PENANGGAL
PROLOG
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 November 2017
AKAN TERBIT TIDAK LAMA LAGI
Penilaian Purata:
205

Bacaan






Tahun 1920. Kampung Chahaya, Kedah.


Di dalam bilik, Bidan Lijah telah sedia menanti di celah kangkangan Aminah bagi menyambut kelahiran bayi. Aminah mengerang-erang kesakitan. Sekujur tubuhnya dibasahi keringat. 

            “Teran sedikit lagi Aminah. Kepalanya sudah kelihatan.”ujar Bidan Lijah. Bukaan rahim semakin lebar menandakan bila-bila masa sahaja bayi akan keluar.

          Sejenak,hidung Bidan Lijah tersiruk-siruk. Satu aroma asing menusuk hidung. Dia menghidu-hidu. Mirip bau cuka tetapi aromanya lebih keras dan hanyir. Tanda tanya mula bergayut di fikiran dengan kehadiran bauan itu secara tiba-tiba.

        Belum sempat jawapan berkunjung tiba, telinganya menangkap bunyi desiran. Seakan bunyi sesuatu yang berlaga dan meningkah angin. Bidan Lijah mengangkat wajah.Tumpuannya terganggu. Bunyi itu keras kedengaran menusuk telinga. Keningnya bertaut.

         Bunyi apakah itu?

            Mata Bidan Lijah memerhati dinding rumah kayu itu yang beberapa bahagiannya berlubang belum dibaiki. Pandangannya menerobos keluar. Salah satu lubang yangterkopak menjadi sasaran pandangannya. Bunyi desiran itu kian hebat kedengaran mengelilingi rumah. Jantung Bidan Lijah berdetak laju.Andaian-andaian buruk mula bertandang di fikiran. Apatah lagi apabila memikirkan dia sedang menyambut kelahiran bayi. Mulutnya mula terkumat kamit mengalunkan ayat suci Al-Quran. Bulu romanya tegak mencanak memberi tanda kehadiran sesuatu yang datangnya bukan dari alam manusia!

            Lama dia merenung lubang itu sebelum satu kelibat bercahaya kemerahan kelihatan melintasi laju. Mirip bebola api! Saat itu urat takungan nyawanya terasa terputus. Cemas mula merasuk jiwa. Pertama kali sepanjang pengalamannya menjadi seorang bidan berhadapan dengan kejadian seperti itu. Mata Bidan Lijah terhunjam ke arah tingkap yang hanya ditabiri langsir. Langsir kelihatan terbuai-buai dihembus angin.

            Dia sedar bila-bila masa sahaja bebola api itu akan menerobos masuk melalui situ.Bingkas wanita tua itu bangkit merapati tingkap. Potongan ayat suci Al-Quran tidak lekang bermain di bibirnya. Langsir yang terbuai dikuaknya. Bayu malam menyerbu masuk menyapa batang tubuhnya. Dingin terasa. Kelibat bebola api itu tidak kelihatan di mana-mana. Bau cuka hanyir dan memualkan kian keras menusuk rongga pernafasan. Bidan Lijah sedar makhluk itu berada di sekitar rumah tersebut sahaja.

            Ayatul Kursi dialunkan Bidan Lijah. Tingkap itu perlu dipagarnya daripada dimasuki oleh makhluk tersebut. Sebaik sampai di pertengahan ayat, tidak semena-mena bebola api itu muncul mendadak di hadapan wajah. Bidan Lijah tergamam. Lidahnya terkelu dari menggumam ayat suci al-Quran. Matanya terbuntang luas. Pertama kali seumur hidupnya melihat makhluk yang dikenali sebagai penanggal itu!

            Serentak itu kepala tanpa badan dengan wajah yang mengerikan itu merempuh masuk ke dalam bilik menerusi tingkap. Tubuh Bidan Lijah ditujah kuat sehingga wanita tua itu jatuh terlentang. Cecair likat hanyir terpalit di wajah Bidan Lijah. Bidan tua itu menggelupur dan meraung kesakitan. Cecair itu terasa seakan api yang membakar kulit wajahnya! Pedih seperti dihiris-hiris!

 

“Itu suara Bidan Lijah menjerit!”getus Salleh.

            Tanpa menunggu balasan daripada Yaakub, Salleh bergegas meluru ke dalam bilik isterinya berada. Naluri hatinya yang tidak enak sedari tadi kian hebat terasa.Bapa mertuanya itu menurut dari belakang. Kain yang mentabiri laluan masuk kebilik diselak pantas.

            Saat itu, lutut yang menampung tubuhnya terasa goyah. Jantungnya  terasa berhenti dari berdegup. Semangatnya terasa terbang melayang meninggalkan jasad. Aminah terbelingkang kaku tidak bernyawa. Mukanya pucat kebiruan! Di satu sudut kelihatan Bidan Lijah sedang menggelupur kesakitan dengan kedua-dua belah telapak tangan menekup wajah. Bayi yang baru dilahirkan pula tergeletak di atas lantai dengankepala yang hancur lumat.

            Di celah-celah kangkang isterinya kelihatan satu kepala tanpa badan meninggalkan tali perut terburai-burai sedang rakus meratah uri yang keluar dari rahim isterinya. Seakan menyedari ia diperhati, kepala itu menoleh ke arah Salleh dan Yaakub. Lidahnya terjulur panjang kemerahan di atas lantai. Jelas kelihatan kulit wajahnya yang menggerutu kehitaman seperti kulit pokok dan anak matanya terbeliak kekuningan! Mulutnya menyeringai menampakkan giginya yang berceracak tajam.

            “Celaka kau syaitan!”Yaakub bertempik kuat.

            Pantas dia meluru masuk ke dalam dengan niat untuk menyerang. Serta merta kepala itu terapung pantas sebelum menerpa keluar melalui tingkap.

            Salleh jatuh terduduk di lantai. Air mata lebat membasahi pipi. Sungguh malam itu ujian dan dugaan terbesar bagi dirinya. Isteri dan anaknya mati dibunuh penanggal!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku