Masihkah Ada Cinta
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 November 2017
Mengisahkan cabaran yang dihadapi oleh seorang ahli politik. Di dalam mengejar idealism dia terpaksa mengorbankan kehidupan peribadi
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
93

Bacaan






“Agak-agak nama  saya ada peluang ke nak rebut  jawatan Ketua Bahagian ni? “kata Malik, salah seorang ahli jawatankuasa Parti Bumiputera kepada beberapa orang yang dipanggil ke rumahnya untuk membincangkan pencalonannya sebagai Ketua Bahagian Parti Bumiputera.

“Kita tunggu feedback dari kawan-kawan kita Tuan Haji . Lepas dia orang hantar maklumat baru kita boleh nilai peluang Tuan Haji . Setahu kami YB Amran pun berminat nak bertanding jawatan itu,”kata Ghani yang bertindak sebagai jurucakap tidak rasmi mereka yang berada di rumah Malik pada malam itu. Ada sekitar 15 orang terdiri dari  lelaki separuh umur yang merupakan orang kanan Malik yang sedia jatuh dan bangun bersama Malik.

Malik tahu Amran bukanlah calon yang boleh dipandang lekeh dalam pertandingan itu jika Amran menawarkan diri untuk bertanding.Ketua Bahagian telah mencecah usia hampir 80 tahun. Sesuai dengan arahan pucuk pimpinan parti yang inginkan penyertaan golongan muda di dalam parti maka pemimpin pelapis mengintai peluang untuk naik ke atas hiraki parti.

Mereka tahu jika mereka berjaya mendapatkan jawatan Ketua Bahagian maka peluang untuk dicalonkan sebagai wakil parti di dalam pilihanraya akan datang semakin cerah. Menjadi calon pilihanraya dan seterusnya memenangi pilihanraya akan membuka lebih peluang untuk menjadi ahli EXCO kerajaan negeri.

Malik sedar dengan usianya menghampiri 60 tahun berbanding dengan Amran yang berusia 30an, tentunya Amran mempunyai kelebihan. Tambahan pula Amran telah dua penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Rimba Damai. Hubungan rapat Amran dengan pengundi juga menyukarkan Malik menandingi populariti Amran.

Namun begitu, Malik ada kelebihannya yang tersendiri. Dia orang berharta. Harta yang diwarisi dari arwah ayahnya sememangnya tidak habis dimakan untuk tiga keturunan akan datang.Jika perlu dia akan gunakan segala kelebihan yang ada padanya untuk menyaingi Amran.

Ramai orang bertanya kepada Malik apakah matlamat dia masuk politik? Malik menjawab yang manusia lumrahnya mengejar tiga Ta, wanita, takhta dan harta. Dia sudah  banyak harta. Jika ingin masuk politik kerana harta Malik bukan orangnya. Malik juga seorang suami yang setia kepada isterinya yang telah dinikahinya lebih 30 tahun lepas. Wanita juga bukan motif utama Malik masuk politik. Jika takhta disamakan dengan kuasa dan pemerintahan, maka inilah yang diburu oleh Malik.

“Jemputlah minum tuan-tuan semua.Makanlah kuih tu”kata Malik menjemput tetamu malamnya minum. Kopi yang dihidangkan sejak lebih setengah jam tadi oleh pembantu rumahnya sudah mula sejuk. Begitu juga karipap yang turut terhidang di piring masih belum dijamah.

Mereka berhenti sebentar dari perbincangan dan minum air yang terhidang.

Rahman atau lebih mesra dipanggil Pak Man menarik kotak rokok dan menyalakan sebatang rokok. Malik tidak suka orang merokok di dalam rumahnya yang tersergam indah itu tetapi dia tidak tergamak menegur Pak Man untuk tidak merokok di rumahnya.

Pak Man ni tak panjang umur kalau berterusan merokok macam ini, bisik hati Malik melihat Pak Man begitu seronok menghisap rokok. Pak Man yang mengikut anggaran mata kasar Malik mungkin berusia melebihi 70 tahun masih segar dan mampu bergerak lebih pantas berbanding Malik yang tidak merokok. Mungkin teori perubatan tentang bahaya merokok tidak boleh diguna pakai dalam kes Pak Man.

Selepas berehat beberapa minit mereka meneruskan perbincangan semula.

“Kita kena atur strategi dari sekarang kalau betul-betul Amran akan masuk bertanding”kata Malik ringkas.

Masing-masing yang hadir mengangguk-angguk kepala tanda setuju.

“Tuan-tuan ada apa-apa cadangan untuk kita lakukan sebagai langkah permulaan? “Malik bertanya.

“Tuan Haji, saya mencadangkan kita adakan hari keluarga dan kita jemput semua orang kampung untuk hadir. Kita buat acara untuk kanak-kanak, pertandingan bolasepak tujuh sebelah untuk orang muda dan sukaneka untuk keluarga. Masa tu nanti Tuan Haji bolehlah memperkenalkan diri Tuan Haji kepada hadirin. Merapatkan lagi hubungan Tuan Haji dengan orang kampung. Bila orang dah kenal dengan Tuan Haji mudahlah untuk Tuan Haji berkempen nanti”kata salah seorang yang hadir.

“ Bagus juga cadangan Fauzi tu.Setuju ke kalau kita buat hari keluarga itu? “Malik bertanya kepda yang hadir.

Sekali lagi mereka mengangguk-angguk kepala. Malik berkata di dalam hati susah juga kalau mendapat pengikut yang menjadi pak turut ini. Semua yang dicadangkan dipersetujui tanpa bahas.

Kadang-kadang Malik terfikir adakah mereka yang menyokongnya benar-benar percaya kepada kewibawaanya sebagai pemimpin atau lebih kepada untuk menumpang rezeki dari kekayaannya. Bukan sedikit wang yang telah dicurahkan oleh Malik dalam usaha merebut jawatan Ketua Bahagian parti. Setakat ini dia belum nampak kesan hasil dari wang yang telah dibelanjakan.Namun begitu Malik tahu bidang politik tidak menjanjikan pulangan kewangan. Dia harus bersabar dan belajar mengatur gerak politik untuk mencapai puncak kuasa, Ta yang ketiga, takhta walaupun dia bukan keturunan raja mahupun bangsawan.

Perbincangan berlarutan hampir ketengah malam. Malik melihat banyak yang mengantuk dan mula tersenggut-senggut kecuali dua atau tiga orang yang masih bersemangat.

“Kalau kita nak buat hari keluarga rasanya kita kena lantik seorang pengerusi untuk menubuhkan jawatankuasa penganjuran Hari Keluarga itu. Ada cadangan? “Malik bertanya.

Masing-masing memandang antara satu sama lain. Malik tahu kelemahan pengikutnya ialah mereka kurang pemikir dan perancang. Mereka perlukan idea dan sumbangan fikiran dari anak muda tapi sedihnya apabila ramai anak muda yang berminat dengan politik di kampung ini lebih menyebelahi Amran. Malik tidak menyalahkan mereka kerana dengan pendidikan  tinggi dari luar negara dan usianya yang muda Amran mampu menarik sokongan anak muda untuk menyertainya.

Selepas menunggu beberapa ketika dan tidak ada sebarang cadangan Malik membuka bicara semula.

“Kalau tidak ada sebarang cadangan, saya ingin melantik  Saudara Fauzi sebagai pengerusi penyelaras Hari Keluarga kampung kita ini,”kata Malik.

“Kalau projek ini berjaya kita akan kembangkan pulak di kampung-kampung lain di dalam Bahagian ini. Semua setuju? “Malik bertanya.

“Setuju,”jawab mereka hampirserentak.

Itulah pun kerja engkau orang semua, setuju, setuju, angguk, angguk. Kata Malik dalam hati sambal memandang wajah masing -masing yang kelihatan mengantuk.Sambil tersenyum Malik melihat satu persatu wajah-wajah mereka di depannya.

Wajah-wajah yang menggambarkan rasa ingin balik cepat dan menamatkan mesyuarat dengan segera.

“Kalau semua setuju saya dengan ini saya melantik saudara Fauzi kita sebagai pengerusi penganjur Hari Keluarga.Lantikan untuk jawatankuasa saya akan serahkan kepada saudara Fauzi. Tuan-tuan sekelian, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian tuan-tuan semua hadir ke mesyuarat kita malam ini”kata Malik menutup mesyuarat pada malam itu tepat jam 12.30 malam.

 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku