Masihkah Ada Cinta
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 09 November 2017
Mengisahkan cabaran yang dihadapi oleh seorang ahli politik. Di dalam mengejar idealism dia terpaksa mengorbankan kehidupan peribadi
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
91

Bacaan






Amran meneguk kopi panas sambil matanya membaca mesej di whatsapp.Empat keping roti bakar terletak di piring disamping dua biji telor rebus separuh masak. Izara menemani suaminya. Dia memang jarang makan  pagi . Biasanya dia akan makan selepas Amran keluar meninggalkan rumah untuk bertugas.

Suasana begitu tenang pada pagi itu.  Kedengaran suara burung berkicau dari luar rumah.Memang taman perumahan itu begitu sunyi kerana kebanyakan penduduk taman perumahan bekerja di siang hari.

“ Hari ini abang nak ke mana pulak? “ Izara bertanya kepada Amri.

“ Hari ini ada mesyuarat persediaan menghadapi pilihanraya. Rasanya mesyuarat hari ni panjang cerita sebab pilihanraya pun dah tak lama lagi. Menteri Besar pun  dalam proses menyediakan senarai nama calon untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, “ terang Amran.Montel datang menggesel-geselkan tubuhnya di kaki Izara.

Izara bukanlah berminat sangat dengan politik. Perebutan kuasa, tikam menikam dari belakang, fitnah memfitnah adalah antara asam garam  yang perlu dihadapi oleh mereka yang bergiat di dalam bidang politik.Namun sebagai isteri dia perlu memberi sokongan kepada suaminya kerana Izara tahu Amran begitu berminat dengan dunia politik.Izara bersyukur setakat ini dia tidak pernah lagi difitnah oleh mana-mana pihak.

“ Nama abang naik lagi ke sebagai calon? “ tanya Izara.

“ Keputusan akhir di tangan Menteri Besar. Tapi abang mempunyai peluang yang cerah untuk dicalonkan semula berdasarkan rekod perkhidmatan abang yang agak cemerlang,” kata Amran sambil meneguk kopi yang berbaki di dalam cawan.

Izara mendengar kata-kata Amran dengan rasa kecewa walaupun air mukanya berjaya menyembunyikan kekecewaanya.Jika diberi pilihan Izara lebih suka untuk Amran berkerja seperti orang lain.Mengikut waktu pejabat. Jam 9 pagi hingga 5 petang. Ada cuti umum, ada cuti hujung minggu dan apa juga yang dinikmati oleh orang bergaji tetap. Izara ingin merasakan hidup yang normal. Sekarang Amran berkerja 24/7. Dua puluh empat jam sehari , tujuh hari seminggu.

Izara pernah mencadangkan supaya Amran menjadikan penggal ini sebagai penggal terakhir dia berkhidmat sebagai wakil rakyat. Berilah peluang untuk orang lain berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat, ujar Izara. Tapi cadangan Izara dipandang sepi oleh Amran.Sememangnya politik sudah menjadi darah daging Amran. Akhirnya Izara berhenti dari memujuk Amran untuk meninggalkan bidang politik.

“ Sayang, abang pergi dulu yer,”kata Amran bangun dari kerusi. “ Kenapa abang tak habiskan roti tu? Telor tu pun abang tak makan,” kata Izara.

“ Sayang habiskanlah. Abang kena kawal makan. Nanti badan naik susah nak bergerak ke sana ke mari.,”jawab Amran ringkas.” Lagipun nanti dalam mesyuarat ada pulak jamuan” kata Amran lagi

Selepas mencium ke dua belah pipi Izara Amran berlalu meninggalkan Izara. Di kereta , Ali pembantu peribadi merangkap pemandu telah siap menunggu dengan enjin kereta yang telah dihidupkan, bersedia untuk bergerak

.....................................................................................................................................................................

“ Eh Mini, mana saya letak telefon saya tadi? “ Izara bertanya dengan suara panik.

Izara baru sahaja keluar dari pasaraya menuju ke keretanya apabila menyedari telefonya tidak ada dalam pegangannya. Dia risau bukan disebabkan kehilangan telefon itu sahaja tapi yang lebih dia risaukan ialah di dalam telefon itu beratus nama  rakan-rakan dan sanak saudara dia.

Rumini nampak jelas keresahan pada wajah Izara. Lantas dia menghulurkan telefonnya kepada Izara.

“ Cuba Ibu  panggil nombor Ibu. Mungkin ada orang yang akan menjawabnya nanti,” kata Rumini.

Izara terus memanggil nombor elefonnya . Dengan sekali deringan panggilannya dijawab oleh seseorang.Izara merasa lega mendengar panggilannya berjawab. Suara garau lelaki di hujung talian memberi petanda baik yang dia akan mendapatkan semula telefonnya.

“ Saya sebenarnya pemilik telefon yang encik pegang itu. Boleh saya tahu sekarang encik berada di mana  sebab saya nak ambil semula telefon itu,”kata Izara.

“ Saya di kaunter perkhidmatan pelanggan. Tadi cik tertinggal telefon ini di kaunter semasa membuat pembayaran. Ada orang yang hantar telefon cik ke kaunter perkhidmatan pelanggan. “ kata suara di hujung sana.

Izara menarik nafas lega mendengar jawapan dari lelaki itu.

“ Ok. Saya datang sekarang.Sekarang saya di kawasan letak kereta. Dalam 5 minit lagi saya akan sampai disana. Nanti saya nak jumpa dengan siapa yer? “ tanya Izara.

“ Nanti cari saya. Nama saya Hisham,” kata suara itu lagi.

Sebaik sahaja sampai di kaunter perkhidmatan pelanggan Izara melihat ada dua orang yang sedang berdiri bersedia untuk melayani pelanggan. Kedua-duanya adalah wanita.

“ Boleh saya jumpa encik Hisham?“ Izara bertanya kepada salah seorang gadis yang sedang bertugas.

“ Berhubung dengan apa Cik? “tanya gadis itu dengan sopan.

“ Tadi saya tertinggal telefon.Saya baru kejap call  nombor saya itu. Encik Hisham yang jawab.Dia suruh saya jumpa dia untuk ambil semula telefon saya” terang Izara.

“ Sekejap ye Cik,” kata gadis itu lalu bergerak ke arah belakang. Mungkin memanggil Hisham.

Beberapa minit kemudian seorang pemuda tinggi lampai muncul dari belakang lalu menyapa Izara.

Izara terpegun melihat pemuda yang ada iras-iras pelakon Farid Kamil. Pemuda itu lalu menyapa Izara.

“ Cik ke yang menelefon saya tadi? “ tanya Hisham.

“ Puan. Ye saya yang menelefon encik  Hisham tadi,” kata Izara sambil membetulkan panggilan Hisham dari Cik kepada Puan.

“ Maaf Puan,” kata Hisham sambil menyerahkan telefon kepada Izara.

“ Boleh ke puan isi borang ini.Tanda penerimaan. Maaflah kalau menyusahkan puan tapi prosedur. Nak tak nak suka tak suka saya sebagai orang bawah ini memang kena ikut peraturan,” kata Hisham sambil menghulurkan sehelai  borang ringkas kepada Izara.Izara tidak rasa beban mengisi borang itu.Yang penting telefonnya sudah dijumpai semula.

Selepas mengisi borang Izara bergerak meninggalkan kaunter perkhidmatan. Sebelum dia meninggalkan kaunter dia sempat melempar senyum kepada Hisham. Hisham membalas senyuman Izara sambil berkata “ Puan, nanti lain kali hati-hati ye. Jangan ditinggalkan telefon itu merata-rata. Kecualilah kalau puan nak jumpa saya semula di kaunter perkhidmatan pelanggan, haha’ kata Hisham sambil ketawa.

Izara tersipu malu sambil bergerak meninggalkan kaunter diekori dari belakang oleh Rumini, pembantu rumahnya.

“ Ish kau ni Hisham. Bini orang pun kau ada hati nak kacau,” kata salah seorang petugas wanita di kaunter tadi.

“ Aku yang masih solo dan anak dara ni kau buat tak tahu pulak,” kata Shima gadis petugas kaunter itu lagi sambil disambut gelak oleh Hisham.

“ Memanglah dia isteri orang kau tu anak dara. Tapi kalau orang tak tahu orang akan kata dia tu anak dara,engkau tu pulak ibu ada tiga anak,” kata Hisham lagi.

“ Jahat kau, “ kata Shima sambil menjuihkan bibir. Hisham ketawa melihat keletah rakan sekerjanya.

Hisham melihat borang yang baru diisi oleh Izara sebentar tadi.

“ Izara binti Abidin. Cantik nama itu, secantik tuan punya nama,” kata Hisham di dalam hati.

Hisham melihat di borang itu ada nombor telefon Izara. Serta merta dia memikirkan sesuatu idea.

..............................................................................................................................................................

Izara berbaring sebentar selepas menunaikan solat Zohor. Sambil itu tangannya bemain-main dengan telefonnya.Membaca dan melayan perbualan whatsapp rakan-rakannya di dalam pelbagai kumpulan whatsapp.

Tiba-tiba masuk satu mesej whatsapp dari satu nombor yang dia tidak kenali.

‘Maaf menganggu puan. Saya Hisham yang puan jumpa tadi’ kata mesej itu lagi.

Izara merasa serba salah samada ingin menjawab atau tidak mesej itu. Walaupun dia akui dia tertarik dengan perawatakan pemuda itu tadi tapi dia sedar dia isteri orang. Masa untuk dia melayan sebarang lelaki  telah lama berlalu. Dia perlu menjaga nama baik suami. Tambahan pula suami dia ahli politik yang terdedah dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Sedikit kesilapan dari dia atau Amran akan menghancurkan kerjaya Amran.

Izara membiarkan sahaja mesej dari Hisham tidak berbalas.Tetapi hati dia berbelah bagi samada ingin membalas mesej itu atau memadam terus mesej itu dari telefonnya.

Akhirnya Izara mengambil jalan tengah. Dia memasukkan nama Hisham di dalam senarai konteksnya tetapi dia tidak menjawab mesej dari Hisham.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku