JUJUR SAJA SAYANG
PROLOG
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 November 2017
Kerana luka yang terlalu dalam, aku membawa diri ke Kota Paris. Biarkan saja aku tenang di sini, mencari kedamaian hati yang telah lama menghilang. Sebagaimana hilangnya dirimu, begitu juga aku. Mereka selama ini berpura-pura. Sehingga sanggup memisahkan kasih, sayang dan cinta aku padamu. Biarlah masa yang menentukan sampai bila aku harus begini. Kota Paris seakan menjadi saksi bahawa cinta agung aku kembali berputik, bertaut dalam jambangan indah yang pasti tidak akan kulupakan. Kota Paris, tanah kelahiranku. Di sini juga bersemi apa yang kucari selama ini. Terima kasih kerana dirimu kembali ke sini, Paris!
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
196

Bacaan






WATAK PERWATAKAN
Tuan Cairil - Zul Ariffin
Hanna Nadia - Nelydia Senrose
Dhya - Nabila Huda
Joanna - Janna Nick
Datin Khalsom - Azizah Mahzan
Datin Karmila - Ziela Bakharin

...

SESAL

          Andainya detik waktu itu yang diwarnai dengan penuh bunga-bunga keindahan dapat aku undurkan, tanpa pernah berasa sedikit kesal pasti aku akan memilihnya untuk kembali. Setiap derap langkah dari titik ke titik perjalanan melewati kebahagian itu, pasti aku akan menghargainya dengan sepenuh hati. 

Mahligai yang telah dibina atas dasar perasaan cinta, musnah dalam sekelip mata. Apa yang aku mahu ketemukan adalah kecurangan yang menjadi punca sehingga menutupi kebahagiaan yang seharusnya menjadi milik kita.

Aku, masih terduduk merangkul tubuhku sendiri dalam kepekatan malam tanpa ditemani cahaya yang menerangi. Fikiran terlalu kusut dan bercelaru untuk mengira butiran bintang yang bertaburan di kaki langit. 

Ketika itu, hanya sebuah tangisan yang tidak berlagu dari seorang lelaki dengan seraut wajah yang penuh dengan tanda kekesalan. Tangan kugenggam erat seakan tidak meminta apa yang sudah tertulis dalam kalam Tuhan itu adalah satu kenyataan yang harus pasrah aku terima. Walaupun sebenarnya hatiku tidak merelakannya.

Terbayang akan dirinya yang aku sayangi seolah-olah bermain di peluput mata. Senyuman yang menguntum penuh berseri itu seakan memerhatikan aku dengan penuh pengharapan.  Sepantasnya, akulah sandaran kekuatan untuk merungkai segala cerita yang sengaja disembunyikan oleh mereka yang mengkhianati sebuah ikatan cinta. Tetapi aku menjadi terlalu lemah, lalu mengabaikan dirinya.

Aku kembali tersedar. Masa silam yang pernah aku alami, tidak akan dapat diubah lagi tetapi apa yang boleh aku lakukan ialah dengan mencorakkan masa hadapan itu kembali. 

Perlahan-lahan aku melepaskan rangkulan tubuhku sendiri. Sekeping nota yang ditinggalkan olehnya kutatap. Setiap baris ayat itu kuamati satu-persatu. Nota ringkas bertulisan tangan itu kucium berulangkali. Kata-katanya sangat mendalam menikam lubuk hati, sakitnya bagai dihiris sehingga tidak mampu mengalirkan titis darah lagi.

          "Abang, maafkan sayang kerana telah memilih jalan ini. Sayang tidak akan mengubahnya lagi. Kita telah berpisah dan sayang akan membawa haluan sendiri. Abang, seringkali kita bercakaran hanya kerana seseorang. Abang lebih percayakan dia. Apa guna sayang lagi. Alangkah luluhnya hati ini, hanya Tuhan yang mengerti. Setiap kali bertikam lidah, hati ini menjadi semakin tawar dengan cinta silam yang pernah bersemi. Tetapi, setiap kali itulah sayang cuba menjadi yang terbaik. Maafkan sayang sekali lagi. Sayang terpaksa melangkah pergi mencari hidup sendiri. Biarkan sayang begini. Jangan dicari, jangan dikenang lagi."

Nota itu dilipat kembali. Keluh kesal kini semakin menghantui. Seseorang yang paling aku sayangi telah pergi menjauh meninggalkan aku keseorangan. Aku seakan tergantung sepi. Terseksa rasanya bila diperlakukan sebegini. Dan kini baru aku sedari, perasaannya yang sering tersakiti.

Aku bingkas menuju ke jendela yang terletak tidak jauh dari katil itu. Bayangnya kucari. Jejaknya kuamati. Ternyata dia sudah tiada lagi. 

"Maafkan abang... sayang, andainya abang tahu ini sebuah pengakhiran, pasti dirimu tidak akan dipersiakan walaupun sesaat."

Hujan lebat mulai menguyur laju membasahi Ladang Teh Palas. Deras airnya sederas airmataku yang mengalir dipipi. Kelopak mata sesekali bergenang lalu disahut raung yang di luar kawalan diriku. Raut wajahnya sering bertamu dibenak fikiran ini, seakan menerpa laju dengan penuh sarat kerinduan dan sesalan yang paling dalam. 

Sesekali bibirku tersebut namanya tanpa sengaja. Mungkin juga, aku telah mulai sedar bahawa aku tidak pantas memperlakukannya sebegitu. Terkadang, aku acapkali melawan rasa amarah ini. Tetapi entah mengapa syaitan selalu hadir di antara jiwa aku untuk merasuk dan merobek sebuah ikatan cinta itu lalu akhirnya menghanyutkan aku dalam lautan kecewa. 

"Maafkanlah abang, sayang... .  Abang tidak mampu melepaskanmu dari hidup ini. Maafkan abang, kerana terlalu mencintaimu!"

Tanpa berfikir panjang, aku nekad untuk mencari dirinya. Aku ingin menebus kembali dosa kelancangan yang terpacul sehingga menghiris isi hatinya.  

Kunci kereta yang aku gantung di belakang pintu segera kucapai. Lalu, lima belas anak tangga menuruni ke tingkat bawah itu, aku melangkahnya dengan cukup laju. Dari hujung anak mata, seseorang sedang memerhatikan kegusaranku ketika itu tetapi aku tidak mempunyai cukup waktu lagi untuk melayan semua lakonan di depan mata. Apa yang aku tahu, hanyalah mencari dia dan membawanya pulang untuk hidup kembali bahagia bersama.


----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku