SNOW WHITE DAN ROSE RED
PROLOG
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 November 2017
MENGISAHKAN dua adik-beradik yang kecewa dalam kisah cinta mereka dahulu cuba memulakan hidup yang lebih baru.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
133

Bacaan






PROLOG I

TERSEBUTLAH suatu kisah tentang pasangan adik-beradik yang bahagia pada zaman dahulu. Nama mereka ialah Snow White dan Rose Red. Mereka hidup dengan bahagia bersama ibu mereka. Walaupun kehidupan mereka tidak sekaya mana dan hanya bersederhana dalam setiap perkara, namun kebahagiaan hidup dititikberatkan.


Suatu hari, mereka bertemu dengan seekor beruang yang terbaring di tanah lalu dibawa pulang untuk dirawat. Apabila sedar beruang itu, mereka mula menjadi rapat dan berkawan baik.


Ketika Snow White dan Rose Red sedang berjalan-jalan di hutan, terlihat seorang kerdil yang memerlukan pertolongan bila janggutnya tersangkut pada dahan pokok kecil. Lalu, mereka cuba menyelamatkan si kerdil itu dengan memotong janggutnya.


Bukan mahu berterima kasih, sebaliknya si kerdil itu memarahi kedua-dua adik-beradik itu kerana kuasa saktinya telah pun hilang setelah janggutnya dipotong.


Akhirnya, beruang yang diselamatkan mereka adik-beradik telah bertukar menjadi seorang putera setelah sumpahannya tamat. Putera itu jatuh cinta dengan Snow White dan mereka pun berkahwin. Manakala, Rose Red pula berkahwin dengan adik si putera itu.


Mereka pun hidup dengan bahagia.


Tetapi, bagaimana dengan kisah Snow White dan Rose Red versi moden?



PROLOG II

“SAYA minta maaf… Tapi, terus terang saya rasa hubungan ini dah tak ada arah tujunya lagi. Apa gunanya kalau tiada perasaan cinta lagi? Saya tak boleh… Awak boleh salahkan saya. Saya yang minta ini semua berlaku. Kalau awak nak pukul saya, pukullah.”


Kata-katanya, membuatkan Hanna terkedu. Setelah dua tahun menyemai kasih, beginikah pengakhirannya? Kesetiaan yang dia pegang dibalas begini? Benar-benar menyakitkan sehingga menusuk ke dalam hatinya.


“Apa kurangnya saya?” tanya Hanna, tenang walaupun hatinya sudah bergelora sedih.


“Awak tak ada kurangnya. Saya yang kurang. Saya tak yakin yang saya boleh bahagiakan awak. Awak berhak untuk jumpa lelaki yang lebih baik daripada saya.”


Hanna tersenyum sinis. Jawapan klise.


“Luqman, bukankah cinta itu saling melengkapi? Cinta itu sedia menerima kekurangan pasangannya dan memperbaikinya?” Hanna masih tidak puas hati.


“Hanna… Jujur saya cakap, saya dah tak cintakan awak lagi. Saya tak boleh cuba untuk mencintai awak. Kalau kita teruskan semua ini, saya takut awak yang akan menderita.”


“Apa yang buatkan awak membenci saya?”


Soalan itu membuatkan Luqman terdiam sejenak. Terdengar perlahan keluhannya. Luqman menatap anak mata Hanna sedalam-dalamnya selepas itu.


“Saya tak ada sebab untuk itu.”


Jawapan Luqman benar-benar mengecewakan Hanna. Jadi, lelaki itu membenci dirinya tanpa sebab? Hubungan ini terputus juga tanpa sebab?


“Hanna, saya merayu… Kita putuskan hubungan kita dan hidup dengan cara masing-masing. Saya janji, saya tak akan tuntut apa-apa daripada awak. Segala pemberian yang saya beri kepada awak sebelum ini, saya tak akan minta semula.”


“Awak betul-betul kecewakan saya, Luqman. Setelah dua tahun kita bercinta, awak lukai saya pada akhirnya. Saya ingat awak akan kotakan janji yang awak akan jaga saya untuk selama-lamanya.” Hanna mengingatkan janji Luqman suatu ketika dahulu.


Janji yang hanya tinggal janji.


“Baiklah. Memandangkan awak seperti terdesak dan bersungguh-sungguh untuk minta putus, saya akan bersetuju. Ini mungkin menyakitkan hati saya, tapi daripada terus menderita saya relakan.”


Luqman kelihatan lega namun masih serba-salah dengan apa yang telah terjadi.


“Tapi, ada satu perkara yang saya minta.”


“Apa dia?” Luqman ingin tahu apa yang mahu dipinta oleh Hanna.


“Sekiranya kita terserempak di mana-mana selepas ini, tolong… Tolong jangan sapa saya. Biarlah kita jadi orang asing. Saya rasa lebih baik begitu. Boleh awak lakukannya?”


Luqman terdiam seketika setelah mendengarnya. Perlahan-lahan, akhirnya dia mengangguk setuju. Melihat Luqman setuju, Hanna benar-benar sakit hati. Nampaknya, Luqman benar-benar mahu berpisah dengannya.


Mungkin ini pengakhiran kisah cintanya dan Luqman. Dia tidak mahu lagi mengulanginya dan biarlah semua ini, disimpan sebagai memori pahit dalam hidupnya dan tidak perlu dikenang lagi pada kemudian hari.




“HUJUNG bulan ini aku akan kahwin. Kalau kau ada masa, datanglah dengan keluarga kau. Mana tahu, kau akan ada aura untuk kahwin selepas ini pula. Dah lama kau membujang, tahu tak?”


Hati Umaira luluh. Dalam keluluhan hatinya, dia tetap tersenyum. Senyum yang dipaksa supaya menampakkan dia gembira dengan berita perkahwinan sahabatnya. Sahabat? Ya, sahabat yang dia sayang lebih daripada seorang kawan secara diam-diam.


“Tahniah. Tak sabar aku nak jumpa bakal isteri kau nanti,” ujar Umaira. Mungkin, tidak akan dia melihat siapa bakal isteri sahabatnya itu kerana bimbang, hatinya akan terluka.


“Itulah kau. Aku pula gugup. Nanti nak akad nikah, nak sebut nama dia biarlah sekali. Tak naklah gagap. Malu pula.” Ezam berseloroh lalu ketawa. Umaira juga turut ketawa, namun pura-pura.


“Kau boleh datang tak nanti?” tanya Ezam meminta kepastian sama ada sahabatnya itu akan hadir atau tidak. Ezam akan berasa senang jika Umaira boleh hadir. Mereka pun sudah lama berkawan.


Walaupun berlainan jantina, tapi tidak menjadi penghalang mereka berkawan baik. Pada pandangan orang lain, mungkin mereka kelihatan sebagai kekasih. Pada pandangan Ezam, Umaira tidak lebih dia anggap seperti adik sendiri.


Sebaliknya, Umaira mengangaap Ezam sebagai seorang lelaki. Mencintainya sebagai seorang lelaki. Dia menyesal kerana semua itu hanya tersimpan di dalam hatinya tanpa diluahkan. Dia tidak berani untuk menyatakannya. Bimbang dengan penerimaan Ezam.


“Mungkin aku datang, mungkin tak… Tengoklah, kalau tak sibuk bolehlah datang.”


“Harapnya, kau boleh datang. Aku tunggu kau. Nanti aku letak tempat duduk VIP, khas untuk kau.”


Kenapa tidak di sebelah kau, aje Ezam? Ah, bertenanglah Umaira. Kumbang bukan seekor. Cuma, mengapalah kumbang yang itu juga dia berkenan?


Semoga kau akan berbahagia, Ezam.




HANNA berjalan dengan lesu. Tidak berdaya lagi untuk dia melangkah pulang ke rumah. Kedinginan pada malam hari mula mencengkam tubuhnya. Sejuk. Membuatkan kepalanya terasa berat dan tubuhnya mengigil.


Dia mahu demam rasanya. Langkah yang diatur semakin tidak bermaya lagi. Tanpa sedar, air matanya mula menitis dan dia menangis perlahan. Mengingatkan apa yang baru sahaja terjadi, membuatkan dia hampa.


Teganya hati lelaki itu memperlakukannya begini. Di mana silapnya tidak diberitahu. Seolah-olah dia ini tidak punya perasaan ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang sebab.


Dalam masa yang sama, Umaira juga dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia menapak dengan jiwa yang sedih. Ini semua salah dirinya sendiri. Tidak berani meluahkan perasaan sebenarnya kepada Ezam.


Kerana mahu Ezam meluahkannya dulu, dia sanggup menunggunya. Hasilnya, penantiannya selama ini tidak membuahkan hasil. Ezam telah pun dimiliki orang lain. Cintanya selama ini hanya bertepuk sebelah tangan.


Ezam tidak pernah menganggap dirinya istimewa. Hanya dia yang berperasaan begitu. Sungguh, malam ini kelihatan kelam sekali. Bulan yang menerangi malam ini tidak dapat menerangi hidupnya ketika ini.


Dari jauh, Umaira melihat susuk tubuh kakaknya dari jauh. Terhenti langkahnya. Hanna juga sama. Umaira dipandang dari jauh. 


Mereka berdua kelihatan sedih sekali.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku