkan rasa sedihnya.

Bukan tidak ada pihak yang mencadangkan supaya Amran berkahwin lagi satu tapi setiap kali perkara itu ditimbulkan  ia akan membangkitkan rasa marah Amran sahaja. Amran tahu dengan kududukannya sebagai wakil rakyat dan paras rupa yang agak kacak memang ramai perempuan yang menaruh hati kepadanya.Tapi cinta Amran terhadap Izara tidak pernah tergugat.

Pernah satu ketika Amran bertikam lidah dengan seorang ustaz tentang hak lelaki untuk berpoligami.Ustaz Nasir yang banyak memberi nasihat kepada Amran tentang hukum-hakam agama telah memetik ayat 3 Surah An Nisa.

“ YB, bukankah ayat itu memberikan maksud kita kaum lelaki diberi izin Allah untuk bernikah lebih dari satu? “kata Ustaz Nasir sambil mengunyah goreng pisang panas sambil menghirup kopi di warung salah seorang penduduk kampung di kawasan yang dilawati Amran.

“ Ustaz lebih bijak dari saya dalambab tafsir mentafsir ayat Quran ini. Itu memang bidang kepakaran ustaz. Saya belajar bidang Kejuruteraan tapi saya bukanlah tak ambil tahu langsung pasal ugama. Masa di Amerika dulu pun saya bergaul juga dengan budak-budak yang cenderung pada ugama. Saya pergi usrah juga. Bagi sayalah kebenaran untuk berpoligami bukannya kebenaran yang tak terbatas. Islam membenarkan poligami dalam keadaan tertentu. Mungkin untuk membantu wanita yang kematian suami,wanita yang suaminya terkorban di medan peperangan atau dalam keadaan di mana bilangan lelaki terlalu sedikit berbanding dengan wanita atas sebab-sebab tertentu seperti adanya wabak penyakit yang membunuh orang lelaki sahaja. Semua keadaan itu tak berlaku pada zaman sekarang. Kalau lelaki nak beristeri dua pun didorong oleh nafsu. Kalau betul-betul nak tolong wanita kahwinlah dengan janda-janda yang susah, yang anak ramai, yang kematian suami. Lagipun cuba ustaz tengok di penghujung ayat tu kan ada kata jika kamu khuatir tidak berlaku adil nikahlahsatu sahaja. Ada ke lelaki yang betul -betul boleh berlaku adil? “ Hujjah Amran dengan panjang lebar.Ustaz Nasir hanya diam sambil tersengih memandang Amran.

“ YB ni betul-betul lelaki Melayu terakhir. Susah nak dapat lelaki yang macam YB. Kebanyakan lelaki yang tak kahwin dua tak mampu dari segi kewangan tapi YB mampu tapi tak nak pula kahwin dua,” kata Ustaz Nasir  cuba mencungkil perasaan Amran.

“ Ustaz, saya ni lelaki normal. Ada nafsu. Ada keinginan.Ada keinginan mendapat zuriat tapi saya tak boleh bayangkan perasaan isteri saya jika saya bernikah seorang lagi. Betapa hancur luluh nya hati dan perasaan isteri saya. Saya tak sanggup buat begitu ustaz.”Kata Amran.

“ Yerlah YB. Apa yang terbaik untuk YB lah. Macam kata orang putih one man’s meat is another man’s poison’ .Hehe” kata ustaz Nasir sambil tertawa.

“Wah hebat ustaz berbahasa Inggeris.”Kata Amran .

“Bolehlah sikit-sikit YB. Nak jadi orang politik kena tahu serba sikit bahasa orang putih ni,” kata Ustaz Nasir.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku