LOVE! SELAMANYA
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 November 2017
Percintaan gadis bernama Marrini yang menghadapi pelbagai dugaan dan halangan.
Penilaian Purata:
184

Bacaan






BAB 1

"Kangkung! Kangkung! Petai! Bayam! Jering!, Puan mai singgah, macam-macam ada ni!"

Seorang perempuan bertudung ungu yang sedang lalu di hadapan, cuma melihat sepintas lalu dan tersenyum sumbing. Tiada sekelumit rasa pun mahu menunaikan hasrat si penjual yang mahu jualannya laris seperti penjual lain.

"Eeeee, dah la panas, secekak sayur pun belum terjual lagi ni, habislah aku! Apa aku nak buat ni." air mata jernih mula berlinang di kelopak mata, namun cepat-cepat disekanya agar tidak luruh ketika itu.

"Hai  Rini! Jual sayur lagi. Kesian kau kan" seorang gadis kecil molek yang agak ayu parasnya menegur Marrini yang sedang membetulkan longgokan petai di atas tanah berlapikkan guni putih.

"Kau peduli apa!" balas Rini dengan riak wajah yang masam mencuka. Kehadiran Syakila yang sedang tersenyum mengejek ke arahnya  begitu menyakitkan hati.

"Mestilah aku peduli kita kan sekampung. Engkau jangan sombong sangat Rini, sedar sikit siapa diri kau tu!" omel Syakila secara berbisik menghadap muka Rini yang merah padam bagaikan udang kena bakar.

"Engkau memang sengaja cari pasal dengan aku kat sini kan Kila, kenapa kau benci sangat dengan aku!" balas Marrini sambil mengetap gigi. Amarahnya terhadap kehadiran Syakila yang suka menyibuk betul-betul membuatkan amarahnya meluap-luap.

"Sebab kau perempuan murah yang busuk!!"

Tanpa berfikir panjang, tangan Marrini serta-merta mencapai bakul kosong yang terletak berhampiran petai di tanah lantas mahu memukul kepala Syakila yang berdiri tegak di hadapannya.

"Jangan Rini...." suara kasar hinggap di pendengaran telinga Marrini. Tangannya dipegang oleh seorang lelaki yang entah bila berada di sebelahnya.

"Kila, pergi balik!" tengking suara tersebut. 

Orang yang lalu-lalang di hadapan mereka ada yang memandang sinis sambil mengeleng-gelengkan kepala.

"Abang! Tapi kila belum habis cakap dengan perempuan busuk ni lagi..."Syakila mula berang. Arahan abangnya bagaikan kemenangan berpihak kepada Marrini.

Remy Iskandar menjeling tajam ke arah Syakila yang masih lagi berdiri tegak memandang Marrini dengan mimik muka marah. Namun sebaik sahaja melihat jelingan tajam abangnya, Syakila beredar dari situ dengan perasaan marah memaki-hamun Marrini di dalam hati. 

Tanpa Marrini sedari tangan sasa Remy Iskandar masih lagi memegang erat pergelangan tangannya. Serta merta perasaan marahnya sebentar tadi menjadi perasaan serba-salah dan malu.

"Abang Is, lepaskan tangan Rini. Ada orang tengok, nanti jadi gossip pula" Marrini gugup memandang wajah Remy Iskandar yang sedang ralit memandangnya.

"Opss, maafkan Abang Is".

Setelah melepaskan pergelangan tangan Marrini, Remy Iskandar beralih tempat kedudukannya berdiri. Tidak lagi berada di sebelah Marrini, namun berdiri di bahagian hadapan barang jualan Marrini.

"Maafkan Rini Abang Is, Rini tak dapat kawal perasaan Rini tadi. Kila tu selalu sahaja nak sakitkan hati Rini"

Marrini memberikan penjelasan. Walaupun tidak dipinta oleh Remy Iskandar. Marrini tahu keterlanjurannya tadi mahu memukul Syakila bukanlah tindakan yang bijak. Nasib baik Remy Iskandar datang tepat pada waktunya, kalau tidak pastinya pasar pagi tersebut kecoh pagi ini. Silap haribulan, masuk lokap. 

"Takpelah, Rini, Abang Is faham. Abang Is harap, Rini dapat bersabar dengan Syakila tu. Jangan buat macam tadi lagi, nanti Rini juga yang susah" Remy Iskandar mengeyetkan matanya sambil tersenyum kepada Marrini.

Serta-merta darah menyirap di wajah Marrini. Malu rasanya apabila diperlakukan seperti itu. Perasaan malu dan gugup hadir tanpa dipinta. Tiba-tiba jantungnya seperti dipaut debar kuat seperti mahu luruh dari alterinya.

"Kenapa muka Rini merah padam, panas ya?"usik Remy Iskandar.

Marrini cuma terkulat-kulat bagaikan disumpah memandang Remy Iskandar yang masih lagi tersenyum ke arahnya.

"Bungkuskan Abang Is, semua ni Rini. Abang Is beli semuanya".

"Eh, betul ke ni, terima kasih Abang Is". Marrini tersenyum lebar. Tidak disangkanya hari ini rezekinya murah, walaupun keadaan keruh menyelubunginya pagi-pagi lagi dengan kehadiran Syakila, musuh ketatnya.

Setelah membungkus pelbagai jenis sayur dan petai yang dijaja oleh Marrini, Remy Iskandar mengorak langkah meninggalkan Marrini. Anak mata Marrini tidak lepas menghantar bayangan tubuh Remy Iskandar yang hampir 10 tahun lebih tua dari dirinya yang kini berumur 21 tahun sehingga hilang dari pandangannya. 

"Tak berkelip mata kamu tengok anak teruna orang Rini"sergah Mak Tam yang berniaga pelbagai jenis ikan di sebelah jajaannya.

"Eh, erghhh....."tiada kata yang dapat dilafazkan oleh Marrini bagi membalas kata-kata menyengat Mak Tam. Cuma seulas bibirnya sahaja yang mengukir senyuman.

Cuma beberapa minit Marrini dan Mak Tam berbalas pandangan lantas  Marrini cepat-cepat mengalih wajahnya dan tangannya segera  mengemas segala barangan jajanya untuk segera pulang. 



"Hei! Rini, sini kau!!"Puan Hanim menendang pintu bilik Marrini agak kuat sehingga bergegar rumah kayu antik mewah seperti banglo itu. 

Marrini yang sedang membelek buku novel yang baru dibelinya semalam begitu terkejut, lantas tergesa-gesa dia bangun dari katil, menghadap Puan Hanim yang seperti singa lapar di hadapannya. 

"Hei, kau pekak ke? Aku panggil tak sahut, kau ingat aku tunggul! Hah!"jerkah Puan Hanim di hadapan wajah Marrini yang sudah pucat lesi, seperti mayat.

"Errr, kenapa mak?"Marrini tidak langsung memandang wajah menyinga Puan Hanim.

"Sejak bila aku jadi mak kau, aku ni cuma mak tiri kau yang bapa kau tergila-gilakan sangat"sengeh Puan Hanim sambil meraba-raba rambutnya yang bersanggul tinggi.

"Kenapa Mak Cik panggil Rini?"soal rini dengan dada yang berdebar-debar. Dadanya seperti bom atom yang mahu meletup, kerana dia memang tidak mampu menghadapi amarah Puan Hanim yang seperti dirasuk syaitan itu.

"Panggil aku Auntie. Bukan Mak Cik. Bodoh!"terketar-ketar Rini mengganggukkan kepalanya.

"Ye Auntie".

"Aku dengar bukan main lagi kau berasmara kat pasar pagi, pagi tadi ye. Amboi! Pegang-pegang tangan lagi. Kau nak malukan aku ke apa hah!." Jerkah Puan Hanim dengan kuatnya.

"Rini tak buat macam tulah Auntie. Kila yang cari gaduh dengan Rini, lepas tu Abang Is datang, tu je" tergagap-gagap Marrini menyusun ayat di hadapan Puan Hanim. Air matanya ditahan seboleh mungkin. Dia tidak mahu menangis di hadapan Puan Hanim yang sering membulinya.

"Kau ni memang pandai bermuka-muka dan cari alasan macam ibu kau juga kan! Kau nak jadi perempuan sundal macam ibu kau juga ke..hah!" 

Bergetar hebat dada Marrini apabila Puan Hanim tidak segan-silu menghina ibunya. Rasa mahu ditumbuknya muka perempuan bergelar mak tiri yang sedang menyinga di hadapannya itu. 

"Ibu Rini tak seperti yang Auntie cakap tu!" marah Rini. Suaranya sedikit tinggi memandang mata Puan Hanim.

"Berani kau melawan cakap aku ye!" 

Puan Hanim lantas menolak tubuh Marrini sehingga terjelepok di lantai kayu. Tidak puas dengan itu, Puan Hanim memukul tubuh Rini dengan kipas kayu yang dipegangnya sejak tadi. Amarahnya melihat Rini semakin menjadi-jadi apabila Rini menundukkan wajahnya ke lantai.

"Mak! Dah gila ke?"

Suhana yang baru pulang dari sekolah segera berlari ke bilik Marrini apabila dia terdengar suara sedu-sedan Marrini yang agak kuat. Dia segera menindih tubuh Marrini supaya tidak dipukul oleh ibunya.

"Suhana! Ketepi!" 

"Jangan pukul Kak Rini lagi ibu, tolonglah. Su merayu pada ibu" dalam esak tangis Suhana yang tenggelam timbul itu, sempat lagi Suhana merayu kepada Ibunya. 

Serta-merta Puan Hanim menghentikan pukulannya apabila tangisan Suhana semakin kuat. Tidak tergamak dia mahu memukul anak kandungnya sendiri. Lainlah Marrini seperti mahu hari-hari dipukulnya. Meluat sungguh dia melihat wajah anak kandung suami barunya itu.

"Bangun Su. Masuk bilik kau. Kalau kau degil cakap aku. Aku pukul kakak kesayangan kau ni lagi!" menyerlang mata Puan Hanim memandang wajah Suhana yang merah padam mempertahankan Marrini.

Suhana bangun dengan agak lambat sebelum ditarik kasar oleh Puan Hanim dan mereka keluar dari bilik tersebut. Tinggallah Marrini berseorangan. Agak payah dia bangun dan menutup pintu yang terbuka luas itu, lantas menguncinya dari dalam.

Marrini menghempas tubuhnya di katil dan menangis semahu-mahunya. Perlakuan ibu tirinya betul-betul meremuk redamkan hati. Sampai bilalah Puan Hanim mahu memperlakukannya seperti itu. Sejak  Puan Hanim berkahwin dengan ayahnya, Encik Kadiro, Puan Hanim sering melayannya dengan layanan buruk. Marrini tidak faham kenapa Puan Hanim bersikap sebegitu kepada dirinya.

Marrini akan dilayan seperti anak sendiri apabila ayahnya ada di rumah. Jika ayahnya out station, musuh utama Puan Hanim adalah dirinya. Dia akan dilayan seperti orang gaji dan bukannya seperti tuan rumah, walhal rumah yang Puan Hanim dan  Suhana tinggal ini adalah rumah ayahnya.

Banglo kayu dua tingkah yang mempunyai 6 bilik dan beberapa biji kereta mewah ini adalah milik ayahnya. Tetapi Puan Hanim melarang sama sekali untuk dia mengunakan kereta milik ayahnya sendiri, padahal dia merupakan anak tunggal kepada Encik Kadiro. Dia juga mempunyai lesen memandu. Jadi tidak salah rasanya jika dia menggunakan harta benda milik ayahnya sendiri untuk kegunaannya. Marrini hairan, apakah yang dimahukan oleh Puan Hanim di rumah itu sebenarnya?

Sudah acap kali Marrini menceritakan perangai buruk Puan Hanim terhadap dirinya, namun ayahnya sedikitpun tidak mempercayai kata-katanya. Dia seringkali dianggap oleh ayahnya suka membawa mulut, memfitnah Puan Hanim. Hati kecil Marrini betul-betul terguris dengan sikap ayahnya yang melebih-lebih menyayangi ibu tirinya itu. Marrini sedar dia terpaksa berdiri di atas kakinya sendiri. 

Cuma Suhana, adik tirinya sahaja yang menyebelahi dan menyayanginya ikhlas seperti kakak kandung. 

Suhana juga tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang perbuatan ibunya sendiri. Marrini faham, sebagai kakak yang berlainan ibu dan ayah, kasih sayang Suhana kepadanya membuatkannya sebak. Dalam diam-diam Suhanalah kekuatannya untuk terus bertahan di rumah ibarat neraka itu.

Sejak kejadian petang tadi, Marrini cuma terperap di dalam bilik. Tidak langsung dia ke dapur mahu menjamah sebarang makanan. Hatinya benar-benar luka dengan perlakuan Puan Hanim. Biarlah dia munasabah diri, memujuk hatinya sendiri malam itu. Sedaya upaya dia cuba menerima perlakuan ibu tirinya sebagai perkara biasa yang harus dilaluinya.

Jam 2.00 pagi, Marrini terjaga apabila dia terdengar gelak tawa lelaki dan wanita di ruang tamu rumah. Tidak pula hatinya mahu keluar dan melihat siapakah di ruang tamu rumahnya itu. Matanya benar-benar mengantuk. Dia pasti itu mesti suara ayahnya yang telah pulang dari out station. Hati Marrini benar-benar lega apabila ayahnya pulang ke rumah. 

Selimut ditarik sehingga ke pangkal leher. Pendingin hawa yang berbunyi agak kuat menengelamkan suara gelak ketawa di ruang tamu yang tadinya agak kuat kedengaran. Marrini tidak mengendahkannya, lantas perlahan-lahan dia tertidur.

Bersambung....




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku