Mimpi
Mimpi
Genre: Fantasi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 09 November 2017
Andai percintaan itu wujud antara dua pihak yang hidup dalam dua dimensi berlainan,adakah ia akan sentiasa berakhir dengan tragis? Sememangnya banyak perkara yang tidak berpihak kepada mereka. Sememangnya banyak halangan yang akan dihadapi oleh mereka. Mungkin pada mulanya anda akan hanyut dalam kebingungan dan segalanya terasa seakan menentang norma anda. Kisah Suhana dan Akil membawa anda tenggelam dalam fantasi tetapi pada masa yang sama anda akan menyedari sesebuah kisah cinta tidak hanya akan berlaku dengan cara klise sahaja,sebaliknya turut berlaku dengan cara yang tidak dijangka oleh semua.
Penilaian Purata:
109

Bacaan






“Tempat apa ni? Kau siapa?” Kata Suhana yang masih berada di dalam dakapan Akil saat dia terjaga dari lenanya. Akil mengusap rambut panjang milik Suhana yang halus itu dengan lembut. Jelas terzahir kejanggalan dan perasaan tidak selesa dari mata Suhana namun seperti biasa dia hanya membiarkan Akil melayannya sebegitu tanpa berkata apa-apa. Akil sudah lali dengan pandangan itu tetapi apakan daya,hanya pandangan itu yang mampu dinikmati oleh dia setiap malam. Suhana bangkit dengan perlahan,hanya untuk menyandarkan semula kepalanya yang masih terasa berat itu di bahu Akil. Akil senyum sambil mengeratkan lagi pelukan yang semakin hangat dirasa olehnya. Suhana langsung tidak mengendahkannya,mungkin kerana terlalu penat dengan permainan dunia. Akil menarik tangan Suhana dan mengucupnya dengan lembut.

“Kau dah okay?” Soalan itulah yang sering menjadi mukadimah Akil. Soalan klise yang sudah diulangnya beribu kali tetapi bukan pada Suhana,dia mengganggap bahawa ia pertama kali soalan itu ditujukan kepadanya. Dan seperti malam-malam lain,Suhana meluahkan segala perasaan dan duka yang tersimpan dalam hatinya. Akil tidak pernah bosan mendengarnya. Kekadang timbul perasaan kecewa dan sedih dalam diri Akil kerana Suhana melihat dia seakan itu kali pertama mata mereka bersua. Dikala Suhana bingung mengingati semula memori yang hilang atau yang dianggapnya tidak pernah wujud itu,Akil menanggung derita dan keperitan menyimpan segala memori pahit manis ketika dia bertemu dengan Suhana. Setiap malam,Suhana akan terjaga dalam dakapan Akil. Bergurau senda dengan Akil kadangkala menangis bersamanya tetapi bila fajar menyinsing segalanya hilang dibawa angin. Suhana sedar dari lena panjangnya dan segala memori mereka bersama hilang seperti mimpi-mimpi yang dilupakan. Akil hanya tersenyum di saat jasad dan roh Suhana hilang dari pandangannya.

Siang menjelma,Akil bersiap sedia untuk membuka kedai buku miliknya. Habuk-habuk yang ada pada almari dan buku dibersihkannya. Cawan-cawan kopi dilap dan kerusi yang ada disusunnya dengan rapi. Dia membancuh kopi untuk memulakan hari barunya. Akil menikmati kopi buatannya sambil merenung ke luar melalui jendela yang kurang telus tetapi mampu memperlihatkan susuk penduduk dan sebuah perhentian bas di luar. Satu demi satu bas yang tidak berpemandu itu berhenti di perhentian bas itu tetapi langsung tidak ada penumpang yang turun. Akil melihat susuk-susuk tubuh yang tidak bernyawa itu lalu lalang di hadapan kedai kopinya. Ada yang tidak bertangan,ada yang rentung hampir seluruh badannya,ada yang berlumuran darah. Sesekali ada yang turut menoleh ke arah Akil dan menyapanya dengan senyuman yang manis namun jelas terlihat kesakitan dan seksanya. Akil membalas sapaan mereka dengan lambaian mesranya. Kopi yang sudah tinggal sedikit itu dihirupnya sehingga habis. Dia berdiri dan mencapai salah satu buku yang ada pada rak berdekatannya. Helaiannya sudah agak usang,muka depannya semakin lama semakin luntur. Akil membaca buku itu,selembar demi selembar. Dia sedar hari sudah petang. Tidak lama kedengaran loceng yang sudah lama tidak berbunyi itu,dia menutup buku yang ada padanya dengan pantas lalu menoleh ke arah pintu. Dia menggosok-gosok matanya,seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya waktu itu. Dia menghampiri susuk tubuh itu. Dengan jarak itu,dia yakin bahawa dia tidak tersalah orang. Badannya berlumuran darah dan terdapat serpihan kaca yang besar tertusuk pada lengan kirinya. “Akil..” Katanya sambil tersenyum nipis. Akil kurang mempercayai nama yang baru sahaja terungkap di bibirnya yang kelihatan amat manis itu. Dia menghulurkan tangannya, “Suhana?” Suhana menyambut tangan Akil dan menariknya ke ruang minum kopi di dalam kedai itu. Akil tidak sangka Suhana mengenalinya tetapi yang lebih menghairankan Akil,apakah sebenarnya yang telah berlaku pada Suhana. Akil bangkit untuk menyediakan kopi Suhana. Suhana duduk sambil membelek-belek buku yang baru dicapainya itu. Suhana melihat sebuah bas berhenti di perhentian bas itu.

“Kil,I have to go now.”

Genggaman tangan Akil menjadi lemah,cawan yang sudah berisi kopi panas itu terjatuh ke lantai dan menyebabkan tangan Akil melecur. Suhana terus mengeluarkan sapu tangannya dan membantu Akil. Kesakitan itu langsung tidak dirasakan oleh Akil. Kata-katanya terputus-putus. Suhana masih sibuk merawat tangan Akil yang melecur itu.

“Su..Can you please stay for a cup of coffee?”

Suhana mengangguk perlahan. Dia kembali ke tempat duduknya tadi sementara menunggu Akil menyiapkan kopinya. Bas yang berhenti tadi sudah beredar. Akil menghulurkan secawan kopi yang baru dibuatnya itu kepada Suhana. Suhana meniup dan menghirupnya dengan perlahan.

“Apa jadi?”

Suhana menggelengkan kepalanya, “Sedar-sedar ada kat dalam bas,turun pun sebab nampak kedai buku kau ni.”

“Ramai yang tak boleh pergi sini.” Kata-katanya berselindung.

“Boleh? Maksud kau?”

“Tiada apa-apa.” Akil hanya tersenyum.

“By the way,bas seterusnya bila sampai?”

“Janganlah pergi.” Rayu Akil yang terasa agak terkilan dengan soalan Suhana.

“Habis tu macam mana aku nak pulang?”

“Jalan kaki?” Jawab Akil dengan spontan. Dia tidak boleh memberitahu perkara sebenar kepada Suhana. Suhana terdiam. Mungkin kerana nada Akil yang berbunyi seperti sindiran. Akil mengusap rambut Suhana dengan perlahan, “Sakit?”

“Tak. Aku nak pulang.”

Ketika itu,sebuah bas yang tampak agak berlainan dari bas-bas sebelum ini berhenti di perhentian bas tersebut. Akil berdiri dan mengambil seutas rantai yang disimpannya di dalam sebuah laci. Suhana melangkah ke pintu keluar dengan langkah yang berat,mungkin masih enggan untuk meninggalkan Akil tetapi dia tetap mahu pulang. Akil menahan Suhana di hadapan pintu keluar. Dia menarik tangan Suhana dan meletakkan rantai itu pada tapak tangan Suhana lalu mengarahkan Suhana untuk mengenggamkannya. Akil menghantar Suhana ke perhentian bas itu dan melihat bas itu hilang dari pandangannya perlahan-lahan. Akil masuk semula ke dalam kedai buku itu lalu bersiap-siap untuk menutup kedai pada petang itu.


Suhana tersedar dari komanya. Kakak Suhana,Mika yang kebetulan sedang menjaga Suhana ketika itu terus keluar untuk memanggil doktor. Suhana terasa seperti ada sesuatu dalam genggamannya. Dia membelek-belek rantai yang dia sendiri tidak tahu siapa pemberinya. Lengannya sudah berbalut,bajunya selesai ditukar. Tiada lagi darah yang mengalir dari kepalanya atau berlumuran di badannya. Waktu itu,segala memori tiba-tiba dimainkan dalam mindanya.


Pada malam itu,Suhana terjaga lagi di dalam dakapan Akil. Akil tersenyum melihat Suhana memakai rantai pemberiannya.

“Thanks.” Kata Akil dengan perlahan.

“For what?”

“Sebab tak naik bas tu.”

Suhana agak terpinga-pinga mendengarnya. Akil segera menukar topik perbualan mereka pada malam itu.

Semua memori yang tersimpan dalam ingatan Akil ada di dalam rantai itu. Selagi Suhana memakainya,memorinya akan kekal dan tidak terpadam menjelang fajar. Suhana yang sepatutnya telah pergi ke alam yang satu lagi terselamat kerana secawan kopi. Bas yang sepatutnya dinaikinya itu untuk pergi ke sana meninggalkan perhentian bas itu tanpa Suhana di dalamnya. Akil hadir sebagai peneman Suhana di kala dia sedih mahupun gembira. Akil hadir untuk menceriakan hari-hari Suhana yang suram dan menemaninya menikmati hari-hari yang gembira. Akil hadir untuk menangis dan ketawa bersamanya. Setiap pagi,Akil hilang seperti kabus meninggalkan Suhana sendiri namun Suhana tidak pernah bersedih kerana dia pasti akan bertemunya lagi pada malam nanti,seterusnya dan selamanya. Akil dan Suhana hidup dalam dua dunia yang berlainan tetapi memiliki kebahagiaan yang sama seperti insan-insan pencinta dan dicintai yang lain. Kalimat hanya maut yang mampu memisahkan pasangan itu seakan tidak ada kesannya kepada Suhana kerana dia tahu mereka akan dipertemukan lagi di kedai buku itu dan bersama selamanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku