Banglo Tasik Kundang
Bab 14
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 November 2017
Akulah Sang Saka yang ditinggalkan! Suara itu membuat aku tersedar yang aku sebenarnya telah menerima satu saka yang menjadi pusaka secara paksa! Mereka tidak menyangka, perpindahan ke rumah baru di Tasik Kundang itu telah mengundang 1001 misteri dan tanda tanya. Sejak malam pertama, mereka sering diganggu dengan pelbagai dugaan. Mimpi ngeri sentiasa menjadi mainan tidur. Apakah ada jalan keluar untuk mereka merasa bahagia?
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
162

Bacaan






Kaki kanan yang sakit itu diseret perlahan. Tidak terdaya Daus untuk mengangkatnya. Dia mengerang, menahan sakit yang tidak tertahankan lagi. Terasa jarak stor itu sangat jauh, padahal hanya kira-kira 10 meter sahaja dari tempat dia mula-mula jatuh tadi. Telefon bimbit yang digenggamnya itu, tiba-tiba berbunyi. Dengan pantas, Daus menekan tombol hijau dan menjawab panggilan itu. 

"Hello... hello... hello... ," panggilan itu terputus kerana signal yang kurang baik. "Aduh, satu bar je ke?" keluhnya.

"Tit tit!" paparan di skrin telefon pula menunjukkan bateri hanya tinggal 10% sahaja lagi. 

"Satu, satu masalah," getusnya.

Daus mempercepatkan langkah. Dia bimbang sekiranya tidak sempat menggunakan lampu torch light itu untuk menyuluh ke dalam stor nanti. Kesakitan yang dialaminya, ditahankan sahaja asalkan May dapat ditemukan semula. 

Daus mengetuk-ngetuk pintu stor itu dengan penumbuknya. "May! May! keluar May! abang ni," teriaknya pula. 

Suasana ketika itu sungguh sunyi. Begitu juga tiada sebarang bunyi dari dalam stor itu. Daus masih belum berpuashati. Lalu dipegang tombol itu lantas dipusingnya dengan berhati-hati. 

"Tak berkunci!" bisiknya. Lampu di hala ke hadapan. Segenap penjuru stor itu disuluhnya. Dan di sebalik rak kayu itu, dia ternampak satu bayangan seseorang.

"May? May ke tu?" soal Daus. Perasaan takutnya hilang apabila merasa yakin, seseorang yang di hadapannya adalah May.

Tiada sahutan, sebaliknya seseorang yang dilihat Daus itu hanya mendiamkan diri dengan membelenggukan diri. 

"May, ni abang ni... jangan takut sayang," Daus cuba memujuk.

Daus memeluknya lalu diusap-usap rambut itu. Tetapi May tidak memberikan sebarang reaksi. May bukan seperti tadi yang merengek dan menangis tapi kini menjadi pendiam. Daus sedikit sangsi tetapi dalam keadaan getir begini, perasaan was-was itu ditolaknya ke tepi. 

"Abang!" 

Daus tersentak. Suara yang memanggil namanya itu berada di hadapan pintu stor. 

"May?" Daus terkejut apabila melihat May berdiri sambil melihatnya sedang memeluk seseorang yang disangka isterinya.

"Abang! abang peluk siapa tu...? lepaskan dia bang! lepaskan!" jeritan May membuatkan Daus bertambah panik.

Seseorang yang dipeluk Daus itu mendongakkan kepalanya. Lalu memandang tepat ke arah mereka berdua. Daus tidak sempat berbuat apa-apa. Tergamam! 

"Aku adalah saka yang menjadi pusaka dari keturunan kau, Daus!" saka itu bersuara, garau.

Daus melepaskan saka itu, ditolaknya jauh-jauh. Lantas terdengar suara jeritannya yang seakan sedang marah. "Kau campak aku?!"

Daus segera bertindak berlari menuju ke pintu stor tetapi belum pun sempat dia melangkah keluar, pintu itu tertutup dengan sendirinya. Dia ketakutan. Bateri telefon bimbit pula semakin sedikit. May yang berada di luar menjerit-jerit memanggil nama suaminya itu. Beberapa kali pintu itu diketuknya. Daus juga begitu. Dia kini terperangkap. 

Saka itu memandangnya. "Kenapa kau takut padaku, Daus? Sedangkan aku adalah milik kau...," kali ini agak lembut bicaranya. 

"Tidak! aku tak pernah berjanji untuk memiliki kau, syaitan!" balas Daus, marah.

"Kau dah lupa, Daus? Kau sendiri yang terima dari tuan aku yang dahulu...," kali ini saka itu merengek, menangis meminta belas kasihan dari Daus.

"Tidak! aku kata tidak! bukan aku yang ambil tapi Tok Aki aku yang bagi!" kemarahan Daus semakin memuncak. 

Saka itu merapatinya. Jari-jemari runcingnya membelai-belai wajah Daus. Dipegangnya dagu Daus pula. "Kau lihat aku sekarang...," wajah saka yang buruk telah berubah menjadi sangat cantik. 

Daus seakan terpesona seketika. Mata saka itu yang cantik telah membuatkan Daus tidak mampu berkelip. Daus seperti dipukau!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku